Selasa, 20 Julai 2010

Saman ekor: Kerajaan Umno-BN mahu wang atau cegah kemalangan?

"Tidak hairanlah kepada kita kenapa Dato' Seri Najib menyokong tindakan polis dan JPJ. Maka satu lagi projek 1Malaysia rakyat didahulukan, saman diutamakan," tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

"Tindakan saman ekor memang bertujuan untuk mendapat wang, bukan untuk mengurangkan kemalangan jalanraya. Ada mereka yang dikenakan saman kerana membawa kereta melebihi 60 kilometer sejam. Logikkah saman ekor di kawasan berkenaan, mana ada kenderaan sekarang yang berjalan 60km/jam di jalan raya," katanya kepada Harakah.

PAS kesal sikap ditunjukkan kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyenarai hitam pemandu sehingga mereka tidak akan dibenarkan untuk membaharui cukai jalan.

Ustaz Idris berkata, ketika rakyat dihimpit dengan kenaikan harga barang dan tekanan hidup, dengan indeks pengguna yang bertambah meningkat tiba-tiba pihak polis dan JPJ berkeras tidak membenarkan mereka yang terbabit dengan saman ekor memperbaharui cukai jalan.

PAS tegasnya, bukan menentang saman kepada mereka yang bersalah, tetapi biarlah dihukum mengikut proses yang betul dan kenapa mereka yang disaman, tidak dibawa ke muka pengadilan untuk dibicara, soal beliau. Sejak September 2009, lebih 2.5 juta notis saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dan daripada jumlah itu, sebanyak 1.07 juta pesalah trafik telah disenaraihitamkan oleh PDRM.


Ahmad Maslan bacul! Takut Isu Felda Didedahkan ANAK


Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman memberikan tempoh sebelum Ramadhan ini kepada Timbalan Mentrei dii Jabtaan Perdana Menteri (JPM) untuk menyahut cabaran debat dengannya bagi membuktikan beliau tidak bacul.

"Sekiranya sebelum bulan Ramadhan ini Ahmad Maslan tidak menyahut cabaran untuk berdebat isu Felda ini, maka jelaslah dia seorang pemimpin dan menteri Umno-BN yang bacul dan penakut," tegasnya sebagai menjawab respon Ahmad kepada Harakah.

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menjelaskan debat merupakan amalan biasa yang dilaksanakan di kebanyakan negara maju bagi menguji tahap intelektualisme seseorang pemimpin selain merupakan satu proses kematangan pemimpin berdepan dengan rakyat.

Ketika mengulas jawapan Ahmad yang sekadar mahu mengadakan dialog bagi membincangkan isu-isu Felda, Mazlan menganggap ianya jelas menunjukkan pemimpin Umno itu tidak bersedia.

"Kalau dia tidak bersedia untuk menjelaskan dakwaan yang dibuat maka dia kena letak jawatan sebagai menteri jaga Felda kerana masyarakat Felda malu ada pemimpin yang penakut dan bacul. Ini bukan soal kalah-menang, tetapi kebenaran yang mesti ditegakkan," ujarnya.

Malah, Mazlan mendakwa tindakan Ahmad yang hanya mahu berdialog serta mengelak mengadakan debat mungkin berpunca daripada rasa takut mendedahkan apa yang sepatutnya diketahui rakyat khususnya warga Felda.

"Saya lebih nampak mereka tidak bersedia untuk berdebat sebab ada sesuatu yang disembunyikan. Saya bersedia untuk mendedahkannya dalam debat kerana saya tahu pembohongan dan penyelewengan kerajaan Umno-BN," katanya tegas.

Mengulas lanjut mengenai dialog yang disuarakan Ahmad, Mazlan menganggap mekanisme tersebut telah digunakan sejak lebih daripada 15 tahun lalu. Namun, hasilnya sangat mendukacitakan.

"Sebab itu bila Umno-BN menggunakan media dan golongan yang mengikut dasar kerajaan untuk menuduh kami (Anak) sebagai petualang dan pembawa fitnah, kami mahu berdebat secara terbuka di hadapan rakyat supaya mereka boleh menjadi hakim bagi menyatakan siapa yang sebenarnya petualang atau pengkhianat.

"Kini kita perlu mengakui krisis dan masalah Felda sudah tidak dapat ditutup lagi," ujarnya lagi. Justeru, Mazlan tidak yakin dialog dapat menyelesaikan masalah dalam isu yang sedang tercetus dalam Felda.

