Artikel saya ‘Telan Air Ludah Ustaz’ telah meresahkan JAIS. Pengarahnya  minta saya buat kenyataan secara jelas atau terbuka di media siapakah  tokoh yang dimaksudkan. Tadi JAIS menghantar surat ala ugut-ugutan  kerana isu tersebut dan memerintahkan saya hadir untuk merakam  perbualan. Jika tidak akan diambil tindakan! Begitulah JAIS. Peguam saya  sedang meneliti surat itu di sudut undang-undang.
Dalam artikel  saya itu saya menyebut: “Berbagai sumber yang boleh diyakini memaklumkan  kepada saya bahawa di Selangor ada seorang tokoh agama yang mengadakan  ‘upacara’ orang ramai menelan air liurnya untuk keberkatan. Upacara itu  pula dibuat di masjid. Apa tidaknya, beliau ada tauliah dan berjawatan  di negeri berkenaan. Pengikutnya atau hadiran yang menghadiri kuliah  disuruh berbaris dalam masjid lalu ‘menikmati’ seorang sedikit air liur  tokoh agama aliran tarekat itu yang di masukkan ke dalam mulut mereka.  Beliau mendakwa inilah ajaran Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Kononnya untuk  mendapatkan keberkatan beliau! Ada banyak perkara yang boleh ditanya.  Demikian mudah nama Ahlus Sunnah dipergunakan dan tidak pula dikenakan  tindakan oleh JAIS”.
Beberapa orang telah menghubungi saya dan  memaklumkan mereka sudah pun menelefon dan memberikan maklumat kepada  JAIS tentang hal tersebut. Namun Pengarah JAIS terus sahaja menyatakan  kepada media mereka tiada maklumat. Memang menghairankan. Mereka mahu  saya membuat kenyataan rasmi. Peguam-peguam saya seakan boleh menghidu  sesuatu. Jika kenyataan rasmi dibuat, penasihat-penasihat undang-undang  saya bimbang secara teknikal ‘episod’ perundangan yang lain akan  dimulakan dan akhirnya kes tersebut mungkin tidak ke mana, kes baru akan  ditimbulkan. Itu nasihat mereka, ‘jangan terperangkap, artikel saya  umum dan tugas JAIS mencari fakta, bukan bermusuh dengan mereka yang  mendedahkan kesalahan itu secara umum’, nasihat mereka.
Padahal  jika kita lihat entah berapa ramai penceramah tanpa tauliah ditahan  walaupun bercerita di tempat yang tertutup. Siapakah yang beri maklumat?  Adakah dia perlu hadir untuk sessi rakaman perbualan kerana memberi  maklumat? Adakah JAIS ada rakaman pemberi maklumat maklumat sehingga  membolehkan mereka bertindak kepada Dr Abdullah Yasin, saya dan  lain-lain. Sedangkan ceramah-ceramah tersebut bukan di masjid dan belum  tentu boleh dikatagorikan sebagai ceramah agama. Kes-kes skodeng  pasangan untuk tangkap khalwat, siapa pemberi maklumat? Adakah JAIS  bertindak setelah mereka datang memberi maklumat yang dirakam? Tidakkah  kebanyakan hanya melalui panggilan telefon? JAIS jangan double-standard.  Firman Allah (maksudnya) :
   “Wahai orang-orang yang beriman,  hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan  keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan  sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu  kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada  sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan  bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan  mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah: ayat 8).
Saya  sudah lama tidak menyebut nama Datuk Khusrin (DK). Dengar pun dah  jarang. Kali terakhir saya dengar kawan saya seorang YB yang dah berubah  parti memberitahu dia jumpa DK dan bertanya: “Enta ni yang dok sibuk  orang itu orang ini tiada tauliah ni, enta lulusan mana?”. Saya diam  sahaja mendengar ceritanya. Cuma saya tanya dia kata apa?. Kata dia:  “Masam kerut muka”. Saya malas nak sebut nama DK. Tapi ini mungkin sudah  melampau. Saya mengelakkan sebut nama Khusrin atas beberapa sebab.  Pertama, saya hanya tahu beliau dari jauh. Banyak email dan maklumat  ‘siapa beliau’ yang dihantar kepada saya. Saya tidak ambil pusing sangat  kerana itu masalah terlalu peribadi. Kedua, saya keberatan menyebut  namanya kerana sebagai seorang yang tahu bahasa Arab, perkataan khusrin  bermaksud ‘satu kerugian’. Sesiapa yang baca Surah al-‘Asr, dengan  sendirinya tahu maksud tersebut. Saya lebih selesa sebut ‘Pengarah JAIS’  sahaja. Sahabat-sahabat ada yang bergurau kata mereka ‘kalau ada Asri  tentu lepas itu Khusrin’. Mereka barangkali merujuk kepada Surah al-‘Asr  yang menyebut perkataan ‘Asr dan khusrin. Ya, biarlah itu nama beliau.  Rugi atau untung pilihan beliau sendiri! Cuma jangan bertindak merugikan  diri di dunia dan di akhirat. Jawatan akan berakhir, tidak menongkat  langit. Sikap yang jujur atau sebaliknya dicatat malaikat dan manusia  sehingga selepas mati. Artikel ini pun akan dikenang. Setiap pemimpin  akan bertanggungjawab di akhirat kelak. Sabda Nabi s.a.w:
    “Tiada seorang pemimpin yang memimpin sepuluh orang (dan ke atas)  melainkan dibawa datang pada hari kiamat dalam keadaan diikat. Tidak  akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia akan dibinasakan oleh  kezaliman” (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan al-Baihaqi, dinilai sahih oleh  al-Albani).
Apapun, saya percaya pihak DK ini telah ada maklumat.  Pelik, mengapa beliau masih tidak mahu siasat dan menyatakan tiada  siapa beri maklumat. Saya di Penang tahu. Ramai sahabat-sahabat  penceramah yang saya tanya mereka pun beritahu mereka dengar hal yang  sama. Sepatutnya JAIS berterima kasih kerana ada pihak yang cuba  hentikan satu perbuatan yang penuh kebodohan. Bukan kerja saya untuk  pergi buat siasatan. Saya sudah buat pendedahan tanpa nama dan tempat,  maka kerja JAISlah setelah diberi maklumat untuk bertindak berdasarkan  maklumat orang ramai. Adakah JAIS pun akan mencari pengadu dan menghukum  mereka?!
Ya Khusrin, anta khatir.. bukan sedikit perkara yang  orang adu kepada saya. Baru satu yang saya sebut. Ini pun ada lagi satu  rakaman yang mungkin DK terpaksa menjawab juga nanti. Satu penilaian  adil perlu dibuat. Ada lagi beberapa bahan yang telah sampai, saya  beritahu pengirim-pengirim tersebut, isu-isu peribadi itu bukan  kegemaran saya. Isu-isu yang seperti itu mungkin hanya saya boleh kata  secara umum “jangan nakal-nakal”. DK mungkin faham apa maksud saya di  sini. Saya mahu isu yang membabitkan kepentingan umat.
Akhirnya  saya nasihat DK dan JAIS akan kita semua merenung perkataan Saidina Ali  bin Abi Talib:
   “Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu  kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka  membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab  al-Syar‘iyyah, 1/201).
Datuk Khusrin, gunakan kuasa dengan baik,  jangan double standard dan ‘jangan nakal’!
http://drmaza.com/home/?p=1086#more-1086