Oleh B  Nantha Kumar dan Muda Mohd Noor 
PETALING JAYA: Tidak kurang dari lima  calon bebas turut memeriahkan suasana apabila mengambil keputusan untuk  bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Hulu Selangor pada 25  April ini.
Tiga daripada mereka menyatakan rasa tidak puas  terhadap pucuk pimpinan MIC yang mereka dakwa telah mengabaikan nasib  masyarakat India dan dipinggirkan dari arus pembangunan.
Apabila  dihubungi , seorang daripada mereka, V S Chandran berkata, "saya akan  bertanding di Hulu Selangor dan telah pun membayar wang deposit sebanyak  RM5,000 semalam.
"Saya menetap di Hulu Selangor selama 54 tahun.  Saya kenal setiap inci bumi Hulu Selangor," katanya.
Chandran,  bekas pengerusi bahagian MIC Hulu Selangor dipecat dari parti tahun lalu  ekoran masalah disiplin.
Beliau berkata Presiden MIC Datuk Seri S  Samy Vellu dan Timbalannya Datuk G Palanivel adalah pembohong. Selama  tempuh empat penggal Palanivel sebagai anggota parlimen kawasan itu  kehidupan rakyat bertambah susah. Jumlah rakyat miskin semakin  meningkat.
"Saya tidak bimbang dua parti besar bertanding.Saya  yakin dapat memenangi kerusi itu. Tidak dapat disangsikan lagi," kata  beliau.
Mengulas mengenai calon MIC, Chandran berkata, "langkah  Barisan Nasional (BN) untuk menukar calon adalah betul.Siapa pun calon  yang diletak oleh BN akan ditewaskan dengan mudah kerana mereka membantu  rakyat ketika pilihan raya sahaja."
Seorang lagi calon yang  turut bertanding, Pengerusi MIC Cawangan Bukit Bintang, T Ananthan yang  bersetuju dengan pendapat Chandran berkata, "saya pasti akan bertanding  di Hulu Selangor kerana telah hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan  MIC.
"Kenapa tidak ada pemimpin lain daripada Samy Vellu yang  diberi kuasa untuk mengetuai parti," soal beliau.
MIC gagal perjuang nasib masyarakat India
Beliau  juga menyelar ahli jawatankuasa MIC pusat dan lain-lain ahli yang  berdiam diri, tidak berani menegur pemimpin parti (Samy Vellu).
Ditanya  mengenai peluang beliau sebagai calon bebas beliau berkata, saya tahu  saya tidak akan menang tetapi matlamat utama saya ialah untuk  mendapatkan 1,500 hingga 3,000 undi di kalangan pengundi India.
"Jika  saya mendapat lebih dari 1,500 undi maka jelas menunjukkan bahawa  masyarakat India tidak menyokong MIC sebagai sebuah parti," ujar beliau.
Bekas  wartawan Bernama itu berkata, "walaupun kampung saya di Kajang tetapi  ini tidak bermakna saya tidak boleh mendapat sokongan masyarakat India.  Masyarakat India, baik di kampung atau di bandar, menghadapi masalah  yang sama.Saya faham benar masalah-masalah mereka.
Apabila  ditanya tentang calon BN, itu bukan masalahnya.Saya yakin calon BN akan  ditewaskan oleh Dato’ Zaid Ibrahim dari Pakatan Rakyat," katanya.
Sumber  berkata Anandhan akan menarik diri dari bertanding pada saat-saat  akhir.
Sementara itu, bekas ahi MIC dan Parti Progresif Penduduk  (PPP) J Anuratha, 40, akan mengumumkan hari ini sama ada beliau akan  bertanding di Hulu Selangor.
Anuratha lulusan pengajian  perniagaan berkata, "bapa saya dikenali ramai di Hulu Selangor. Beliau  banyak menolong orang.
"Dari sejak kecil, saya ikut bapa saya  untuk membantu rakyat. Berdasarkan keyakinan ini, saya yakin dapat  sokongan rakyat di Hulu Selangor," katanya.
Beliau berharap para  pengundi akan memberi peluang kepadanya untuk pergi ke Parlimen bagi  meneruskan kerja-kerja membantu mereka.
Aminah Abdullah, 57,  bekas ketua wanita Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang juga  mengisytiharkan beliau akan bertanding di Hulu Selangor.Beliau pernah  bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Penanti, Pulau Pinang tetapi  tewas hingga hilang deposit.
Sementara itu, Hindraf juga  mengumumkan akan meletakkan calonnya untuk bertanding dalam PRK Hulu  Selangor, 25 April ini.
Setiausahanya, V.K.Regu berkata, pemimpin  Hindraf telah bertemu dan mengambil keputusan menyertai PRK ini.  Bagaimanapun, katanya nama calon Hindraf akan diumumkan kemudian.
Beliau  berkata, "masyarakat keturunan India di negara ini masih dipinggirkan.  Makkal Sakti Parti Hak Asasi Manusia tidak berjuang untuk memperjuangkan  hak asasi kaum India di Malaysia.
Mereka katanya, sudah  menyimpang dari semangat pergerakan itu walaupun pemimpin mereka adalah  sebahagian dari Hindraf.
"Kami tidak kisah sama ada menang atau  kalah. Tetapi Hindraf yakin akan dapat sekurang-kurangnya 5,000 undi  dari pengundi India," katanya.
Free Malaysia Today