Selasa, 8 Februari 2011

Terpaksa Nikahkan Anak Tebus Hutang Mat Karpet

ALOR SETAR: “Disebabkan ibu tak mampu membayar hutang karpet kira-kira RM3,000, saya terpaksa berkahwin dengan lelaki Pakistan yang menjual permaidani itu untuk melangsaikan hutang.

“Namun, selepas berkahwin pada Mac lalu, baru saya tahu dia tidak jujur kerana selepas enam bulan, suami meninggalkan saya tanpa khabar berita,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Hashimah, 29.

Dia yang kesal berkahwin dengan Mat Karpet itu berkata, semuanya bermula selepas ibunya membeli empat helai karpet daripada lelaki asing itu, tiga tahun lalu.

“Ibu saya beli secara bayaran ansuran RM30 sebulan, itu pun jika ada duit. Malangnya, ibu gagal membayar ansuran selama dua tahun sehingga bunga semakin meningkat.

“Lelaki terbabit meminta ibu menjelaskan hutangnya. Apabila ibu memberitahu dia tak ada duit, lelaki itu minta dikahwinkan dengan saya sebagai syarat untuk melangsaikan semua hutang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kuala Kedah, di sini, semalam

Hashimah berkata, kerana tiada pilihan selain bimbang nasib keluarganya terancam dia hanya mengikut kata-kata lelaki itu dan keluarganya.

Menurutnya, majlis pernikahannya diadakan secara kecil-kecilan dengan dihadiri saudara-maranya serta beberapa rakan lelaki itu.

“Majlis kenduri termasuk akad nikah diadakan di rumah saya dan ia dibuat secara kecil-kecilan,” katanya.

Menurutnya, pada awal perkahwinan tiada apa berlaku, tetapi selepas enam bulan, baru dia tahu yang suaminya mengaut keuntungan berlipat kali ganda hasil perniagaan karpet.

“Dia beli sehelai karpet daripada rakannya RM65, tetapi menjualnya kepada orang kampung sehingga RM400 dengan mendakwa ia berkualiti selain sukar didapati di negeri ini. “Saya anggap ibu dan ramai penduduk kampung yang membeli karpet daripada suami saya tertipu,” katanya.

Hashimah yang bekerja di sebuah pasar mini, dekat sini, berkata sejak itu dia mula meragui suaminya, malah mendakwa penjual karpet dari Pakistan datang ke negara ini hanya untuk berkahwin dengan gadis tempatan sebelum meninggalkan mereka.

“Apa yang berlaku ke atas saya mengaibkan, namun saya sedia mendedahkan untuk memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak mengalami nasib sama,” katanya.
Sementara itu, Harian Metro turut menemubual seorang Mat Karpet warga Pakistan di Jitra yang ketika itu rancak menjual permaidani kepada penduduk di Kampung Padang Sera, di sini.

Mat Karpet yang dikenali sebagai Bakti, 47, itu berkata, dia sudah lama menjual karpet di bandar ini, Jitra dan Perlis dengan menunggang motosikal sendirian sejak 20 tahun lalu sehingga mendapat taraf kerakyatan negara ini.

Katanya, karpet yang dijualnya itu buatan China yang dijual RM300 hingga RM500 sehelai dan pelanggan akan membayar ansuran RM30 hingga RM40 sebulan kerana tidak berkemampuan.

“Ada juga pelanggan tidak membayar ansuran bulanan, tetapi saya kasihan kerana ramai antara mereka orang susah.

“Ramai juga rakan saya yang menjual karpet berkahwin dengan gadis tempatan kerana ibu bapa mereka tidak mampu membayar hutang dan itu cara untuk melangsaikan hutang,” katanya yang mengakui lebih 10 rakannya menjalankan kegiatan menjual karpet di negeri itu.

Bakti mengakui harga sebenar karpet dijualnya jauh lebih murah, tetapi disebabkan mahu mengambil untung dan kos pengangkutan dia menjualnya pada harga tinggi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail mengesahkan menerima lebih 20 aduan penduduk tempatan yang tidak puas hati dengan peniaga karpet, kebanyakannya rakyat Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.

“Bagaimanapun, kes membabitkan peniaga karpet dari Pakistan yang dikesan bernikah dengan gadis tempatan hanya dua iaitu di Kulim dan Kuala Kedah,” katanya.

