from Suara Hati... by lhakim
Jabatan Pelajaran patut pantau tindakan  guru disiplin sekolah   APAKAH sebenarnya yang sedang  melanda sekolah kita? Beberapa  perlakuan guru sekolah terhadap murid  mereka dalam tempoh beberapa hari  ini menimbulkan persoalan mengenai  tahap kualiti guru. Apa tidaknya jika  seorang murid berusia 14 tahun  yang dirogol bukan saja tidak mendapat  simpati daripada pengurusan  sekolahnya, malah dihukum pula dengan  menurunkan kelasnya.
Tidak  cukup dengan itu, statusnya sebagai seorang pengawas pun ditarik   balik. Akibatnya, bukan saja gadis malang ini menghadapi trauma dirogol,   malah sekolahnya sendiri menghukumnya dan memencilkannya hingga   membuatnya berat untuk kembali ke sekolah. Apa jenis pengurusan sekolah   yang kita ada sekarang ini?
Apakah yang boleh kita harapkan  untuk anak kita sekiranya wujud  pengurusan jelek seperti ini yang bukan  saja tidak berperikemanusiaan,  malah memberi gambaran bahawa tidak  berhati perutnya mereka itu.
Dalam pada itu, ada pula berita  mengenai sikap ganas dan tidak  berhati perut seorang guru disiplin  terhadap muridnya yang didapati  bersalah kerana lambat masuk sekolah  atau mengenakan pakaian yang  dianggap tidak mematuhi peraturan. Satu  kes ialah mengenai seorang  pelajar Tingkatan Lima yang menghadapi  pelbagai masalah di rumah  berikutan kematian bapanya yang memberikan  tekanan untuk hidup bagi  keluarga malang ini.
Gadis itu  mempunyai hanya dua ‘camisole’, satu berwarna putih dan  satu lagi  berwarna merah muda. Pada satu hari dia terpaksa memakai  pakaian  dalamnya itu yang berwarna kerana yang putihnya belum kering  selepas  dibasuh. (Murid ini mempunyai hanya dua helai pakaian itu saja).   Disebabkan kesalahan ini, dia ditampar dan dipaksa menanggalkan   camisolenya yang digantung dalam bilik guru itu untuk tatapan ramai.
Seorang  lagi rakannya yang memakai coli berbintik dipaksa oleh  guru disiplin  itu menanggalkan colinya dan terpaksa berada dalam kelas  tanpa coli.  Tidak diberitakan pula apakah sekolah itu sekolah perempuan  atau  sekolah bercampur. Jika peristiwa itu berlaku di sekolah perempuan   hukumannya itu tidaklah seteruk ia berlaku di sekolah campuran.   
Tidakkah  guru ini prihatin terhadap maruah seseorang hatta  muridnya? Bagi saya  orang macam ini tidak layak menjadi guru disiplin.  Malah tidak layak  jadi guru pun. Dia ini tidak tahu untuk bertindak  sebagai seorang  pendidik.
Menghukum seseorang murid tidak kiralah bagaimana teruk  sekali pun  kesalahannya bukanlah dengan cara memalukannya. Ini  bukanlah satu usaha  mendidik namanya. Lebih baik guru disiplin ini cari  kerja lain saja.
Dalam pada itu, berita mengenai wujudnya  golongan samseng di  sekolah juga tidak putus-putus mendapat ruang dalam  akhbar. Terakhir  mengenai bagaimana seorang murid Tingkatan Dua yang  juga seorang anak  yatim dikelilingi rakan sekelasnya (perempuan) ketika  kawan rakannya itu  merogolnya dalam bilik darjah.
Diberitakan  juga, itu bukanlah kali pertama dia dirogol. Murid  malang itu kemudian  dimasukkan sebatang pensel pula dalam kemaluannya.  Apa sebenarnya yang  sedang melanda sekolah kita ini? Kononnya mahu  memantapkan sekolah  kebangsaan sebagai sekolah pilihan. Apakah begini  caranya untuk  mendapatkan keyakinan ibu bapa terhadap sekolah  kebangsaan?
Yang  utamanya ialah memastikan semua guru sekolah itu terdiri  daripada  mereka yang benar-benar berdedikasi dan boleh diharapkan  menjadi  pendidik berwibawa dan tahu bagaimana hendak menangani pelbagai  kerenah  murid.
