Khamis, 29 Julai 2010

Jangan terpedaya dengan dakyah UMNO - Mat Sabu

Merdeka Review | Kerajaan persekutuan yang dikuasai Barisan Nasional sengaja mencari kesalahan kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, malah mensensasikan isu pasir di Selangor dan Pulau Pinang untuk memberi imej buruk terhadap kerajaan PR, kata Mohamad Sabu, ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika mengulas isu kecurian pasir di Pulau Pinang, semalam.
"Cuba kita lihat bagaimana pelbagai bentuk tribulasi yang dilakukan oleh UMNO dan BN di negeri-negeri yang diperintah oleh Kerajaan PR bagi menyalahkan Kerajaan Negeri yang tidak dipimpin oleh mereka," kata Mohamad Sabu.

"Isu pasir di Selangor dan di Pulau Pinang cuba mereka sensasikan. Pelbagai tuduhan dan dakwaan yang mereka lakukan semata-mata bagi memberi imej buruk terhadap kerajaan negeri yang diterajui oleh PR." Beliau berkata sedemikian di depan khalayak 4000 orang, yang menghadiri ceramah di Kompleks Yayasan An-Nadhoh, Kubang Semang, Bukit Mertajam, semalam.

Beliau menambah, "Mereka cuba menyifatkan kepimpinan Kerajaan PR adalah lemah dan tidak kuat. Namun begitu saya yakin rakyat kini bukan lagi mudah ditipu oleh Kerajaan yang diperintah oleh BN."

UMNO main sentimen perkauman

Sementara itu, Mohamad Sabu juga menyelar kepimpinan UMNO yang sentiasa memainkan sentimen perkauman terutamanya dalam isu yang melibatkan masyarakat Melayu.

"Seringkali mereka mengatakan sekiranya UMNO kalah dan hilang kerusi dalam pilihan raya maka kuasa dan politik Melayu akan hilang. Apakah mereka lupa apabila UMNO hilang kuasa di Kelantan sejak 20 tahun yang lalu apakah Melayu hilang kuasa sedangkan yang memerintah Kelantan itu adalah Melayu juga yang datangnya dari PAS?"
Mohamad Sabu (gambar kanan) menyeru, "Oleh kerana itu, rakyat jangan terpedaya dengan dakyah dan sentimen perkauman yang dimainkan oleh UMNO dan BN semata-mata bagi meraih sokongan yang semakin hilang terhadap mereka.

Masyarakat Melayu khususnya jangan termakan isu yang dimainkan oleh UMNO apabila mengatakan kuasa politik akan hilang sekiranya UMNO tidak berkuasa, sedangkan PAS bersedia untuk menggantikan UMNO sebagai sebuah parti untuk orang Melayu dan umat Islam di negara ini."

Kejadian curi pasir berlarutan sejak zaman pemerintahan BN

Di samping itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga menyelar kerajaan persekutuan yang menyalahkan kerajaan negeri dalam isu kecurian pasir di atas tapak Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang. Menurut beliau lagi, kerajaan negeri sukar untuk mencampur tangan dalam hal tanah milik kerajaan persekutuan, lantaran daripada halangan dan kerenah dari kerajaan persekutuan.

"Walaupun begitu, sebagai sebuah kerajaan negeri yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat maka kita turut berasa terpanggil untuk mengetahui perkembangan insiden kecurian pasir di atas tapak tanah milik Kerajaan Persekutuan itu," tambahnya.

"Kejadian ini telah berlarutan sejak tahun 2002 lagi semasa negeri ini diterajui oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN). Namun begitu tiada tindakan yang diambil oleh mereka walaupun ianya telah berleluasa sekian lama. Adalah sesuatu yang menghairankan apabila mereka tidak mengambil apa-apa tindakan sejak lapan tahun yang lalu," kata Lim Guan Eng (gambar kiri) yang mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri selepas PRU ke-12, Mac 2008.

