Ahad, 19 September 2010

Najib: Dasar, sistem adil perlu dalam jayakan 1 Malaysia

SERI KEMBANGAN 19 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan tentang perlunya mempunyai dasar-dasar dan sistem yang adil di bawah prinsip inklusif yang ditekankan dalam konsep 1 Malaysia diilhamkannya.
Penekanan Najib mengenai soal inklusif dan dasar-dasar adil muncul di sebalik tekanan kumpulan membela hak orang Melayu Perkasa, yang meminta beliau memberi penjelasan yang sejelas-jelasnya mengenai konsep 1 Malaysia.
“Mempunyai elemen inklusif dan prinsip keadilan adalah antara beberapa prinsip penting 1 Malaysia,” kata Najib (gambar) yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam ucapannya pada program makan tengah hari etnik Malayali di sini hari ini.
“Menjadi inklusif bermaksud kita harus memastikan polisi kita akan memberikan faedah kepada semua rakyat Malaysia. Kita harus pastikan sistem kita adil dan setiap rakyat Malaysia akan tahu tentang nilai masing-masing,” kata beliau.
Najib, perdana menteri keenam juga menekankan bahawa sumbangan setiap rakyat Malaysia adalah penting dalam memajukan Malaysia sebagai negara maju dalam abad ke-21.
“Jik kita boleh menghimpunkan kekuatan setiap individu rakyat Malaysia, maka kita menggandingkan kekuatan dan bakat untuk menjadikan pembaharuan menyeluruh agar Malaysia akan menjadi sebuah negara yang berjaya pada abad ke-21,” kata beliau lagi.
Dalam komen kepada The Malaysian Insider yang disiarkan semalam, pemimpin Pakatan Rakyat dan penganalisis mengecam konsep 1 Malaysia sebagai amalan yang bergerak ke belakang ekoran meningkatnya kenyataan-kenyataan berbaur perkauman dan keengganan Najib mempertahankan konsep 1 Malaysia daripada tuntutan Perkasa.
Kelmarin, Najib berkata gagasan 1 Malaysia adalah “kerja dalam pelaksanaan”, yang akan mencapai objektifnya dengan sokongan dan komitmen padu daripada semua lapisan rakyat.
Beliau menegaskan gagasan 1 Malaysia serta langkah transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan ialah satu proses yang berterusan.
Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan tahun lepas, katanya, tidak boleh direalisasikan sepenuhnya hari ini.
“Ingin saya jelaskan di sini, apa yang telah kerajaan lakukan setakat ini hanyalah merupakan permulaan daripada apa yang kita harap dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam beberapa tahun yang akan datang.
“Saya tidak gemar dengan tanggapan bahawa apabila sesuatu perkara tidak berhasil, masyarakat akan mengatakan “oh... 1 Malaysia tidak berkesan”. Ini tidak betul. Saya ingin menyatakan bahawa ia (1 Malaysia) merupakan kerja dalam pelaksanaan, dan kami memerlukan komitmen penuh daripada semua rakyat Malaysia untuk mencapai matlamatnya,” katanya.
Ekoran komen Najib itu, semalam Perkasa meminta beliau menjelaskan konsep itu bagi mengelakkan tanggapan bukan Melayu bahawa ia sebenarnya merujuk kepada elemen kesamarataan.
Hari ini, Najib menekankan bahawa Malaysia perlu mempunyai kelebihan daya saing di peringkat global.
Dengan merujuk kepada negeri Kerala, wilayah etnik Malayali berasal, Najib berkata, ia muncul negeri yang berjaya dengan kadar celik huruf hampir 100 peratus.
Katanya, orang Melayu dan kaum-kaum lain di Malaysia harus belajar daripada semangat masyarakat Malayali untuk memperoleh ilmu dan pendidikan.
Najib juga meminta sokongan kesemua rakyat Malaysia terhadap program ekonomi seperti Program Pembaharuan Kerajaan, Model Baru Ekonomi untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
“Kita memerlukan sokongan setiap rakyat Malaysia untuk bekerja sebagai sebahagian daripada usaha membina negara,” katanya.
“Tetapi, kesemuanya tidak akan bermakna melainkan adanya sifat inklusif,” kata beliau.

