"Tidak hairanlah kepada kita kenapa Dato' Seri Najib menyokong  tindakan polis dan JPJ. Maka satu lagi projek 1Malaysia rakyat  didahulukan, saman diutamakan," tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz  Idris Ahmad.
"Tindakan saman ekor memang  bertujuan untuk mendapat wang, bukan untuk mengurangkan kemalangan  jalanraya. Ada mereka yang dikenakan saman kerana membawa kereta  melebihi 60 kilometer sejam. Logikkah saman ekor di kawasan berkenaan,  mana ada kenderaan sekarang yang berjalan 60km/jam di jalan raya,"  katanya kepada Harakah.
PAS kesal sikap ditunjukkan  kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan  Jalan (JPJ) yang menyenarai hitam pemandu sehingga mereka tidak akan  dibenarkan untuk membaharui cukai jalan. 
Ustaz Idris berkata, ketika  rakyat dihimpit dengan kenaikan harga barang dan tekanan hidup, dengan  indeks pengguna yang bertambah meningkat tiba-tiba pihak polis dan JPJ  berkeras tidak membenarkan mereka yang  terbabit dengan saman ekor  memperbaharui cukai jalan. 
PAS tegasnya, bukan menentang  saman kepada mereka yang bersalah, tetapi biarlah dihukum mengikut  proses yang betul dan kenapa mereka yang disaman, tidak dibawa ke muka  pengadilan untuk dibicara, soal beliau. Sejak September 2009, lebih 2.5  juta notis saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dan daripada jumlah  itu, sebanyak 1.07 juta pesalah trafik telah disenaraihitamkan oleh  PDRM.
