JOHOR BAHRU: Akibat melarikan anak dara jiran yang masih di bawah umur untuk dijadikan isteri, seorang kelindan lori kini bertarung nyawa selepas dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai saudara gadis berkenaan sehingga buah pinggang rosak dan kemaluannya hampir hancur.
Ibarat mencurah minyak  ke  dalam api, keluarga gadis berkenaan yang terkilan dengan perbuatan   pasangan kekasih itu bertambah berang apabila mendapati mereka sudah   berkahwin.
Difahamkan,  mangsa, R Vijendren, 20, dan gadis  berkenaan dibawa pulang ke kampung  halamannya di Melaka sebelum  dibelasah kira-kira 30 lelaki pada minggu  lalu.
Mangsa   dimasukkan ke Hospital Segamat sebelum dipindahkan ke Hospital Muar.       Abang mangsa, R Suresh, 26, berkata keadaan adik bongsu daripada  lima  beradik itu kini masih kritikal.
Menurutnya, ketika  kejadian, dia turut  berada di tempat kejadian, tetapi tidak dapat  berbuat apa-apa kerana  kumpulan terbabit seolah-olah hilang kawalan  ketika membelasah  Vijendren.
“Kami  tidak menyangka keluarga  gadis berkenaan menyerang adik secara  tiba-tiba. Saya cuba menghalang,  tapi turut mengalami kecederaan  sehingga terpaksa menerima enam jahitan  di kepala.
“Gadis  berkenaan dibawa pergi oleh keluarganya  manakala adik saya ditinggalkan  dalam keadaan menyayat hati,” katanya.
Suresh berkata, lebih  membimbangkan, Vijendren kini terpaksa  bergantung pada rawatan dialisis  buah pinggang seumur hidup berikutan  kecederaan parah pada organ  berkenaan.
Katanya,  buat masa  ini, adiknya masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi  (ICU)  hospital berkenaan dan keluarganya sudah membuat dua laporan  polis,  masing-masing di Balai Polis Segamat, pada 17 Jun lalu dan  kelmarin pula  di Balai Polis Muar.
“Selain buah pinggang, kemaluan adik   saya juga hampir hancur. Kami akui kesilapan adik melarikan gadis   berkenaan namun tindakan pihak terbabit melampaui batas menyebabkan masa   depannya hancur,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohd Nasir Ramli mengesahkan menerima laporan daripada keluarga mangsa.
“Kejadian berlaku di Melaka namun keluarga mangsa membuat  laporan di  Balai Polis Muar dan kes itu kini dirujuk ke Balai Polis  Melaka untuk  tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.