Pihaknya juga dijadual akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 15 Julai bagi menyerahkan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan dakwaan mengenai penyelewengan dalam Felda. "Selepas itu, kami juga akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi memperjelaskan isu ini," katanya lagi.

Pada 8 Julai lalu, Mazlan mencabar Ahmad Maslan untuk berdebat mengenai isu Felda. Namun keesokan harinya, Ahmad mencadangkan agar ianya dibuat dalam format dialog sahaja dengan anggapan debat lebih bersifat sentimen yang bertujuan meraih publisiti serta tidak mampu menyelesaikan masalah.

Isnin, 19 Julai 2010

Reformasi Najib mentadbir negara kecewakan rakyat


Sebaik sahaja parlimen tamat bersidang, maka Najib dengan angkoh dan sombong telah menaikkan harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG) dengan serta merta dengan menjadikan rakyat sebagai lembu pawahnya.

Rakyat dipaksa menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Najib itu. Malah semua media yang dikawal oleh Najib telah diarah tidak melaporkan berita kenaikan harga tersebut secara yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat, sebaliknya media diarah memutarbelitkan fakta dan memanipulasikan angka supaya Najib dapat membentuk suatu pendapat awam bahawa rakyat melihat kenaikan itu wajar untuk menstrukturkan semula subsidi dan menghalalkan tindakan Najib menghentikan subsidi untuk rakyat demi kepentingan Negara dan pentadbiran Najib sendiri.

Begitulah dashatnya rakyat diperbodohkan dan ditipu oleh Najib. Segala kejahatan Umno dan para pemimpinnya disembunyi, diselindungi dan dipertahankan dengan menggunakan kuasa yang ada ditangannya.

Jahat sungguh kaedah beliau mengurus tadbir Negara. Rakyat berjaya dilembupawahkannya tidak mempunyai banyak pilihan terpaksa menerimanya dengan hati yang luka berdarah. Kenaikan ini pasti akan dituruti dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan pula.

Kehidupan rakyat menjadi bertambah susah dihimpit kesengsaraan yang dilakukan oleh Najib. Selepas ini seperti kebiasaannya tariff elektrik juga akan turut dinaikkan dengan alasan kos bahanapi meningkat.

Dalam pada itu, sudah tentu dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan, maka inflasi turut sama meningkat tinggi melebih 1.5 % seperti tercatat pada April lalu.Sedangkan pada masa yang sama setiap tahun Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) iaitu Genting Sanyen, Malakof dan YTL Power yang mendapat subsidi kerajaan RM20 billion setahun tidak diusik oleh Najib terus mengaut keuntungan.

Taikon-taikon ini dianakemaskan dan rakyat diperhambakan. Tergamak Najib mempergadaikan kebajikan rakyatnya tanpa mahu memperbetulkan kesalahan urus-tadbir negera yang penuh dengan berbagai skandal.

Rakyat tidak sempat bersuara melalui para pemimpin Pakatan Rakyat menentang kenaikan ini kerana persidangan parlimen telah ditamatkan. Najib dengan sengaja tidak mahu sedar dan tidak mahu akur dengan kesusahan dan penderitaan rakyat menaikkanya dengan serta merta.
Sekiranya Najib dan Umno kekal berkuasa selepas PRU ke-13 nanti, kehidupan rakyat akan menjadi semakin susah dan bertambah menderita apabila subsidi yang dinikmati oleh rakyat selama ini akan ditarik balik secara beransur-ansur kononnya untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan melalui program penarikan balik subsidi bagi mengelak Negara jatuh bangkrap pada tahun 2020

Hakikatnya, penjimatan boleh dilakukan melalui urus niaga perniagaan yang dijalankan oleh GLC-GLC yang mampu dan berupaya membuat keuntungan bukan berpotensi menanggung kerugian seperti yang berlaku sekarang yang memaksa kerajaan mengambil wang rakyat berbillion ringgit untuk menyalamatkan GLC-GLC yang terbabit.

Perlakuan pembaziran yang berluasa dalam berbagai sektor, masalah rasuah dan penyelewengan yang bernilai jutaan malah sampai peringkat berbillion-billion ringgit menjadikan kerajaan miskin papa kedana. Cara mudah pada fikiran Najib adalah dengan memaksa rakyat membayarnya melalui kenaikan harga petrol, gas, tol dan tariff elektrik.

