Jumaat, 20 Mei 2011

Rakyat Derita Harga Barang Makin Naik


Penarikan balik subsidi gula oleh kerajaan pemerintah kononnya mahu menjimatkan tanggungan sebanyak RM 116.6 juta disambut hambar oleh rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.

Rakyat dimomokkan dengan alasan yang sama iaitu, harga gula dinegara ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negera serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Bukan itu sahaja rakyat seolah- olah 'dihadiahkan' dengan perkhabaran baru dari Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa harga bahan bakar termasuk RON95 akan dikaji semula bulan hadapan, yang berkemungkinan akan naik lagi.

Beliau tanpa rasa bersalah berkata, rakyat harus memikirkan 'manfaat' yang bakal diperolehi jika kerajaan pemerintah berjaya mengurangkan bebanan kewangan umpamanya pembinaan sekolah, jalan- jalan kampung, projek perumahan rakyat dan sebagainya.

Persoalannya, siapakah yang akan memikirkan perit jerih rakyat yang dihambat kos hidup yang semakin meningkat dengan kadar gaji masih ditakuk lama ?

Tv Selangor turun padang meninjau pandangan orang awam berhubung perkara ini.

Bagi Ahmad Ridzuan Samsuddin, menyifatkan tindakan kerajaan pemerintah menaikkan harga barangan asas tidak sejajar dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan seperti yang dilaung-laungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menambah, rakyat kini semakin terhimpit dengan pelbagai kenaikkan harga barang, lebih-lebih lagi kepada golongan yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3000 sebulan.

"Bagi kami rakyat yang berpendapatan agak sederhana dan pertengahan memang rasa cukup terkilan dengan sikap kerajaan persekutuan dengan slogan seolah-olah menipu rakyat, mendahulukan rakyat tapi realitinya yang berlaku kesan dengan kenaikkan harga minyak akan menyebabkan kami akan hidup dalam keadaan sengsara," kata Ridzuan.

Mengulas isu yang sama, Nazri Alias seorang pekerja swasta menyifatkan rakyat berpendapatan sederhana kini hidup dalam keadaan serba kekurangan memandangkan harga barangan semakin meningkat tetapi gaji masih pada takuk yang lama.

"Pendapatan kita 10 tahun yang dulu sama dengan sekarang tetapi harga barang makin meningkat tinggi, maknanya kita terhimpit, rakyat sekarang ni terhimpit dengan kenaikkan gula, minyak. Itu menyebabkan golongan pekerja yang berpendapatan sederhana susah untuk hidup di kawasan bandar," kata Nazri.

Yohan Raj, seorang Pensyarah IPTS pula berkata, matlamat kerajaan pemerintah tidak jelas dengan slogan yang sering dibangga-banggakan, seolah-olah tidak bertepatan kerana rakyat saban hari asyik mengeluh dengan harga barangan.

"Sebenarnya slogan yang diangkat kerajaan tidak menepati dengan keadaan yang sedang berlaku sekarang, di mana barang diutamakan dan rakyat diketepikan jadi saya rasa slogan itu tidak ada makna," kata Yohan. -tvsnews

Demo Bantah LYNAS: 500 orang berhimpun di depan kedutaan Australia


Keadilan Daily|  Kira-kira 500 orang berhimpun di depan kedutaan Australia bagi membantah projek pembinaan nadir bumi di Gebeng, Kuantan.

Mereka bergerak dari masjid As Syakirin KLCC menuju ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat tadi.

Perarakan itu anjuran People’s Green Coalition dengan kerjasama kumpulan menentang projek berkenaan, Save Malaysia, Stop Lynas.

Mereka mengiringi enam wakil menghantar memorandum bantahan berhubung sisa radioaktif yang dihasilkan projek berkenaan .

Peserta perhimpunan turut melaungkan slogan ‘Hancur Lynas, Hidup Rakyat’ ketika tiba di kedutaan itu.

Jurucakap bagi NGO itu Vincent Chiam, berkata, mereka mendesak Lynas menamatkan operasi pembinaan projek nadir bumi itu sebelum 31 Ogos ini, sempena hari kemerdekaan yang jatuh pada tarikh tersebut.

Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang turut hadir menyatakan sokongan ialah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, Arutchelvam.

Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan dan Naib Ketua AMK, Azmizam Zaman Huri turut menyertai perhimpunan berkenaan.

