SHAH ALAM, 28  April: N. Surendran (gambar  kanan), peguam  bagi keluarga Aminulrasyid Amzah (kiri)  remaja yang  ditembak polis berkata, apa yang berlaku kepada mangsa  adalah satu  pembunuhan.
 
   "Kita melihat ini   sebagai satu pembunuhan," ujar beliau semalam dalam suatu kenyataan   media di kediaman Aminul.
  Menjawab soalan pemberita, Surendran   berkata, insiden yang menimpa Aminul sama motifnya dengan yang berlaku   kepada Norizan Salleh yang ditambak lebih lima das tembakan oleh polis   pada Oktober lalu.
  "Ya, kes ini lebih kurang sama dengan kes   tembak Norizan Salleh tahun lepas," tambahnya lagi.
  Menyifatkan   kes itu sebagai berat, polis katanya tidak cukup hanya mengeluarkan   kenyataan sedang menyiasat, sebaliknya mahu polis mengambil tindakan   tegas kepada anggota polis yang terlibat.
 
  Sehubungan itu, beliau  yang juga peguam bagi  pihak Norizan berharap polis dan Menteri Dalam  Negeri supaya tidak  mengambil sikap acuh tidak acuh terhadap kes Aminul  sebagaimana yang  dilakukan mereka ke atas kes Norizan sebelum ini.
  "Kita  juga  minta semua polis yang terlibat dikenakan tindakan yang tegas,"  katanya  lagi.
  Beliau turut menjelaskan bahawa pasukannya sedang   menyiapkan persiapan penghujahan sebelum memfailkan kes pembunuhan   Aminul di mahkamah.
  "Sekarang ini, kita sedang berbincang dan   mendapatkan maklumat penuh," jelasnya beliau lagi.
  Turut   menyertai Surendren, Latheefa Koya (peguam, Ketua Penerangan PKR) dan   Cik Puspawati (Peguam Muda).
  Ekoran memandu kereta tanpa   mempunyai lesen memandu Isnin lalu, juvana terbabit dilaporkan media   ditembak di kepala sehingga mati oleh polis.
  Bagaimana pun,   seorang juvana yang turut bersama Aminul ketika insiden tersebut berlaku   berjaya melepaskan diri.
  Dalam laporan polis semalam, juvana   terbabit yang kini dianggap sebagai saksi utama kes pembunuhan tersebut,   mendakwa polis menendang beliau walaupun pada asalnya beliau telahpun   bertindak untuk menyerah diri. |