"Oleh kerana kepentingan rakyat dan masyarakat setempat adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah, maka kita tetap akan memberi kerjasama kepada kerajaan persekutuan bagi mencari dalang sebenar di sebalik aktiviti mencuri pasir di atas tanah tersebut," janji Lim Guan Eng.

Biarpun diasak dengan pelbagai tuduhan dari media arus perdana yang dikuasai UMNO-BN, namun hadirin tetap memberi sambutan gemuruh kepada Lim Guan Eng ketika beliau melontarkan kritikan terhadap kerajaan BN, di samping mengulas bagaimana kerajaan pimpinannya memanfaatkan warga Pulau Pinang dengan dasar-dasar yang mesra rakyat.

BN adalah punca kepada apa yang sedang berlaku

Manakala Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man dalam ucapan beliau menyeru agar seluruh masyarakat di Pulau Pinang supaya tidak percaya dengan pelbagai isu yang sedang dimainkan oleh BN.

Salleh Man (gambar kanan) berkata, banyak isu perumahan yang dibangkitkan oleh UMNO dan BN adalah untuk menunjukkan mereka prihatin terhadap rakyat walaupun sebenarnya mereka adalah punca kepada apa yang berlaku sekarang.

"Isu perumahan yang berlaku di Jelutong sebagai contoh bukannya bikinan PR. Ia telah berlaku sejak pemerintahan BN lagi. Segala macam tohmahan yang mereka dakwa mempunyai niat tertentu untuk menyembunyikan kesalahan lampau yang telah mereka lakukan terhadap masyarakat dan rakyat negeri ini."

"Apabila mereka mulai merasakan tercabar dan kuasa semakin hilang maka bagi meraih kembali dokongan yang semakin pudar itu isu akan disensasikan. Setelah mereka tidak berjaya dengan isu perumahan beralih pula kepada isu peniaga kecil. Kini mereka mainkan pula isu pasir di Balik Pulau yang ternyata berada di atas tanah milik mereka secara total."

"Dalam isu ini kita mahu mereka yang bertanggungjawab di sebalik kegiatan mencuri pasir di kawasan tersebut segera dihadapkan ke muka pengadilan. Selagi masalah ini tidak selesai maka Kerajaan Persekutuan akan sentiasa menyalahkan Kerajaan Negeri walaupun pada hakikatnya mereka sedar mengenai kejadian sebenar di atas tapak tersebut," katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis anjuran Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang itu ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Helmi Haron, Mudir Yayasan An-Nadhoh, ustaz Mutalib Maarof dan kepimpinan PR Negeri Pulau Pinang.

*Nazar Hasim

Facebook Saiful Bukhari Berbunyi...

Tetapi beliau tidak menafikan hubungannya dengan Farah Azlina...

“Semoga segala fitnah dan kebatilan akan dilenyapkan oleh Yang Hak! Akan terus berdoa, istiqamah dan sabar. Tidak sesekali akan melatah dan menyerah kalah. Salam”.

Ringkas saja tulisan Saiful Bukhari Azlan di laman facebooknya Rabu ketika berita pengumuman Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengenai pengguguran Timbalan Pendakwa Raya Farah Azlina Latif dari pasukan pendakwa kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim disiar meluas di media.

Tulisan terbaru itu dipercayai merujuk kepada dakwaan beliau ada hubungan romantis dengan Farah memandangkan tulisan terakhir Saiful di laman itu ialah pada 19 Julai lalu.

Ada rakan facebooknya bertanya mengenai hal itu manakala ada yang terus memberi kata-kata semangat padanya.

Isu Air: Syabas Akan Saman Selangor

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sedang dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Selangor untuk menuntut pampasan kerana menangguhkan pelarasan tarif air.

Ketua Pegawai Operasinya Datuk Lee Miang Koi berkata, sehingga hujung tahun ini, pampasan yang perlu dibayar kepada Syabas dijangka mencecah RM1 bilion.

