Isnin, 12 Julai 2010

Ibrahim Ali: ‘Perkasa ala Cina’ adalah satu bentuk tindakan “ektremis”

Oleh Shazwan Mustafa Kamal


KUALA LUMPUR — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mendakwa idea agar ditubuhkan ‘Perkasa ala Cina’ adalah satu bentuk tindakan “ektremis” yang tidak sesuai kerana ia akan membawa kepada perjuangan yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas ini membidas kenyataan Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim baru-baru ini yang meminta agar ditubuhkan “Perkasa Cina” untuk menangani pengaruh Perkasa — pertubuhan bukan kerajaan bukan Melayu, yang semakin berakar umbi.

“Ini adalah kenyataan ekstremis... ia tidak wajar. Perkasa bukan rasis. Perjuangan kami, rangka perjuangan kami tertaklub kepada rangka Perlembagaan Persekutuan.

“Kami berjuang bagi memastikan peruntukan Perkara 153 Perkembagaan Persekutuan diamalkan dan dihormati,” kata Ibrahim selepas mesyuarat Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini hari ini.

Perkasa salah satu anggota gabungan MPM yang dilancarkan Mac lalu.

Wakil rakyat ini memberitahu The Malaysian Insider bahawa kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin seperti Lim, Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dan juga Presiden mereka Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menggambarkan parti Cina itu kelihatan buruk.

“Tetapi ada juga pemimpin MCA yang baik, hanya beberapa pemimpin yang menggambarkan parti itu buruk... bukannya parti, tetapi pemimpin mereka,” kata Ibrahim.

Ibrahim berkata kenyataan Lim membuktikan pada parti-parti politik Cina menggunakan ruang politik untuk menjadi hero masyarakat Cina.

“Bagaimana anda mahu menerajui negara pelbagai kaum macam ini?” kata Ibrahim lagi.

Lim dalam cadangannya berkata badan yang sesuai untuk memainkan peranan Perkasa Cina ialah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor.

Bagaimanapun menurut Ibrahim, MCA kini terperangkap dengan agenda politik DAP.