Ahli Parlimen Pakatan Rakyat digesa  membuat usul tergempar di Parlimen bagi membincangkan masa depan Felda  yang berkemungkinan besar akan gulung tikar sebagaimana berlaku kepada  Bank Bumiputera. Kedudukan tunai Felda merosot daripada RM4.08 bilion  pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009. Kemerosotan RM2.73  bilion dalam tempoh lima tahun adalah suatu malapetaka yang berpotensi  membankrapkan Felda, tegas Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda  (Anak) Mazlan Aliman.
"Felda adalah Institusi pembangunan  tanah milik bumiputera yang bertujuan menyusun semula masyarakat dan  membasmi kemiskinan. Pendedahan yang dibuat oleh Dr Tan Kee Kwong selaku  bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi yang menterinya  ketika itu Tan Sri Kasitah Gadam adalah sangat serius," katanya.
Bahkan, pengakuan oleh Timbalan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri  Dato' Ahmad Maslan sangat  memeranjatkan apabila jelas kemerosotan rezab tunai Felda lebih 60  peratus dalam tempoh lima tahun di bawah pengendalian Najib adalah  sesuatu yang tidak boleh diterima.
Apa yang menghairankan tegas  Mazlan, sebagai institusi multi nasional yang membangunkan tanah  terbesar dunia dengan mempunyai 43 anak syarikat dan 23,000 kakitangan  kumpulan kestabilan Felda telah menjadi tanda tanya.
"Wang peneroka telah dibazirkan  sesuka hati. Adakah betul untuk kepentingan rakyat atau kegiatan politik  kerajaan Umno-BN kerana Felda adalah talian hayat terakhir mereka.  Logiknya, beberapa tahun akan datang, sama ada Felda terpaksa membuat  pinjaman baru berskala besar atau diisytiharkan bangkrup!" tambah  beliau. Isu ini membabitkan kepentingan 112,635 orang peneroka dan  800,000 generasi baru Felda.
Selain mendesak Ahli Parlimen  Pakatan Rakyat, Anak telah mengambil inisiatif memimpin road show ke  seluruh negara untuk mendedahkan penyelewengan dan salahguna kuasa yang  diketuai oleh Najib Tun Abd Razak yang menerajui Felda sehingga  kini. Antara langkah awal, adalah membuat laporan polis beramai-ramai.  Pada 23 Jun baru-baru ini, 30 orang peneroka dan Generasi Kedua sekitar  Temerloh bersama Mazlan membuat laporan polis di IPD Temerloh. 
Pada 25 Jun pula, 12 orang  aktivis peneroka dan Pakatan Rakyat telah membuat laporan serupa di IPD  Kota Tinggi. Kata Mazlan lagi, oleh kerana isu ini membabitkan institusi  pembangunan tanah terbesar bumiputera dan berada ditahap kritikal  dijangkakan beratus-ratus laporan polis akan terus dibuat dalam  jangkamasa terdekat antaranya di gugusan Keratong, Taib Andak, Serting,  Jengka, Redong, Kerteh dan lain-lain.
Tambahnya, laporan beramai-ramai  di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dilakukan dalam  masa terdekat bagi mendesak Najib dan Ahmad Maslan disiasat dan diambil  tindakan segera kerana bertanggungjawab menyalahgunakan wang warga  Felda. Konvoi 30 buah kenderaan termasuk sebuah bas akan dilancarkan  pertengahan Julai ini selama seminggu di beberapa destinasi penempatan  Felda seluruh negara untuk mengedarkan pamplet 'Najib Bankrapkan Felda'.
"Sedih, marah dan terkilan yang  amat sangat terhadap pemimpin Melayu yang seperti harapkan pagar, pagar  makan padi," kata Mazlan. Justeru, katanya warga Felda harus bangkit  menentang penyelewengan ini, bukan sekadar membantah, cukuplah pengundi  Felda selama ini menjadi talian hayat kepada BN.
~Sumber
~Sumber