“Syabas akan tuntut pampasan, kami sedang menimbang untuk ambil tindakan undang-undang, ikut perjanjian konsesi kami memang berhak ambil tindakan undang-undang,” katanya ketika menjawab satu soalan yang dikemukan pada majlis Wacana Intelek Negara anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Memorial Tunku Abdul Rahman di sini malam tadi.

Beliau berkata Syabas sudah menghantar tuntutan mengenai pampasan itu bagaimanapun sehingga sekarang, masih tiada maklum balas dari pihak kerajaan negeri.

“Tarif air perlu diselaraskan supaya dapat perolehan untuk bayar hutang yang dipinjam bagi meningkatkan mutu perkhidmatan air. Dengan penangguhan pelarasan dan pembekuan program Capex oleh kerajaan negeri, taraf perkhidmatan air akan merosot,” katanya.

Lee berkata Syabas juga terpaksa membayar sebahagian bil untuk dibayar kepada operator loji air walaupun mengikut perjanjian, Syabas harus membayar sama rata.

Menurutnya akibat penstrukturan semula air yang tidak dimuktamadkan, Syabas turut mengalami beberapa masalah dalam operasinya, termasuk sukar mendapat dana dari bank kerana syarikat itu tidak tahu hala tujunya.

“Sejak kerajaan negeri Selangor ambil alih, Syabas menyuarakan beberapa isu dan masalah tetapi tiada maklum balas dari kerajaan negeri sebab mereka kaitkan isu itu dengan penstrukturan semula.

“Mereka nak lihat Syabas tak berjaya dan boleh ambil alih dengan harga yang murah, walaupun terdapat pelbagai kekangan, Syabas masih perlu beri perkhidmatan kepada pengguna,” katanya.

Lee berkata bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka akan menghadapi kekurangan menjelang 2012 hingga 2014 dan jika tidak diuruskan dengan baik, besar kemungkinan kekurangan itu akan berlaku lebih awal.

“Sekarang hanya ada rezab 240 juta liter sehari atau 5.9 peratus daripada keperluan harian, selain dari penggunaan purata, ada keperluan puncak seperti perayaan serta musim panas, dan jumlah 5.9 peratus tidak mencukupi untuk menampung ketika waktu puncak.

“Enam bulan lalu, penggunaan air meningkat empat peratus, jika dibandingkan dengan rezab yang ada, dalam masa setahun enam bulan rezab air akan habis dan akan mengalami kekurangan bekalan air,” katanya.

Sementara itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan menggalakkan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran asing untuk membeli petrol RON97 yang tidak bersubsidi.

“Lepas ini, mereka datang beli RON97 lagi banyak lagi negara untung kerana (minyak ini) tiada subsidi,” katanya.

~Bernama

Rabu, 28 Julai 2010

Nazir bela Najib tentang FDI?



Dr. Dzulkefly Ahmad

Saya ditanya oleh pihak media mengapalah pelaburan langsung asing (FDI) begitu penting sangat untuk Malaysia dalam situasi kini, sejurus selepas penglibatan saya dalam Forum Ekonomi Negeri Selangor sempena Majlis Dialog Bejt 2011. Saya cuba rumuskan di sini jawapan tersebut untuk pengetahuan umum.

Benar, mengikut Laporan Pelaburan Dunia (WIR, 2009), yang diterbitkan baru baru ini oleh Perdagangan dan Pelaburan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD) telah menegsahkana bahawa FDI Malaysia merosot 81 peratus kepada US$1.38 bilion (RM4.43 bilion) pada 2009 daripada US$7.32 bilion (RM23.47 bilion) pada 2008.

Meskipun negara-negara ASEAN juga mengalami penurunan kemasukan FDI, ternyata tidaklah separah Malaysia. Thailand mendapat pelaburan sebanyak US$4.44 atau RM14.24 bilion sementara Indonesia sebanyak US$2.60 billion atau RM8.32 billion sekaligus meletakkan Malasyia, antara negara tercorot sebagai negara pilihan pelaburan pelabur asing langsung bersama dengan Cambodia, Brunei dan Timor-Leste. Vietnam juga mendahului kita sekarang ini.

