KUALA LUMPUR, 9 Mei — Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun  Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok berkata, tidak menjadi  masalah jika perdana menteri Malaysia itu seorang beragama Kristian.
Dalam  satu kenyataan lewat petang ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan  Komoditi (KPPK) itu menegaskan Perlembagaan Persekutuan tidak menuntut  hanya perdana menteri yang beragama Islam yang boleh menerajui kerajaan.
“Bagi persoalan seorang perdana menteri Kristian, apa masalahnya, saya tidak nampak.
“Lagipun  Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan soal agama dalam soal  melantik perdana menteri, satu-satunya syarat adalah mendapat sokongan  dalam Parlimen.
“Jika orang Iban, Bidayuh, Kadazan, Murut,  Kelabit, Cina atau India yang memenuhi peruntukan Artikel 43  Perlembagaan Persekutuan, dia boleh menjadi perdana menteri negara ini,”  kata Dompok.
Tambah beliau, kedudukan Islam sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia telah diterima semua pihak.
“Semua  orang bukan Islam menerima Islam dalam Perlembagaan dan di Malaysia  kita bebas untuk mengamalkan agama masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun  tegas Dompok, laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi?”  tanpa mengesahkan kesahihannya  akan menjejaskan keharmonian dan  perpaduan kaum dalam negara.
“Bagaimana sebuah akhbar boleh  menyiarkan laporan dengan memetik daripada penulis blog? Ia tidak  bertanggungjawab. Saya telah beberapa kali ke gereja dan selama ini  mereka berdoa yang baik mengenai negara, pemimpin dalam kerajaan dan  rakyat Malaysia.
“Sesungguhnya doa yang dibuat itu adalah untuk kesejahteraan negara dan pemimpin-pemimpin,” katanya.
Utusan  Malaysia kelmarin dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi?” mendakwa  wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi  negara, sekali gus melantik perdana menteri daripada kalangan penganut  itu.
Utusan Malaysia juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan  Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh  pemimpin-pemimpin DAP.
Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah  menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan  Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Blog-blog itu menuduh DAP  menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan  mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan  menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan  rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang,  Rabu lalu.
Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship  (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang  Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah  pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan kelmarin.
Bagi  pakar undang-undang Prof Abdul Aziz Bari berkata, Perlembagaan  Persekutuan tidak menuntut hanya perdana menteri beragama Islam boleh  menerajui kerajaan pusat dan keperluan seperti itu bertentangan dengan  undang-undang sedia ada.
“Peruntukan bahawa perdana menteri mesti  seorang yang beragama Islam tidak selaras peruntukan di bawah Artikel 8  Perlembagaan Persekutuan,” katanya. -TMI