Isnin, 11 Oktober 2010

Info Tak Enak Dato' Rahman Palil, Suspek Terbaru Kes Bunuh Sosilawati



Abdul Rahman Palil..tiba-tiba namanya jadi gah hari ini. Gah bukan kerana apa, tapi gah kerana kes bunuh. Dia dilaporkan oleh Malaysiakini sebagai individu yang melindungi suspek kes bunuh Sosilawati. Lagipun dia merupakan pengarah syarikat yang dibawahnya turut disertai oleh suspek. Kalau nak tubuh syarikat, mesti ada kenal satu sama lain. Jadi nampaknya si Rahman Palil ni kena bebenor dengan suspek pembunuh ini.

Dan sebelum ini pun, bekas Exco Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Selangor yang mula jawat jawatan sejak 2004 ini seringkali terpalit dengan kes roswah dan penyelewengan. Antaranya :

Didapati bangkrap kerana menipu dalam urusan jual beli tanah (sini)

Skandal PKFZ. Beli RM 3 sekaki, jual pula RM 29.. (sini)

Bahkan dia sebenarnya menang free dalam Pilihanraya Umum lalu kerana ada seekor mamat PKR yang tak hadir hari penamaan kerana pergi 'bercuti' di Port Dickson. Bahkan dikatakan mamat berudu yang cepat sangat bertukar katak ini sebenarnya dibeli oleh adun umngok sementa ini..

Apalagi polis, jadikanlah dia ni sebagai suspek juga. Sebab nampak sangat si suspek pembunuh ini dilindungi oleh orang 'besar' yakni orang politik. Untung-untung kalau mahkamah dapati dia bersubahat dalam pembunuhan bersiri peguam itu, maka ber'PRK' lah kita buat kali ke-14. Ye lah, dia pun pernah kata tak nak bertanding PRU 2008 lepas(sini)..tut, tup..dia bertanding juga sebab tahu dah menang free..

Lubang dubur Saiful Bukhari tentukan masa depan Malaysia

Lim Hong Siang

MR | Saya tidak menganggap rakyat Malaysia memerlukan drama politik sebegini, sama ada sebagai hiburan untuk meredakan tekanan hidup harian, mahupun sebagai rancangan realiti untuk meningkatkan pengetahuan seks masyarakat umum merentasi sempadan umur.

Saya tidak pasti apakah kesudahannya, malah saya lebih mencurigai apakah ia mempunyai kesudahan. Saya tidak tahu sama ada benar atau mampu Anwar Ibrahim melakukannya, saya juga tidak berminat sama ada Saiful Bukhari Azlan mencuci duburnya, bahkan saya tidak pasti versi akuan bersumpah (SD) Rahimi Osman (gambar kiri, kedua dari kiri) manakah yang ditandatanganinya tanpa paksaan.

Apa yang pasti, dubur Saiful Bukhari Azlan akan terus dijadikan tumpuan satu Malaysia, malah satu dunia. Ruang dada akhbar akan sarat dengan berita pendedahan demi pendedahan untuk menghakis dan menggoyah keyakinan rakyat terhadap Anwar Ibrahim; bekas rakan seperjuangannya akan tampil seorang demi seorang untuk membongkar "wajah sebenar" Anwar, dan ruang rencana akan menyiarkan artikel demi artikel untuk mengupas, menganalisa, malah meramalkan masa depan Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat (PR) - yang sudah tentu akan hancur dan ranap dalam masa terdekat, kononnya.

Jelas, ini kes politik

Saya menghormati proses perbicaraan mahkamah yang sedang berlangsung, malah untuk mendukung prinsip keadilan saya terpaksa menghormati juga mereka yang berhempas-pulas menegakkan keadilan, kononnya, untuk Saiful Bukhari Azlan. Namun demikian, segala-gala ini gagal mengubah hakikat bahawa Kes Sodomi II ini merupakan kes politik.

Dari segi undang-undang, Anwar Ibrahim didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan - kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabii yang melibatkan dua pihak secara sukarela. Dengan kata lain, Saiful Bukhari Azlan perlu tampil sebagai tertuduh bersama Anwar, dan bukannya pengadu yang memberi keterangan - seandainya mengikut Seksyen 377B.

Namun demikian, Saiful mendakwa dirinya diliwat tanpa kerelaan sejak awal lagi. Jadi, Anwar seharusnya didakwa di bawah Seksyen 377C, iaitu hubungan seks di luar tabii secara paksaan - barulah Saiful boleh tampil ke mahkamah sebagai "pengadu". Apa yang berlaku kini memperlihatkan kontradiksi yang ketara antara pertuduhan dengan keterangan pengadu.

Justeru itu, sukar untuk kerajaan Najib Abdul Razak meyakinkan rakyat bahawa sistem kehakiman profesional dan bebas ketika membicarakan Kes Sodomi II ini. Malah, tidak mungkin ia sekadar "kes jenayah" biasa, seandainya dilihat kepada pendekatan lidah UMNO, Utusan Malaysia membuat liputan berita ini.

Liputan luas diberikan kepada kandungan soal-jawab dalam perbicaraan mahkamah. Malah, perbincangan isu ini dilanjutkan dengan wawancara bersama bekas pemimpin PKR, yang menyindir agar "Anwar tidak perlu takut", sambil mempertikaikan "Kenapa mahu tangguh perbicaraan kalau tidak bersalah?" Kemudian bekas orang kanan tampil memohon maaf, "Kerana membela Anwar Ibrahim dalam kes liwat pertamanya". Sumpah-seranahnya bagaikan ludah ke langit, dan jatuh bagaikan hujan kebetulan ketika menjelang pilihan raya kecil...

Buktikan liwat tanpa tusukan?

Saya tidak nampak bahawa ulasan, kupasan, atau analisa yang terpampang di depan mata ketika kita menyelak akhbar ini memberi makna. Laporan pemeriksaan doktor telah menyatakan bahawa tiada kesan tusukan ditemui, namun perbicaraan tetap berjalan. Jadi, segala-gala ini seolah-olah cubaan untuk membuktikan kepada satu Malaysia, malah seluruh umat manusia di dunia ini bahawa air mani Anwar boleh sampai ke dalam dubur Saiful tanpa tusukan.

Persoalannya, jikapun dibuktikan keajaiban ini berlaku di tanahair yang tercinta ini, apakah kehebatan ini bakal mengundang pelabur asing untuk menyuntik dana ke Malaysia? Padahal, belumpun paip ekzos Saiful terbocor, seramai 304,358 orang bakat buatan Malaysia telah mengalir ke luar negeri, antara Mac 2008 hingga Ogos 2009, apatah lagi kemerosotan 81% dalam pelaburan asing langsung di Malaysia, dari US$7.32 bilion (RM23.47 bilion) pada tahun 2008, kepada US$1.38 bilion (RM4.43 bilion) pada tahun 2009?

Apakah makna yang tersirat di sebalik segala-gala ini? Ertinya, sementara kerajaan Malaysia bertungkus-lumus dalam usahanya untuk "menghilangkan keyakinan" rakyat terhadap Anwar Ibrahim, rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung akibatnya - kehilangan keyakinan daripada pelabur asing dan anak watan yang berbakat.

Jelas, Anwar Ibrahim (gambar kiri) diletakkan pada kedudukan sedemikian bukan kerana beliau Ketua Umum PKR, atau kedudukannya sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat. Bahkan, adalah kurang tepat jikalau beliau sekadar Ketua Pembangkang dalam parlimen. Kita tidak perlu menjadi Profesor Sains Politik untuk memahami hakikat Anwar Ibrahim berpotensi menjadi Perdana Menteri, dan kita tidak perlu membaca Sun Tze untuk memahami percaturan politik yang berlangsung di depan mata.

Teorinya mudah - musnahnya Anwar, maka terselamatlah Barisan Nasional.

Politik menabur dendam

Untuk tidak dilihat naif dalam politik, saya menerima babak ini sebagai sebahagian daripada pergelutan kuasa antara pemerintah dengan pembangkang, atau dalam realitinya, antara Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat. Dalam konteks Malaysia, serangan politik yang menyentuh keperibadian kadang-kala tidak dapat dielakkan, meskipun pendekatan ini amat dipertikaikan. Kita masih jauh dari persaingan politik yang sihat - perdebatan politik yang diangkat martabatnya untuk membicarakan soal struktur dan sistem.

Berbalik kepada persoalan, apakah keperluannya untuk mengaibkan musuh politik dan keluarganya dengan cara sebegitu rupa? Untuk ramai warga Malaysia yang prihatin terhadap politik, babak perebutan kuasa yang paling dahsyat dalam sejarah Malaysia melabuh tirai pada 2 September 2004 - apabila Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara. Ianya bukan soal sama ada benar Anwar Ibrahim terlibat dalam kelakuan sodomi, tetapi pengaiban dan penghinaan secara terbuka yang melampaui batas.

Pengaiban secara terbuka terhadap Anwar dan keluarganya telah menyemai benih dendam di kalangan penyokongnya. Ia amat berbeza dengan persaingan politik "siapa lebih Islam atau siapa lebih Melayu", antara UMNO dengan PAS, atau Semangat 46 pada zaman 1990-an. Penghinaan secara terbuka untuk mengaibkan seorang isteri bernama Wan Azizah Ismail, tanpa mempertimbangkan perasaan anak-anaknya - dengan aksi-aksi lucah, gambar-gambar yang diubahsuai, kata-kata yang kasar lagi kesat seperti "kaki buntut" dan sebagainya ketika berkempen, terlalu biadap namanya.

Usaha Abdullah Ahmad Badawi untuk membubuh noktah kepada babak politik yang menabur dendam ini disia-siakan begitu sahaja apabila UMNO-BN semakin terdesak di ambang hilang kuasa. Kita tidak lupa bagaimana doktor Hospital Pusrawi, Mohamed Osman Abdul Hamid membuat akuan bersumpah untuk mempertahankan laporannya (berbunyi Saiful tidak diliwat) selepas memeriksa dubur Saiful, dan kemudian menghilangkan diri kerana tidak tahan dengan gangguan dan tekanan daripada pihak berkuasa.

Dan drama ini dipentaskan semula, selepas satu dekad. Anak-cucu yang melanggan Utusan Malaysia atau Berita Harian kerana sisipan DIDIK, SKOR dan sebagainya, pada masa yang sama ditayangkan adegan bagaimana kelakuan liwat boleh berlaku - dalam bentuk bertulis... Satu generasi membesar dalam suasana media yang sarat dengan istilah "liwat", "sodomi" - imaginasi masyarakat awam digarap dengan tilam yang naik turun di mahkamah pada akhir tahun 1990-an; kini kita pula menyaksikan satu generasi lagi yang membesar dalam suasana media yang tidak banyak berbeza, mungkin cuma tilam digantikan dengan KY jelly untuk mencungkil imaginasi...

Bebas dari politik dubur

Untuk hampir dua dekad sejak tahun 1981, satu Malaysia berfikir menggunakan otak Mahathir. Atau dengan kata lain, otak Mahathir yang menentukan Malaysia dalam jangka kira-kira dua puluh tahun ini. Dan ia hanya berubah mulai tahun 1998, apabila seluruh warga Malaysia diajak untuk berfikir menggunakan dubur.

Bukankah Sasterawan Negara tahun 1982, Shahnon Ahmad memberi gambaran yang paling tepat, melalui bukunya yang berjudul Shit @ PukiMak @ PM, apabila menyifatkan ahli politik yang rasuah, menyalahgunakan kuasa bagaikan najis yang saling menghimpit dalam usus besar?

Dan bukankah inilah senario yang sedang berulang dan berlaku, apabila politikus saling membaling najis, untuk membusukkan dan dibusukkan? Dan kita wajib tanya, sampai bilakah rakyat Malaysia perlu bergelut dalam najis, sebelum terkeluar dari politik dubur yang busuk lagi membusukkan?

Sebagai warga Malaysia muda yang mendahagakan perubahan, saya sedia akur seandainya kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) tumbang kerana gagal mengota janjinya terhadap rakyat; bahkan saya sedia tunduk kepada realiti, jikalau terbukti PR kurang mantap dan belum bersedia untuk mengambil-alih kuasa pentadbiran daripada BN.

Malah, saya sedia akur jikalau PR terlepas peluang kerana gagal meyakinkan kaum Melayu yang termakan dengan propaganda UMNO-BN; saya sudi menunggu, sama ada satu penggal, satu dekad mahupun berdekad-dekad lagi untuk pertukaran kuasa kerajaan persekutuan, jikalau kita gagal melakukannya pada detik saat PRU ke-13 yang akan datang.

Namun demikian, saya tidak rela sama sekali jikalau perubahan digagalkan hanya dengan satu dubur milikan Saiful Bukhari Azlan. Saya tidak rela sama sekali untuk melihat bagaimana penceramah politik berbuih-buih meyakinkan pakcik-makcik FELDA bahawa Saiful boleh diliwat tanpa dubur terkoyak.

Saya tidak sampai hati melihat seorang wanita bernama Wan Azizah Ismail diperlakukan untuk tampil mempertahankan suaminya di depan khalayak ramai. Saya tidak sampai hati melihat anak-anak Anwar diperlakukan untuk hadir di mahkamah dan dibacakan tuduhan bagaimana ayahnya memasukkan zakar ke dalam dubur bekas pembantunya.

