Oleh Syed Mu’az Syed Putra
HULU SELANGOR, 22 April — “Jangan  risau, kita boleh lakukan (menang di Hulu Selangor).” Demikian kata-kata  ringkas tapi yakin keluar daripada Datuk Zaid Ibrahim ketika menyambut  seorang peminatnya yang datang dari luar kawasan Hulu Selangor, di pusat  media PKR di Kuala Kubu Baru di sini, petang semalam.
Zaid  melahirkan keyakinan itu di sebalik serangan bahawa beliau ‘kaki sosial’  termasuk minum dan menggadai bangunan Umno Kota Baru yang dianggarkan  bernilai kira-kira RM9 juta.
“Itu semua cerita-cerita lama,” kata  Zaid yang mewakili Parti Keadilan Rakyat di Hulu Selangor untuk  mempertahankan kerusi ini.
[Zaid Ibrahim bersalam dengan pengundi  kawasan Kampung Hassan, Hulu Bernam. - Gambar oleh Choo Choy May] Di  sebalik keyakinan itu pengundi-pengundi Hulu Selangor dilihat semakin  menerima kehadiran Zaid, calon Pakatan Rakyat, dengan melihatnya sebagai  seorang wakil yang mampu membawa sinar baru untuk perubahan besar di  Hulu Selangor.
Pengundi-pengundi mengakui kempen yang dijalankan  Zaid membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang berkebolehan dan  berwibawa selain mampu memikul tanggungjawab untuk berkhidmat untuk  rakyat.
Ketika ditanya mengenai lawatan beliau menemui pengundi,  Zaid, 59, berkata, “saya pasti sudah mengunjungi lebih ramai daripada  kunjungan mereka (jentara BN).”
Salah satu risalah yang diedarkan  PKR tertera mesej “Datuk Zaid Ibrahim, Bersama Selamatkan Malaysia”.
Dalam  Gagasan Buat Hulu Selangor, Zaid berkata, “anda (pengundi Hulu  Selangor) memerlukan prasarana yang mudah, lebih ramai pasukan polis,  lebih banyak klinik untuk memelihara kesihatan anda dan anak-anak anda.”
“Prasarana,  keselamatan dan kesihatan adalah hak asas untuk kesemua rakyat  Malaysia. Hulu Selangor memerlukan pemimpin untuk menjuarai keperluan  anda. Jika rakyat Hulu Selangor memberikan saya peluang, Insya-Allah,  saya percaya saya boleh menjadi pemimpin yang diharapkan itu,” kata Zaid  dalam gagasan itu.
Tinjauan The Malaysian Insider mendapati  selain berkempen rumah ke rumah, beliau turut meluangkan masa melawat  kedai-kedai dan kawasan komersial untuk beramah mesra dengan pengundi.  Kempen Zaid juga turut disertai isteri beliau.
“Kempen rumah ke  rumah yang dilakukan beliau (Zaid) memang bagus kerana selain berjumpa  dengan pengundi, kami juga dapat melihat calon yang akan bertanding  secara berdepan.
“Saya melihat beliau seorang yang berkebolehan  dan mampu membawa perubahan kepada penduduk Hulu Selangor.
“Selain  itu, saya pasti beliau juga mengetahui semua masalah yang dialami  rakyat lagipun beliau juga merupakan seorang peguam, mustahil beliau  tidak tahu,” kata penduduk Kampung Sungai Choh, Rostam Omar, 55.
CALON  TERBAIK
Senada dengan Rostam, seorang pesara, Kapli Kundan, 75,  berkata, sebagai pengundi dia hanya mahukan calon terbaik yang dapat  menjalankan tanggungjawab untuk rakyat.
“Sejak dari kecil saya  sudah duduk di sini dan saya dah melihat ramai wakil rakyat tetapi saya  rasa Datuk Zaid adalah seorang individu yang baik dan berwibawa.”  katanya.
[Kemunculan Zaid Ibrahim pada peringkat awal kempen  pilihan raya kecil Hulu Selangor. - Gambar oleh Choo Choy May] Kapli  memberitahu, semua pengundi mahukan yang terbaik jadi dan berharap Zaid  akan berpegang kepada janji dan membantu rakyat sekiranya menang Ahad  ini.
“Kalau beliau menang perkara pertama yang saya mahu minta  adalah supaya beliau dapat membaik pulih rumah saya yang sudah uzur,”  kata Kapli.
Seorang lagi pesara, Ibrahim Sidek, 74, juga  berpendapat Zaid boleh membawa perubahan besar kepada rakyat Hulu  Selangor.
