Selasa, 3 Mei 2011

Sumpah Secara Mubahalah, Edisi Pencerahan

Oleh Mohamad Isa bin Abd Ralip

PGSM dengan ini mengeluarkan kenyataan tentang pendirian PGSM sebagaimana berikut:

PGSM menyatakan bahawa sumpah di dalam Islam memadai dengan melafazkan lafaz sumpah dengan nama Allah iaitu Wallahi, Wabillahi dan Watallahi serta tidak perlu memegang atau mengangkat al-Quran. Ini adalah kerana perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya tersebut adalah budaya orang Kristian bersumpah dan mereka bersumpah memegang bible.

Mubahalah memerlukan kehadiran kedua-dua pihak yang bertentangan berada di dalam satu majlis. Seorang individu akan melafazkan sumpah dengan nama Allah dan menyatakan bahawa beliau akan dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat sekiranya dia tidak bercakap benar. Sumpah ini kemudiannya akan diikuti oleh satu pihak yang satu lagi yang akan bersumpah dengan nama Allah dan sekiranya beliau tidak berkata benar maka laknat Allat akan turun padanya di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain dengan sumpah ini, kedua-dua pihak akan saling sumpah menyumpah dan cabar mencabar supaya diturunkan laknat kepada sesiapa yang berbohong.

Di dalam Islam sumpah seperti ini dibenarkan bagi tujuan untuk membersihkan diri seseorang itu daripada sesuatu tuduhan (tohmah) dan sumpah tersebut dipanggil sumpah tohmah. Sumpah ini sangat besar kesannya kerana dibuat atas nama Allah dan laknat Allah akan menimpa pembuat sumpah tersebut di dunia dan akhirat. Walaubagaimanapun sumpah seperti ini adalah bertujuan semata-mata bagi membersihkan nama seseorang dari sebarang tohmah dan ianya bukan suatu kaedah untuk menuduh orang lain atau mensabitkan seseorang itu bersalah.

Ini adalah kerana di dalam Islam serta perundangan negara kita ada kaedah serta undang-undang yang telah digariskan bagi mendakwa seseorang itu melakukan sesuatu kesalahan. Di dalam undang-undang Jenayah Syariah, kaedah yang ditetapkan bagi menyatakan seseorang yang dituduh itu melakukan sesuatu kesalahan adalah dengan pihak pendakwa atau orang yang membuat tuduhan mengemukakan bukti ke Mahkamah. Oleh itu, beban untuk membuktikan suatu dakwaan itu adalah terletak kepada orang yang mengemukakan dakwaan, dan mengkehendaki Mahkamah percaya akan kewujudan perkara di dalam dakwaan tersebut.

Ini selaras dengan peruntukan seksyen 73 (1) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan – ”Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah memberikan penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan fakta itu wujud.”

Selanjutnya Akta yang sama menyatakan cara memberikan keterangan di dalam kes-kes jenayah syariah, keterangan hendaklah diberikan oleh pendakwa dan tertuduh, melainkan jika tertuduh mengaku salah. Seksyen 87 (3) Akta Keterangan memperuntukkan bahawa – ”Dalam kes jenayah, keterangan hendaklah diberikan bagi pendakwa dan bagi tertuduh melainkan jika tertuduh mengaku salah.”

Oleh yang demikian, sesuatu dakwaan terhadap sesuatu kes itu hendaklah dibuktikan ke Mahkamah melalui proses pendakwaan oleh pihak yang mendakwa. Adalah menjadi beban kepada pihak yang mendakwa untuk membuktikan segala dakwaan atau tuduhan di Mahkamah. Sesuatu dakwaan atau pertuduhan tersebut hendaklah dibuat di Mahkamah dan bukannya di tempat-tempat awam atau di Masjid. Ini adalah kerana masjid adalah tempat yang suci untuk umat Islam beribadat dan bukannya menjadi tempat atau gelanggang bagi menyatakan kebenarannya sesuatu dakwaannya itu adalah benar.

Orang mendakwa perlu mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya samada bukti tersebut adalah berbentuk saksi yang memberikan keterangan atau dokumen sebagai contoh laporan perubatan. Ini adalah penting bagi menyokong dakwaannya dan bukannya hanya bersumpah. Di dalam prinsip keterangan Islam sumpah sebenarnya terletak kepada pihak yang kena dakwa dan bukannya orang yang mendakwa selari dengan prinsip Islam iaitu ”Keterangan pada pihak yang mendakwa dan sumpah kepada pihak yang mengingkarinya.”

