Rabu, 28 April 2010

PAS cadang Suruhanjaya Khas di bentuk untuk siasat kes Norizan dan Aminulrasyid



Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mencadangkan agar satu Suruhanjaya Bebas secara tetap dibentuk bagi menyiasat kes Norizan Salleh dan kematian Aminulrasyid Amzah berikutan pihak ketiga dalam kedua-dua kes ini adalah pihak Polis. Suruhanjaya Bebas secara tetap ini juga perlu bagi menangani pelbagai pertikaian rakyat yang melibatkan perkhidmatan Polis dimasa-masa akan datang.

Selepas lebih 6 bulan trauma, Norizan, 30 yang pernah menjadi mangsa serang hendap Polis masih belum mendapat pembelaan yang dikehendakinya. Kini timbul pula kes remaja 15 tahun, Aminulrasyid yang mati ditembak Polis Isnin baru-baru ini. Kes Norizan belum berjawab, kini Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussien pening kepala pasal Aminulrasyid.

Kedua-dua kes ini menarik perhatian rakyat terutama kematian Aminulrasyid yang dijangka bakal mengambil peperiksaan PMR hujung tahun ini. Polis dan Menterinya tidak boleh memaksa rakyat untuk tutup mulut hanya kerana yang terlibat dalam kes ini adalah anggota mereka sendiri. Rakyat menuntut janji “Selamat, Aman dan Makmur” yang dilaung-laung BN semasa Pilihanraya Umum ke-12.

Kita boleh bersetuju supaya rakyat memberikan ruang kepada pihak berkuasa menyiasat kes ini, tapi adakah kita perlu menunggu enam bulan lagi seperti kes Norizan barulah Polis mahu menyiasat.

Adalah lebih telus dan adil jika pihak ketiga iaitu Suruhanjaya Bebas mengambil alih tugas siasatan ini bagi memastikan mangsa dan keluarganya mendapatkan pembelaan yang sewajarnya.

Kita tidak nafikan sumbangan Polis yang banyak membanteras jenayah serta membantu rakyat. PAS amat berterima kasih diatas apa yang telah dilakukan oleh anggota-anggota Polis yang begitu komited dan berdedikasi dalam tugas mereka.

Namun Polis juga umpama setandan kelapa, pasti ada juga yang busuk, maka mereka harus tegas bagi memastikan imej anggota lain dan pasukan Polis keseluruhannya tidak terjejas.

Malah dalam kes seperti Norizan dan Aminulrasyid ini juga Polis berhak untuk membela anggotanya, tapi biarlah pembelaan itu dibuat melalui Suruhanjaya Bebas bukan melalui siasatan pihak Polis sendiri yang dipertikaikan ketelusannya.

Pertikaian ini mempunyai asas, dimana dalam kes Norizan, selepas 6 bulan berlalu tidak ada apa-apa jawapan yang memuaskan dari pihak Polis dan mangsa terpaksa menanggung kos rawatan bernilai RM 20 ribu secara bersendirian.

PAS berharap agar kedua-dua kes ini dapat diselesaikan secara baik. Rakyat berhak untuk terus menilai prestasi Polis dari semasa ke semasa dan Polis bertanggungjawab untuk terus menjaga imej serta kredibiliti perkhidmatan mereka.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat