Khamis, 10 November 2011

ISU KUIS: AUTA DAN LAYANAN MINDA KELAS KE 3

KONTREKTOR KRONI KHIR TOYO




Saya bukanlah manusia yang popular di KUIS, jauh sekali dikenali & disanjungi sesiapa. Namun setiap kali membaca luahan rakan-rakan media cetak & media alternatif, saya sangat-sangat berharap akan ada perubahan atas apa yang diluahkan oleh pelajar-pelajar, selepas saya sendiri hampir berputus asa apabila sejak 3 tahun belajar di sini, sering menghadapi masalah yang sama, ‘jawapan’ yang sama, bahkan mungkin saya boleh istilahkan sebagai ‘jawapan’ yang lebih berbentuk ‘auta’.

Pertama kali saya mohon maaf kalau seandainya surat saya ini akan mengguris perasaan orang-orang yang saya hormati di KUIS. Bukan niat saya untuk memperlekeh kewibawaan kalian, namun keperitan hidup sepanjang proses menuntut ilmu di sini, telah menggerakkan hati & jiwa saya untuk menulis sesuatu di sini, walaupun sebenarnya saya langsung tidak pernah menulis walau sepucuk surat pun dalam mana-mana media atau majalah. Ianya hanyalah semata-mata untuk mengharapkan perubahan yang saya & rakan-rakan di sekeliling saya impikan.

Ketika seluruh pelajar KUIS diwajibkan untuk duduk di hostel, saya pernah bertanyakan kepada seorang pegawai pentadbir, sebab apa arahan itu dikuatkuasakan? Jawapan awal yang diberikan sangat menyejukkan hati saya sebagai seorang pelajar yang berlatarbelakangkan pengajian Islam, iaitu supaya mudah untuk seluruh pelajar KUIS ini ditarbiyah & dibentuk sahsiahnya. Itulah jawapan awal yang diberikan pada saya & saya menerimanya dengan penuh lapang dada walaupun ketika itu ada teman-teman lain yang bercakap-cakap belakang khususnya mereka yang boleh saya kategorikan sebagai agak ‘sosial’.

Namun entah bagaimana, sebelum peperiksaan pada semester yang lepas, saya tergerak hati untuk bertanya kepada pegawai pentadbir yang lain, untuk kali yang kedua, benarkah sebab untuk pelajar-pelajar duduk dalam (hostel) ialah untuk maslahat tarbiyah? Pegawai yang ini kelihatannya mengerutkan dahi ketika mendengar soalan saya, lantas berkata secara sinis, sebab untuk mentarbiyah itu hanya ‘sebab sekunder’ sahaja. Sebab utama katanya ialah, apabila seluruh pelajar duduk di hostel, pihak kolej akan dapat menggunakan yuran yang dibayar seluruh pelajar hostel, untuk membayar balik ‘yuran tetap’ kepada konsultan yang telah bertanggungjawab membina hostel tersebut di peringkat awalnya, sebagaimana yang telah termaktub dalam perjanjian sewaktu negeri Selangor ditadbir oleh mantan Menteri Besar, Khir Toyo lagi.

Ternyata jawapan kali kedua yang disertakan dengan fakta ini, sungguh meruntun hati saya & merasakan diri ini begitu lemah & ‘bendul’ sehingga mudah diperbodohkan dengan jawapan yang tidak jujur. Saya sangat tidak menyangka sebab untuk mentarbiyah itu hanyalah alasan & ‘auta’ untuk menutup keterdesakkan pentadbir menyedut duit pelajar-pelajar semata-mata untuk memudahkan kerja pentadbiran kolej membayar balik ‘yuran tetap’ kepada konsultan yang terlibat. Andai benar cakap-cakap di kalangan warga KUIS bahawa kroni Khir Toyo terlibat dalam perjanjian pembinaan hostel yang sangat menyusahkan & tidak adil itu, mengapa harus disusahkan pelajar-pelajar yang sememangnya tidak berkemampuan? Mengapa mesti digunakan istilah ‘tarbiyah’ untuk menutup perkara pokok & masalah sebenar?

Lebih menyedihkan apabila pihak yang sepatutnya bertanggungjawab untuk berkomunikasi dengan pelajar-pelajar atas segala permasalahan yang berlaku menggunakan layanan ‘minda kelas ke-3’ kepada pelajar-pelajar. Dengan bahasa sindiran yang digunakan, ayat-ayat sinis, dialog kasar, kerap tiada apabila pelajar-pelajar ingin berjumpa, suka menabur janji yang tidak bernoktah dan banyak lagi layanan-layanan yang seolah-olah menganggap kami ini penyibuk & pengganggu, saya tidak tahu berapa lama lagi saya & teman-teman akan bertahan dengan keadaan ini. Sudahlah peraturan untuk sentiasa memakai tie, yang sudah seperti ‘aqidah’ dalam mentaliti pentadbir KUIS yang langsung tidak boleh dilanggar itu, sedia menyusahkan pelajar-pelajar lelaki. Ditambah pula layanan barbarian oleh sesetengah kakitangan pentadbir yang sangat-sangat menjengkelkan.

