Rabu, 13 April 2011

Mesej Khalid Kepada BN : Berpolitiklah Dengan Cara Lebih Matang


Kejayaan negeri Selangor bawah pimpinan Pakatan Rakyat yang menambat hati pengundi Sarawak menjadikan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim antara sasaran utama fitnah Barisan Nasional yang cuba meraih sokongan pengundi di negeri itu.

Khalid yang ditemui Tv Selangor hari ini melahirkan kekecewaannya dengan taktik BN itu yang sanggup menabur pelbagai fitnah mengenai kepimpinannya semata-mata untuk memastikan kelangsungan politik pemerintah.

"Itu adalah satu tindakan terdesak iaitu memburuk-burukkan (kita) tanpa asas dan fakta yang benar. Di Selangor kita lebih matang dengan perkara ini. Jadi kita harus mengambil pengajaran dan memastikan (kempen) seperti ini tidak harus digunapakai di Selangor dan Malaysia amnya,"kata beliau.

Dalam sesi dialog Bersama Masyarakat Kristian di Kuching semalam, Exco Selangor, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semalam mendedahkan pelbagai bentuk fitnah yang direka cipta Barisan Nasional untuk memburukkan pentadbiran Pakatan di Selangor.

Ini dilakukan menerusi poster-poster yang dipasang khususnya di kawasan bandar dan ruang iklan dalam suratkhabar berbahasan Cina.

Antara fitnah yang ditaburkan adalah kerajaan Selangor kononnya menaikkan harga lesen penjaja di pasar dan wujudnya larangan penjualan arak di negeri ini.

Sambil tegas menolak fitnah sedemikian, Khalid berkata BN sepatutnya mencorakkan kempennya berasaskan isu yang disokong dengan fakta dan bukanya fitnah.

"Dari segi politik, sudah tentulah kita berpendapat, semua pihak akan bertanding dan pertandingan kita mestilah atas dasar bagaimana ingin membawa pembangunan yang terbaik untuk rakyat. Jadi sebab itu apa yang kami mahu tunjukan di Sarawak ialah sejauh mana usaha kita membangunkan Selangor (berhasil) jika dibandingkan dengan pemerintahan di Sarawak yang sudah lebih 40 tahun,"katanya lagi.

Khalid berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat exco di SUK Shah Alam hari ini.

Turut Hadir, Exco Pelaburan, perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Halimah Ali.

Teresa Kok juga turut menyeru BN berkempen dengan cara yang lebih matang dan tidak memutarbelitkan fakta untuk mengaburi mata pengundi.

"Saya ingin menyeru pihak BN agar berkempen khususnya di Sarawak kini, dengan cara yang lebih matang, bercakap benar dan bukannya melaporkan perkara yang salah untuk kepentingan politik berkempen kerana ia jelas satu tipu helah,"katanya.

Khalid yang berada di Sarawak sepanjang minggu lalu, berkata rakyat Sarawak amat kagum dengan corak pemerintahan Pakatan Rakyat.

"Sangat baik, rakyat Sarawak tertarik dengan konsep Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang mana menerusi konsep MES ini kerajaan negeri memberi harapan kepada rakyat bahawa sumber kekayaan negeri akan mengalir terus kepada rakyat dan mereka juga memang menerima baik konsep 'Hasil Negeri Untuk Rakyat' .

"Apabila saya berada di Sarawak dan menerangkan konsep ini mereka berharapkan konsep seumpama ini dapat dijalankan apabila pemerintahan baru berjaya ditubuhkan di Sarawak, dan untuk melaksanakannya, rakyat Sarawak perlu memlilih Pakatan Rakyat,"tambah Khalid lagi.

Pegawai SPRM Berambut Panjang Ini Hanya Mengandaikan Teoh Yang Berbaring Di Sofa


Raymond: Saya jangka beliau adalah Teoh

Rambut panjang yang dimiliki penolong penguasa kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sarawak, Raymond Nion Anak John Timban menjadi perhatian Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock, hari ini.

Raymond dikatakan adalah orang terakhir yang melihat pembantu politik DAP itu masih hidup sekitar jam 6 pagi, 16 Julai 2009.

Pesuruhjaya Dr Mohd Hatta Shahrom, seorang pakar psykiatri bertanya kepada Raymond sejak bila rambut itu disimpan dan jawabnya selama “setahun setengah yang lalu”.

