Oleh ZULKIFLI YAHAYA
Baru-baru ini kira-kira 800 nelayan di  sekitar Daerah Kuala Muda dipanggil oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia  (LKIM) untuk menerima bantuan sara diri RM200 sebulan di MRSM Merbok.  Himpunan seperti itu adalah perkara biasa, di mana sebelum menerima  bantuan para nelayan tersebut akan dihidangkan dengan ceramah  pemimpin-pemimpin politik BN. Duit yang disumbangkan oleh nelayan itu  digambarkan seolah-olah duit yang diambil dari tabung Umno.
Namun  himpunan nelayan kali ini ada kelainannya di mana salah satu slot yang  dihidangkan ialah ceramah yang kononnya berhubung isu-isu keselamatan  negara.
Penceramahnya  ialah Supt. Mohamad Nadzri Mat Isa,  Unit Cawangan Khas Bukit Aman.
Di  atas pentas itu dia membelasah Anwar, KeADILan, DAP dan PAS  habis-habisan dengan ‘bahan-bahan bukti’ audio visual yang turut  dipersembahkan.
Ceramahnya seratus peratus adalah propaganda politik untuk memburukkan Pakatan Rakyat di samping mempertahankan kerajaan BN.
Apa  sebenarnya yang sudah berlaku pada Polis Di-Raja Malaysia (PDRM)?  Mereka tanpa segan silu mendedahkan diri secara terbuka terbabit dalam  kempen politik BN.
Sebelum ini Timbalan Presiden KeADILan, Azmin  Ali  menuntut penjelasan dari  Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar  berhubung isu yang sama, iaitu polis dipergunakan untuk berkempen bagi  pihak BN.
Beliau merujuk kepada tindakan Datuk Abdul Rahman  Ismail dari Cawangan Khas yang memperalat Pejabat Pelajaran Daerah  Bachok bagi menyebarkan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata  Azmin, ia dibuat pada 19 Februari 2011 dalam program ‘Seminar Isu-isu  Keselamatan Negara Masa kini’ di dewan Seri Bentara, Sekolah Menengah  Beris Panchor yang melibatkan penyertaan 2,000 warga pendidik seluruh  Kelanatan.
“Seminar itu bukan mengenai keselamatan negara tetapi mengupas isu video seks dan tragedi Memali.
“Apakah  jaminan Ketua Polis Negara untuk mempastikan institusi polis berwibawa  menjaga keselamatan negara jika mereka sendiri terlibat dengan agenda  politik UMNO BN, jawab dengan jujur,” desak Azmin.
Jawapan tidak  diberi, Ketua Polis Negara menyepi, sebaliknya Cawangan Khas terus  bermaharajalela menjelajah ke seluruh negara berkempen untuk BN.
Selama  ini PDRM hanya dilihat berat sebelah; bertindak pantas terhadap  himpunan anjuran PR dan ‘memberi laluan’ kepada program anjuran BN.   Dalam demokrasi ala Malaysia, semua instrument kerajaan dipergunakan.
Bukan  sahaja polis tetapi SPRM, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Penerangan dan  hampir kesemua Kementerian digunakan untuk  agenda politik BN. Tetapi  PDRM digunakan untuk berkempen politik secara terbuka adalah julung  kalinya. Apabila PDRM digunakan untuk berkempen bagi pihak BN maka ia  benar-benar sudah melampau!
Apa yang lebih merbahaya ialah  ceramah yang diberi bertemakan ‘ancaman keselamatan’ tetapi hakikatnya  ancaman bukannya terhadap keselamatan tetapi terhadap penerusan politik  BN. Perkataan ‘keselamatan’ diperalatkan sewenang-wenangnya untuk  menghalalkan tindakan tidak bermoral mereka.
Jika benar DAP,  KeADILan dan dan PAS menjadi ancaman kepada negara, apakah  penyelesaiannya melalui ceramah politik membelasah mereka sedangkan  selama ini kesemua parti politik tersebut tidak pernah dipanggil oleh  Kementerian Dalam Negeri bagi menjelaskan apakah ancaman terhadap  keselamatan yang telah dilakukan.
Tidak pernah ada tindakan  pendahuluan dan susulan oleh PDRM, tiba-tiba PR sudah menjadi musuh  negara walhal mereka masih sebuah parti politik yang berdaftar secara  sah.
Isu PDRM berkempen politik untuk BN bukan perkara kecil. Ia  tidak selesai dengan Azmin Ali membuat kenyataan terbuka menuntut Ketua  Polis Negara memberi jawapan.
Pemimpin-pemimpin utama parti dalam  PR mesti menghantar delegasi berjumpa Ketua Polis Negara atau Menteri  Dalam Negeri menuntut penjelasan. Jangan anggap ia perkara biasa.
Dalam  sejarah politik negara terlalu banyak penyalahgunaan kuasa jabatan  kerajaan yang diperkudakan untuk membantu BN mengekalkan kuasa mereka,  akhirnya ia menjadi ‘perkara biasa’ seolah-olah diterima oleh pihak  pembangkang sendiri.
Jabatan Pendaftaran digunakan secara  terang-terangan untuk membantu mengimport pengundi dari Sabah masuk ke  Selangor; ia didedah dan dibantah tapi akhirnya kesemua pengundi import  itu tersenarai juga dalam daftar pemilih.
SPR membantu  mendaftarkan pengundi pos yang tidak munasabah dengan kapasiti kem  tentera yang wujud; ia dibantah juga, namun mereka tetap tersenarai  dalam daftar pemilih. Semua itu akhirnya menjadi ‘perkara biasa’.
Sejak  merdeka semua media utama, termasuk RTM yang gajinya dibayar oleh  rakyat digunakan untuk menjalankan kempen propaganda politik BN, ia  sudah menjadi perkara biasa sehingga penentangan terhadap tindakan tidak  bertanggungjawab kerajaan itu juga adalah perkara biasa, justeru tidak  pernah dilayan.
Semua tahu BN sangat terdesak sekarang. Mereka  begitu terasa sedang berasa di penghujung kuasa. Menggunakan PDRM adalah  langkah terdesak tetapi amat berani.
Para pemimpin politik PR  boleh dianggap sedang menggali lubang kubur sendiri jika penyalahgunaan  jentera kerajaan sehingga ke tahap itu; ditentang secara sambil lewa  sahaja. Usah bermimpi menawan Putrajaya jika PDRM sudah berkempen secara  terbuka begitu membantu BN.