Hasil Negeri 205 Peratus, Mahdzir Khalid Perlu Meneliti Laporan Audit Negara

Harakah | ALOR SETAR, 19 Sept: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak meminta Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid meneliti laporan audit negara bagi mendapatkan bukti peningkatan hasil negeri 205 peratus seperti yang dikehendakinya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media ketika meraikan puluhan ribu pengunjung berbilang bangsa ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, petang semalam.

Kelmarin, bekas Pengerusi Perhubungan Umno Kedah yang digugurkan itu meminta kerajaan negeri memberikan penjelasan mengenai dakwaan terdapat peningkatan mendadak hasil negeri 205 peratus tetapi tiada sebarang pembangunan yang dilaksanakan di negeri itu.

Menurut Azizan, laporan audit tersebut secara jelas menunjukkan peningkatan hasil negeri yang amat ketara selepas Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran dari Barisan Nasional (BN) yang diterajui Mahdzir.

"Laporan audit negara dibentangkan di dalam parlimen, kalau dia nak pertikai, bermakna dia tak yakin dengan apa yang dibahaskan di parlimen.

"Pembalakan menyumbang kepada peningkatan hasil yang amat ketara, dari RM8 juta setahun menjadi RM38 juta setahun. Budak sekolah pun boleh beza yang mana lebih tinggi di antara kedua-dua angka itu," katanya sinis.

Menurutnya lagi, bidang pertanian masih menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah seperti tahun-tahun sebelumnya walaupun tidak mengalami peningkatan yang ketara seperti bidang pembalakan.

Kenalan Datuk Sosilawati ditemui mati tergantung

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

SARINA JAAFAR


BUKIT MERTAJAM 18 Sept 10 - Pengasas produk kecantikan Aveer, Sarina Jaafar yang juga kenalan rapat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya ditemui mati di rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini hari ini.

Pemilik syarikat SBJ Aveer Services Sdn. Bhd. berusia 45 tahun itu ditemui tergantung di biliknya kira-kira pukul 8.30 pagi oleh anak bongsunya yang berusia 16 tahun.

Polis setakat ini mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.

Anak sulung Sarina, Mohd. Azrul Affendi Zakaria, 24, yang dihubungi memberitahu, berita kematian ibunya mengejutkan seluruh ahli keluarga kerana arwah tidak menunjukkan perubahan sikap kebelakangan ini.

Mohd. Azrul berkata, kejadian berlaku ketika dia berada di Kuala Lumpur dan kali terakhir dia menemui Sarina ialah pada petang semalam dan sempat menasihati ibunya supaya berhati-hati dalam perniagaan ekoran banyak berlaku kes pembunuhan kebelakangan ini.

"Ibu beberapa kali turut menyuarakan rasa terkilan dan sedih berhubung kejadian yang menimpa Datuk Sosilawati kerana ibu rapat dengannya," kata Mohd. Azrul.

Menurutnya, kejadian tersebut sangat menyedihkan keluarganya tambahan lagi ia berlaku ketika mereka sedang memulakan persiapan bagi majlis perkahwinannya yang dijadualkan Januari nanti.

"Saya telefon ibu pagi tadi tetapi tidak diangkat sehinggalah diberitahu mengenai kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supritendan Mohan Singh Tara Sigh yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, mayat Sarina ditemui mati di rumahnya kira-kira pukul 8.30 pagi dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini untuk bedah siasat.

"Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut dan kita harap semua pihak tidak membuat spekulasi walaupun mangsa dikatakan kenalan rapat Datuk Sosilawati," katanya

Khidmat Tan Sri Musa Hassan dihentikan dengan cara paling hina?

Tan Sri Musa Hassan barangkali termasuk di kalangan Ketua Polis Negara yang paling malang dalam sejarah perkhidmatan polis negara. Hari Ahad 12 September lepas diadakan majlis perpisahan tugas beliau.

