Isnin, 19 Julai 2010

Reformasi Najib mentadbir negara kecewakan rakyat


Sebaik sahaja parlimen tamat bersidang, maka Najib dengan angkoh dan sombong telah menaikkan harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG) dengan serta merta dengan menjadikan rakyat sebagai lembu pawahnya.

Rakyat dipaksa menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Najib itu. Malah semua media yang dikawal oleh Najib telah diarah tidak melaporkan berita kenaikan harga tersebut secara yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat, sebaliknya media diarah memutarbelitkan fakta dan memanipulasikan angka supaya Najib dapat membentuk suatu pendapat awam bahawa rakyat melihat kenaikan itu wajar untuk menstrukturkan semula subsidi dan menghalalkan tindakan Najib menghentikan subsidi untuk rakyat demi kepentingan Negara dan pentadbiran Najib sendiri.

Begitulah dashatnya rakyat diperbodohkan dan ditipu oleh Najib. Segala kejahatan Umno dan para pemimpinnya disembunyi, diselindungi dan dipertahankan dengan menggunakan kuasa yang ada ditangannya.

Jahat sungguh kaedah beliau mengurus tadbir Negara. Rakyat berjaya dilembupawahkannya tidak mempunyai banyak pilihan terpaksa menerimanya dengan hati yang luka berdarah. Kenaikan ini pasti akan dituruti dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan pula.

Kehidupan rakyat menjadi bertambah susah dihimpit kesengsaraan yang dilakukan oleh Najib. Selepas ini seperti kebiasaannya tariff elektrik juga akan turut dinaikkan dengan alasan kos bahanapi meningkat.

Dalam pada itu, sudah tentu dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan, maka inflasi turut sama meningkat tinggi melebih 1.5 % seperti tercatat pada April lalu.Sedangkan pada masa yang sama setiap tahun Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) iaitu Genting Sanyen, Malakof dan YTL Power yang mendapat subsidi kerajaan RM20 billion setahun tidak diusik oleh Najib terus mengaut keuntungan.

Taikon-taikon ini dianakemaskan dan rakyat diperhambakan. Tergamak Najib mempergadaikan kebajikan rakyatnya tanpa mahu memperbetulkan kesalahan urus-tadbir negera yang penuh dengan berbagai skandal.

Rakyat tidak sempat bersuara melalui para pemimpin Pakatan Rakyat menentang kenaikan ini kerana persidangan parlimen telah ditamatkan. Najib dengan sengaja tidak mahu sedar dan tidak mahu akur dengan kesusahan dan penderitaan rakyat menaikkanya dengan serta merta.
Sekiranya Najib dan Umno kekal berkuasa selepas PRU ke-13 nanti, kehidupan rakyat akan menjadi semakin susah dan bertambah menderita apabila subsidi yang dinikmati oleh rakyat selama ini akan ditarik balik secara beransur-ansur kononnya untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan melalui program penarikan balik subsidi bagi mengelak Negara jatuh bangkrap pada tahun 2020

Hakikatnya, penjimatan boleh dilakukan melalui urus niaga perniagaan yang dijalankan oleh GLC-GLC yang mampu dan berupaya membuat keuntungan bukan berpotensi menanggung kerugian seperti yang berlaku sekarang yang memaksa kerajaan mengambil wang rakyat berbillion ringgit untuk menyalamatkan GLC-GLC yang terbabit.

Perlakuan pembaziran yang berluasa dalam berbagai sektor, masalah rasuah dan penyelewengan yang bernilai jutaan malah sampai peringkat berbillion-billion ringgit menjadikan kerajaan miskin papa kedana. Cara mudah pada fikiran Najib adalah dengan memaksa rakyat membayarnya melalui kenaikan harga petrol, gas, tol dan tariff elektrik.

Pengumuman yang dibuat secara mengejut itu menunjukkan bahawa Najib seorang PM yang pengecut dan tidak berani berhadapan dengan para pemimpin Pakatan Rakyat di parlimen. Sekiranya parlimen masih meneruskan sidangnya, sudah tentu isu kenaikan harga ini akan menjadi isu yang pasti hangat diperbahaskan dari segi kewajaran beliau menaikkan harga barangan tersebut.

