Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia  (GAMIS) membantah sekeras-kerasnya kehadiran penjenayah perang, Tony  Blair ke Malaysia.Menurut sumber, sebuah syarikat Success Resources  berpengkalan di Singapore dan juga beroperasi di Malaysia akan menjemput  bekas Perdana Menteri Britain , Tony Blair untuk menyampaikan ceramah  di National Achieves Congress 2010 Pada 24 hb April 2010 . GAMIS  memandang serius jemputan penjenayah perang tersebut kerana ianya  seolah-olah penghiaan kepada pencinta keamanan di seluruh dunia.
Menurut  Presiden GAMIS, saudara Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, penghormatan  terhadap Blair sebagai penceramah dalam kongres tersebut seolah-olah  menunjukkan betapa pihak penganjur tidak sensitif terhadap penderitaan  berjuta rakyat Iraq, mangsa yang tidak bersalah akibat tindakan  jenayahnya dan perasaan rakyat Malaysia yang menyokong mereka  sepenuhnya. Bantahan ini dibuat atas dasar Blair adalah penjenayah dan  pembunuh besar kerana bersekongkol dengan bekas Presiden Amerikat  Syarikat , George Bush yang bertanggungjawab merencana dan melaksanakan  pencerobohan ke atas Iraq .
"Dalam keadaan hati rakyat Malaysia yang masih luka  dengan penglibatan syarikat Yahudi APCO Worldwide dan Asiasoft dalam  pentadbiran negara serta pendirian Perdana Menteri selepas bertemu  Barack Obama berkaitan Afghanistan dan Iran, isu ini seola-olah menambah  luka di hati kita. Pihak Success Resources seolah-olah tidak memandang  kepada sensitiviti rakyat ini serta pejuang keamanan seluruh dunia. Tony  Blair sepatutnya berdepan dengan perbicaraan di Mahkamah Jenayah  Antarabangsa di atas jenayah kejam yang dilakukan olehnya, bukan  mendapat penghormatan sebegini," kata Mohd Idris.
Justeru,  GAMIS, NGO mahasiswa Islam yang turut berpendirian dengan NGO-NGO yang  bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa  agar pihak penganjur membatalkan syarahan itu bagi menghormati  permintaan dan perasaan rakyat Malaysia dan menyeru orang ramai supaya  mengadakan demonstrasi terhadap kunjungan Blair.Kepada mereka yang mampu  untuk mendekati Blair diseru untuk menguatkuasakan tangkapan ke atas  beliau kerana tindakan beliau melakukan jenayah kemanusiaan. GAMIS turut  menggesa pihak kerajaan Malaysia agar mengharamkan penjenayah perang  seperti Blair dan Bush daripada memasuki Malaysia.
Blair dikecam  di seluruh dunia semenjak pencerobohan Amerika Syarikat-Britain terhadap  Iraq pada tahun 2003 yang telah mengakibatkan kekejaman terhadap rakyat  Iraq dan kemusnahan sepenuhnya tanah air mereka. Lebih daripada 1 juta  orang mati akibat daripada perang itu. Hampir 5 juta orang kehilangan  tempat tinggal, 2.7 juta di dalam negara dan 2.3 juta lagi menjadi  pelarian di negara jiran. Ekonomi Iraq, hospital, sekolah, dan  infrastruktur untuk kemudahan asas sosial turut musnah.
sumber:  mohd idris