Sebanyak enam trak polis lengkap dengan water canon dan dua trak dari Pasukan Unit Polis Persekutuan (FRU) turut dilihat berada di kawasan perhimpunan namun tidak ada sebarang tangkapan dilakukan.

Bukti SB kempen politik untuk Umno, kutuk PAS, Anwar

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Baru-baru ini kira-kira 800 nelayan di sekitar Daerah Kuala Muda dipanggil oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk menerima bantuan sara diri RM200 sebulan di MRSM Merbok. Himpunan seperti itu adalah perkara biasa, di mana sebelum menerima bantuan para nelayan tersebut akan dihidangkan dengan ceramah pemimpin-pemimpin politik BN. Duit yang disumbangkan oleh nelayan itu digambarkan seolah-olah duit yang diambil dari tabung Umno.

Namun himpunan nelayan kali ini ada kelainannya di mana salah satu slot yang dihidangkan ialah ceramah yang kononnya berhubung isu-isu keselamatan negara.

Penceramahnya ialah Supt. Mohamad Nadzri Mat Isa, Unit Cawangan Khas Bukit Aman.

Di atas pentas itu dia membelasah Anwar, KeADILan, DAP dan PAS habis-habisan dengan ‘bahan-bahan bukti’ audio visual yang turut dipersembahkan.

Ceramahnya seratus peratus adalah propaganda politik untuk memburukkan Pakatan Rakyat di samping mempertahankan kerajaan BN.
Apa sebenarnya yang sudah berlaku pada Polis Di-Raja Malaysia (PDRM)? Mereka tanpa segan silu mendedahkan diri secara terbuka terbabit dalam kempen politik BN.

Sebelum ini Timbalan Presiden KeADILan, Azmin Ali menuntut penjelasan dari Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berhubung isu yang sama, iaitu polis dipergunakan untuk berkempen bagi pihak BN.

Beliau merujuk kepada tindakan Datuk Abdul Rahman Ismail dari Cawangan Khas yang memperalat Pejabat Pelajaran Daerah Bachok bagi menyebarkan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Azmin, ia dibuat pada 19 Februari 2011 dalam program ‘Seminar Isu-isu Keselamatan Negara Masa kini’ di dewan Seri Bentara, Sekolah Menengah Beris Panchor yang melibatkan penyertaan 2,000 warga pendidik seluruh Kelanatan.

“Seminar itu bukan mengenai keselamatan negara tetapi mengupas isu video seks dan tragedi Memali.

“Apakah jaminan Ketua Polis Negara untuk mempastikan institusi polis berwibawa menjaga keselamatan negara jika mereka sendiri terlibat dengan agenda politik UMNO BN, jawab dengan jujur,” desak Azmin.

Jawapan tidak diberi, Ketua Polis Negara menyepi, sebaliknya Cawangan Khas terus bermaharajalela menjelajah ke seluruh negara berkempen untuk BN.

Selama ini PDRM hanya dilihat berat sebelah; bertindak pantas terhadap himpunan anjuran PR dan ‘memberi laluan’ kepada program anjuran BN. Dalam demokrasi ala Malaysia, semua instrument kerajaan dipergunakan.

Bukan sahaja polis tetapi SPRM, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Penerangan dan hampir kesemua Kementerian digunakan untuk agenda politik BN. Tetapi PDRM digunakan untuk berkempen politik secara terbuka adalah julung kalinya. Apabila PDRM digunakan untuk berkempen bagi pihak BN maka ia benar-benar sudah melampau!

Apa yang lebih merbahaya ialah ceramah yang diberi bertemakan ‘ancaman keselamatan’ tetapi hakikatnya ancaman bukannya terhadap keselamatan tetapi terhadap penerusan politik BN. Perkataan ‘keselamatan’ diperalatkan sewenang-wenangnya untuk menghalalkan tindakan tidak bermoral mereka.

Jika benar DAP, KeADILan dan dan PAS menjadi ancaman kepada negara, apakah penyelesaiannya melalui ceramah politik membelasah mereka sedangkan selama ini kesemua parti politik tersebut tidak pernah dipanggil oleh Kementerian Dalam Negeri bagi menjelaskan apakah ancaman terhadap keselamatan yang telah dilakukan.

Tidak pernah ada tindakan pendahuluan dan susulan oleh PDRM, tiba-tiba PR sudah menjadi musuh negara walhal mereka masih sebuah parti politik yang berdaftar secara sah.

Isu PDRM berkempen politik untuk BN bukan perkara kecil. Ia tidak selesai dengan Azmin Ali membuat kenyataan terbuka menuntut Ketua Polis Negara memberi jawapan.