Mohd Hatta: Adakah awak selasu ikat rambut?

Raymond: Tak, bukan selalu. Ada kala saya lepaskannya, Tetapi bila...

Mohd Hatta: Bila awak ikat rambut?

Raymond: Ada kala ketika merakamkan kenyataan daripada saksi. Atau berada di luar pejabat. Saya ikat rambut bagi elakkan panas.

Mohd Hatta: Kenapa awak simpan rambut panjang?

Raymond: Untuk elakkan orang mengecam atau mengenali saya. Ada kalanya ketika operasi, apabila mereka tahu dan mengenali kita, mereka akan berjaga-jaga.

Mohd Hatta: Adakah rambut awak panjang sebelum bekerja di SPRM?

Raymond: Ya, ini perkara biasa bagi kami di Sarawak, ia budaya kami.

Penolong Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sarawak, Raymond Nion Anak John Timban hari ini menafikan dakwaan yang kononnya beliau sengaja mereka-reka cerita ketika ternampak Teoh Beng Hock pada awal pagi, 16 Julai 2009 di pejabat SPRM Selangor.

Raymond turut tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam Choew Wee dari Majlis Peguam kerana pada waktu itu (6 pagi), beliau memang ternampak kelibat seorang lelaki Cina yang berbaring di sofa berhadapan bilik Pegawai Perakam SPRM Mohd Nazri Ibrahim.

Bagaimanapun, Raymond tidak dapat mengenal pasti sama ada lelaki Cina yang berbaring di sofa itu adalah Teoh kerana keadaan pada ketika itu gelap dan samar-samar.

"Saya tidak nampak dengan jelas siapa lelaki itu, tetapi saya tahu dia adalah lelaki Cina, dan mungkin dia adalah Teoh," katanya.

Raymond juga turut bersetuju dengan Choew bahawa beliau tidak pasti sama ada 'lembaga' yang dilihatnya berbaring di atas sofa dalam keadaan hidup atau tidak.

Ketika disoal Choew bagaimana Raymond mengetahui lelaki Cina itu adalah Teoh sedangkan beliau tidak mengenali Teoh sebelum ini, Raymond berkata: "Saya hanya mendapat tahu lelaki Cina yang berbaring di sofa itu adalah Teoh apabila diberitahu mengenai perkara itu oleh Hairul Ilham ketika berjumpa dengan Pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM itu di tempat letak kereta di Putrajaya, lebih kurang 4.30 petang, 16 Julai 2009".

Raymond, yang juga saksi ke-30 suruhanjaya itu, turut bersetuju dengan Choew bahawa lelaki Cina yang berbaring di sofa pada pagi, 16 Julai 2009 adalah Teoh selepas berbincang bersama dengan pegawai SPRM yang lain ketika kembali ke pejabat.

Beliau menjelaskan berdasarkan perbincangan bersama dengan pegawai-pegawai SPRM yang lain, beliau merupakan orang yang terakhir melihat Teoh pada pagi, 16 Julai 2009, selain pernah melihat Teoh untuk kali pertama di ruang tamu Penmas (Bilik Pendidikan Masyarakat SPRM, Selangor) pada pukul 12 tengah malam, 15 Julai 2009.

Raymond turut memberitahu prosiding, beliau dapat mengecam Teoh selepas pegawai penyiasat, Mohd Anuar Ismail menunjukkan gambar beliau (Mohd Anuar) bersama dengan Teoh yang juga setiausaha politik exco Selangor itu.

Sementara itu, ketika ditanya peguam Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah yang mewakili SPRM bagaimana beliau (Raymond) mengetahui bahawa lelaki itu adalah berbangsa Cina, Raymond berkata: "Saya lihat berdasarkan warna kulit yang cerah, dan saya menganggap lelaki Cina yang berbaring di sofa adalah sama dengan lelaki Cina di dalam gambar bersama Hairul Ilham".

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'. - Bernama

Ulasan GB

Pelik. Pertama, beliau menyatakan "tidak dapat mengenal pasti sama ada lelaki Cina yang berbaring di sofa itu adalah Teoh kerana keadaan pada ketika itu gelap dan samar-samar"

tetapi kemudianbeliau menyatakan:

"Saya lihat berdasarkan warna kulit yang cerah, dan saya menganggap lelaki Cina yang berbaring di sofa adalah sama dengan lelaki Cina di dalam gambar bersama Hairul Ilham

Keadaan ketika itu gelap dan samar-samar, tetapi beliau boleh menyatakan ia lelaki Cina dan kulitnya cerah!