“Tadi beliau jumpa saya dan bersalaman dengan saya.  Soal menang atau kalah saya tidak boleh cakap kerana ia terpulang kepada  pengundi tetapi sebagai rakyat, saya pasti mahukan calon yang terbaik,”  katanya.
Peluang menemui secara bersemuka telah membolehkan  seorang suri rumah Shamsiah Abdul Samad, 45, melihat sifat sebenar Zaid.
“Hari  ini, baru dapat jumpa beliau semasa menjalankan kempen rumah ke rumah,”  katanya.
Kawasan Parlimen Hulu Selangor itu mempunyai 64,500  pengundi di tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Hulu Bernam, Kuala Kubu  Baru dan Batang Kali.
Daripada jumlah itu, DUN Batang Kali  mencatatkan jumlah pengundi tertinggi iaitu 29,026 pengundi diikuti  Kuala Kubu Baru (18,040) dan Hulu Bernam (17,434). Orang Melayu  merupakan majoriti dengan 53 peratus manakala kaum Cina dan India  masing-masing mencatatkan 26 peratus dan 19 peratus.
Selain itu,  majoriti pengundi berpendapat bahawa kempen rumah ke rumah yang  dijalankan memberikan kesan kepada pemilihan calon yang bertanding  semasa hari pengundian nanti.
Pemandu lori, K. Marimuthu, 43,  berkata, kebanyakan isu yang dibawa dalam kempen rumah ke rumah penting  kepada pengundi-pengundi Hulu Selangor terutamanya tentang ekonomi,  pembangunan dan juga isu nasional.
“Bukan sahaja isu ekonomi  ataupun pembangunan rakyat penting tetapi isu nasional seperti MEB  (Model Ekonomi Baru) dan juga APCO Worldwide. Bukan semua orang faham  mengenai isu ini, saya sendiri pun kurang memahaminya.
“Bila  mereka datang ke rumah dan menerangkan secara terperinci mengenai  isu-isu tersebut baru saya faham apa yang berlaku sebenarnya begitu juga  dengan isu ekonomi dan pembangunan di sini.
“Banyak maklumat  yang saya dapat melalui kempen rumah ke rumah, saya sudah tidak perlu  untuk ke ceramah-ceramah lagi kerana banyak yang saya sudah dapat,” kata  anak kelahiran Serendah itu.
MAKLUMAT
Sementara itu,  seorang peniaga Phang Kei Chan, 39, mengakui banyak masalah terpaksa  dilalui di Hulu Selangor, namun disebabkan kekurangan sumber maklumat  majoriti pengundi tidak mengetahuinya.
“Jadi bila ada pilihan  raya kecil ini semua maklumat dapat disalurkan dengan mudah melalui  kempen rumah ke rumah.
“Kesemua maklumat yang diberikan kepada  pengundi memang penting kerana ia akan mempengaruhi mereka untuk  mengundi siapa ketika hari pengundian nanti,” katanya.
Kakitangan  awam, Mohd Zulkifli Muda, 31, berkata, isu-isu yang dibawa sama ada  parti BN ataupun pembangkang dalam kempen rumah ke rumah amat penting  kepada pengundi.
“Saya tidak kisah sekiranya yang datang itu dari  BN atau pembangkang kerana isu yang dibawa mereka itu lebih penting.
“Isu  seperti ekonomi, pembangaunan, masalah rakyat dan isu nasional seperti  MEB dan APCO Worldwide sebenarnya penting kepada pengundi-pengundi.
“Apabila  mereka sudah mengetahui apa yang berlaku maka mereka akan membuat  keputusan untuk memilih siapa sebagai wakil rakyat mereka nanti,”  katanya.
Suri rumah, J. Saraswathy, 42, berkata, banyak isu yang  dibawa melalui kempen rumah ke rumah samada dari parti BN ataupun  pembangkang.
“Mereka akang datang dan memberikan penerangan  tentang isu-isu yang berkaitan dengan Hulu Selangor seperti pembangunan,  pendidikan, isu semasa dan juga nasional termasuk MEB, APCO Worldwide.
“Selain  itu, mereka turut memberikan penerangan tentang calon mereka. Apa  keistimewaan calon, apa yang calon boleh buat dan apa janji calon kepada  pengundi disini.
“Kempen sebegini bagus kerana saya tidak perlu  keluar untuk mendapatkan maklumat sebaliknya mereka yang datang dan  memberikan penerangan kepada saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya  di Batang Kali dekat sini.
Kerusi parlimen Hulu Selangor kosong  berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad pada 25  Mac lalu akibat barah otak. Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G.  Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.
Pilihan raya kecil  Parlimen Hulu Selangor ini menyaksikan pertarungan satu lawan satu  antara BN dan Pakatan Rakyat.