Nasibnya malang kerana setelah berkhidmat lebih 40 tahun dalam pasukan polis, beliau dihentikan dengan cara yang amat hina.

Apa tidak hinanya, jika seorang yang menjawat kedudukan paling tinggi dalam institusi yang paling penting dalam menguruskan keselamatan negara, diberhentikan secara tiba-tiba.

Cara Musa diberhentikan memang hina, kerana beliau langsung tidak diberitahu oleh kerajaan. Kata Musa beliau hanya mengetahui kontraknya tidak disambung, hanya melalui pengumuman media.


Memang Musa patut bersedia untuk tidak disambung kontrak, namun tidak bolehkah pihak kerajaan membuatnya dengan prosedur yang lebih berhemah, iaitu dengan memaklumkan kepada beliau lebih awal, supaya beliau boleh keluar dari pejabat KPN dengan cara yang terhormat.

Kalau kita jadi Musa kita pun akan terkejut. Apa malangnya Musa? Mengapakah kerajaan Umno-Barisan Nasional melayannya dengan begitu hina?

Apakah kerana hubungan dingin Musa selaku KPN dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mendorong beliau diperlakukan sebegitu hina?

Sebab itu Musa berhak mempertikaikan cara kerajaan memberhentikan beliau. Beliau berhak dilayan dengan sopan dan hemah.

Cara kerajaan Umno-BN memberhentikan Musa seolah-olah orang yang tidak mengenang budi. Sedangkan, Umno-BN patut berterima kasih terhadap Musa, kerana khidmatnya yang penuh “cemerlang”.

Jasa besar Musa membantu Umno

Musa patut dianggap cemerlang kerana 12 tahun yang lalu, selaku pengawai penyiasat polis (IO), beliau mengendalikan kes berprofil tinggi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Musa adalah pegawai polis yang “berjasa” menjayakan agenda konspirator Umno untuk menghapuskan karier politik Anwar.

Pada waktu itu (tahun 1998) beliau berpangkat SAC 1 (Senior Assistant Commissioner of Police 1). Belum dapat Datuk belum dapat Tan Sri.

Menurut keterangan yang dicatat di dalam buku “Anwar on Trial — In the Face on Injustice” karangan peguam terkemuka, Pawancheek Marican, Musa adalah pegawai yang menyiasat surat layang atau poison-pen letter yang melemparkankan pelbagai tuduhan terhadap Anwar.

Musa memainkan peranan utama untuk menyiasat dakwaan terhadap Anwar seperti yang terkandung dalam buku “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM”, yang ditulis Khalid Jafri.

Orang-orang Musa (pegawai polis bawahannya), ditugaskan untuk mengeledah dua unit apartment di Tivoli Villa, Bangsar. Mereka menyita tilam yang didakwa terdapat kesan air mani (semen stains) dan helaian bulu (pubic hair) untuk dibuat perbandingan DNA dengan Anwar.

Kes yang dibawa Musa mencatatkan sejarah tersendiri dalam perundangan negara, tilam menjadi tersohor apabila diangkut ke dalam bilik mahkamah sebagai salah “seorang” saksi utama kes Anwar.

Keterangan Musa di mahkamah banyak dibantah peguam Anwar, khususnya Christopher Fernando, kerana dianggap mengemukakan “khabar-khabar angin” yang tidak berkaitan dengan kes.

Tetapi bantahan Fernando ditolak Hakim Augustine Paul, yang membuat ruling bahawa semua keterangan Musa adalah relevan dengan kes.

Jasa besar Musa tercatat, apabila mengemukakan afidavit jawapan terhadap Datuk S. Nallakaruppan, yang mencatatkan banyak tuduhan serius terhadap Anwar, walaupun ianya tiada kena mengenakan dengan kes secara spesifik.

Tindakan Musa dianggap peguambela Anwar, sebagai sebagai usaha untuk memburuk-burukkan serta menjatuhkan kredibiliti client mereka.

Hasil daripada afidavit dan keterangan bersumpah Musa, media arus perdana memaparkan semua tuduhan terhadap Anwar di muka hadapan.