Di dalam jenayah Islam kes-kes yang melibatkan qisos seperti membunuh para fuqaha masih tidak sepakat dalam menerima sumpah sebagai dalil mensabitkan jenayah. Imam Malik, Syafie dan Ahmad berpendapat, sumpah diterima oleh Islam sebagai dalil atau bukti jenayah ke atas tertuduh jika tiada bukti lain, atau bukti tidak cukup. Sedangkan Imam Abu Hanifah berpendapat sumpah bukan suatu bukti atau dalil mensabitkan jenayah, tetapi satu cara bagi menafikan tuduhan yang dibuat oleh pendakwa ke atas tertuduh. Jenayah qisos yang dibolehkan bersumpah dalam mensabitkan jenayah hanyalah dalam jenayah membunuh sahaja.

Dalam kes-kes yang melibatkan hudud (zina, qazaf (menuduh zina), minum arak, mencuri, samun, memberontak dan murtad), sumpah hanya diterima sebahagian kecil ulama’ dalam kes-kes tertentu seperti qazaf dan mencuri sahaja.

Manakala di dalam kes qazaf (menuduh zina), menurut Mazhab Shafie, sekiranya pendakwa tidak mempunyai apa-apa keterangan atau tidak cukup bukti, maka tertuduh boleh diminta bersumpah menafikan dakwaan itu. Jika tertuduh bersumpah, maka gugurlah dakwaan itu. Walaubagaimanapun, Imam Malik dan Ahmad tidak menerima langsung sumpah sebagai satu bukti mensabitkan kesalahan qazaf.

Di dalam kes melibatkan curi, menurut Mazhab Shafie, sekiranya kesalahan mencuri tidak dapat dibuktikan maka pihak tertuduh boleh diminta bersumpah. Jika tertuduh enggan, pihak yang kena curi boleh bersumpah al-yamin al-mardudah. Tetapi pandangan ini tidak diterima oleh mazhab-mazhab yang lain. Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat sumpah hanya boleh diterima dalam kes-kes mal atau sivil sahaja.

Dalam kes-kes mal atau sivil, yakni yang melibatkan yakni yang melibatkan pertikaian suami isteri atau rumahtangga, atau perebutan harta, sumpah perlu dilakukan dalam Mahkamah setelah diperintahkan oleh Hakim untuk berbuat demikian. Seksyen 87 (1) dan (2) Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 memperuntukkan :-

”Dalam kes mal, keterangan hendaklah diberikan oleh Plaintif dan Defendan, dan jika Defendan menafikan tuntutan terhadapnya, dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut Hukum Syarak.”

”Jika Defendan mengangkat sumpah di bawah subseksyen (1), tuntutan yang dibuat oleh Plaintif hendaklah ditolak.”

”Jika Defendan enggan mengangkat sumpah, maka Mahkamah bolehlah meminta Plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.”

PGSM berpendirian bahawa di dalam kes-kes yang melibatkan jenayah syariah seperti liwat, khalwat serta persetubuhan luar nikah hendaklah dibuktikan oleh pihak pendakwa di Mahkamah dan pihak yang dituduh boleh untuk menafikan tuduhan tersebut melalui keterangan dan boleh bersumpah sekiranya diperintah oleh Hakim berbuat demikian. Namun demikian sumpah tersebut tidak mengikat hakim di dalam membuat keputusan sabitan kesnya.

Sekian untuk tujuan siaran.

Mohamad Isa bin Abd Ralip
Presiden PGSM

Isnin, 2 Mei 2011

Sumpah Eskay adalah sumpah orang jahil – bekas Mufti WP


Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Md Hashim Yahya berkata sumpah yang tidak dilakukan menurut hukum syarak, diumpamakan sebagai kerja-kerja orang jahil.

Beliau diminta mengulas tindakan salah seorang trio datuk T, Shazryl Eskay Abdullah yang melakukan sumpah laknat di sebuah masjid di Sentul kira-kira pukul 4.15 petang tadi.

Ulama terkenal itu berkata, tidak ada peruntukan dalam undang-undang Islam yang membenarkan sumpah seperti yang dilakukan Eskay, berhubung tuduhan seks terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam hukum qazaf, iaitu peruntukan untuk sabitan kes zina dan liwat, pihak yang menuduh perlu membawa empat orang saksi terlebih dahulu.

“Sekiranya gagal membawa empat saksi, yang menuduh itu akan dikenakan hukuman qazaf sebanyak 80 rotan,” ujarnya ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Bagaimanapun, sumpah li’an iaitu sumpah laknat itu pula katanya, hanya tertakluk antara suami dan isteri sahaja dan tidak ada peruntukan selain itu dalam hukum Islam.

Tambah beliau, seseorang suami yang menuduh isterinya berzina perlu melalui prosedur perbicaraan di mahkamah terlebih dahulu di mana dia perlu mengemukakan empat saksi seperti yang digariskan Islam seperti tidak fasik dan membuat dosa-dosa besar.