Oleh itu, strategi yang diambil oleh Najib ialah menunggu persidangan dewan rakyat tamat bagi mengelak dirinya terjebak daripada serangan wakil-wakil rakyat Pakatan di parlimen. Beliau sendiri sedar bahawa tentu akan berlaku satu protes, para pemimpin Pakatan di parlimen akan menentang habis-habisan demi menjaga kebajikan keseluruhan rakyat di negara ini.

Ia bukan seperti Umno (baca: Najib) sekadar menunggu pilihan raya baru hendak turun menunjukkan keprihatian terhadap kehidupan rakyat seperti yang berlaku di Hulu Selangor dan di Sibu baru-baru ini.

Rasuah pilih raya (membeli undi) di kedua-dua pilihan raya kecil tersebut berlaku secara jelas dan terang telah dilaporkan oleh media dan ia dilakukan sendiri oleh Najib tanpa ada sedikit perasaan untuk menjaga maruah dan harga dirinya daripada di pandang rendah oleh rakyat di dalam negara ini dan juga masyarakat antarabangsa.

Matlamatnya hanya satu untuk kuasa dan beliau sanggup membuat apa sahaja untuk mendapatkan kuasa termasuk sanggup bertindak segala upaya (tanpa mengambil kira halal-haram) bagi membunuh karektor seseorang (Anwar Ibrahim sasarannya) seperti kata Saiffuddin Nasution, Setiausaha Agung PKR di lobi parlimen baru-baru ini.

Amat malang bagi kita sebagai rakyat Malaysia, perkara sekeji dan sehina itu SPRM, SPR, Polis dan Peguam Negara memekakkan telinga dan membutakan mata, tidak memperdulikan setiap laporan yang dibuat kerana mereka membuat dalih, bahawa ianya adalah halal dan sah kerana Najib bukan calonnya.

Walau apa pun alasan yang diberi, perbuatan tersebut tidak patut berlaku di dalam sebuah negara yang dikatakan diurus-tadbir dengan kaedah terbaik, yang mengamalkan demokrasi tulin, pemimpinnya bertolenrasi, berintergreti dan perkara-perkara yang molek-molek disebut tentang Malaysia seperti yang diwar-warkan ke seluruh dunia oleh APCO yang diupah oleh Najib seperti yang selalu disebutkan oleh Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR.

Jadi, beliau menunggu sehingga tamatnya sidang parlimen, baharulah ia mengumumkan kenaikan tersebut dan para pemimpin Pakatan tidak ada saluran rasmi bagi menyuarakan bantahan tersebut.

Sekiranya ada bantahan dari rakyat melalui demontrasi atau sebagainya selepas ini, PDRM khususnya FRU telah bersiap siaga bagi mengilap kembali kepakaran mereka menghadapi para demontrator yang mana mereka sendiri mulai lupa kaedah penggunaan peralatan pencegah demontrasi kerana sudah lama benar tidak ada demontrasi yang menentang dasar kerajaan, yang ada pun ia selaras dengan kehendak kerajaan bukan menentang kehendak kerajaan.

Sebelum itu, Najib telah bertindak bijak, terlebih dahulu melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengangtung sementara penerbitan Harakah (PAS), Suara Keadilan (PKR) dan Rocket (DAP) bagi menghalang akhbar-akhbar parti ini mengeksploitasikan dan menerbitkan berita, laporan serta ulasan mengenai kenaikan harga barangan ini yang mungkin boleh mempengaruhi rakyat bersama Pakatan Rakyat menentang kenaikan harga tersebut boleh mengugat kerajaan beliau sepertimana yang berlaku terhadap Abdullah dulu.

Najib menjadikan kes pengeluaran lesen judi bola sepak sebagai teladan kerana kebebasan akhbar-akhbar ini menerbit, melapor dan memberi berbagai ulasan telah berjaya mempengaruhi fikiran rakyat. Rakyat bangkit beramai-ramai menentang kerajaan meluluskan lesen perjudian itu sehingga Najib terpaksa tunduk dan menarik balik lesen yang telah diberi kepada Vincent Tan melalui Ascot Sports Sdn Bhd anak syarikat Berjaya Group.