Yusoff berkata, lelaki warga asing terbabit kebiasaannya menjual karpet pada harga dua kali ganda lebih mahal berbanding harga pasaran walaupun tidak bermutu tinggi.

“Biasanya, mereka akan memujuk pelanggan supaya membeli karpet dan boleh membuat bayaran secara ansuran serendah RM20 setiap bulan.

“Kes ini kebanyakannya dikesan di luar bandar membabitkan pembeli yang tidak mampu membeli secara tunai. Apabila mereka gagal melunaskan hutang, Mat Karpet memberi pilihan supaya dikahwinkan dengan anak gadis mereka dan semua hutang termasuk bunga yang tinggi dikira selesai,” katanya. - hmetro

Safee Mohd Sali Pilih Pelita


SAFEE (kanan) berazam bantu Pelita Jaya keluar daripada zon penyingkiran Liga Indonesia.



TEKA-TEKI mengenai hasrat penyerang skuad Liga Super Selangor, Mohd. Safee Mohd. Sali untuk beraksi di luar negara akhirnya terjawab. Penyerang berusia 27 tahun itu sah akan beraksi bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya bermula pada 14 Februari ini.

Pengumuman berhubung perkara itu dibuat oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad pada satu sidang media di Wisma FAS, Kelana Jaya semalam.

Menurut Mokhtar, selain Pelita Jaya, pihak FAS telah menerima tiga lagi tawaran daripada kelab Indone- sia yang turut menyatakan hasrat mereka mendapatkan khidmat Safee.

Bagaimanapun, pihak FAS telah memutuskan untuk menerima tawaran yang dibuat oleh Pelita Jaya kerana menganggap ia adalah yang terbaik.

“Kami (FAS) tidak menggunakan mana-mana ejen. FAS sendiri bertindak sebagai ejen kepada Safee.
“Disebabkan Datuk Hamidin Mohd. Amin (Setiausaha Agung FAS) mempunyai hubungan yang erat dengan pegawai bola sepak di Indonesia, segala rundingan berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang masalah.

“Kontrak telah disediakan dan majlis menandatanganinya akan diadakan pada Isnin depan (14 Februari) di Indonesia,” kata Mokhtar.

Sidang media itu turut dihadiri oleh Safee sendiri, Hamidin dan pengurus merangkap ketua juru- latih Selangor, K. Devan.

Bagaimanapun, FAS tidak mendedahkan jumlah bayaran yang dikenakan ke atas Pelita Jaya bagi menebus kontrak Safee bersama Selangor yang hanya akan tamat pada November depan.

Jelas Hamidin, pihak FAS dan Pelita Jaya telah bersetuju untuk tidak mendedahkan nilai perpindahan dan jumlah gaji yang bakal diterima oleh Safee.

“Apa yang saya boleh katakan adalah Safee akan mengikat kontrak selama setahun bersama Pelita Jaya iaitu sehingga 31 Januari 2012.

“Namun, mengikut syarat yang telah ditetapkan, Safee perlu kembali beraksi bersama Selangor sebaik sahaja kontraknya tamat kelak.

“Jadi perlawanan antara Selangor dengan Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung di Stadium Shah Alam Sabtu ini akan menjadi perlawanan terakhir buat Safee dengan Selangor,” jelas Hamidin.

Isnin, 31 Januari 2011

Video Seks: Ariel Peterpan Dipenjara 3 & Didenda RP250 juta

[kosmo] BANDUNG — Vokalis Ariel Peterpan atau nama sebenarnya Nazriel Irham, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan dan didenda Rp250 juta atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Dearah Bandung hari ini, setelah didapati bersalah membuat dan mengedar video pornografi melibatkan dirinya sebagai pelaku dengan artis Luna Maya dan Cut Tari.

Keputusan itu dibaca oleh Ketua Majelis Hakim kes itu, Singgih Budi Prakoso pada perbicaraan secara terbuka yang penuh sesak dengan orang ramai serta wartawan. Sebelum ini, perbicaraan diadakan secara tertutup.

Mendengar keputusan itu, beberapa wanita peminat Ariel kelihatan menangis.

Hukuman itu adalah lebih ringan daripada tuntutan pihak pendakwaan pada 6 Jan lepas yang meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun ke terhadap penyanyi itu.