Pengumuman yang dibuat secara mengejut itu menunjukkan bahawa Najib seorang PM yang pengecut dan tidak berani berhadapan dengan para pemimpin Pakatan Rakyat di parlimen. Sekiranya parlimen masih meneruskan sidangnya, sudah tentu isu kenaikan harga ini akan menjadi isu yang pasti hangat diperbahaskan dari segi kewajaran beliau menaikkan harga barangan tersebut.

Oleh itu, strategi yang diambil oleh Najib ialah menunggu persidangan dewan rakyat tamat bagi mengelak dirinya terjebak daripada serangan wakil-wakil rakyat Pakatan di parlimen. Beliau sendiri sedar bahawa tentu akan berlaku satu protes, para pemimpin Pakatan di parlimen akan menentang habis-habisan demi menjaga kebajikan keseluruhan rakyat di negara ini.

Ia bukan seperti Umno (baca: Najib) sekadar menunggu pilihan raya baru hendak turun menunjukkan keprihatian terhadap kehidupan rakyat seperti yang berlaku di Hulu Selangor dan di Sibu baru-baru ini.

Rasuah pilih raya (membeli undi) di kedua-dua pilihan raya kecil tersebut berlaku secara jelas dan terang telah dilaporkan oleh media dan ia dilakukan sendiri oleh Najib tanpa ada sedikit perasaan untuk menjaga maruah dan harga dirinya daripada di pandang rendah oleh rakyat di dalam negara ini dan juga masyarakat antarabangsa.

Matlamatnya hanya satu untuk kuasa dan beliau sanggup membuat apa sahaja untuk mendapatkan kuasa termasuk sanggup bertindak segala upaya (tanpa mengambil kira halal-haram) bagi membunuh karektor seseorang (Anwar Ibrahim sasarannya) seperti kata Saiffuddin Nasution, Setiausaha Agung PKR di lobi parlimen baru-baru ini.

Amat malang bagi kita sebagai rakyat Malaysia, perkara sekeji dan sehina itu SPRM, SPR, Polis dan Peguam Negara memekakkan telinga dan membutakan mata, tidak memperdulikan setiap laporan yang dibuat kerana mereka membuat dalih, bahawa ianya adalah halal dan sah kerana Najib bukan calonnya.

Walau apa pun alasan yang diberi, perbuatan tersebut tidak patut berlaku di dalam sebuah negara yang dikatakan diurus-tadbir dengan kaedah terbaik, yang mengamalkan demokrasi tulin, pemimpinnya bertolenrasi, berintergreti dan perkara-perkara yang molek-molek disebut tentang Malaysia seperti yang diwar-warkan ke seluruh dunia oleh APCO yang diupah oleh Najib seperti yang selalu disebutkan oleh Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR.

Jadi, beliau menunggu sehingga tamatnya sidang parlimen, baharulah ia mengumumkan kenaikan tersebut dan para pemimpin Pakatan tidak ada saluran rasmi bagi menyuarakan bantahan tersebut.

Sekiranya ada bantahan dari rakyat melalui demontrasi atau sebagainya selepas ini, PDRM khususnya FRU telah bersiap siaga bagi mengilap kembali kepakaran mereka menghadapi para demontrator yang mana mereka sendiri mulai lupa kaedah penggunaan peralatan pencegah demontrasi kerana sudah lama benar tidak ada demontrasi yang menentang dasar kerajaan, yang ada pun ia selaras dengan kehendak kerajaan bukan menentang kehendak kerajaan.

Sebelum itu, Najib telah bertindak bijak, terlebih dahulu melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengangtung sementara penerbitan Harakah (PAS), Suara Keadilan (PKR) dan Rocket (DAP) bagi menghalang akhbar-akhbar parti ini mengeksploitasikan dan menerbitkan berita, laporan serta ulasan mengenai kenaikan harga barangan ini yang mungkin boleh mempengaruhi rakyat bersama Pakatan Rakyat menentang kenaikan harga tersebut boleh mengugat kerajaan beliau sepertimana yang berlaku terhadap Abdullah dulu.

Najib menjadikan kes pengeluaran lesen judi bola sepak sebagai teladan kerana kebebasan akhbar-akhbar ini menerbit, melapor dan memberi berbagai ulasan telah berjaya mempengaruhi fikiran rakyat. Rakyat bangkit beramai-ramai menentang kerajaan meluluskan lesen perjudian itu sehingga Najib terpaksa tunduk dan menarik balik lesen yang telah diberi kepada Vincent Tan melalui Ascot Sports Sdn Bhd anak syarikat Berjaya Group.

