Tindakan pembangkang yang sering memburuk-burukkan nama negara  menyebabkan ramai pelabur asing takut untuk datang ke Malaysia, dan ia  mengakibatkan pelaburan langsung asing (FDI) merosot sehingga 81 peratus  bagi tahun 2008 dan 2009, kata Timbalan Menteri Perdagangan  Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Beliau  berkata walaupun tindakan pembangkang itu ditujukan kepada kerajaan  Barisan Nasional (BN) tetapi pihak luar akan melihatnya sebagai  keburukan negara.
Beliau berkata kesannya ia menjejaskan minat  pelabur-pelabur untuk datang ke Malaysia dan apabila ia berlaku,  pembangkang kemudiannya akan menyalahkan kerajaan yang mereka dakwa  tidak cekap.
"Sedangkan masalah itu mereka yang usahakan dan  kemudian dia tuduh kerajaan yang salah. Bagaimanapun, kerajaan sentiasa  melakukan yang terbaik untuk menarik ketibaan pelabur luar ke dalam  negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka  Ketua Pemuda Umno Bahagian Pendang Akrom Abdul Hamid di Pendang hari  ini.
Katanya kerajaan melakukan beberapa tindakan untuk mengatasi  masalah itu dan ia memperlihatkan hasil yang positif tahun ini selepas  melalui tempoh yang agak teruk tahun lepas.
"Pada 2009, jumlah  keseluruhan FDI adalah RM5.66 bilion tetapi tiga bulan pertama tahun ini  negara sudah menerima FDI RM5.6 bilion, satu jumlah yang hampir dengan  pelaburan sepanjang tahun lepas," katanya.
Sementara itu Mukhriz  berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan kaum dalam  negara perlu sensitif dalam mengutarakan pandangan atau cadangan untuk  kepentingan kaum mereka bagi mengelak daripada menyentuh kepentingan  kaum-kaum lain.
"Teguran atau cadangan boleh diberikan tetapi ia  perlu dibuat dengan keikhlasan. Kalau nak beri cadangan jangan sampai ia  menjejaskan kaum-kaum lain kerana ia boleh menyebabkan masalah lain,"  katanya.
--Bernama