Sememangnya, politik adalah permainan jatuh-menjatuhkan politikus dari jawatan dan kedudukannya, tetapi bukan untuk memijak maruah musuh politik sebagai seorang manusia. Betapa terdesak sekalipun, garis ini haram dilangkaui - bukan sahaja sebagai kayu ukur demokrasi (bagaimana musuh politik dilayan), tetapi juga sebagai benteng ketamadunan.

Dan yang paling penting, sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia membebaskan diri daripada politik dubur. Rakyat Malaysia harus membebaskan diri - untuk berfikir menggunakan otak sendiri, dan bukannya otak Mahathir Mohamad mahupun dubur Saiful Bukhari Azlan. Malaysia wajib keluar dari dubur Saiful Bukhari Azlan. Saya doakan agar ia masih belum terlewat, sebelum satu Malaysia terhumban ke dalam jamban dan dijirus arus globalisasi.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Ahad, 10 Oktober 2010

Umno parti pengkhianat - Mahfuz


KUALA LUMPUR, 10 Okt: Rakyat hendaklah menjauhi Umno kerana parti itu sering dibuktikan menggadai kepentingan bangsa sendiri semata-mata mahu menjaga kepentingan diri dan cita-cita politiknya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Bukan sahaja bangsa sendiri yang digadaikan, agama Islam pun sanggup digadaikan oleh Umno apabila ia mencantas bantuan kepada sekolah-sekolah agama rakyat (SAR).

"Bukan setakat mencantas bantuan sahaja, para pemimpin Umno termasuk (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) malah melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah tidak berasas kepada SAR apabila mereka memberi gambaran seolah-olah SAR menjadi tempat melahirkan pengganas," katanya ketika menyambut gesaan Sultan Selangor supaya rakyat menjauhi pihak yang menggadai bangsa sendiri.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, antara pengkhianatan terbesar Umno terhadap orang-orang Melayu sepanjang lebih 50 tahun memerintah negara ini ialah apabila tanah-tanah rizab Melayu semakin pupus.

"Akibat perbuatan Umno menggadai bangsa sendiri, kini hanya tinggal sekitar 1.7 juta hektar sahaja tanah rizab Melayu, sedangkan waktu negara menyambut kemerdekaan dulu, terdapat kira-kira tiga juta hektar tanah-tanah tersebut," katanya.

Umno, katanya, seolah-olah mahu mengulangi tragedi yang berlaku ke atas rakyat Palestin apabila tanah mereka tergadai kepada Yahudi Zionis.

"Bukan sahaja tanah, peluang pendidikan yang selama ini menjadi wadah utama mengubah taraf hidup orang-orang Melayu juga dimangsakan dalam kerakusan Umno menggadai bangsa sendiri.

"Peruntukan untuk institusi-institusi pendidikan Melayu itu dikurangkan dengan begitu ketara dalam belanjawan 2010. Bagi IKM, peruntukan untuk 2010 RM143 juta berbanding RM403 juta bagi tahun 2009. Giat MARA hanya mendapat RM16 juta bagi tahun 2010 berbanding RM28 juta bagi 2009.

"Bagi MRSM dan Koleh Sains MARA, peruntukan hanya tinggal RM115 juta untuk tahun 2010 berbanding RM254 juta pada tahun 2009," kata beliau dengan penuh kesal.

Malah, katanya, peruntukan kepada MARA sendiri dikecilkan dengan begitu banyak.

"Peruntukan kepada MARA dipotong-potong sehingga berjumlah RM 374,537 juta sahaja bagi tahun 2010 berbanding RM883,785 juta untuk 2009," katanya.

Dari segi politik pula, kata Mahfuz, Umno juga menghalang pertambahan kerusi Melayu di Dewan Rakyat.

"Dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003, kita tidak lihat pertambahan kerusi di negeri-negeri majoriti Melayu.

"Tidak ada pertambahan kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah walaupun masing-masing mempunyai pertambahan pemilih 16.2 peratus, 21.76 peratus dan 17.4 peratus," katanya.

Menurut Mahfuz, jika disenaraikan semuanya, terlalu panjang senarai perbuatan Umno menggadaikan kepentingan bangsa Melayu.