Berita terbaru yang didengar bahawa permit Harakah (PAS) telah diperbaharui dan Harakah boleh diterbitkan semula seperti biasa, tetapi dengan syarat yang amat ketat dan tidak masuk akal yang dikenakan oleh KDN (baca: Najib) dengan memberi amaran keras supaya ia hanya dijual di markas dan pejabat urusan parti itu sahaja. Ini juga bertentangan apa yang diperkatakan oleh APCO yang mempromosikan Najib dan Malaysia di pentas dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan kebebasan media.

Dalam negara yang dikatakan moden dan maju ini, undang-undang lapok yang menyekat saluran penyampaian pandangan kedua seperti yang diamalkan oleh Najib sudah tidak digunakan pakai lagi oleh kebanyakan negara (kecuali di negara-negara yang diperintah oleh diktator dan junta tentera) kerana masyarakat kini sebahagian besarnya adalah celik IT yang mampu mengakses maklumat daripada berbagai sumber.

Saya amat tidak bersetuju cara Najib menutup suara rakyat (pandangan kedua) dengan tidak mengeluarkan permit penerbitan. Kita ada kaedah yang lebih bertamadun iaitu melalui tindakan undang-undang (kita juga tahu sistem keadilan di bawah tunjuk Najib, tetapi sekurang-kurang kita juga perlu berhujah) bagi mendisiplinkan media supaya ia melaporkan dan mendedahkan perkara benar bukan berbentuk fitnah, mengadu-domba, propaganda yang melampau dan racist seperti Utusan Malaysia.

Walaupun ia pahit bagi Najib, tetapi ianya juga baik bagi Najib untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dibangkitkan itu. Najib tidak boleh mengharap media pembangkang sealiran dengan media di bawah kawalan beliau.

Dasar pembangkang adalah berbeza dengan dasar Najib sebagai kerajaan yang memerintah. Kerajaan memandang serong terhadap pembangkang dan pembangkang juga memandang serong terhadap kerajaan. Pembangkang memburuk-burukkan kerajaan dan kerajaan juga memburuk-burukkan, menghina dan memperlecehkan pembangkang. Itu adalah lumrah berpolitik.

Adalah mustahil kerajaan akan bersetuju dengan pembangkang dan begitu juga dengan pembangkang adalah mustahil bersetuju dengan kerajaan. Masing-masing akan berlumba-lumba mencari keburukan dan kelemahan lawan dan akan mendedahkannya kepada rakyat supaya rakyat dapat berfikir ‘siapa yang paling layak’ diberi mandat untuk mentadbir negara ini bagi menjaga kebajikan mereka.

Kalau kaedah ini Najib tidak suka, Najib boleh pinda perlembagaan bagi membolehkan UMNO memerintah sampai kiamat. Haramkan semua parti-parti politik yang wujud, kecuali UMNO. Seluruh rakyat Malaysia secara otamatik menjadi ahli UMNO. Habis cerita.

Najib tidak perlu lagi pening kepala memikirkan kaedah macam mana hendak menarik rakyat untuk menyokongnya semula (baca:UMNO). Seperti yang diketahui, mana pada masa kini rakyat sangat benci dan meluat tenguk muka para pemimpin UMNO yang berjuang semata-mata untuk mengejar kuasa, kedudukan dan kekayaan untuk kepentingan diri sendiri bukan berjuang untuk kepentingan rakyat.

Malah, apa yang Najib perlu takut sangat terhadap pengaruh yang mungkin boleh di bawa oleh akhbar-akhbar parti ini yang penerbitannya sangat terhad untuk mempengaruhi pemikiran rakyat, berbanding beliau yang mempunyai berbagai prasarana yang hebat untuk mempengaruhi dan mengongkong fikiran rakyat 24 jam melalui berbagai saluran dan media yang dimilikinya.

Persepsi rakyat sekarang ialah pentadbiran Najib diresapi oleh ideologi Mahathirisme kerana tindak-tinduk Najib kebalakangan ini persis di era pentadbiran Mahathir yang sangat anti kebebasan bersuara.

Mahathir mengongkong dan mengekang kebebasan media dan menutup percambahan fikiran melalui ceramah, dialog dan sebagainya, kecuali program yang memuji dan memuja pentadbirannya. Akhirnya, Mahathir sendiri mengalami berbagai kekangan untuk bercakap dan berkarya di era Abdullah Ahmad Badawi memerintah.

