Saya  pada mulanya tidak ingin ikut sama dalam perbahasan mengenai laporan  yang belum tentu benar dan betul mengenai isu kononnya ada usaha untuk  menjadikan agama Nasrani atau Kristian sebagai agama rasmi Malaysia.  Ianya kerana saya tidak yakin akan kebenaran laporan yang dikutip oleh  Utusan Malaysia daripada tulisan dua orang blogger.
Walaupun saya sedar bahawa apa yang  dilakukan oleh Utusan Malaysia, iaitu mengutip berita yang amat sensitif  itu daripada laman blog tanpa usul periksa akan sumbernya dan menyemak  dan menyemak sama ada ianya benar atau hanya satu penulisan yang belum  tentu benar, adalah sesuatu yang tidak mematuhi etika kewartawanan,  iaitu memastikan kebenaran sesuatu maklumat atau cerita yang hendak  disiarkan untuk bacaan umum.
Tetapi, apabila Menteri Perusahaan  Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok mengulas mengenai  jawatan Perdana Menteri, saya rasa bertanggungjawab untuk membuat  sedikit ulasan.
Benar, Perlembagaan Malaysia tidak  menyebut mengenai pegangan agama seseorang itu untuk dilantik sebagai  Perdana Menteri, tetapi ada perkara lain yang mesti dilalui sebelum  seseorang itu boleh dilantik dan mengangkat sumpah pegang jawatan.  Perkara ini yang tidak disebut oleh Bernard Dompok, seorang Bumiputera  Kristian dari Sabah.
Saya akur dengan apa yang dijelaskan  oleh Bernard Dompok kerana dia mengutip apa yang termaktub dalam  Perlembagaan dan mantan PM Tun Dr Mahathir pun pernah berkata bahawa  bukan mustahil bagi seorang bukan Melayu menjadi PM satu hari kelak,  walaupun ia hanya satu kemungkinan yang belum tentu boleh menjadi  kenyataan.
Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan  menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah  Menteri, iaitu Kabinet, untuk menasihat Baginda dalam hal menjalankan  tugas-tugas Baginda.
Perkara 43 juga menyebut bahawa  terlebih dahulu, Baginda hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri  untuk mengetuai Jemaah Menteri yang pada pendapat Baginda akan mendapat  kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat.
Dua perkara yang jelas adalah  kuasa  perlantikan berada di tangan Yang di-Pertuan Agong dan orang yang bakal  dilantik itu mesti mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan  Rakyat. Jika kedua-dua perkara ini tidak berlaku, maka tidak akan ada  Perdana Menteri atau tidak akan terlantik mana-mana pihak yang ingin  menjadi PM sama ada dia beragama Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.
Begitu juga dengan kedudukan agama  rasmi Persekutuan Malaysia, iaitu Islam. Ianya termaktub dalam Perkara 3  Perlembagaan Persekutuan seperti berikut - ''Ugama Islam ialah ugama  bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman  dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.''
Selain Perlembagaan, Majlis Raja-Raja  adalah pelindung dan bertanggungjawab untuk mempertahan kedudukan Islam  sebagai agama rasmi dan apa-apa usaha atau tindakan yang boleh menjejas  kedudukan itu mesti melalui Majlis Raja-Raja untuk kelulusan.
Perkara 38 Perlembagaan dengan jelas  menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja hendaklah mempersetujui atau tidak  mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau  upacara meliputi  seluruh Persekutuan; mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa  undang-undang dan membut atau memberi nasihat mengenai apa-apa  perlantikan yang, menurut Perlembagaan, memerlukan persetujuan Majlis  Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding  dengan Majlis Raja-Raja.
Berbalik kepada perlantikan Perdana  Menteri, kita yakin dan percaya Majlis Raja-Raja tidak akan melakukan  kesilapan dengan memperkenankan seseorang yang  bukan beragama Islam.
Saya percaya semua pihak yang waras  dan berpendidikan tahu dan sedar akan hakikat itu dan mereka tidak akan  mengusulkan untuk menjadikan mana-mana agama lain sebagai agama rasmi  Malaysia. Sebab itu saya tidak percaya akan kebenaran bertita yang  disiarkan tanpa sumber rasmi dan sahih itu. Utusan Malaysia telah  melakukan kesilapan dengan menyiarkan berita sedemikian di muka hadapan  tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihan dan kebenarannya.