Umno Selangor  akan menghantar memorandum kepada kerajaan negeri membantah kedudukan  Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri itu sekiranya  benar dakwaan seorang penulis blog di New York bahawa beliau adalah  'alat' kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.
Timbalan  Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata  sekiranya dakwaan penulis blog itu benar, Anwar tidak layak campur  tangan dalam urusan pentadbiran di negeri itu.
"Kita nak cabar  Anwar sama ada beliau berani menafikan atau samanblogger itu.
"Sebagai  rakyat Selangor, kita akan hantar memorandum secepat mungkin kepada  kerajaan negeri kerana jika benar dakwaan Anwar ialah agen CIA kita  tidak rela dan tidak mahu dia diberi tempat sebagai penasihat ekonomi  Selangor," katanya kepada pemberita selepas perasmian Perhimpunan Hari  Belia Selangor dan pelancaran Kempen 1Belia 1Malaysia oleh Menteri Belia  dan Sukan Datuk Ahmad
Shabery Cheek di Kuala Selangor malam tadi.
Noh  berkata demikian ketika mengulas dakwaan seorang penulis blog terkenal  di New York, Elaine Meinel Supkis, bahawa Anwar, yang juga penasihat  PKR, merupakan alat ciptaan CIA bagi menjaga kepentingan dan perancangan  sulit Amerika Syarikat di Malaysia.
Noh yang juga Menteri  Pertanian dan Industri Asas Tani turut mempersoalkan keengganan kerajaan  Selangor bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan berhubung pelan  pengambilan tanah untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 untuk Projek  Penyaluran Air Mentah Pahang dan Selangor.
"Sepatutnya projek  itu bermula pada Mei lepas tetapi hingga hari ini kerajaan Selangor  tidak beri jawapan kepada kerajaan persekutuan sama ada akan  bersama-sama jayakan projek ini. Nampaknya kerajaan Selangor lebih  pentingkan politik kerana projek ini ialah projek kerajaan persekutuan  dan kerana itu dia sengaja tidak mahu beri kerjasama demi kepentingan  rakyat di Lembah Klang,"
katanya.
Noh meminta rakyat Selangor  membuka mata dan bersatu menegakkan kebenaran dengan menolak kerajaan  Pakatan Rakyat yang dilihat lebih banyak membuat kerja politik  berbanding pembangunan di Selangor.
"Kalau kerajaan negeri tidak  beri kerjasama kepada kerajaan persekutuan untuk projek air, ini  bermakna rakyat Selangor kena bersedia menghadapi masalah kekurangan air  pada 2013," katanya.
~Bernama