Ini bererti samada cerita Teoh berbaring di atas sofa itu samada rekaan, atau hanyalah anggapan (andaian) semata-mata - sepertimana yang diakuinya sendiri.

Sekadar untuk rekod,


Raymond Nion berasal dari Betong, Sarawak. Beliau adalah salah seorang yang didapati menonton bahan lucah menerusi komputer di pejabatnya sebelum Teoh Beng Hock ditemui mati Julai 2009.

Sekretariat suruhanjaya pernah mengeluarkan laporan analisis penyiasat khas berhubung kandungan komputer yang digunakan oleh Raymond Nion, pegawai dari pejabat SPRM Selangor.

Sebelum ini, Suruhanjaya Siasatan Diraja mendedahkan bahawa Asisten Superintenden Mohd Ashraf Mohd Yunus juga menonton pornografi menggunakan komputernya awal pagi 16 Julai 2009 selepas menyoal siasat Teoh.

“Raymond Nion... akses laman pornografi, filem, muzik,” kata pegawai penyiasat khas suruhanjaya Michael Leslie Squires dalam laporannya.

Isnin, 11 April 2011

Pilihanraya Sarawak: BN dibayangi ‘dilema’, Pakatan mula raih sokongan

Oleh Clara Chooi


Nik Aziz ketika berceramah di kawasan Batu Kawah dekat Kuching malam tadi. — Foto oleh Choo Choy May
KUCHING — Sementara kempen pilihan raya negeri sudah pun melepasi pertengahan jalan, kehadiran pengikut dan penyokong dalam jumlah berbeza pada majlis dihadiri kedua-dua Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Barisan Nasional (BN) alami “dilemma” menuju hari penentuan Sabtu ini.

Jumlah kehadiran jelas memperlihatkan BN, yang memerintah negeri ini sejak lebih empat dekad lalu, seolah-olah berada dalam “mood” yang berbeza.

Lebih 900,000 pemilih akan keluar mengundi Sabtu ini sempena pilihan raya negeri kali ke-10.

Pengundi Sarawak yang lazimnya dilihat sebagai konservatif berduyung-duyung hadir untuk mendengar ceramah pada perhimpunan dihadiri Anwar dan beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat, antaranya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kerusi DUN Batu Kawah, yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari pusat bandar Kuching.

Menurut pemerhati sekitar 8,000 orang hadir pada majlis ceramah itu, menyebabkan kesesakan teruk kira-kira dua jam.

Pada masa yang sama, Najib hadir pada majlis bertemu pemimpin 1 Malaysia di Kuching.


Sebahagian daripada hadirin pada ceramah anjuran Pakatan Rakyat di Batu Kawah. — Foto oleh Choo Choy May
Meskipun penganjur majlis itu menggunakan bas untuk membawa orang ramai dari luar kawasan Kuching ke stadium tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan, hanya sekitar 1,000 pengikut dan penyokong hadir.

Setiap hadirin majlis itu diberikan kemeja-T 1 Malaysia dan bendera untik dikibarkan ketika pemimpin-pemimpin kerajaan BN memasuki stadium.

Mengiringi Najib selaku Pengerusi BN ialah lima calon Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), dan pemimpin-pemimpin parti komponen, antaranya Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Selepas Perdana Menteri dibawa masuk ke dewan dengan sambutan permaidani merah, sebahagian pengikut dan penyokong yang dibawa meninggalkan stadium untuk ‘bersiar’siar’ di kawasan stadium. Malah sebahagian lagi hadirin masih berada dalam kenderaan yang digunakan untuk membawa mereka.

Apabila Perdana Menteri mula berucap, hadirin dalam jumlah besar, yang memakai kemeja-T 1 Malaysia mula keluar sedikit demi sedikit dari stadium.

Mereka yang berada di dalam dewan pula memperlihatkan wajah bosan tetapi sekali sekali bertepuk apabila Najib menyampaikan poin-poin yang ‘bersemangat’ dan menarik perhatian.

