Khamis, 16 September 2010

Kes Bunuh Sosilawati: Tulang mangsa ditemui


Anggota forensik mencari bahan bukti kes pembunuhan Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di Sungai Panchau, Tanjung Sepat, Selangor, semalam. - utusan/Saharuddin Abdullah


KUALA LANGAT - Unit forensik polis hari ini menemui lagi sejumlah serpihan tulang diper.cayai milik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain yang dilaporkan hilang lebih dua minggu lalu dalam operasi mencari bahan bukti di Sungai Panchau, Tanjung Sepat dekat sini hari ini.

Dalam operasi yang bermula pukul 3.30 petang dan berakhir dua jam kemudian, pasukan tersebut dilihat membawa keluar beberapa bungkusan dan salah satu daripadanya dipercayai mengandungi tulang-tulang mangsa.

Namun, para petugas media tidak dibenarkan menghampiri kawasan tersebut kecuali hanya boleh berada 100 meter dari situ.

Malah bagi mengelak kerja-kerja operasi dirakamkan, kawasan yang menjadi tempat bahan bukti dicari turut ditutup dengan kanvas.

Pengarah Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Malek Harun turut dilihat berada di lokasi tersebut bagi memantau sendiri operasi mencari bahan bukti untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, unit forensik mengumpul sejumlah tulang dan barangan mangsa yang juga ditemui di sungai yang sama pada 12 September lalu.

Sosilawati dan tiga yang lain dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan suspek bagi urusan pembelian ladang seluas 1.6 hektar milik suspek seorang peguam bergelar Datuk sebelum berita kehilangannya dilaporkan.