Berbalik kepada isu kenaikkan harga barangan tadi, alasan yang diberi oleh Najib ialah kenaikkan harga bagi bahan api, terutamanya petrol, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG), dan juga gula adalah sebahagian dari Program Rasionalisasi Subsidi. Kata beliau penyelarasan semula harga barang ini akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Alasan yang diberi oleh Najib tidak boleh diterima pakai kerana di era Abdullah memerintah dulu pun minyak dinaikkan terlampau tinggi, harga petrol di pasaran ketika itu dinaikkan dari RM1.92 kepada RM2.70 seliter manakala diesel dari RM1.58 ke RM2.58 seliter (kemudian diturun akibat tentangan rakyat).

Abdullah kata ia telah menjimatkan sekitar RM14 bilion hasil pengurangan subsidi untuk air, tenaga dan bahanapi. Sebanyak RM4.5 billon akan disalurkan untuk mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam dan rakyat diberi bayaran rebet kenderaan sebanyak RM625.00 setahun.
Penjimatan sebanyak RM4.5 bilion itu langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat. Tidak ada peningkatan dalam perkhidmatan pengangkutan awam, tetapi yang ada adalah peningkatan kos pengangkutan. Maka, penjimatan kali akan diagihkan kepada sektor mana pula?

Sebenarnya Najib tidak mengotakan janjinya: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Najib tidak prihatin terhadap kehidupan rakyat berpendapatan rendah dan sederhaana, petani, penternak dan nelayan.

Saya amat bersetuju dengan pandangan Dr Mohd Asri Zainul Abidin Negara di bawah pentadbiran Najib banyak membazirkan wang rakyat berlaku. Contohnya, perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri sahaja telah mencecah RM3.8 bilion pada 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi 2010.

Ini termasuklah perbelanjaan sekretariat mantan perdana menteri dan sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Najib, Rosmah Mansor. Kenaikan barangan ini akan diikuti dengan kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran. Ini sudah tentu menjejaskan kehidupan rakyat biasa.

Sebenarnya, Najib tidak perlu menaikkan harga barangan tersebut bagi tujuan penambah pendapatan negara, tetapi beliau perlu urus- tadbir negara secara berhemah dan tidak membazir, tidak rasuah dan tidak untuk berkepentingan politik. Lihat pembayaran terhadap perkhidmatan APCO sahaja mencecah RM77 juta.

Sime Darby yang mengalami kerugian sebanyak RM946 juta diselamatkan dengan memberi pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta. Skandal PERWAJA, duit rakyat lesap RM10 billion, skandal PKFZ bernilai RM13 billion dan macam-macam skandal lagi.

Duit FELDA pula dibelanjakan untuk projek bukan bidang FELDA seperti melabur dalam ternakan lembu, hangus RM688 juta, melabur dalam bio-diesel, lesap RM3 billion, pembinaan pejabat FELDA RM662 juta. KTMB mengalami kerugian RM500 juta kerana pembelian 38 gerabak Gandaan Elektri dari Syarikat Zhu Zhou Elektrik Locomotive Co.Ltd daripada China dan terbaru Khazanah Nasional yang diterajui oleh Najib bersetuju membeli rangkaian hotel mewah dan popular, Awan Resort dan DLF yang bernilai RM1.225 billion.

Kesimpulannya, tindakan Najib itu dilihat sebagai jalan mudah bagi beliau untuk meningkatkan pendapatan negara dengan memeras keringat rakyat yang mudah diperlembupawahkan ikut suka hatinya sahaja tanpa mengambil kira pembaziran dan menyalahgunaan wang rakyat yang diamanahkan kepada beliau untuk menguruskannya.

Bijaknya kerajaan sembunyikan agenda

1. Kalau harga petrol naik 5 sen satu liter ertinya RM2.00 bagi setiap 40 liter . Saya sebut demikian sebab mana ada kereta yang bubuh minyak satu liter sahaja. Begitu juga dengan gas , naik harga 10 sen satu kilo , maka satu tong naik RM 1.40 . Justeru , tidak pula pernah saya dengar ada orang beli gas hanya satu kilogram .

2. Gula juga mengalami kenaikan harga mendadak pada kadar 25 sen satu kilo menjadikan harganya kini RM 1.75 sekilo .

3. Syahdunya kali ini kerajaan cukup bijak menyembunyikan "agenda" apabila mewajarkan kenaikan harga barang ini dengan menggunakan istilah penyelarasan semula subsidi demi kepentingan ekonomi negara , sebagai sebuah puisi yang mampu mengulit rakyat .