Sementara Pengerusi BN itu berusaha untuk meredakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan menegaskan bahawa Ketua Menteri Sarawak itu akan melepaskan jawatannya segera selepas pilihan raya, beribu-ribu hadirin yang berkumpul di Batu Kawah bersorak gembira apabila pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat memberitahu penyokongnya supaya percaya bahawa pemimpin itu tidak akan berbuat demikian.

Menurut pemberita yang membuat liputan ceramah di Batu Kawah, Anwar menerima sokongan besar daripada hadirin.

Dalam ucapannya, Ketua Pembangkang itu meminta rakyat negeri Sarawak supaya percaya pada Pakatan Rakyat dan pemimpin-pemimpinnya sambil menambah bahawa “Pek Moh”, istilah Hokkien yang digunakan untuk menggambarkan Taib dan pemimpin dalam kerajaan, supaya belajar daripada kepimpinan Lim, Nik Aziz dan pemimpin-pemimpin yang lain.

“Mereka tidak pernah mencuri tanah rakyat,” kata beliau.

Anwar membawa pengalaman kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang dengan mengatakan bahawa di “Selangor, anda mendapat air percuma tetapi di Sarawak, hanya air hujan yang percuma.”

Rakyat Sarawak akan keluar mengundi Sabtu ini, persekitaran yang cukup getir bagi BN manakala Pakatan Rakyat memperlihatkan peningkatan sokongan.

Sementara pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengakui bahawa BN akan mempertahankan negeri bumi Kenyalang ini, tetapi ramai juga berpandangan bahawa pihaknya akan mengurangkan jumlah kerusi dimenangi perikatan itu.

Kini, BN mempunyai 63 kerusi di Dewan Undangan Negeri manakala DAP enam, PKR dan Parti Cinta Malaysia masing-masing satu.

Kedudukan BN Sarawak kini 50:50


(Sambutan rakyat kepada ceramah Pakatan Rakyat di Batu Kawa, Kuching malam tadi)

HarakahDaily | BINTULU, 11 April: Laporan kedudukan Barisan Nasional (BN) Sarawak 50:50 bukan lagi perang saraf dalam alam siber tetapi kini sudah menjadi realiti di kalangan penduduk Sarawak bahkan menjadi igauan ngeri pemimpin BN Sarawak.

Mimpi ngeri ini bukannya lagi berada pada bibir-bibir mulut pemimpin Pakatan Rakyat tetapi kini dalam tubuh para pemimpin parti-parti komponen BN di Sarawak yang sudah terasa kehadirannya sejak kempen bermula.

Inilah laporan lapangan yang boleh dbuat dari Bintulu sekarang, kata jurucakap PAS Bintulu dalam laporannya kepada Harakahdaily.

"Yang paling kurang akan berlaku dalam pilihan raya ini menurut maklumat yang kami dapat dan mood rakyat Sarawak adalah BN akan hilang kuasa 2/3 dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak akan datang," tulis laporan itu.


Kenyataan dari pemimpin kecil PBB di peringkat cawangan bahawa tidak mengundi BN diibaratkan
MENDERHAKA adalah ciri ketakutan dan bolehlah dijadikan satu slot dalam filem “Hantu Mak Limah balek Kampong”.

Ia dibuat untuk menambahbaik lagi kelucuan jalan cerita dalam filem tersebut, katanya.
"Kami berkeyakinan pertandingan sengit akan berlaku semasa pilihan raya di seluruh Sarawak,  bukan di bahagian-bahagian tertentu sahaja.

"Bak kata orang-orang bae (bintulu) “ yak lah masanya selau BN mulik mapun Kuala Lumpur” ( inilah masanya BN balik ke Kuala Lumpur)," katanya.

Penduduk tempatan tahu, keadaan pribumi Sarawak terutama kaum Iban sangat menyedihkan.
(Penempatan Iban di Kampung Sg Plan, DUN Kidurong, Bintulu)

Mereka menjadi alat penerokaan dan pemberi hasil lumayan untuk ekonomi Sarawak dalam keadaan mereka tidak sedar mereka  hanya menjadi alat untuk mengkayakan pemimpin kapitalis di bumi mereka sendiri.

Satu persoalan besar di sini, adakah bekas penyandang Ketua Menteri Sarawak ketika ini, Tun Patinggi Taib Mahmud masih tidak terasa malu dalam meminta undi agar rakyat tetap menyokong kerajaan beliau dan BN.