Tuan, saya bukan merungut membabi-buta. Tuan dengarlah rintihan pelajar-pelajar. Tuan dengarlah suara mereka. Saya rasa kami bukanlah anak kecil yang merengek-rengek tidak tentu hala. Tapi kami benar-benar tertekan dengan keadaan ini. Paling penting, saya tidak mendapat upah sesen pun dengan luahan ini, apatah lagi menjadi ejen mana-mana pihak yang berkepentingan untuk memburuk-burukkan KUIS. Tolonglah tuan. KUIS sangat-sangat berpotensi untuk menjadi IPTS Islam contoh di Malaysia. Mempunyai pengajar & pensyarah yang berwibawa, saya sangat optimis dengan masa depan pusat pengajian Islam ini. Namun, dengan berleluasanya budaya ‘auta’ & layanan ‘minda kelas ke-3’ ini, saya hampir tidak nampak samada impian tersebut akan tercapai ataupun tidak.


Yang benar,
Nur Sakinah Hanani,
Penuntut Prihatin.

Rabu, 9 November 2011

Malaysia Dan Israel Sahabat Dagang

Oleh Zaini Hassan


KAPAL Zim USA yang didaftarkan di Israel ini kali terakhir memasuki Pelabuhan Klang pada 20 Jun.

BENAR seperti kata negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kita mudah lupa. Ingat lagi semasa Gaza diserang bertalu-talu, seluruh rakyat Malaysia, terutamanya orang Islam bagai nak gila. Demonstrasi sana-sini. Minta diboikot itu dan ini, barangan yang dikeluarkan oleh Yahudi dan yang diasaskan dari Israel.

Lepas sebulan serangan ke atas Gaza tamat, pemikiran kita mula lembam, enam bulan selepas itu sedikit demi sedikit mula lupa dan selepas setahun terus lupa.

Kempen-kempen boikot dan amarah kita sudah hilang sehinggalah seminggu ini. Sejak minggu lalu kita bangkit semula. Solat hajat diadakan semula di sana-sini. Televisyen dan akhbar-akhbar penuh dengan berita dan komentari (termasuklah Cuit ini hari ini) mengenai kisah Israel, Yahudi dan kekejamannya. Jika Israel tahu mengenai sindrom mudah lupa kita, sudah pasti mereka akan ketawa terbahak-bahak. Tapi bangsa Yahudi ini bijak, mereka memang tahu tabiat kita, terutamanya umat Islam dan orang Melayu kita ini. Kita ini hanya akan melompat ikut musim. Itu pasal Israel suka menyerang ikut musim. Ada musim-musim tertentu mereka akan bertindak dan sekali gus dunia (terutamanya dunia Islam) akan melompat. Kemudian senyap.

Tujuan mereka ialah supaya semua orang ingat akan (kewujudan) negara Israel itu.

Dari segi dasar kerajaan, Malaysia memang konsisten. Kita adalah antara segelintir negara Islam dan di dunia yang tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel. Langkah kerajaan itu amat kita sanjung. Kita berharap selagi ada negara Yahudi haram itu, kita tidak akan mengiktiraf kewujudannya sampai bila-bila.

Begitu juga hubungan dagangan dengan negara itu. Secara automatik hubungan itu tidak berlaku, kerana kita tiada hubungan diplomatik. Mengikut undang-undang antarabangsa, Israel tidak boleh juga menahan rakyat kita kerana kita tiada hubungan yang sah dengannya. Dalam kes yang berlaku ke atas kapal misi kemanusiaan ke Gaza itu, rakyat Malaysia ditahan di laut antarabangsa - bukan dalam kawasan perairannya, itu lagi salah.

Namun, walaupun kita tidak mempunyai hubungan itu, difahamkan ada juga barangan dari negara rejim Yahudi ini memasuki negara ini. Mungkin bukan terus, tapi dari negara ketiga.

Tapi benarkah kapal Israel dibenarkan memasuki ke pelabuhan kita dan melakukan perdagangan dengan negara ini secara terus?

Benarkah itu berlaku? Apakan kerajaan sedar ia berlaku?

