PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20  sen daripada RM2.10 kepada RM2.30 sekilogram mulai Selasa.
Ketua  Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan  Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Mohd Zain Mohd Dom berkata langkah untuk  merasionalisasikan harga runcit gula itu dibuat selaras dengan keputusan  mesyuarat Majlis Ekonomi pada Isnin.
"Kerajaan telah membuat  keputusan untuk merasionalisasikan subsidi dan dalamhal ini, Majlis  Ekonomi menetapkan subsidi tanggungan kerajaan untuk gula  perluditurunkan lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau  berkata walaupun berlaku kenaikan, harga runcit gula di Malaysia masih  rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand  dan Filipina.
Sebagai contoh, katanya harga runcit gula di  Indonesia ialah RM3.80 sekilogram, Singapura (RM3.61), Thailand (RM2.31)  dan Filipina (RM4.50).
Mohd Zain berkata sebelum  merasionalisasikan harga runcit gula itu dibuat, kerajaan terpaksa  menanggung subsidi sebanyak RM400 juta setahun.
Dengan kenaikan  harga gula sebanyak 20 sen, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak  RM283.4 juta setahun dan penjimatan sebanyak RM116.6 juta setahun boleh  diguna untuk pembangunan lain, katanya.
Beliau berkata langkah  kerajaan menetapkan harga runcit gula baru itu dibuat lebih awal iaitu  sehari selepas keputusan mesyuarat Majlis Ekonomi ialah bagimengelak  timbulnya ketirisan, tindakan menyorok bekalan itu serta  "pembelianpanik" oleh pengguna.
Mohd Zain berkata pengguna  juga perlu melihat secara positif berikutan kenaikan harga gula itu  kerana ia boleh mengelak orang ramai daripada menggunakan gula dalam  kuantiti yang banyak, sekaligus dapat menghindarkan mereka daripada  penyakit.
Beliau berkata kebanyakan gula yang berada di pasaran negara diimport dari Australia dan Brazil.- BERNAMA