Tahap kewartawanan akhbar arus perdana dikhuatiri merosot ke paras baru  apabila Utusan Malaysia menyiarkan laporan muka depan, kali ini  menggambarkan Anwar Ibrahim sebagai agen perisik CIA Amerika Syarikat. 
Akhbar  kawalan Umno itu juga mendakwa Anwar telah membayar syarikat berita  terkemuka CNN untuk ditemuramah oleh stesen televisyen itu baru-baru  bagi mencemuh kepimpinan Malaysia.
Dua dakwaan itu dilihat  sebagai kemuncak agenda fitnah Umno-Utusan Malaysia dalam usaha  menjatuhkan kredibiliti anwar sebagai Ketua Pembangkang dan antara  pemimpin utama Pakatan Rakyat.
Pengarah Strategik PKR, Tian Chua  melahirkan rasa hairan bagaimana seorang yang dikatakan sebagai 'alat'  kepada CIA terpaksa membuat bayaran kepada Cable News Network atau CNN  hanya semata-mata untuk ditemubual oleh media itu.
Beliau berkata  laporan Utusan Malaysia tidak masuk akal  kerana ia memaparkan Anwar  sebagai seorang yang dikatakan mempunyai hubungan baik dengan risikan  Amerika Syarikat namun terpaksa membuat bayaran kepada stesen tevisyen  berkenaan.
Pada hari ini  Utusan melaporkan, penulis blog dari  Amerika Syarikat, Elaine Meinel Supkis kononnya mengetahui Anwar adalah  agen CIA berasaskan senarai kawan-kawannya di Amerika Syarikat.
Dakwaan  blogger itu cetek dan tanpa bukti, namun laporan itu disiarkan pada  muka depan utusan tanpa sebarang siasatan atas kesahihannya oleh Utusan  yang kerap menggelar dirinya sebagai akhbar bertanggungjawab.
Sayurgia  diingatkan penulis-penulis blog seperti Supkis begitu ramai di Amerika  dan Utusan tidak memberikan sebarang maklumat mengenai kredibliti  beliau.
" Saya terkejut sebab 'agen' CIA pun kena bayar kepada  CNN" ujar Tian kepada Tv Selangor.
" Itu lah yang menunjukkan Utusan  ini mengeluarkan cerita yang terdesak. Kalau semalam dia kata Anwar  bayar kepada CNN, hari ini Anwar adalah agen CIA, dan secara logiknya  kita nampak Anwar ini merupakan agen CIA pertama terpaksa bayar CNN  untuk dapat liputan"  tambahnya lagi.
Malah tambah Tian, selain  digelar sebagai agen CIA, Anwar turut dituduh sebagai agen Yahudi  sebelum ini.
Namun ironinya, tidak lama kemudian Perdana Menteri,  Najib Razak dengan bantuan APCO Worlwide cuba mempengaruhi dunia  kononnya Anwar seorang yang bersifat perkauman dan anti Yahudi apabila  Anwar mendedahkan kerajaan telah membayar lebih RM70 juta kepada firma  berkaitan Zionis itu.
Semalam, Utusan memetik dari web  konservatif haluan kanan dan penulisnya, Joshua Trevino mendakwa  kononnya Anwar terpaksa membiayai program tembual bersama CNN dalam  usaha Anwar memulihkan kembali hubungan dengan kelompok Yahudi.
Namun  apabila diperinci rencana Trevino ini, jelas beliau tidak menuduh Anwar  membiayai program temu bual itu tetapi sekadar berkata temu bual itu  tidak membabitkan soalan-soalan yang keras untuk Anwar.
Dalam  keghairahan untuk memusnahkan reputasi Anwar, Utusan nampaknya sanggup  menerbitkan semula apa sahaja yang ditulis di alam blogger Amerika  Syarikat walaupun ia bercanggah antara satu sama lain.
"Sekarang  ini dalam masa yang singkat, Utusan mengeluarkan pelbagai kenyataan  yang bercanggah sesama sendiri".
" Nampaknya mereka makin  terdesak. Mereka pakai lempar sahaja apa-apa yang boleh dengan tujuan  untuk mencemarkan imej Anwar sama ada ini boleh dipercayai atau tidak,  asalkan mereka serang secara peribadi dengan pelbagai tohmahan dan  fitnah" ujar Tian lagi.
Tian juga tidak menolak kemungkinan Anwar  dikecam hebat oleh Umno dan media kawalannya sebagai taktik menutup  dakwaan akhbar New York Times dibayar hampir RM10 juta untuk memuatkan  dua iklan memuji isteri  Perdana Menteri, Rosmah Mansor ketika lawatan  beliau ke Amerika Syarikat sebelum ini.  
" Kita nampak isu  bayar CNN ini seolah-olah cuba untuk menutup cerita Rosmah bayar New  York Times RM10 juta untuk untuk mendapatkan iklan memuji dia sebagai  wanita pertama Malaysia" ulas Tian./TVSelangor