Kenaikan Tarif Air Keputusan Kabinet, Bukan Negeri


TVSelangor: Kenaikan tarif air adalah keputusan Kabinet dan bukannya kerajaan negeri tetapi media arus perdana memberi gambaran salah dalam hal berkenaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau, S Manikumar.

"Yang ni semua diputuskan di peringkat Kabinet, lepas itu diturunkan kepada semua negeri di Malaysia. Cuma kenapa negeri Pakatan Rakyat diminta buat dulu?" katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak cuba memutar belit fakta untuk merasionalkan keputusan kerajaan negeri menaikkan tarif air sebanyak 27 peratus.

Sehubungan itu, Manikumar meminta rakyat Kedah supaya bersabar kerana pembekalan air melibatkan pelbagai agensi di peringkat persekutuan dan tiada jurisdisi kerajaan negeri.

"Saya ingat rakyat perlu bersabar sedikit, kita nak tgk hal ini dan kaji semula kerana melibatkan banyak entiti-entiti seperti SPAN, PAAD dan akta 155 dan 156 dan kita tak boleh buat sewenang-wenangnya,"kata beliau.

Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Isa Ismail berkata beliau tidak mengetahui berlaku kekecohan di Pejabat Menteri Besar hari ini, sebagaimana laporan Bernama yang menerbitkan berita demontrasi sekumpulan pihak yang didakwa ahli Pas di pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman di sini.

"Tak taulah, pejabat saya dekat dengan pejabat menteri besar tapi saya tak dengar apa-apa pun," kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah itu.

Isa berkata kenaikan tarif air itu berlaku kerana Syarikat Pembekalan Air Kedah (KADA) tidak lagi memegang monopoli pembekalan air tetapi diurus Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pembekalan Aset Air Berhad (PAAD).

"Kerajaan Negeri tidak pernah berniat menaikkan tarif air dari awal tapi keadaan memaksa.

"Kenaikan air mahu diselaraskan di seluruh negara dan lima negeri iaitu Melaka, Johor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan menjadi negeri yang awal. Jadi nasib tak baiklah sebab kita kena umum dahulu," kata beliau.

Perkahwinan Angkasawan Negara

Pasangan pengantin baru ini akan berbulan madu di Mekah sambil mengerjakan umrah FOTO The Star Oleh AZMAN GHANI

PUTRAJAYA: Dengan sekali lafaz, Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor sah bergelar suami kepada Dr Halina Mohd Yunos dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, Ahad.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Yunos Mohd Ali dengan bersaksikan Ketua Pendaftar Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali kira-kira kira-kira pada pukul 11.45 pagi dengan dihadapan, keluarga dan sahabat-handai kedua-dua mempelai.

Pasangan yang bertunang pada 1 Januari lalu menzahirkan rasa syukur kerana majlis itu berjalan dengan lancar.

"Alhamdulilah semuanya berjalan seperti yang dirancangkan. Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat dan masyarakat yang datang meraikan majlis ini.

"Perancangan saya selepas ini adalah untuk meneruskan tugas yang diamanatkan di samping tanggungjawab sebagai seorang suami," kata Sheikh Muszaphar.

Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor lega selepas selesai upacara akad nikah

Manakala Dr Halina turut mengakui perasaan gemuruh dan gembira bercampur baur ketika melalui upacara akad nikah sebentar tadi.

"Syukur semua sudah selesai, perasaan saya ketika ini bercampur baur sama ada gembira sedih dan terharu kerana melangkah setapak lagi ke fasa hidup berumah tangga," ujarnya.

Ketika ditanya tentang harapan menimang cahaya mata, pasangan ini memberitahu menyerahkan segalanya kepada Allah. Mereka juga dijangka akan menunaikan umrah sambil berbulan madu.

Dr Halina anggun mengayakan pakaian dari butik Cosry

Pada majlis tersebut Dr Halina tampil anggun sementara suaminya tampak kacak apabila mengenakan persalinan berwarna putih rekaan Cosry.

Sheikh Muszaphar menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas 11 bertemakan rona putih gading dan perak. Hiasan hantaran turut diserikan dengan warna biru muda. Bagaimanapun wang hantaran tidak dimaklumkan atas keputusan kedua-dua belah pihak.

Majlis persandingan akan diadakan malam ini dengan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) dengan bertemakan pahlawan Melayu di istana kayangan.

Lebih 1,000 jemputan akan hadir yang terdiri daripada golongan diraja, orang kenamaan, ahli keluarga, rakan rapat termasuk 100 angkasawan dari 35 negara dan 20 media antarabangsa.

Related Posts with Thumbnails