Pemimpin-pemimpin utama parti dalam PR mesti menghantar delegasi berjumpa Ketua Polis Negara atau Menteri Dalam Negeri menuntut penjelasan. Jangan anggap ia perkara biasa.

Dalam sejarah politik negara terlalu banyak penyalahgunaan kuasa jabatan kerajaan yang diperkudakan untuk membantu BN mengekalkan kuasa mereka, akhirnya ia menjadi ‘perkara biasa’ seolah-olah diterima oleh pihak pembangkang sendiri.

Jabatan Pendaftaran digunakan secara terang-terangan untuk membantu mengimport pengundi dari Sabah masuk ke Selangor; ia didedah dan dibantah tapi akhirnya kesemua pengundi import itu tersenarai juga dalam daftar pemilih.

SPR membantu mendaftarkan pengundi pos yang tidak munasabah dengan kapasiti kem tentera yang wujud; ia dibantah juga, namun mereka tetap tersenarai dalam daftar pemilih. Semua itu akhirnya menjadi ‘perkara biasa’.

Sejak merdeka semua media utama, termasuk RTM yang gajinya dibayar oleh rakyat digunakan untuk menjalankan kempen propaganda politik BN, ia sudah menjadi perkara biasa sehingga penentangan terhadap tindakan tidak bertanggungjawab kerajaan itu juga adalah perkara biasa, justeru tidak pernah dilayan.

Semua tahu BN sangat terdesak sekarang. Mereka begitu terasa sedang berasa di penghujung kuasa. Menggunakan PDRM adalah langkah terdesak tetapi amat berani.

Para pemimpin politik PR boleh dianggap sedang menggali lubang kubur sendiri jika penyalahgunaan jentera kerajaan sehingga ke tahap itu; ditentang secara sambil lewa sahaja. Usah bermimpi menawan Putrajaya jika PDRM sudah berkempen secara terbuka begitu membantu BN.

Isnin, 16 Mei 2011

Saiful mengadu ‘hanya percubaan liwat’, Peguam Negara perlu gugurkan kes- Karpal Singh

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail perlu menggugurkan dakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana  pendakwa tidak mempunyai asas yang kukuh untuk meneruskan kes tersebut.

“Adalah amat jelas pertuduhan ini tidak berasas. Saya menyeru Peguam Negara untuk campurtangan dengan segera dan menarik balik dakwaan ini untuk mengelakkan malu yang lebih besar kepada negara,” kata Peguam Anwar, Karpal Singh.

Menurut Karpal, berdasarkan laporan proforma yang diisi doktor Hospital Kuala Lumpur yang memeriksa Saiful Bukhari Azlan, pihak pendakwa gagal menunjukkan bukti yang Saiful diliwat.

Ini kerana dalam laporan itu Saiful mendakwa hanya terdapat cubaan liwat sahaja menyebabkan keterangan itu bercanggah antara satu sama lain, kata Karpal.

“Laporan proforma jelas menunjukkan aduan Saiful adalah percubaan liwat, percubaan oral seks. Dia tidak (pernah) menyatakan perkara ini dalam mahkamah.

“Ia juga bertentangan dengan laporan pertamanya (laporan polis) yang menjadi asas kepada kes ini,” kata Karpal.

Justeru, Peguam Negara perlu masuk campur dan bertindak menghentikan pendakwaan kerana di Mahkamah Tinggi, hakim tidak diperuntukkan kuasa untuk menggugurkan pendakwaan.

“Di mahkamah rendah seperti Mahkamah Sesyen dan Majistret, terdapat peruntukan di bawah Kanun Acara Jenayah, Seksyen 173 (g), mahkamah mempunyai kuasa apabila dakwaan didapati tidak berasas, mahkamah boleh melepaskan orang yang dituduh.

“Walaupun begitu tiada peruntukan sedemikian di Mahkamah Tinggi. Oleh kerana itu, di sinilah pentingnya Peguam Negara campurtangan.

“Sebagai pendakwaraya, adalah menjadi tugasnya tidak meneruskan dakwaan yang tidak berasas berdasarkan kes yang dibentang pendakwa. Saya harap Peguam Negara campur tangan. Beliau wajib (berbuat demikian),” kata Karpal.

Seorang lagi peguam Anwar, Sankara Nair berpendapat jika kes ini diteruskan, ia sebenarnya isyarat jelas bahawa tuduhan ini merupakan satu pendakwaan politik semata-mata.