Dalam keputusan hari ini, majlis tiga orang hakim sepakat menyatakan bahawa Ariel terbukti melanggar Undang-undang Tentang Pornografi 2008 dan Undang-undang Jenayah. — Bernama

Ayat Al-Quran & Hadith Hilang Dari Buku Doa

Alor Limbat – Seorang wanita yang juga guru mengaji dari Kampung Belukar Sukai, Beladau Kepong terkejut apabila mendapati tulisan ayat al-Quran dan hadis di beberapa helaian buku doa haji dan umrah miliknya hilang.

Kejadian ini disedari ketika Aisyah Deraman, 59, membaca buku itu selepas sembahyang Isyak Isnin lalu dan dia mendapati tulisan di beberapa helaian buku lenyap walaupun sebelum ini tulisan tersebut ada dan boleh dibaca.

“Saya tidak pernah melihat helaian kosong sebelum ini. Jika ia hilang disebabkan tindak balas kimia, mengapa hanya lapan helai sahaja yang hilang dan tidak di muka surat lain,” katanya semalam.

Lebih mengejutkan, Aisyah berkata, apabila buku itu diserahkan kepada seorang peniaga, Malek Mustaffa, 43, pada Rabu minggu lalu untuk disimpan, Malek memberitahu bahawa tulisan pada empat lagi helaian dalam buku tersebut didapati hilang selepas itu.

Aisyah yang lebih mesra dikenal sebagai Kak Mah oleh penduduk setempat berkata, dia membeli buku tersebut 10 tahun lalu dan membacanya sebanyak tiga atau empat kali dalam tempoh seminggu.

Menurutnya, buku itu disimpan dengan baik dan tidak pernah terkena air atau bahan kimia.

“Kehilangan ayat dalam buku doa itu disifatkan pelik walaupun sebelum ini saya pernah mendengar dan membaca di akhbar mengenai ayat suci pada helaian al-Quran hilang,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian menemui Malek untuk melihat lebih dekat naskhah buku himpunan doa tersebut dan mendapati tiada kesan ia sengaja dipadamkan atau kemungkinan helaiannya sengaja ditukarkan.

Malek ketika ditemui Sinar Harian di Masjid Pengadang Baru di sini, turut menyifatkan ia sesuatu yang luar biasa dan kehilangan tulisan di helaian buku itu pula baginya mungkin sebagai satu peringatan kepada umat Islam.

“Walau apa pun yang berlaku hanya Allah SWT sahaja yang tahu dan Dia maha berkuasa ke atas segala sesuatu dan ini mungkin peringatan kepada kita sebagai umat Islam,” katanya.



Mungkin sebab tindakbalas kimia: Imam Besar

Kejadian tulisan di beberapa helaian buku Himpunan Doa, Haji dan Umrah milik seorang guru mengaji di Kampung Belukar Sukai, Beladau Kepong, Marang hilang secara tiba-tiba mungkin disebabkan oleh faktor kimia.

Imam Besar Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, perkara tersebut boleh berlaku sekiranya dakwat yang digunakan untuk mencetak buku terbabit kurang berkualiti sekali gus menyebabkan ia tidak mampu bertahan lama.

Menurutnya, ia bukanlah satu perkara pelik atau aneh kerana kejadian helaian buku menjadi kosong kerana tulisan hilang secara tiba-tiba pernah berlaku sebelum ini dan ia dipercayai berpunca daripada tindak balas kimia.

Bagaimanapun Aizi Saidi berkata, walau apa juga puncanya, orang ramai khususnya yang beragama Islam perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada kejadian itu kerana ia pernah dinyatakan dalam al-Quran.

“Dalam agama, kita perlu ambil iktibar daripada setiap apa yang berlaku dan ia mungkin ada kaitan dengan amalan kita selain keadaan ajaran Islam sekarang yang nampaknya kurang dipraktikkan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di Kuala Terengganu, semalam.



Umat Islam perlu ambil iktibar: Mustaffa Kamal

Pengerusi Ikatan Pendidikan Tauhid Tasawuf (Iptaf), Mustaffa Kamal Hamzah menganggap kejadian tulisan di beberapa helaian buku doa hilang sebagai peringa-tan daripada Allah SWT.

Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku kepada buku doa tersebut yang dimiliki seorang guru mengaji wanita dari Kampung Belukar Sukai, Beladau Kepong itu.

Menurutnya, insiden itu boleh dikatakan sesuatu yang agak pelik kerana tulisan hilang secara tiba-tiba dan ketika zaman kanak-kanak beliau pernah mendengar kejadian sama berlaku kepada al-Quran.

