Selasa, 20 Julai 2010

Ahmad Maslan bacul! Takut Isu Felda Didedahkan ANAK


Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman memberikan tempoh sebelum Ramadhan ini kepada Timbalan Mentrei dii Jabtaan Perdana Menteri (JPM) untuk menyahut cabaran debat dengannya bagi membuktikan beliau tidak bacul.

"Sekiranya sebelum bulan Ramadhan ini Ahmad Maslan tidak menyahut cabaran untuk berdebat isu Felda ini, maka jelaslah dia seorang pemimpin dan menteri Umno-BN yang bacul dan penakut," tegasnya sebagai menjawab respon Ahmad kepada Harakah.

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menjelaskan debat merupakan amalan biasa yang dilaksanakan di kebanyakan negara maju bagi menguji tahap intelektualisme seseorang pemimpin selain merupakan satu proses kematangan pemimpin berdepan dengan rakyat.

Ketika mengulas jawapan Ahmad yang sekadar mahu mengadakan dialog bagi membincangkan isu-isu Felda, Mazlan menganggap ianya jelas menunjukkan pemimpin Umno itu tidak bersedia.

"Kalau dia tidak bersedia untuk menjelaskan dakwaan yang dibuat maka dia kena letak jawatan sebagai menteri jaga Felda kerana masyarakat Felda malu ada pemimpin yang penakut dan bacul. Ini bukan soal kalah-menang, tetapi kebenaran yang mesti ditegakkan," ujarnya.

Malah, Mazlan mendakwa tindakan Ahmad yang hanya mahu berdialog serta mengelak mengadakan debat mungkin berpunca daripada rasa takut mendedahkan apa yang sepatutnya diketahui rakyat khususnya warga Felda.

"Saya lebih nampak mereka tidak bersedia untuk berdebat sebab ada sesuatu yang disembunyikan. Saya bersedia untuk mendedahkannya dalam debat kerana saya tahu pembohongan dan penyelewengan kerajaan Umno-BN," katanya tegas.

Mengulas lanjut mengenai dialog yang disuarakan Ahmad, Mazlan menganggap mekanisme tersebut telah digunakan sejak lebih daripada 15 tahun lalu. Namun, hasilnya sangat mendukacitakan.

"Sebab itu bila Umno-BN menggunakan media dan golongan yang mengikut dasar kerajaan untuk menuduh kami (Anak) sebagai petualang dan pembawa fitnah, kami mahu berdebat secara terbuka di hadapan rakyat supaya mereka boleh menjadi hakim bagi menyatakan siapa yang sebenarnya petualang atau pengkhianat.

"Kini kita perlu mengakui krisis dan masalah Felda sudah tidak dapat ditutup lagi," ujarnya lagi. Justeru, Mazlan tidak yakin dialog dapat menyelesaikan masalah dalam isu yang sedang tercetus dalam Felda.

Pihaknya juga dijadual akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 15 Julai bagi menyerahkan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan dakwaan mengenai penyelewengan dalam Felda. "Selepas itu, kami juga akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi memperjelaskan isu ini," katanya lagi.

Pada 8 Julai lalu, Mazlan mencabar Ahmad Maslan untuk berdebat mengenai isu Felda. Namun keesokan harinya, Ahmad mencadangkan agar ianya dibuat dalam format dialog sahaja dengan anggapan debat lebih bersifat sentimen yang bertujuan meraih publisiti serta tidak mampu menyelesaikan masalah.