Melalui maklumat seorang sahabat yang terlibat secara terus dalam bidang perkapalan, saya melakukan siasatan. Satu maklumat kepada saya kemudiannya mendedahkan senario bagaimana halusnya rejim itu menjalinkan hubungan dagang dengan kita.

Kita jangan cakap perkakasan yang canggih dan besar-besar yang dihantar untuk kegunaan kita di sini dari negara ketiga. Kita cuma bercakap mengenai soal buah epal dan buah oren yang dihantar oleh kapal mereka ke pelabuhan kita. Rakan yang mendedahkan maklumat itu geram kerana kapal kemanusiaan kita dihalau dan diserang, sebaliknya kapal Israel sewenang-wenangnya berlayar dan berdagang di negara ini! Bolehkah pula kapal MISC kita memasuki Pelabuhan Haifa di Israel? Jawapannya, tidak.

Begini bunyi maklumat itu (yang diterjemah dalam bahasa Melayu):

Zim Israel Navigation Company ialah syarikat perkapalan milik Israel. Statusnya lebih kurang macam MISC, syarikat perkapalan nasional kita.

Maklumat mengenai syarikat perkapalan Zim boleh dilayari melalui www.zim.co.il. Di bawah tajuk sejarah, ditulis: Bermula dengan permulaan bersejarah pada 1945 sebagai kapal pengangkut imigran (kaum pendatang) dari wilayah berperang Eropah ke negara harapan bernama Israel, ZIM kini menjadi salah sebuah syarikat perkapalan terbesar yang beroperasi di seluruh dunia. (From historic beginnings in 1945 as a carrier of immigrants from war-torn Europe to the nascent state of Israel, ZIM has become one of the world‘s largest shipping companies with operations throughout the world.)

Kelmarin (7 Jun kapalnya bernama Zim Genova) berlabuh di Pelabuhan Klang membawa kargo-kargo yang besar.

Secara puratanya kapal itu panjangnya kira-kira 253 meter, lebar 32 meter dan boleh membawa muatan sebanyak 4,000 Teu atau bersamaan 4,000 buah kontena 20 kaki. Ia berlayar keluar dari pelabuhan itu kira-kira pukul 7 pagi semalam (8 Jun).

Selain Zim Genova, kapal-kapal Zim lain yang berulang-alik ke Pelabuhan Klang ialah Zim USA (didaftarkan di Israel), Zim Kingston, Zim Monaco (pelabuhan terakhir: Pelabuhan Klang enam hari lalu), Zim Dalian dan Zim Lovorno (yang kesemuanya didaftarkan di beberapa buah negara lain).

Zim USA, misalnya kali terakhir memasuki Pelabuhan Klang ialah sekitar 20 Mei lalu, kira-kira tengah hari (Sila layari http://www.marinetraffic.com/ais/shipdetails.aspx?mmsi=428000109).

Di serombong asapnya (funnel) terpampang bendera Israel – tujuh bintang yang dengan megahkan berlabuh di pelabuhan kita!

Kebanyakan pegawai kapal-kapal itu terdiri daripada rakyat Israel.

Satu lagi e-mel yang diterima berbunyi:

Zim Israel Navigation Company atau Zim Lines juga mempunyai anak syarikat penuhnya iaitu Gold Star Line. Nama kapal-kapalnya ialah: New Asia Middle East Express, China Vietnam Express, East Mediteranean Express, Far East Africa Express dan Chittagong Malaysia Express.

Gold Star Line ini berpangkalan di Hong Kong. Di negara Islam seperti Pakistan, Bangladesh, Indonesia - Zim beroperasi di bawah nama Gold Star Line.

Menurut sumber itu, ada antara kargo dari kapal Zim dikatakan melalui proses pelabelan semula (relabelling) di Singapura sebelum memasuki Malaysia. Difahamkan antara kargo yang dibawa masuk ke Malaysia ialah buah oren dan epal di bawah nama HIFA.

E-mel itu menulis lagi: Sekiranya kita tiada hubungan dua hala dengan Israel, mengapa dibenarkan kapal-kapal mereka memasuki perairan kita? Mengapa berdagang dengan mereka? Apa yang berlaku ini?

Saya tidak boleh jawab soalan itu. Saya hanya boleh tulis dan sampaikan. Jika betul, kita minta -- Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) serta pengendali pelabuhan yang diswastakan iaitu Pelabuhan Barat (West Port) dan Pelabuhan Utara (North Port) - sila jawab, jika salah sila jelaskan.


p/s:

Berita di atas adalah laporan dari Utusan sendiri. Oleh demikian, pembaca utusan yang terdiri daripada UMNO tegar dan sedikit pengundi atas pagar sepatutnya lebih percaya bahawa kerajaan hari ini berdagang dengan Israel !! Sila lihat gambar di bawah;

Selasa, 8 November 2011

Editor TV Mengaku Diarah Menfitnah Anwar Dan Wan Azizah

KUALA LUMPUR 8 Nov: Seorang editor di sebuah stesen televisyen memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail kerana terpaksa memfitnah kedua pasangan suami isteri itu.