“Jika mereka meneruskan dakwaan, ia sudah menjadi penganiayaan politik, bukan lagi dakwaan berdasarkan bukti yang kita lihat hari ini,” kata Sankara Nair.

Perbicaraan Anwar tiada kredibiliti, sandiwara - LFL


KeadilanDaily | Lawyers For Liberty menganggap perbicaraan kes Fitnah 2 membabitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan sandiwara semata-mata untuk memenjarakan pemimpin pembangkang itu.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, LFL mengulas keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang memutuskan Anwar perlu membela diri dalam kes tersebut.

“Bagaimana hakim boleh membuat kesimpulan pengadu Saiful Bukhari ada kredibiliti dan saksi yang berwibawa bila dia secara serius memberikan keterangan bercanggah dan bukti yang amat mencurigai malah mempunyai hubungan sulit dengan salah seorang pendakwa kes?,” soalnya.

Menurut LFL, Saiful malah memberi keterangan di mahkamah yang dia berjumpa dengan para pegawai kanan polis dan ahli-ahli politik tertinggi Umno, termasuk Perdana Menteri dan isterinya, sebelum membuat laporan polis terhadap Anwar.

“Apakah itu tidak cukup untuk mewujudkan satu keraguan munasabah mengenai kes itu?,” soalnya lagi.

Menurut LFL, laporan perubatan dari Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun 2008 menunjukkan tidak terdapat kesan penemuan klinikal penembusan di dubur Saiful dan kesan kecederaan atau luka mempertahan kan diri ditemui pada pengadu itu.

“Tetapi hanya di Malaysia, laporan perubatan sebegitu telah diadakan untuk mewujudkan satu keraguan munasabah dan para doktor kemudian memberi keterangan bertentangan dengan laporan perubatan untuk membabitkan Anwar,” tegasnya.

Tambahnya, dari awal kes lagi pendakwa dan hakim sentiasa menghalang usaha pihak peguam mendapatkan dokumen penting termasuk nota perubatan dan dokumen berkaitan laporan kimia dan DNA.

“Bagaimana boleh ini dipanggil satu perbicaraan adil dan bebas?,” ujarnya.

LFL berkata, sistem keadilan jenayah di Malaysia sekali lagi dipergunakan sebagai alat untuk menindas dan menentang politik pembangkang.

“Kes ini menunjukkan contoh jelas ketidakjujuran dan kerjasama antara aparatus negara, kehakiman, polis, peguam negara dan agensi kerajaan seperti Jabatan Kimia dan hospital yang menyalahgunakan pembuktian untuk mensabitkan Anwar dalam apa juga cara,” katanya.

4,000 pertahan Ladang Rakyat

Salmah Mat Husain   

HarakahDaily | Lebih 4,000 peserta Ladang Rakyat berhimpun di Koperasi Ladang Rakyat sempena program hari himpunan anggota koperasi ladang rakyat di Wakaf Baru.

Biarlah sekitar 200 peserta Umno berdemo di hadapan Kota Darulnaim pagi ini untuk menyerahkan ‘memo rakyat’ tetapi di sini mereka yang menyertai himpunan begitu ramai untuk menyatakan sokongan terhadap kerajaan negeri dan Ladang Rakyat.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Eksekutif Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi.

Dua deklarasi dicapai iaitu menyatakan sokongan terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di samping memperkukuhkan Ladang Rakyat sebagai satu badan untuk membantu rakyat dan memperteguhkan kerajaan dipimpin ulama.

Deklarasi itu disampaikan oleh Nazmi Ghazali.

Pagi tadi juga, kira-kira 200 Pemuda Umno berhimpun di perkarangan Kota Darul Naim, pejabat SUK Kerajaan negeri bagi membantah projek Ladang Rakyat.

Sejak akhir-akhir ini, Umno menghalakan serangannya kepada dua projek utama kerajaan negeri iaitu Ladang Rakyat dan Bazar Tok Guru. Ladang Rakyat dibuat untuk membantu para penduduk miskin dengan cara memberikan dividen bulanan antara RM200 hingga RM300 untuk setiap peserta ladang itu.

Bazar Tok Guru pula bakal menjadi mercu tanda baru pusat perniagaan untuk peniaga kecil Kelantan tidak lama lagi. Ia sudah siap dibina namun Umno dengan menggunakan pihak lain sentiasa sahaja mempertikaikan projek itu.