Sekiranya tuduhan itu tidak dapat dibuktikan, katanya, mahkamah kemudian akan memerintahkan supaya kedua-duanya melakukan sumpah li’an.

“Mereka yang menuduh isterinya berzina tapi tak dapat bawa empat saksi, maka dibolehkan kedua-duanya bersumpah.

“Kalau tak dapat bawa empat saksi suami dan isteri melakukan zina, dengan perintah mahkamah boleh dilakukan sumpah li’an. Kalau mahkamah panggil untuk kedua-duanya bersumpah, mahkamah akan perintah untuk buang kes itu. Siapa yang bersalah, itu diserahkan kepada Allah untuk menentukan.

“Tetapi ia dengan perintah mahkamah, tak boleh sendiri-sendiri bersumpah. Kalau kedua-duanya bersumpah, yang menuduh tidak kena 80 rotan dan yang dituduh pula tidak kena had zina. Qadi pula akan menjatuhkan fasakh iaitu tidak boleh rujuk sampai bila-bila.

“Kalau bukan arahan mahkamah, apa faedahnya bersumpah. Ia tidak kena dengan hukum syarak,” ujar beliau.

Tambah beliau, dalam kes bersumpah yang cuba dilakukan Eskay, ia tidak memberi sebarang ke atas pendakwaan dari sudut sistem perundangan Islam, malah semakin mengelirukan umat Islam.

“Ia tidak memberi kesan apa-apa, tambah mengelirukan umat Islam dan menyebabkan fitnah itu berterusan. Ini menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

“Ini kerja orang jahil dan tidak ada faedah.

“Kalau sumpah, orang hisap dadah, mencuri dan merompak pun boleh bersumpah dengan begitu mudah dan terlepas dari hukuman,” ujarnya.

Beliau mengulangi kisah yang terjadi kepada Hilal Bin Umaiya yang menuduh isterinya berzina dengan Sharik Bin Sahma seperti yang diceritakan dalam surah An Nur, ayat 6.

“Rasulullah kemudian berkata kepada Hilal, sekiranya dia tidak dapat membawa empat saksi, Hilal akan dihukum dengan 80 sebatan, walaupun Hilal mendakwa melihat dengan mata sendiri isterinya melakukan zina,” ujarnya.

Video Seks: Umno Burukkan Melayu MCA Lepas -Nik Aziz


KL 2 Mei 11: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Gambar) turut kecewa dengan sikap segelintir orang Melayu yang sanggup melakukan tindakan memburukkan individu tertentu sedangkan seorang pemimpin MCA terbukti melakukan perbuatan kesalahan seks, namun tidak dihebohkan seperti mana yang berlaku.

Menurut beliau, sehingga kini kerajaan, mahukan Peguam Negara tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Presiden MCA Datuk Chua Soil Lek kerana mengadakan hubungan seks di luar tabii dengan seorang wanita pada tahun 2007.

Beliau juga sekali lagi menyifatkan penyebaran video lucah sebagai cubaan terdesak pihak tertentu untuk menganiaya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai lambang "tenaga orang Melayu." Katanya, video seks itu sengaja dibuat dengan raut wajah pelaku kabur dan dalam hitam putih demi membolehkan fitnah terhadap Anwar disebarkan.

"Kalau betul nak kenakan Anwar, kena fokus pada muka, bukan pada tubuh, itu caranya,” katanya mengadakan ceramah di Kampung Parang Puting, di Kota Bharu malam semalam.

Nik Aziz meminta pengundi Melayu supaya tidak mudah termakan dengan fitnah Umno mengenai Anwar. "Jika Anwar tidak jujur, sudah lama beliau sudah merosakkan negara kerana pernah memimpin negara, selain bertindak sebagai bekas Menteri Kewangan yang bertanggungjawab mengurus pentadbiran negara."

Khamis, 28 April 2011

Datuk T Dijangka Buat Sumpah Laknat?

Mudah-mudahan mereka bertiga dilaknati.... amin

Kuala Lumpur, Tan Sri Rahim Thamby Chik, Dato Syazhril Eskay dan Dato Shuib (Trio T) akan mengadakan Satu sidang media hari ini jam 3.00 petang bertempat di Hotel Impiana jalan Pinang Kuala Lumpur

Sidang media yang akan di adakan ini di jangkakan panas dengan beberapa kenyataan dan juga ulasan mengenai Video Seks yang tersebar semalam yang di kaitkan dengan Pemimpin Pakatan Rakyat Dato Seri Anwar Ibrahim.