“Editor itu mula-mula memohon maaf kepada Azizah dan selepas itu kepada saya kerana memfitnah kami dalam banyak isu terutamanya dalam kes Fitnah 2.

“Beliau datang sendiri menemui kami dan menyatakan kekesalannya dan mengakui terpaksa berbuat demikian,” kata Anwar ketika mendedahkan perkara itu di parlimen hari ini.


Anwar menegaskan, beliau tidak menyalahkan pengamal media terhadap konspirasi politik berkenaan, namun mengingatkan tindakan mereka bersubahat bukan sahaja mengaibkan beliau sekeluarga, tetapi juga memberi kesan kepada masyarakat.

Mahkamah pada 18 Oktober lalu menetapkan 23 dan 24 November depan bagi mendengar hujahan akhir kes pembelaan dan pendakwaan sebelum membuat keputusan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar keterangan empat saksi penyanggah yang dikemukakan pihak pendakwaan, bagi mencabar keterangan pakar tulang belakang yang merawat Anwar di Munich, Jerman pada 2004.

Saksi berkenaan bagaimanapun gagal mencabar keterangan Dr Thomas Hoogland yang sebelum ini memberitahu mahkamah Anwar tidak mungkin melakukan perbuatan liwat ekoran masalah tulang belakang yang dihadapinya.

Sementara itu, Anwar sebelum ini mahu rayuannya terhadap pembatalan sepina oleh Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya didengar sebelum hujah akhir daripada peguam dan pihak pendakwaraya.

Pada 6 Oktober lalu, hakim Zabidin menerima permohonan Najib dan Rosmah bagi mengenepikan sepina yang memerintahkan mereka hadir memberi keterangan dalam kes Fitnah II.

Keputusan itu mengecewakan peguam kerana menganggap kedua individu itu saksi relevan dalam kes berkenaan.

Ini kerana Najib sebelum ini pernah menemui pengadu dalam kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan empat hari sebelum pemuda itu membuat laporan polis dengan memfitnah Anwar meliwatnya pada 28 Jun 2008.

Jumaat, 4 November 2011

PKFZ: Pak Lah Badawi Akan Dipanggil Ke Mahkamah?

Bekas menteri pengangkutan itu boleh dihukum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.


KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dipanggil sebagai saksi pendakwa dalam perbicaraan kes tipu bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy berkaitan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang akan bermula 2 April tahun depan di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menetapkan tarikh berkenaan setelah Chan mengaku tidak bersalah kepada tiga pertuduhan pindaan yang dibacakan kepada beliau hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan memaklumkan bahawa terdapat pindaan dalam ketiga-tiga pertuduhan iaitu dengan meminda perkataan “kerajaan Malaysia” kepada “sokongan kamu (Chan) sebagai menteri pengangkutan”.

Oleh itu mengikut pertuduhan pindaan itu Chan didakwa menipu bekas perdana menteri itu dengan memperdayakan beliau (Abdullah) bagi meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk menjalankan pembangunan projek hab penghantaran di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja-kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006 bernilai RM1.9 bilion.

Menyembunyikan fakta kos

Chan, 55, didakwa dengan curangnya menyembunyikan fakta pembiayaan kos pembangunan akan dibiayai melalui bon oleh KDSB melalui Transshipment Megahub Berhad dengan sokongannya sebagai menteri pengangkutan.

Bekas menteri itu dituduh melakukan kesalahan itu di tingkat empat blok utama di pejabat Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Chan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Hakim Zamani menetapkan tarikh perbicaraan itu bermula dari 2 April sehingga bulan Ogos, sambil mengingatkan kedua-dua pihak untuk bersikap profesional bagi memastikan perbicaraan berjalan lancar.

“Ini adalah kes berprofil tinggi dan mendapat perhatian ramai jadi saya bercadang untuk memulakan perbicaraannya seawal Januari tetapi mahkamah membenarkan kes ini bermula April selepas mempertimbangkan permohonan pihak pembelaan yang memerlukan lebih masa untuk memperolehi semua dokumen berkaitan daripada pendakwaan,” katanya.

`Kertas kabinet’

Hakim Zamani merupakan salah seorang hakim di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan ditugaskan mengendalikan perbicaraan ini.