Ianya merupakan pelanggaran etika dan prosedur undang-undang, kerana sepatutnya afidavit yang belum dikemukakan dalam mahkamah tidak boleh disiarkan. Tetapi di atas kuasa rakus para konspirator, semua peruntukan undang-undang diketepikan, asalkan Anwar berjaya dihukum.

Disebabkan peranan Musalah, Anwar telah dihukum media talibarut Umno sebagai pesalah yang paling jahat dan paling jijik dalam negara, walaupun tuduhan terhadap beliau belum lagi disebut dalam mahkamah.

Tatkala Musa dan media talibarut Umno-BN menyerang Anwar, TPM yang dipecat itu sudahpun menerima balasan sepak terajang dalam sel polis, yang dilakukan sendiri oleh KPN, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Banyak lagi peranan Musa sepanjang perkhidmatannya, menguntungkan Umno, tetapi tidak perlu dicatat dalam ruangan yang terhad ini.

Jasa besar Musa dalam perkhidmatannya ialah menjadi alat politik konspirator, untuk memusnahkan karier politik seteru mereka, iaitu Anwar.

Hasilnya gerakan politik Anwar tergendala selama enam tahun akibat disumbat dalam penjara. Anwar juga mengambil masa bertahun-tahun untuk memulihkan imej politik beliau.

Kes Anwar adalah merupakan suatu kes klasik yang menunjukkan secara “direct” bahawa wujudnya campurtangan politik dalam urusan polis.

Terpahat persepsi di kalangan rakyat sehingga kini, bahawa pihak polis berkhidmat di bawah telunjuk Umno-BN. Entah mengapa persepsi ini sukar untuk dihakis.

Apapun, hasil daripada sumbangan “besar” Musa, beliau telahpun mendapat anugerah besar sehingga dilantik menjadi KPN dan mendapat gelaran Tan Sri.

Malah Musa sepatutnya bersara beberapa tahun lepas, tetapi khidmatnya disambung beberapa tahun atas ihsan Umno-BN.

Reaksi pemberhentian Musa

Namun, nampaknya Umno-BN kini, kelihatannya tidak mahu “terikat” dengan jasa-jasa Musa.

Mungkin juga bagi Umno-BN, imej polis yang tercalar di bawah kepimpinan Musa sukar dipulihkan kerana, Musa dianggap sebahagian besar rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat sebagai terlalu personal dengan Anwar.

Maka bagi Umno-BN, selagi Musa menduduki kerusi KPN, persepsi buruk rakyat terhadap integriti pasukan polis, sukar dihakis. Mungkin bagi mereka, hanya dengan “melepaskan” Musa, persepsi rakyat akan kembali pulih.

Selain daripada itu wujud khabar bahawa Musa “tidak berlaga” dengan Menteri. Malah ada rumours mengatakan ada beberapa kes membabitkan Musa yang menyebabkan kerajaan tidak berapa selesa dengannya.

Lalu Musa diberhentikan dengan cara yang begitu hina dan memalukan.

Lantas, sebagai reaksinya terhadap pemberhentian mengejut itu, Musa mendakwa ada campurtangan kerajaan terhadap pengurusan polis, dengan arahan yang bertindan, sehingga menyukarkan tugas KPN.

Kalau hendak diikutkan geram rakyat, kita patut bersorak gembira, biar dia “padan muka”.

Musa berhak bersuara. Beliau berhak “melepaskan geram” terhadap gangguan ahli politik Umno-BN terhadap tugas anggota polis. Namun Musa barangkali tidak sedar bahawa perlantikan beliau sebagai KPN dan sesiapa sahaja yang menduduki jawatan itu sebelumnya, adalah di atas lantikan politik.

Oleh kerana pelantikan KPN adalah diatas perogatif Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, maka Umno sentiasa akan beranggapan bahawa KPN adalah “budak suruhan” mereka.

