Datuk Seri Dr Khir Toyo berkata beliau tidak lagi berminat untuk kembali   menjadi menteri besar Selangor. Sebaliknya beliau menyarankan supaya   jawatan berkenaan diserahkan kepada pemimpin yang lebih layak di   kalangan BN, sekiranya mereka berjaya merampas semula negeri itu.
Khir   memberi alasan, beliau tidak mahu mewarisi masalah-masalah yang  berlaku  di negeri itu selepas Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan di  Selangor.
Masalah ini “sangat teruk” dan tidak dapat dipulihkan dalam jangka masa singkat, katanya.
“Untuk   dapatkan semula kita punya pentadbiran akan jadi sukar dalam keadaan   sekarang. Ekonomi teruk, pembangunan tak berlaku dengan baik,” katanya   dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.
Katanya lagi, beliau sememangnya tidak ada masalah untuk kembali menerajui negeri itu berdasarkan pengalamannya.
“Saya   ingat bila saya masuk kerajaan negeri sangat teruk. Rizab (kewangan)   tinggal RM200 juta. Semua (syarikat berkaitan kerajaan) GLC rugi. Saya   berjaya menyelamatkan beberapa (syarikat). Pengalaman itu boleh bagitau   orang lain, tak ada masalah,” katanya.
Semuanya skeptis
Katanya,   tumpuan harus diberikan kepada timbalan pengerusi Umno Selangor Datuk   Noh Omar dan juga bekas pemimpin PKR Senator Ezam Mohd Nor dalam usaha   merampas semula negeri itu.
“(Pengikut   saya) akan sedar bahawa dalam BN ini bukan ada seorang saja  (pemimpin).  Ramai lagi. Kita akan latih, akan didik pemimpin (lain),”  katanya lagi.
Khir  yang sebelum ini dilantik menteri besar pada  usia 33 tahun itu berkata  ramai pemimpin lain yang berkemampuan dan  perlu diberi peluang seperti  mana yang dinikmatinya sebelum ini.
“Masa  saya jadi  MB semuanya skeptis (bahawa) saya tidak dapat menjalankan  tugas. Orang  kata saya hanya akan jadi MB enam bulan saya, tapi saya  bertahan selama  lapan tahun,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Khir   berkata beliau berasa bersalah dan bertanggungjawab atas kekalahan BN   pada Mac 2008. Itulah yang menyebabkannya lebih menumpukan tugas sebagai   wakil rakyat yang terabai sejak sekian lama.
“Bila  kerajaan  negeri jatuh, tentulah saya berasa bersalah. Tanggungjawab itu  ada pada  diri saya. Saya berjumpa dengan Datuk Seri Najib berkata saya  tak nak  tanggungjwab besar dan ingin dekatkan diri dengan  penyokong-penyokong  saya di kawasan.
“Bila   saya jadi MB, saya jadi ADUN (selama) lapan bulan sahaja. Saya tak   rapat dengan pengundi di kawasan. Saya rasa bersalah juga. Jadi tebus   balik kesalahan saya. Dulu masa terbuang dekat kerajaan negeri sahaja.   Jarang balik -- sebulan dua tiga kali sahaja. Balik pun tak lama.
“Rakyat   merungut, nak jumpa wakil rakyat susah. Jadi saya ambil keputusan  untuk  mendekati mereka. Saya sangat gembira sekarang kerana saya boleh   memahami masalah di peringkat akar umbi.
Ikut belakang
Tambahnya   lagi, itulah juga juga menyebabkan beliau tidak meletakkan dirinya di   barisan hadapan dalam kempen 'Selamatkan Selangor' yang dicanang  sebagai  kempen untuk merampas negeri itu kembali kepada BN.
“Bagilah   orang lain ketuai, saya ikut daripada belakang saja,” katanya yang   tidak merasakan bahawa dirinya dipinggirkan daripada menyertai program   berkenaan.
Menjawab spekulasi berhubung  ketidakhadirannya pada  peringkat awal program berkenaan, Khir berkata  beliau sememangnya  dijemput untuk menyertai kempen itu.
“Kadang-kadang  seminggu,  dua minggu awal (jemputan). Tapi saya ada komitmen.  Terus-terang saya  katakan kalau ada program di bahagian, saya utamakan  bahagian,” katanya  lagi.
Khir turut menafikan  tanggapan bahawa beliau merupakan  satu liabiliti kepada BN memandangkan  beliau masih berpengaruh di  kalangan masyarakat.
“Bukan  liabiliti. Saya tidak rasa begitu.  Saya pergi ceramah pun orang masih  dengar,” katanya dan menambah  kerajaan Pakatan Selangor tidak perlu  mengancam untuk mendedahkan  isu-isu berkaitan dirinya sekiranya beliau  merupakan satu bebanan  kepada BN.
Politik budak-budak
“Kita   bukan menyerang kerajaan negeri sebab hendak cari kelemahan, kita cuma   buat teguran. Kalau dulu BN dianggap kerajaan yang angkuh, tidak  dengar  teguran saya ingat hari ini lagi teruk.
“Siapa tegur   diancam, kita akan dedahkan macam-macam, macam politik budak-budak. Ini   politik mafia. Saya nak tegur kerana pengalaman saya yang kita telah   laksanakan dan kesilapan yang perlu diperbetulkan dan tidak diulangi,”   katanya.
Khir   juga berkata, beliau kini bukan siapa-siapa lagi di negeri itu, namun   beliau tidak mahu dikatakan sebagai orang yang lupa kepada parti.
Beliau   kini meletakkan nasibnya di tangan pemimpin parti, sama ada untuk   bertanding di peringkat parlimen pada pilihan raya akan datang.
"Saya akan bersama dengan parti sampai bila-bila. Saya akan berkhidmat dengan baik kepada parti dan pemimpin.
"Saya   tak ada masalah (jadi pemimpin biasa) sebab saya selalu beritahu diri   saya satu hari saya akan turun. Jawatan ini takkan selama-lamanya.