Dalam pada itu Trio 'Datuk T' dijangka melakukan sumpah laknat berhubung isu rakaman video seks yang didakwa membabitkan individu mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan seorang wanita dipercayai warga asing, esok.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Shuib Lazim dijangka berbuat demikian di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta dekat sini.

Sumpah laknat terbabit akan diadakan selepas solat Jumaat yang bakal dihadiri lebih 2,000 orang termasuk jemaah.

Anda juga boleh jadi spy!


Mesin yang boleh mengimbas kewujudan kamera tanpa wayar.
 
MStar | JALAN Pasar di Kuala Lumpur. Apa yang menariknya? Kebanyakan premis menjual kelengkapan eletronik termasuk sistem audio bagi teater rumah dan aksesori kenderaan.

Bagi kedai elektronik, semua tingkap kaca di luar premis mempamerkan pelbagai jenis dan saiz kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan kawalan keselamatan.

Sebaik saja penulis melangkah masuk, terdapat beberapa rak kaca turut mempamerkan beberapa produk lain seperti paket gula-gula getah, tali leher dan pemetik api.

Apakah relevannya apabila kedai elektronik menjual barangan berkenaan yang sepatutnya lebih layak dijual di kedai runcit dan kedai pakaian.
Jenis-jenis butang bagi lensa kamera intip.
 
Mungkin ada yang beranggapan ia dijadikan sebagai pendapatan sampingan peniaga. Silap. Sebenarnya, itulah antara pelaris di kedai-kedai ini.

Sama ada di luar kotak produk terbabit atau tanda promosi atau risalah senarai barangan, sudah tertera perkataan Spy Camera atau kamera intip.

Kini tiada rahsia lagi. Kamera intip begitu mudah didapati dalam pelbagai jenis dari lensa biasa sehingga ke bentuk yang mungkin tidak difikirkan kita.

Antara lain yang boleh didapati di sini adalah dalam bentuk pen, jam tangan, kalkulator, cermin mata, pemain MP3 dan kunci penggera kenderaan.

Ia mungkin kedengaran seperti yang kisah ejen perisik dalam filem-filem aksi dari namun kelengkapan itu sememangnya boleh diperoleh oleh sesiapa pun.

Hanya berbaju kemeja-T dan berseluar jeans tanpa perlu berlagak sebagai ahli korporat atau mempunyai poket tebal sekalipun, kunjungan anda tidak menimbulkan rasa curiga.

Para peniaga begitu ramah memperjelaskan tentang kamera intip, tujuan dan bagaimana untuk menggunakannya malah ada yang melakukan demonstrasi secara percuma.
Beg kecil dilengkapi dengan kamera intip.
 
Tidak perlu bimbang tentang soal harga kerana barangan itu dijual semurah RM38 dan secara puratanya adalah antara RM120 sehingga RM200 bergantung pada jenisnya.

Malah harganya boleh dirunding lagi bagi mendapatkan harga yang jauh lebih murah.

Paling kecil yang boleh didapati di sini adalah kamera intip berupa butang baju. Walaupun kecil, ia mampu merekodkan aktiviti dengan durasi sehingga dua jam.

Sedangkan satu rakaman aksi seks yang pelakonnya didakwa mirip seorang pemimpin parti pembangkang baru-baru ini pun hanya berdurasi 20 minit.

Dengan kamera sekecil itu bagi rakaman durasi selama dua jam, macam-macam boleh didedahkan dengan niat mahu mengeksploitasi individu atau organisasi.

Imejnya juga berwarna dilengkapi dengan ciri night vision untuk rakaman lebih jelas berbanding dengan kualiti visual CCTV yang pernah merakamkan aktiviti pelakon dan model terkenal Nasha Aziz di kediamannya di Jalan Ampang suatu ketika dahulu.

Mungkin pada dasarnya, kamera intip ini digunakan oleh perisik untuk tujuan pengintipan dan penyiasatan demi keperluan keselamatan dan perlindungan.
Di sebalik alat yang digunakan untuk memadam kebakaran ini tersembunyi sebuah kamera intip.
Namun jika dijual begitu meluas di tempat awam, ia sudah tentu banyak yang disalah guna bagi menelanjangkan peribadi seseorang atau membocorkan maklumat sulit.

Kamera intip kini seolah-olah seperti alat permainan. Adakah maruah dan hak peribadi manusia juga kini sewenang-wenangnya dipermainkan?

Jangan fikir kamera intip hanya menjadikan selebriti atau orang kenamaan sebagai sasaran. Rakaman lensa tidak mengenal siapa pun pelakon atau di mana lokasi penggambarannya selagi ada niat jahat daripada si ‘pengarah’.

Anda bukan saja boleh menjadi pengarah. Dengan kamera intip, anda juga boleh menjadi mangsa.
Related Posts with Thumbnails