PKR hari ini mendedahkan satu dokumen yang mendakwa Umno  berkonspirasi  menukar status pemastautin tetap rakyat asing bagi  membolehkan mereka  memperoleh kerakyatan bertaraf penuh, yang jumlahnya  melibatkan 2,000,  bagi membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) di Hulu  Selangor pada  pilihan raya umum ke-13.
Timbalan ketua PKR Selangor Zuraida  Kamaruddin memberitahu sidang  media hari ini bahawa satu permohonan  bertarikh 23 Mac 2011 telah  dihantar ke pejabat Datuk Seri Hishammuddin  Hussein, untuk mendapatkan  kelulusan Menteri Dalam Negeri itu bagi  mengubah sttaus 2,000 pekerja  asing yang kini memiliki status  pemastautin tetap.
“Ia diserahkan kepada satu agensi pekerja asing bagi tujuan pemprosesan permohonan itu,” kata beliau.
Salinan  permohonan itu, menurut Zuraida, yang diberikan kepada beliau  oleh  seorang kakitangan awam Jumaat lalu, diedarkan kepada wakil media  pada  sidang media di ibu pejabat PKR di sini.
Permohonan itu, yang  bertajuk “Pilihan Raya Umum ke-13 - Memerlukan  Permohonan Mendapatkan  Taraf Kerakyatan Bagi Kawasan Parlimen Hulu  Selangor”, menggunakan  kepala surat Umno Hulu Selangor Umno dan  ditandatangani oleh ketuanya  Datuk Idris Abu Bakar.
Dokumen itu mendedahkan bahawa parti  tersebut telah mengenal pasti  dan mengesahkan senarai bakal pengundi  dengan status pemastautin tetap  yang boleh membantu BN di Hulu Selangor  dalam pilihan raya umum akan  datang.
“Bersama ialah senarai  nama mereka yang boleh menjadi pengundi di  Hulu Selangor dan kami telah  mengadakan tapisan ketat ke atas setiap  individu bagi memastikan  mereka bebas daripada sebarang tuduhan jenayah  atau dadah atau  mengikuti kumpulan bahaya atau ajaran sesat.
“Mereka terdiri  daripada pelajar dan usahawan, dan mereka boleh  membantu negara menjadi  lebih maju, dan tambahan pula boleh membantu BN  menang di setiap  pilihan raya terutama dalam pilihan raya umum ke-13.
“Dengan ini,  diharapkan Datuk Seri boleh memberikan kelulusan awam  agar kami dapat  meneruskan permohonan dengan lancar,” kata surat itu.
Zuraida  yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, surat itu satu bukti  jelas BN  sedia menggunakan “apa sahaja senjata” yang ada untuk merampas  balik  Selangor daripada Pakatan Rakyat.
