MINGGU ini, Kunta Kinte nak cakap sikit lagi mengenai orang Melayu yang   selalu sangat tolak ansur atau disuruh tolak ansur sampai rugikan  bangsa  sendiri. Kunta Kinte bukan kata orang Melayu kena jadi perkauman  tapi  fikirlah dulu bila hendak bertolak ansur.
 Apa lagilah  kalau tolak ansur itu babitkan hal agama. Ini orang  Melayu kena ingat  kerana bila kita cakap hal Melayu, sikit atau banyak  kita cakap hal  agama Islam juga sebab orang Melayu sewajibnya Islam.
Sedihnya  sekarang, dah tak jadi macam itu. Ramai orang Melayu malas  berfikir,  tak tahu berfikir dan lepas itu takut atau malas bersuara.  Dengan  bangsa sendiri pun tak mahu bersuara apatah lagilah dengan kaum  lain. 
Ada  orang Melayu yang malu mengaku Melayu sebab mereka sudah berjaya.   Mereka malu dikaitkan dengan bangsa Melayu sebab ramai lagi saudara   sebangsa mereka yang miskin dan daif.
 Ada pula yang hanya nak  jadi Muslim dan tolak identiti bangsa  kononnya sayang kepada bangsa,  utamakan bangsa dan perjuangan hak bangsa  adalah bercanggah dengan  Islam. Ada juga yang mengaku Muslim dan Melayu  tapi dalam rumah ada  tempat hidang arak dan bilik khas simpan arak.
 Jadi tak  hairanlah kalau satu lepas satu orang Melayu diuji dan  kalah sebab  mereka terlalu mudah bertolak ansur atau dipaksa oleh  kepemimpinan  Melayu sendiri supaya bertolak ansur kononnya untuk  kesaksamaan dan  perpaduan.
 Tapi bila kena mengena dengan Islam, Kunta Kinte  rasa orang  Melayu tak boleh buat tak peduli atau tak tahu, apatah lagi  bertolak  ansur. Kalau umat Islam Malaysia tak belajar lagi daripada isu  kalimah  Allah yang dituntut oleh Kristian Katholik, Kunta Kinte tak  tahu bila  lagi mereka akan belajar.   
 Jadi Kunta Kinte setuju  dan sokong pendirian semua mufti yang dua  hari lalu sepakat cadangkan  kepada kerajaan jangan guna perkataan agama  dalam nama Jawatankuasa  Perhubungan Antara Agama. Sebaliknya ditukar  dengan perkataan kaum bagi  elak kekeliruan.
 Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang jaga  hal-ehwal agama  Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, kata penubuhan  jawatankuasa itu  dibantah mufti dan beberapa pertubuhan Islam. Jamil  Khir kata, cadangan  tukar nama jawatankuasa itu dibuat kerana pada  pendapat mufti-mufti,  hal-hal berkaitan agama Islam adalah  tanggungjawab Majlis Raja-Raja dan  dah jelas ditulis dalam  Perlembagaan.
 Kunta Kinte harap Jamil Khir cakap terang-terang  dengan Perdana  Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bawa perkara ini  terus kepada  Kabinet. Tak payah nak babitkan Menteri di Jabatan Perdana  Menteri, Tan  Sri Dr Koh Tsu Koon.
 Minta maaflah kalau Kunta  Kinte kata, Kunta Kinte tak faham macam  mana Dr Koh boleh dibagi  tanggungjawab ke atas jawatankuasa itu. Bukan  saja sebab dia bukan  Islam atau bukan Melayu, tapi dia ni bukan menteri  kanan dan dia pun  kalah pilihan raya.
 Kalau Jamil Khir betul-betul jaga hal-ehwal  agama Islam dan pakar  dalam hal agama, dia wajib bagi nasihat dan  pandangan yang betul kepada  Perdana Menteri. Jangan jadi menteri agama  ‘ya tuan’.
 Islam adalah agama Persekutuan Malaysia dan majoriti  penduduk  Malaysia adalah Islam. Jadi eloklah apa-apa pun urusan,  rundingan atau  konsultasi antara agama dipimpin seorang Islam. Bukan  Islam pada nama,  tapi Islam pada ilmu dan amalan.
Kita kena  ingat. Hal-hal bersangkut dengan agama ini bukan saja  sensitif tapi  rumit dan kompleks. Lagi-lagilah di Malaysia di mana  banyak agama dan  kepercayaan diamalkan.
Tak kiralah apa bidang kuasa  jawatankuasa itu, tapi yang wakili  Islam itu wajiblah pakar dalam  hal-ehwal agama dan ada kewibawaan.
 Jangan fikir jawatankuasa  perundingan antara agama yang  dianggotai oleh orang tak ternama atau  orang tak berkuasa tak penting.  Pandangan mereka masih boleh pengaruhi  Kabinet kerana dalam Kabinet  bukan semua Islam dan yang Islam pun,  bukan semua pakar mengenai Islam.
 Silap-silap langkah, boleh  keruhkan lagi keadaan misalnya bila  ahli-ahli jawatankuasa itu bercakap  di luar atau terlepas cakap. Kunta  Kinte yakin, semua wakil akan  tertahan agama atau kepercayaan  masing-masing.
 Satu lagi,  Kunta Kinte harap pemimpin dan pembesar Islam kenalah  berhati-hati.  Bukan apa, tapi takut umat Islam terperangkap dalam  persaingan yang  semakin hebat antara agama-agama bukan Islam dan antara  mazhab yang  berbeza dalam satu-satu agama.
Orang Islam kena ingat, sebuah  masjid atau surau sudah cukup untuk  semua orang Islam dalam satu  lokasi, tapi keadaan tak sama dengan orang  Kristian misalnya. Mereka  ada banyak mazhab dan pecahan. Setiap mazhab  dan pecahan perlukan  gereja sendiri. Sebab itulah di tempat macam  Petaling Jaya, ada lebih  banyak gereja daripada masjid.
 Orang Hindu pula mereka ada  banyak ‘Tuhan’. Mereka sembah 330,000  dewa dan dewi. Sebab itulah kalau  tidak dikawal mereka bina kuil di  merata tempat. Orang keturunan Cina  pula ada banyak kepercayaan dan  setiap ‘deity’ atau datuk ada tokong  sendiri.
 Jadi, semua ini kita kena faham. Jangan buat keputusan  atau tolak  ansur dengan sesuka hati atau sambil lewa kerana kita malas  berfikir  atau tak mahu peningkan kepala.
 Orang Melayu dan  umat Islam Malaysia kena balik berfikir semula,  kalau tidak maruah dan  akidah mereka terancam dan kesucian Islam  tercemar.
sumber:  berita harian