Pasukan polis adalah benteng pertahanan terakhir sebuah kerajaan, oleh sebab itu mereka dianggap terpaksa mengikut telunjuk “orang yang memberi mereka makan”, walhal pada hakikatnya mereka adalah pihak yang bertugas menjaga keselamatan negara.

Keikhlasan anggota polis menjalankan tugas menjaga keamanan, disalahgunakan Umno-BN untuk kepentingan politik mereka.

Dalam kes Musa secara spesifik, jelas menunjukkan bahawa Umno-BN sudah tidak lagi menghargai jasa beliau. Musa dan anggota polis di bawah kepimpinannya, tidak lagi dilihat boleh membantu menyelamatkan Umno. “Habis sepah madu dibuang.”

Pulihkan integriti pasukan polis

Bagi Pakatan Rakyat serta majoriti rakyat yang menyokongnya, jalan terbaik untuk memulihkan integriti polis, ialah dengan memisahkannya dari ditentukan penguasa elitis Umno-BN.

Bukan sahaja KPN, malah perlantikan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan banyak lagi jawatan utama, harus dibuat oleh Parlimen.

Kerajaan boleh membentuk satu suruhanjaya khusus dan membuat cadangan kepada Parlimen. Nama-nama mereka, harus diperhalusi dan dinilai oleh wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat.

Rakyat tidak mahu jawatan dan lain-lain dilantik dan ditentukan oleh PM dari Umno-BN. Mereka mesti dilantik rakyat dan bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong selaku kuasa yang tertinggi dalam negara.

Hanya dengan cara ini, integriti dan maruah polis yang tercalar akan dapat dipulihkan.

Akibat daripada kuatnya kuasa politik Umno-BN, banyak cadangan dalam Suruhanjaya Di Raja yang membentuk Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC), “dibakul sampahkan”.

Dalam satu kenyataan, Anwar selaku Ketua Pembangkang mencatatkan dalam blog beliau:

“Saya ulangi kekecewaan ramai dari ahli parlimen kerana kegagalan kerajaan meneliti serta menuruti saranan IPCMC. Sungguhpun saya mengakui hasrat kerajaan untuk melebarkan peranan suruhanjaya ini kepada sejumlah 27 agensi lainnya. Latar asal dari rang undang-undang siap perlu diberi perhatian sewajarnya. Pokok pangkalnya adalah terhakisnya keyakinan rakyat terhadap institusi polis.

“Sekiranya asas ini diabaikan, permasalahan sebenar tidak akan selesai. Integriti agensi kerajaan terutamanya pasukan polis tercalar teruk akibat salah guna kuasa segelintir pucuk pimpinannya tatkala mereka di bawah tetap berdedikasi mencurah bakti kepada masyarakat. Ketiadaan fasal berkaitan bidangkuasa siasatan hanya menyebabkan kewujudan suruhanjaya tersebut seumpama ‘melepaskan batuk di tangga.’

“Yang lebih mengejutkan saranan IPCMC ditolak kononnya adalah untuk melindungi ramai anggota polis yang majoritinya orang Melayu. Membingungkan sekali alasan sebegini, sedangkan yang terlibat melanggar jalur hukum merupakan pucuk pimpinan polis. Berselindung di sebalik alasan kaum merupakan alasan dangkal yang cuba memperbodohkan rakyat.

“Oleh kerana itu saya menekankan tiadanya iltizam politik pada pihak pimpinan Umno-BN untuk benar-benar memastikan perubahan terlaksana. Tidak hairanlah usaha kerajaan ini seakan fatamorgana yang cuba mengelirukan mata rakyat. Insya Allah dengan usaha dan doa, pastinya yang hak akan mengatasi yang batil.”

Selamat bersara Tan Sri Musa Hassan!

(Harakah Daily)

Kes bunuh Sosilawati: ‘Kami ada bukti kukuh’


KUALA LUMPUR: "Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara berkemungkinan minggu depan. Polis yakin siasatan kami punya bukti kukuh," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berhubung perkembangan terkini pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam.