Trend kemerosotoan FDI ini telah dikesani beberapa tahun dalam dekad mutakhir ini. Keadaan menjadi lebih buruk lagi tatkala diperhatikan bahawa bukan sahaja kemasukan FDI menjunam, pengaliran keluar dana tempatan adalah juga yang terbesar berbanding semua negara ASEAN sebanyak RM25.77 bilion.

Apakah makna semua ini? Mengapa FDI faktor penting dalam ekonomi negara?

Jawapannya mudah. Ketika negara tidak mampu lagi melakukan perbelanjaan besar (G-factor, termasuk mengepam ekonomi atau pump-priming) kerana telah terbeban dengan hutang awam (kerajaan) sehingga ke paras 52.6% dari KDNK (RM362 bilion), maka pertumbuhan negara mesti dipacu oleh pelaburan pihak swasta. Ini tidak termasuk hutang GLCs atau pihak swasta.

Pihak pelaburan swasta ada dua komponen. Satu pelaburan tempatan dan kedua pihak luar. Kini apa yang kita tahu ialah bukan sahaja dari luar kurang masuk (FDI) dari dalam pun banyak yang keluar. Antara lain ini bermaksud, keyakinan terhadap negara sebagai destinasi pelaburan yang baik, belum pulih.

Apabila ini berlaku ia membawa dua kesan besar. Satu, kesan pada pertumbuhan. Kerana kekurangan dana untuk memacu kegiatan ekonomi dan pelaburan dalam pelbagai bidang khsususnya pembuatan dan perkhidmatan, maka pertumbuhan 6% yang disasar tidak dapat akan dapat dipacu. Keadaan akan menjadu lebih buruk apabila permintaan global dan serantau merosot kerana akan menjejaskan faktor eksport dalam KDNK.

Lebih parah lagi kalau sentimen pengguna juga turut terjejas. Terkini laporan MIER (Malaysian Institute of Economic Reserach) turut menunjukkan bahawa indeks sentimen pengguna merosot. Faktor Penggunaan (Consumption) akan turut memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan. Penarikan subsidi terkini bahkan pengenalan GST nanti, tentunya akan memburukkan faktor Perbelanjaan khususnya ketika tercetusnya inflasi.

Apabila sasaran 6% pertumbuhan gagal dicapai, ini meninggalkan kesan langsung secara negatif kepada usaha untuk menjana pendapatan per kapita yang tinggi seperti yang diharapkan PM. Situasi ini jelas adalah tidak selesa sama-sekali untuk Najib bahkan ini mencemaskan dan berpotensi menyebabkan kesemua ’target-makro’ dalam RMK-10 tersasar.

Oleh kerana Malaysia adalah sebuah model ekonomi terbuka yang kecil (KDNK sebanyak ~RM700 bilion) serta bergantung kepada kegiatan ekspot maka menghasilkan barangan ekspot yang bernilai-tambah tinggi adalah penting untuk mengekalkan dayasaing negara.

Lain kiranya kalau kita mampu memacu pertumbuhan secara permintaan dan dana domestik seperti negara negara Scandinavia yang punya ekonomi kecil seperti Denmark, Norway atau Sweden yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi dengan permintaan domestik.

Untuk memenuhi matlamat pertumbuhan negara, dana untuk pelaburan adalah cukup kritikal. Dana itu datang dari luar(FDI) atau dari pelabur tempatan. Kedua-dua ini mengikut laporan UNCTAD jelas merosot.

Itulah sebabnya pimipinan Najib dan BN mesti melihat apakah faktor-faktor yang menyebabkan situasi ini berlaku ataukah kita akan kekal dalam penafian seperti yang ditanggapi umum oleh kenyataan adik Najib, DS Nazir Razak, boss atau CEO CIMB itu, sebuah Investment Bank yang terulung di negara ini yang banyak mendapat habuan besar dari kegiatan kewangan korporat seperti M&A, IPO, terbitan Bon dan Sukuk dsbnya.

