SEREMBAN: Anggota polis berpangkat konstabel yang  melepaskan tembakan sehingga terkena perut seorang remaja berusia 17  tahun ketika mengejarnya di Jalan Seremban-Jelebu di sini, awal pagi  kelmarin, direman seminggu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis  Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata anggotanya itu direman  sejak kelmarin dan pihaknya juga menyiasat dakwaan bapa remaja terbabit  anaknya turut dipukul.
“Kita sudah mengambil keterangan anggota  yang melepaskan tembakan itu, tetapi belum merekodkan keterangan mangsa  kerana masih lemah," katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya,  siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan  membunuh, sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan  denda.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Mohd Azizi Aziz, 17, cedera  di perut ditembak polis apabila mangsa enggan memberhentikan  motosikalnya ketika dikejar kereta peronda polis.
Terdahulu,  mangsa bersama sekumpulan 20 orang yang menaiki motosikal berhampiran  sebuah pasar raya di Jalan Datuk Siamang Gagap di sini dan kumpulan itu  berpecah apabila terserempak kereta peronda polis, manakala mangsa  melarikan diri arah Jalan Seremban-Jelebu.
Mohd Azizi Aziz, 17,  sudah menjalani pembedahan dan berada dalam keadaan stabil di Hospital  Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).
Berikutan itu, konstabel terbabit  digantung tugas serta-merta kerana melepaskan tembakan tanpa justifikasi  yang boleh membawa ancaman kepadanya, seperti ditetapkan Perintah Tetap  Ketua Polis Negara.
 
Bapa mangsa, Aziz Omar, 42, berkata  anaknya mendakwa ditumbuk polis dan beliau tidak menolak kemungkinan  melantik peguam dan melapor polis berhubung perkara itu.
Ditanya  sama ada polis akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu,  Osman berkata tiada keperluan