Berita terbaru yang didengar bahawa permit Harakah (PAS) telah diperbaharui dan Harakah boleh diterbitkan semula seperti biasa, tetapi dengan syarat yang amat ketat dan tidak masuk akal yang dikenakan oleh KDN (baca: Najib) dengan memberi amaran keras supaya ia hanya dijual di markas dan pejabat urusan parti itu sahaja. Ini juga bertentangan apa yang diperkatakan oleh APCO yang mempromosikan Najib dan Malaysia di pentas dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan kebebasan media.

Dalam negara yang dikatakan moden dan maju ini, undang-undang lapok yang menyekat saluran penyampaian pandangan kedua seperti yang diamalkan oleh Najib sudah tidak digunakan pakai lagi oleh kebanyakan negara (kecuali di negara-negara yang diperintah oleh diktator dan junta tentera) kerana masyarakat kini sebahagian besarnya adalah celik IT yang mampu mengakses maklumat daripada berbagai sumber.

Saya amat tidak bersetuju cara Najib menutup suara rakyat (pandangan kedua) dengan tidak mengeluarkan permit penerbitan. Kita ada kaedah yang lebih bertamadun iaitu melalui tindakan undang-undang (kita juga tahu sistem keadilan di bawah tunjuk Najib, tetapi sekurang-kurang kita juga perlu berhujah) bagi mendisiplinkan media supaya ia melaporkan dan mendedahkan perkara benar bukan berbentuk fitnah, mengadu-domba, propaganda yang melampau dan racist seperti Utusan Malaysia.

Walaupun ia pahit bagi Najib, tetapi ianya juga baik bagi Najib untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dibangkitkan itu. Najib tidak boleh mengharap media pembangkang sealiran dengan media di bawah kawalan beliau.

Dasar pembangkang adalah berbeza dengan dasar Najib sebagai kerajaan yang memerintah. Kerajaan memandang serong terhadap pembangkang dan pembangkang juga memandang serong terhadap kerajaan. Pembangkang memburuk-burukkan kerajaan dan kerajaan juga memburuk-burukkan, menghina dan memperlecehkan pembangkang. Itu adalah lumrah berpolitik.

Adalah mustahil kerajaan akan bersetuju dengan pembangkang dan begitu juga dengan pembangkang adalah mustahil bersetuju dengan kerajaan. Masing-masing akan berlumba-lumba mencari keburukan dan kelemahan lawan dan akan mendedahkannya kepada rakyat supaya rakyat dapat berfikir ‘siapa yang paling layak’ diberi mandat untuk mentadbir negara ini bagi menjaga kebajikan mereka.

Kalau kaedah ini Najib tidak suka, Najib boleh pinda perlembagaan bagi membolehkan UMNO memerintah sampai kiamat. Haramkan semua parti-parti politik yang wujud, kecuali UMNO. Seluruh rakyat Malaysia secara otamatik menjadi ahli UMNO. Habis cerita.

Najib tidak perlu lagi pening kepala memikirkan kaedah macam mana hendak menarik rakyat untuk menyokongnya semula (baca:UMNO). Seperti yang diketahui, mana pada masa kini rakyat sangat benci dan meluat tenguk muka para pemimpin UMNO yang berjuang semata-mata untuk mengejar kuasa, kedudukan dan kekayaan untuk kepentingan diri sendiri bukan berjuang untuk kepentingan rakyat.

Malah, apa yang Najib perlu takut sangat terhadap pengaruh yang mungkin boleh di bawa oleh akhbar-akhbar parti ini yang penerbitannya sangat terhad untuk mempengaruhi pemikiran rakyat, berbanding beliau yang mempunyai berbagai prasarana yang hebat untuk mempengaruhi dan mengongkong fikiran rakyat 24 jam melalui berbagai saluran dan media yang dimilikinya.

Persepsi rakyat sekarang ialah pentadbiran Najib diresapi oleh ideologi Mahathirisme kerana tindak-tinduk Najib kebalakangan ini persis di era pentadbiran Mahathir yang sangat anti kebebasan bersuara.

