KUALA LUMPUR:  Penegasan Karpal Singh bahawa  DAP menerima  Islam sebagai agama rasmi  Malaysia dan sedia berbincang  dengan PAS  berhubung isu negara Islam,  dilihat membuka satu episod  baru, muafakat  dalam Pakatan Rakyat.
Sebelum  ini, biarpun duduk  sebumbung dibawah payung Pakatan Rakyat, isu negara  Islam antara yang  dilihat masih menjadi tembok pemisah antara PAS-DAP.
Bagi   Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pendirian terbaru   Karpal itu ujarnya adalah satu kejayaan baru Pakatan Rakyat sekaligus   meletakkan keakraban ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP kini pada tahap   terbaik.
Ketika dihubungi Harakahdaily hari ini, Tuan   Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, PAS mengalu-alukan   keterbukaan DAP itu dan melihat ianya satu perkembangan sangat positif   dalam Pakatan Rakyat.
"Kita sangat alu-alukan kenyataan positif   sebegini. Kesediaan untuk berbincang isu negara Islam ini adalah satu   anjakan pemikiran besar oleh tokoh DAP itu," katanya.
Penegasan   terbaru DAP itu juga katanya memperlihatkan komitmen sebenar Pakatan   Rakyat untuk mempertahankan Islam dan apa sahaja yang terkandung dalam   Perlembagaan negara.
Ianya juga sekaligus menolak dakwaan bahawa Pakatan Rakyat akan menjual Islam dan Melayu jika menguasai pemerintahan negara.
Beliau   juga yakin, kenyataan Karpal itu akan menutup mulut Umno BN dari terus   memanipulasi isu yang sejak dahulu membelengu PAS dan DAP itu,  khususnya  berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.
"Dalam isu negara Islam ini, kita sebenarnya dikelirukan oleh permainan musuh-musuh kita.
"Namun   keterbukaan Karpal menerima Islam sebagai agama rasmi, memperlihatkan   satu komitmen bersungguh-sungguh DAP mempertahan Islam dan perlembagaan   negara," katanya lagi.
Karpal   yang juga Pengerusi kebangsaan DAP, sewaktu menyampaikan ucapan   penggulungan pada Konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Kepala Batas   semalam berkata, beliau mahu isu negara Islam segera dibincang oleh   Pakatan Rakyat kerana beliau tidak mahu BN mengeksploitasi isu tersebut   dalam pilihan raya umum akan datang.
DAP katanya boleh   membincangkan isu tersebut dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar   Ibrahim, mursyidul am PAS yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik   Aziz Nik Mat serta presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Karpal juga meletakkan keyakinan, isu tersebut boleh mencapai konsensus sekira satu perbincangan bersama diadakan.
Sehubungan   itu, Tuan Ibrahim memaklumkan satu pertemuan antara pemimpin   ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu akan dibuat secepat mungkin   bagi merealisasikan hasrat itu.
Isnin, 20 Disember 2010
Negara Islam: Karpal tutup mulut Umno
Nazri Abdullah