Menurutnya, bukti kukuh itu yang dikumpul berdasarkan penemuan tulang, beberapa senjata, barangan peribadi dan pengakuan suspek diyakini mampu mengaitkan dan mengheret suspek utama dan tujuh yang lain ke mahkamah bagi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Beliau berkata, sehingga kini polis menghentikan operasi mencari bahan bukti di Ladang Gadong dan Sungai Panchau, Banting, bermula semalam. Bagaimanapun, anggota polis masih berkawal di tempat itu dan ia masih ditutup kepada orang ramai.


"Polis percaya kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya dapat diselesaikan berdasarkan tindakan diambil dan bahan bukti yang diperoleh," katanya.


Mohd Bakri berkata, bagi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat pada serpihan tulang yang dipercayai milik mangsa, keputusan mengenainya hanya akan diperoleh sekurang-kurangnya dalam empat hari lagi.


"Misi mencari bahan bukti dihentikan hari ini (semalam) dan jika selepas ini kami dapati ada keperluan atau masih ada lagi benda yang perlu dicari atau dilakukan, kami akan sambung operasi," katanya.


Mohd Bakri berkata, dua pasukan khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung tragedi pembunuhan keempat-empat mangsa dan kes kehilangan tiga lagi individu serta seorang wanita yang mati dibunuh sebelum ini. Beliau berkata, bagi kes Sosilawati dan tiga rakannya, pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, manakala bagi pasukan menyiasat individu hilang ia diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi, Datuk Hadi Ho Abdullah.


"Setakat ini, kami sudah kenal pasti suspek terbabit empat kes lain iaitu tiga kes individu hilang selepas mengadakan pertemuan dengan suspek utama. Kami tidak menolak kemungkinan mereka turut menjadi mangsa bunuh selain satu kes wanita mati ditikam di hadapan rumahnya tahun lalu," katanya.


Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah.


Keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. Kes pembunuhan itu terbongkar selepas penahanan suspek utama yang juga seorang peguam berusia 41 tahun pada 11 September lalu diikuti beberapa tangkapan membabitkan tujuh individu lain. Semua suspek dipercayai pekerja suspek utama.


Sebelum itu, polis menemui kereta mewah milik Sosilawati ditinggalkan di sebuah pangsapuri di USJ1 dan kereta peguamnya di tempat letak kereta Hotel Dorset, Subang Jaya.


Peguam terbabit orang terakhir dilihat bersama semua mangsa. Setakat ini, motif pembunuhan masih dalam siasatan.

Sejak itu, kawasan Ladang Gadong dipercayai milik suspek utama menjadi tumpuan siasatan polis selain tiga sungai utama di kawasan berkenaan iaitu Sungai Kanchung Laut, Sungai Gelanggang Buaya dan Sungai Panchau yang dipercayai menjadi lokasi pembuangan tulang mangsa, senjata pembunuhan dan barangan peribadi mangsa termasuk jam tangan serta telefon bimbit. Semua sungai berkenaan terletak antara dua hingga lima kilometer dari ladang berkenaan. Wartawan Harian Metro yang 'berkampung' di lokasi kejadian sejak Ahad lalu juga mendapati orang ramai terutama penduduk sekitar keluar beramai-ramai untuk melihat lokasi kejadian tanpa menghiraukan kawasan berkenaan dikawal ketat.


Dalam tinjauan semalam selepas media dibenarkan mendekati kawasan pintu masuk ladang berkenaan mendapati kawasan ladang itu dipagar dengan tembok simen setinggi kira-kira dua meter manakala pintu masuk utama dikawal menggunakan pagar kawalan automatik serta terdapat satu lagi pagar kira-kira 100 meter dari pintu utama ladang. Pintu masuk utama ladang itu turut tertera dua tanda amaran iaitu 'Dilarang Masuk' dan 'Awas Anjing Ganas'. Turut kelihatan di dalam kawasan ladang berkenaan ialah beberapa bangunan menyerupai chalet, rumah pondok serta gazebo selain beberapa tapak semaian ditutupi jaring berwarna hitam dipercayai untuk tanaman sirih di sepanjang laluan pintu masuk hadapan.

myMetro
Related Posts with Thumbnails