Mustaffa Kamal berkata, Allah boleh menunjukkan kekuasaannya sebagai pencipta alam ini kepada manusia dengan pelbagai cara dan kes tersebut mungkin salah satu daripadanya.

“Jadi, kita kena ambil berat terhadap perkara ini dengan sentiasa membaca al-Quran, jangan leka hingga melupakan al-Quran.

“Ini penting kerana satu hadis ada menyebut bahawa kita perlu sentiasa membaca al-Quran sebelum al-Quran diangkat oleh Allah” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di Kuala Terengganu, semalam. -SH

Suami puja keris setiap malam



ALOR GAJAH: “Saya terjaga daripada tidur apabila terdengar suara suami seperti sedang meratib atau berzikir dengan kuat. Apabila saya intai ke dalam biliknya, saya terkejut melihat perbuatannya yang pelik.

“Dia bukannya berzikir, tapi membaca mantera dengan bahasa yang saya tidak fahami. Dia duduk di atas sejadah, tapi tak menghadap kiblat dan tangannya memegang satu keris kecil.

“Dia seolah-olah memuja keris itu,” kata wanita yang mahu dikenali sebagai Humairah mengenai amalan aneh suaminya kononnya untuk menambah rezeki keluarga mereka selepas diberhentikan kerja sejak setahun lalu.

Humairah, 25, dari sebuah kampung di sini berkata, dia mengesan amalan pelik suaminya yang berusia awal 30-an selepas curiga dengan sikapnya yang jauh berubah berbanding sebelumnya.

Menurutnya, selepas kira-kira seminggu diberhentikan kerja, suaminya yang berasal dari Filipina, tetapi sudah memeluk Islam sering memerap di dalam bilik sambil membaca sesuatu dalam bahasa sukar difahami.

Humairah yang ditemui Harian Metro ketika menjalani rawatan dengan seorang pakar perubatan Islam di sini berkata, keadaan bertambah parah apabila dia mengesan suaminya menjalin hubungan dengan wanita warga Indonesia yang sudah berusia hampir 50 tahun.

“Sejak menjalin hubungan dengan wanita itu, suami saya kerap berulang alik ke Filipina atau Indonesia bersama kekasih gelapnya. Ada kalanya sehingga berminggu-minggu dia tak pulang ke rumah.

“Jadi, saya yang terpaksa berkerja keras menanggung kehidupan kami serta tiga anak kami yang berusia 10 bulan hingga lima tahun,” katanya.

Humairah berkata, pada mulanya dia sukar percaya suaminya menjalin hubungan dengan perempuan lain, namun selepas sikap suaminya jauh berubah kerana suka menyendiri dalam bilik dan selalu tidak pulang ke rumah, dia yakin ada yang tidak kena.

“Keyakinan saya nyata berasas selepas terjumpa tangkal hitam dan botol minyak berisi akar kayu berbalut kain hitam serta dua keris kecil dalam lipatan cadar katil dalam biliknya.

“Saya semakin terpanggil untuk menyelidik lebih mendalam apabila selalu terjaga daripada tidur pada kira-kira jam 11 malam dan mendengar suara suami membaca mantera dengan kuat di dalam biliknya,” katanya.

Menurut Humairah, rasa ingin tahun itulah yang mendorongnya mengintai perbuatan suaminya dan ketika itulah dia mengesan amalan aneh suaminya ketika memuja keris kecil miliknya.

Katanya, kebiasaannya selepas selesai acara pemujaan itu, suaminya keluar rumah ke tempat tidak diketahuinya dan hanya akan pulang sekitar jam 5 pagi sebelum terus tidur hingga tengah hari.

“Saya kemudian membawa barangan pelik termasuk keris kecil milik suami kepada ustaz dan saya diberitahu semua itu amalan syirik yang bertentangan dengan Islam.

“Mujur, suami saya sedia mengikut saya untuk berubat. Apabila saya tanya mengenai barangan peliknya itu dia memberitahu ia pemberian kekasih gelapnya dan memujanya setiap malam supaya orang mudah kasih kepadanya dan rezeki bertambah murah,” katanya.

Humairah berkata, dia bersyukur kerana selepas melalui beberapa sesi rawatan pemulihan menggunakan al-Quran suaminya semakin pulih dan sudah insaf dengan perlakuan songsangnya. -hm
Related Posts with Thumbnails