Sementara saya memahami apa yang beliau maksudkan dengan quality investment’dan timingnya, namun komentarnya itu tidak dapat menyangkal bahawa Malaysia, sebagai destinasi pelaburan, sudah tidak lagi berada dalam ‘radar pelabur’ asing dan juga tempatan. Ada dua bentuk pelaburan asing; satu FDI dan kedua pelaburan ‘Portfolio’ dalam Bursa Malaysia.

Kedua-dua penting. Yang lebih penting ialah FDI melalui Syarikat Multi-Nasional (MNCs) kerana ianya bersifat jangka-jauh dan terkadangkali membawa perpindahan teknologi disamping menjana pekerjaan. Namun portfolio atau ‘hot-money’ juga penting dalam Pasaran Saham.

Ia berperanan mengagihkan dana untuk syarikat-syarikat tersenarai (PLCs) untuk membuat pengembangan bisnes dan juga R&D&C dengan suntikan dana yang dilabur oleh poengurus dana ini. Malangnya aliran masuk dana ke paaran Saham juga muram dan akhirnya pelabur institusi tempatan juga yang melabur seperti KWSP, Tabung Haji, KWAP, LTAT dsbnya.

Tidak dapat dielakkan komentar Nazir semacam mahu membela abangnya. Ia agak semacam tak kena atau misplaced, dengan izin.

'Hubungan romantis', DPP digugurkan dari kes Anwar

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan Timbalan Pendakwa Raya Farah Azlina Latif telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata langkah itu adalah susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai "hubungan romantis" dengan saksi utama kes tersebut, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar pada Jun 2008.

Farah Azlina turut digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara atas faktor yang sama, katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

Sidang akhbar berkenaan diadakan bagi menjelaskan perkembangan terkini sekaligus menjawab persoalan mengenai hubungan Farah Azlina dan Mohd Saiful seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysia Today baru-baru ini.

Abdul Gani (atas, kiri) berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

"Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

"Ini boleh menjadi sangat sukar bagi kita, tetapi sebarang perkara peribadi sekiranya boleh memberikan kesan dalam apa juga bentuk terhadap jabatan ini akan ditangani dengan amat serius," katanya.

Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, katanya.

Beliau menjelaskan penglibatan Farah Azlina dalam kes itu sangat terhad iaitu sekadar membantu mencatatkan segala nota mengenai perbicaraan tersebut.

"Beliau tidak mempunyai akses langsung kepada kertas siasatan kes atau mempunyai apa-apa sebab untuk mengakses kertas siasatan atau apa-apa maklumat sulit yang ada pada pihak pendakwaan.

"Beliau sama sekali tidak terlibat dalam sebarang perbincangan atau persediaan kes termasuk penyusunan strategi pasukan pendakwa," katanya.

Mengulas lanjut Abdul Gani berkata pasukan pendakwa untuk semua kes berprofil tinggi telah menetapkan peraturan bahawa kertas siasatan dan dokumen kes hanya boleh disimpan oleh Ketua Pendakwa atau Pendakwa Kanan.

"Pendakwa baru hanya membantu kami dalam menjalankan beberapa tugas yang sama sekali tidak melibatkan perbincangan, penyusunan strategi dan pembentangan hujah di dalam mahkamah," katanya.

Pasukan pendakwa untuk kes berkenaan diketuai oleh Peguam Cara Negara 2, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang dibantu oleh timbalan pendakwa raya Datuk Nordin Hassan, Noorin Badaruddin, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azman dan Farah Azlina.

"Tugas menyoal saksi dilakukan oleh Mohd Yusof, Mohamed Hanafiah, Datuk Nordin dan Noorin manakala Chiang Kiat bertugas membantu aspek perundangan berhubung rayuan dan semakan kes.

"Farah Azlina, Naidatul Athirah dan Mira Mirna hanya dipertanggungjawabkan untuk mengambil dan mencatatkan segala nota perbicaraan," katanya.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun, 2008.
Related Posts with Thumbnails