
6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
KOMENTAR  : Memang jelas jarak firasat dan kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat  dengan sekurang-kurangnya tiga menteri Umno yang nyata kontang idea  mengenai soal kenegaraan dan juga bagaimana membaja keharmonian di  Malaysia.
Apabila  diminta komen beliau berhubung kegemparan yang dilakukan oleh Utusan  Malaysia pada Sabtu 7 Mei lalu, dengan tenang pemimpin dan ahli agama  itu menguis soalan dengan mengatakan “tidak mungkin beliau boleh  mempercayai laporan Utusan Malaysia”.
Pendirian  Nik Aziz memang berasas. Ini kerana komponen utama Barisan Nasional,  MCA sendiri kini menggerakkan kempen untuk memboikot akhbar millik Umno  itu.
Perihal  Utusan tidak menghormati nilai dan sensitiviti kaum lain dalam  melaksanakan apa yang didakwanya sebagai “memperjuangkan kepentingan  Melayu dan Islam” memang sudah diketahui umum.
Dalam  kes ini, pendirian Utusan itu seolah-olah diperakukan oleh tiga menteri  Umno –Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein dan Menteri Komunikasi,  Multimedia dan kebudayaan, Rais Yatim, dan menteri di Jabatan Perdana  Menteri, Jamil Khir Baharom.
Ketiga-tiganya  bingkas menggertak sesiapa sahaja yang cuba membangkitkan sentimen  agama dan mengancam kehormonian dan keselamatan Negara akan dikenakan  tindakan tegas.
Bagi ketiga-tiganya memberi keabsahan kepada tindak tanduk Utusan itu adalah satu peranan yang perlu diluahkan secara terbuka.
Malah  Jamil Khir yang diberi tanggungjawab mengurus halehwal agama Islam  lantang mendesak DAP yang dikaitkan oleh laporan Utusan itu sebagai  penganjur konspirasi hendak menjadikan Malaysia Negara Kristian dan mahu  perdana menteri juga beragama Kristian menyatakan pendirian mereka.
Tidak  ada usaha untuk menyiasat sumber berita berkenaan. Soal Utusan tidak  berbuat demikian dan memutuskan kaedah penulisan penulis blog adalah  sahih memanglah satu pelanggaran etika kewartawanan.
Sedihnya,  menteri-menteri Umno yang beragama Islam seolah-olah terus percaya akan  kesahihan berita berbahaya itu dan lantas menjerkah sesiapa sahaja yang  bertindak mengikut laporan Utusan itu akan dikenakan tindakan tegas.
Usahlah congakan laba politik semata-mata dijadikam sandaran pengurusan Negara.
Kasihanilah  rakyat jelata yang mahu hidup dalam Negara yang rukun dan damai. Apakah  mungkin menteri-menteri berkenaan bersikap demikian kerana mereka  sebenarnya adalah wakil “kerajaan Umno-BN yang lemah” seperti kata  mantan Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad?
Sebab  itulah agaknya mereka terkocoh-kocoh membuat sergahan tindakan tegas  akan diambil untuk memberi gambaran kepemimpinan yang tegas demi menutup  kelemahan ketara selama ini?
Beginilah  masalahnya jika pemimpin yang tiada kebijaksanaan dan firasat yang  tinggi. Malah diukur dari latar belakang pendidikan ketiga-tiga menteri  berkenaan, ia pasti menyuntik keresahan dan kebimbangan rakyat betapa  soal keselamatan dan susila komunikasi di kalangan kaum, agama dan juga  rakyat boleh dikocakkan oleh menteri yang bersikap semberono ini.
Nik  Aziz, misalnya, memberi jawapan yang tuntas mengapa laporan Utusan itu  harus dikesampingkan. Latihan ilmu mustahalatul hadis – atau kesahihan  rantaian laporan dan sumber hadis – yang adil dan saintifik  membimbingnya untuk dengan yakin mengenepikan laporan yang tidak sahih  dan sering menjadi punca atau sumbernya berbaur pelbagai kepentingan.
Itu  natijah didikan agama. Hishamuddin, Jamil dan Rais wajib faham konsep  asas – setiap sumber berita itu harus disemak dan disahkan terlebih  dahulu – seperti yang diajarkan Allah dalam al Quran:
“Wahai  orang-orangyang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepada kalian  membawa satu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kalian tidak  mencelakakan sesuatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya  kalian menyesali perbuatan kalian itu” (Al Hujurat ayat 6).
Memang  isu yang dilaporkan itu perkara besar. Ia boleh menggerhanakan hubungan  di antara kaum dan agama di Malaysia. Sebab itu, sikap berhati-hati  perlulah menyaluti setiap tindakan daripada pihak berkuasa. Memang hari  ini ketiga-tiga mereka orang yang berkuasa dalam Negara ini.
Namun mereka perlu belajar daripada negarawan seperti Nik Aziz supaya lebih berhikmah dan sentiasa memelihara kepentingan agama.
Bersikap  bengis dan kasar seperti yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga menteri Umno  itu cuma akan melontarkan gambaran yang agak kurang bersusila di benak  dan perasaan mereka yang bukan Islam.
Pemimpin  harus memimpin dan bukan memaksa rakyat untuk memilih mufarakah atau  meninggalkan Jemaah Negara Malaysia. Jika beginilah sikap  pemimpin,nampaknya masih jauh lagi konsep 1Malaysia bakal jadi  kenyataan.
Namun  ditinjau di sudut lain, pasti akan timbul pertanyaan, mengapa  ketiga-tiga menteri Umno bersikap bengis sedemikian. Adakah mereka  benar-benar yakin konspirasi Kristian ini sahih? Jika ia, apa dan di  mana buktinya? Rakyat bukan sekadar ingin tahu, malah mereka wajib tahu  kerana implikasi kepada kerukunan hidup di Malaysia amat besar.
Usahlah  keserakahan sikap menyokong tindakan beberapa kerat ekstrimis yang  mengarak kepala lembu yang menjadi simbol suci dalam agama Hindu dua  tahun lalu berulang. Ia kini boleh disimpulkan sebagai cerminan sikap  dangkal ilmu dan mutu kepemimpinan yang rendah.
Jika  diyakini Islam itu adil dan martabatnya tinggi maka sikap dan perangai  pemimpin-pemimpin Islam juga mestilah luhur dan mulia. Dengan menggertak  dan menghunus senjata, ia tidak selalu menanamkan kegerunan pada pihak  lain. Ia hanya jadi bahan senda gurau dan kebencian rakyat. Belajarlah  menjadi dewasa dan bertanggungjawab.
Tv Selangor/-