Mahathir mengongkong dan mengekang kebebasan media dan menutup percambahan fikiran melalui ceramah, dialog dan sebagainya, kecuali program yang memuji dan memuja pentadbirannya. Akhirnya, Mahathir sendiri mengalami berbagai kekangan untuk bercakap dan berkarya di era Abdullah Ahmad Badawi memerintah.

Berbalik kepada isu kenaikkan harga barangan tadi, alasan yang diberi oleh Najib ialah kenaikkan harga bagi bahan api, terutamanya petrol, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG), dan juga gula adalah sebahagian dari Program Rasionalisasi Subsidi. Kata beliau penyelarasan semula harga barang ini akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Alasan yang diberi oleh Najib tidak boleh diterima pakai kerana di era Abdullah memerintah dulu pun minyak dinaikkan terlampau tinggi, harga petrol di pasaran ketika itu dinaikkan dari RM1.92 kepada RM2.70 seliter manakala diesel dari RM1.58 ke RM2.58 seliter (kemudian diturun akibat tentangan rakyat).

Abdullah kata ia telah menjimatkan sekitar RM14 bilion hasil pengurangan subsidi untuk air, tenaga dan bahanapi. Sebanyak RM4.5 billon akan disalurkan untuk mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam dan rakyat diberi bayaran rebet kenderaan sebanyak RM625.00 setahun.
Penjimatan sebanyak RM4.5 bilion itu langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat. Tidak ada peningkatan dalam perkhidmatan pengangkutan awam, tetapi yang ada adalah peningkatan kos pengangkutan. Maka, penjimatan kali akan diagihkan kepada sektor mana pula?

Sebenarnya Najib tidak mengotakan janjinya: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Najib tidak prihatin terhadap kehidupan rakyat berpendapatan rendah dan sederhaana, petani, penternak dan nelayan.

Saya amat bersetuju dengan pandangan Dr Mohd Asri Zainul Abidin Negara di bawah pentadbiran Najib banyak membazirkan wang rakyat berlaku. Contohnya, perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri sahaja telah mencecah RM3.8 bilion pada 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi 2010.

Ini termasuklah perbelanjaan sekretariat mantan perdana menteri dan sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Najib, Rosmah Mansor. Kenaikan barangan ini akan diikuti dengan kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran. Ini sudah tentu menjejaskan kehidupan rakyat biasa.

Sebenarnya, Najib tidak perlu menaikkan harga barangan tersebut bagi tujuan penambah pendapatan negara, tetapi beliau perlu urus- tadbir negara secara berhemah dan tidak membazir, tidak rasuah dan tidak untuk berkepentingan politik. Lihat pembayaran terhadap perkhidmatan APCO sahaja mencecah RM77 juta.

Sime Darby yang mengalami kerugian sebanyak RM946 juta diselamatkan dengan memberi pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta. Skandal PERWAJA, duit rakyat lesap RM10 billion, skandal PKFZ bernilai RM13 billion dan macam-macam skandal lagi.

Duit FELDA pula dibelanjakan untuk projek bukan bidang FELDA seperti melabur dalam ternakan lembu, hangus RM688 juta, melabur dalam bio-diesel, lesap RM3 billion, pembinaan pejabat FELDA RM662 juta. KTMB mengalami kerugian RM500 juta kerana pembelian 38 gerabak Gandaan Elektri dari Syarikat Zhu Zhou Elektrik Locomotive Co.Ltd daripada China dan terbaru Khazanah Nasional yang diterajui oleh Najib bersetuju membeli rangkaian hotel mewah dan popular, Awan Resort dan DLF yang bernilai RM1.225 billion.

Kesimpulannya, tindakan Najib itu dilihat sebagai jalan mudah bagi beliau untuk meningkatkan pendapatan negara dengan memeras keringat rakyat yang mudah diperlembupawahkan ikut suka hatinya sahaja tanpa mengambil kira pembaziran dan menyalahgunaan wang rakyat yang diamanahkan kepada beliau untuk menguruskannya.