Di awal prosiding hari ini, peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Chan berkata walaupun pihaknya ada menerima dokumen-dokumen daripada pihak pendakwaan, tetapi memerlukan lebih banyak lagi dokumen berkaitan ‘kertas kabinet’ khususnya berkaitan isu bon.

“Kami memerlukan dokumen-dokumen berkenaan secepat mungkin dan berharap pihak pendakwaan akan memberikan kerjasama dan kami tidak berniat sama sekali untuk melengah-lengahkan perbicaraan,” kata Tan.

Nordin memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telahpun menyerahkan ‘kertas kabinet’ dan bersedia menyerahkan dokumen-dokumen lain sekiranya pihak pembelaan menyatakan secara spesifik apakah dokumen-dokumen tambahan yang lain.

Selepas prosiding hari ini, Nordin memberitahu pemberita selain Abdullah, pihak pendakwaan akan memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan dalam kes itu.Bernama

Malaysia lahir golongan ‘cendawan’ bukan cendekiawan - Prof Madya Zaharom

Ahli akademik Malaysia menyifatkan kebebasan akademik hanya mitos sedangkan realitinya para pensyarah dan pelajar dihimpit dengan pelbagai sekatan yang dikenakan terhadap mereka.



Pensyarah di Universiti of Nottingham, Prof Madya Zaharom Naim berkata disebabkan sekatan itu juga mewujudkan perkembangan golongan ‘cendawan’ dan bukannya ‘cendikiawan’.

“Malah lebih malang, ia mewujudkan golongan akademik yang kurang sensitif terhadap isu terkini sehingga boleh diklasifikasikan sebagai minda kelas ketiga,” katanya selepas ditemui dalam Forum ’Kebebasan Akademik di Malaysia’ di Kuala Lumpur semalam.

Zaharom berkata, kebebasan akademik hanya mitos seperti kebebasan media. Ahli akademik tidak fikir tentang ini malah jauh sekali untuk pertahankan. Sekatan rasmi seperti akur janji di universiti oleh pensyarah dan pelajar hanya untuk menekan.

“Sistem penghargaan melalui kenaikan pangkat hanya mewujudkan golongan yang mementingkan diri dan tidak ambil tahu,” terang beliau. Golongan cendawan berkembang dan bukannya cendikiawan kerana melihat kerja mereka sebagai pekerjaan biasa dan bukannya satu profesion.

Ujar beliau, “peranan utama ahli akademik adalah untuk mengekalkan kuasa sedia ada dalam masyarakat tanpa mempersoalkannya.

Bagi mereka soal-mempersoal adalah kerja orang lain.

“Inilah minda tahap ketiga dan mungkin ia akan jadi lebih teruk,” katanya, merujuk kepada tindakan disiplin terhadap pensyarah undang-undang Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini.

Golongan intelektual jadi pak turut

Katanya, kejadian yang menimpa Aziz Bari akan mewujudkan kaki bodek dan penakut yang dihasilkan melalui sistem ahli politik dalam golongan tertentu. Peristiwa malang ini diwarisi dalam sistem pendidikan Malaysia dan implikasinya menghasilkan intelektual yang rendah daya inteleknya.

“Wujud hamba Allah Aziz Bari yang ditekan akan mewujudkan 10 kaki bodek dan 10 kaki penakut. Ini dihasilkan melalui sistem sosialisasi oleh ahli politik untuk golongan tertentu. Implikasinya nilai intelektual akademik rendah sehingga menghasilkan hujah bodoh yang tidak dicabar.

“Wujud pejuang hak asasi disifatkan seperti golongan komunis. Golongan intelektual enggan beri pendapat dan hanya tunggu arahan orang atas. Mereka tiada pendirian langsung dan hanya jadi pak turut,” katanya.

Sementara itu, Datuk Dr Denison Jayasooria dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, kredibiliti ahli akademik akan dipertikaikan apabila menyuarakan pandangan mereka kepada umum.

“Apabila mereka (ahli akademik) bersuara atau mengkritik secara terbuka kepada umum mereka akan dikatakan sebagai pembangkang, NGO,” katanya.

Forum ‘Kebebasan Akademik di Malaysia’ dianjurkan Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia dan Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM).

Ahli panel terdiri daripada Profesor Wan Manan Wan Muda dari Universiti Sains Malaysia, Dr Denison Jayasooria, Profesor Zaharom (Universiti of Nottingham) dan Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) Mohd Zaki Sukery. Turut hadir Aziz Bari dan kira-kira 30 ahli akademik lain.
Related Posts with Thumbnails