Tetapi apabila ada segelintir saja guru yang sebenarnya  tidak  layak menjadi guru yang boleh memberikan didikan terbaik bagi  murid  mereka, maka nama baik sesebuah sekolah itu hatta nama baik  keseluruhan  sekolah kebangsaan sendiri boleh tercemar. Guru tidak  prihatin ini boleh  diumpamakan sebagai nila yang setitik itu.
Inilah  masalahnya apabila sekolah mempunyai guru seperti itu.  Mereka ini  bukan saja tidak tahu bagaimana hendak mendidik, tidak tahu  bagaimana  hendak berikan motivasi dan dalam pada itu, tidak prihatin  pula  terhadap masalah yang terpaksa dihadapi murid khususnya yang   mengharungi kesempitan hidup kerana menghadapi pelbagai kekurangan.
Umum  mengetahui kerjaya ini bukanlah menjadi satu profesion  pilihan di  kalangan ramai yang menjadi guru. Ada antara mereka ini  menjadi guru  bukan kerana mahu menjadi pendidik, tetapi kerana tidak  berjaya  mendapatkan pekerjaan lain.
Begitu pun, apabila sudah diterima  masuk jadi guru, dia hendaklah  sedaya upaya berusaha menjadi seorang  guru dan pendidik berwibawa dan  penuh dedikasi. Saya akui memang ramai  berusaha ke arah demikian untuk  menjadi guru yang amat dedikasi dan  berusaha memberikan pendidikan  terbaik kepada murid mereka.
Malangnya  ada pula sejumlah guru yang tidak langsung tahu  bagaimana hendak  menjadi pendidik jauh sekali pendidik berkaliber.  Seperti guru disiplin  ini yang sedikit pun tidak tahu bagaimana hendak  menjaga maruah  muridnya. Malah dia ini sengaja pula mahu memalukan  mereka itu.
Ini  juga menimbulkan persoalan bagaimana seseorang guru itu  dipilih  menjadi guru disiplin. Khabarnya buat masa ini pemilihan  bergantung  kepada guru besar atau pengetua sesebuah sekolah. Tidak  tahulah pula  apakah sudah ada kriteria yang harus diikuti sekolah  apabila hendak  melantik seseorang guru menjadi guru disiplin.
Katanya, pemilihan  dibuat mengikut urutan mukanya apakah dia  seorang yang berperwatakan  cenge dan kelihatan garang. Jika inilah  kriterianya, maka tidak  hairanlah kenapa guru ini hanya tahu menghukum  saja. Bukan untuk  mencari sebab musabab murid membuat kesalahan dan  berusaha menangani  masalah dihadapi murid dan memberikan kaunseling.
Mungkin bagi  guru ini dia tidak bertanggungjawab mencari punca  kenapa seseorang  murid bertindak demikian. Diakui majoriti guru memang  berdedikasi.
Tetapi  apabila wujud watak yang jelas tidak langsung prihatin  terhadap  kesulitan murid atau tidak mahu tahu latar belakang dan  pelbagai hal  yang murid terbabit terpaksa tempuhi, apakah ini tidak  menampakkan  bahawa ada guru yang tidak patut terus membabitkan diri  dalam profesion  ini?
Dalam pada itu, timbul pula persoalan mengenai Jabatan  Pelajaran.  Ini adalah kali ketiga dalam bulan ini saya menulis mengenai  pelajaran  dalam kolum ini. Malangnya tiada sedikit pun reaksi jabatan  itu terhadap  pelbagai persoalan yang ditimbulkan. Kita lihat pula  apakah akan ada  reaksi terhadap apa yang dibangkitkan kali ini.
Jika  tidak ada juga apa pun reaksi mereka, jelaslah mereka ini  tidak ambil  kisah atau kata orang tidak ambil ‘pot’ terhadap apa yang  dibangkitkan.  Tulislah apa yang kamu mahu kami tidak peduli. Apa sangat  ia hanyalah  satu pandangan oleh seorang yang sudah bersara yang tidak  mempunyai  apa-apa pun pengaruh.
Kami akan tetap terus saja dengan apa yang  kami lakukan selama  ini. Apakah ini yang sedang berlaku di Jabatan  Pelajaran dan sekolah   kita?
Datuk Rejal Arbee ialah Felo  Kanan di Universiti Kebangsaan  Malaysia