Usaha Najib tekan Taib gagal

Menjelang hari penamaan calon baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yasin dikatakan gagal untuk memujuk Taib Mahmud agar mengundurkan apabila kedua-dua tidak menerima syarat yang dikenakan Taib.

Ekoran itu, Taib tidak pernah memberikan kata putus bilakah beliau akan berundur walaupun Najib terus menekan beliau agar berundur dalam kempennya di Sarawak. Semalam Najib mengulangi lagi janji ini di depan rakyat Sarawak,  namun adakah Taib bersetuju, tidak diketahui.

Bagi penduduk Sarawak, cara paling baik untuk memastikan Taib berundur adalah mengalahkan BN di Sarawak dan memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri itu.

"Tidak salah memberikan kepercayaan kepada Pakatan dalam usaha untuk memberikan kuasa kepada rakyat kerana selama ini rakyat hanya dipergunakan untuk kekayaan pihak Kuching dan Kuala Lumpur sahaja," kata seorang pensyarah universiti tempatan di Sarawak kepada Harakahdaily.

"Kalau pemilihan Pakatan tidak betul, kita boleh tukar balik dalam pilihan raya akan datang. Di Semenanjung, rakyat boleh buat di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Perak dalam pilihan raya umum lalu. Nampaknya rakyat di sana selesa bahkan banyak kebaikannya, kenapa tidak kita di Sarawak," tambah beliau yang enggan namanya disiarkan.

Rebut Tupperware di ceramah Najib

Rakyat yang dirampas kebebasan, harta pusaka dan hasil bumi masih lagi dianak-anak dengan ole-ole.

najib rally kuching 100411
Kekecohan berlaku di stadium tertutup MBKS malam semalam selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razal meninggalkan tapak perhimpunan ceramahnya kerana hadirin berebut cuba mendapatkan 'ole-ole' yang dibawanya - iaitu bekas makanan dan minuman berjenama Tupperware.

Ketika 2,000 orang beredar dari stadium itu, ratusan lagi mengerumuni pintu masuk untuk merebut bag 'ole-ole' yang diberikan secara percuma itu.

Bag itu mengandungi poster Najib dan sama ada sebuah bekas makanan atau minuman daripada jenama terkenal Tupperware.
Apabila keadaan menjadi tidak terkawal, beberapa pekerja terpakasa memindahkan kotak-kotak barangan itu daripada pintu masuk.

Jatuh tergolek

Sebaik sahaja kotak yang dibawa mencecah lantai, puluhan orang lagi akan menyerbu ke arah tersebut. Kebanyakan mereka adalah golongan berusia dan kanak-kanak yang terus mengoyakkan kotak itu dan merampas 'ole-ole' yang ada.

najib rally kuching 100411 tumblersDalam kekecohan itu, ramai yang jatuh. Seorang wanita tua dilihat tergolek di lantai tetapi terus berpegang erat kepada bag yang berjaya diambilnya itu.

Wartawan dan anggota polis yang berada di lokasi tercenggang melihat kejadian yang tidak disangkakan dan ada yang menasihatkan orang ramai supaya bersabar menunggu giliran mendapat hadiah daripada BN itu.
Seorang hadirin memberitahu Malaysiakini bahawa beliau datang apabila terbaca di akhbar mengenai program anjuran BN yang menjemput semua penduduk sekitar Kuching.

“Ada makanan dan hadiah percuma. Sesiapa pun akan datang,” kata lelaki pertengahan umur yang tidak mahu namanya disiarkan.

Ditanya sama ada beliau datang untuk menyokong perdana menteri dan BN, lelaki itu berkata dia hadir untuk melihat wajah Najib secara dekat.

najib rally kuching 100411 foodSeorang wanita tua pula berkata, beliau dan penghuni sebuah rumah pangsa dibawa dengan bas dari Jalan Ban Hock. Katanya, akibat kekecohan itu, dia gagal mendapat bag 'ole-ole' BN itu.

Sebelum majlis bermula, semua hadirin diberikan sehelai kemeja T 1Malaysia dan diminta menyarungkannya ketika itu juga. Hadirin juga diberikan burger dan air minuman botol.
Related Posts with Thumbnails