4. Saya melihat pelarasan subsidi ini tidak adil kepada rakyat terutama rakyat yang berpendapatan rendah dan tidak tetap . Mereka terpaksa menanggung beban kenaikan harga barang keperluan ini berbanding mereka yang berpendapatan tinggi dan mereka yang mendapat pembiayaan kerajaan .

5. Allah swt telah memberikan anugerah kekayaan yang melimpah ruah kepada negara ini melalui hasil mahsul dan bahan mentah yang begitu banyak . Kekayaan ini adalah nikmat Allah untuk dirasai oleh seluruh hambaNya . Malangnya hasil kekayaan ini hanya berlegar dikalangan orang - orang kaya dan pembesar dikalangan mereka . Sepatutnya hasil kekayaan negara yang dibahagikan kepada rakyat untuk dinikmati bersama itu , bukan subsidi tetapi mengembalikan hak rakyat kepada rakyat untuk dinikmati .

6. Ingat , rakyat bukan pengemis dalam negara sendiri yang berdaulat sehingga apa jua hasil negara yang patut dinikmati oleh rakyat disebut sebagai subsidi . Kini , Masyarakat atau rakyat yang berpendapatan rendah terus dihambat resah dan dibelenggu rasa bimbang berdepan dengan peningkatan taraf hidup pada hari ini . Pastinya apabila minyak setiap kali diisi mengalami kenaikan RM 2.00 [ untuk setiap 40 liter ] dan gas RM 1.40 setiap satu tong serta gula 25 sen sekilo akan menyaksikan kenaikan harga barangan lain dipasaran .

7. Walaupun kerajaan berjanji untuk mengawal kenaikan barang di pasaran tetapi pengalaman kita sebelum ini hanya menyaksikan satu kegagalan yang berterusan . Mereka pantaulah buat sehari dua ini , kemudian rakyat akhirnya pasrah begitu sahaja dengan kenaikan harga barang yang tiada siapa lagi bangkit berjuang membela nasib rakyat tertindas selepas itu .

8. Istilah Penyelarasan subsidi juga dilihat sebagai istilah tidak tepat dan wajar dilakukan oleh kerajaan . Lantaran apalah ertinya , sebuah kerajaan jika tidak memberi kepada rakyat akan nikmat yang wajar dinikmatinya . Rakyat berhak memiliki agihan saksama kekayaan negara . Kecualilah negara kita adalah sebuah negara yang miskin dan tidak mempunyai sebarang hasil , di darat mahupun laut .

9. Alasan kerajaan ialah untuk mengawal dan mengimbang ekonomi negara lalu "pelarasan semula subsidi dilakukan ." Kalau benar sekalipun untuk tujuan peningkatan dan penumbuhan ekonomi negara , kerajaan tidak perlu malah tidak berhak mengambil dan meragut hak rakyat menikmati hasil negara ini . Kenapa tidak kerajaan membaik pulih kebocoran dan ketirisan yang berlaku pada pembendaharaan ekonomi negara dan sistem pengendalian kewangan negara .

10. Selayaknya langkah awal dan drastik yang wajib diambil oleh kerajaan ialah mengelakkan pembaziran dan pemborosan wang negara pada projek yang tidak mendatang keuntungan kepada rakyat . Pembiayaan wang negara pada jumlah yang besar kepada syarikat konsultan seperti APCO , kapal selam yang tidak boleh menyelam dan projek - projek mega yang dilihat sebagai bukan keutamaan berbanding kebajikan rakyat yang wajib diperjuangkan oleh kerajaan .

11. Kerajaan dilihat lebih zalim dan tidak bertanggungjawab apabila menaikkan harga barang , mereka terus mendiamkan diri dari berbuat sesuatu untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat berpendapatan rendah dan tidak tetap demikian juga kepada penganggur yang semakin meningkat kadar bilangan mereka .

12. Tidak mustahil , ekoran kos kehidupan yang mula meningkat naik , meletakkan masyarakat lebih tertekan untuk bersaing dalam dunia yang tidak adil kepada mereka . Akhirnya keadaan ini menjerumuskan mereka ke dalam kancah jenayah yang mereka sendiri tidak merestuinya seperti mencuri , menyeludup dan sebagainya . Sementara kerajaan juga dilihat bersikap acuh tidak acuh dalam membina dan mendidik spiritual rakyat agar mereka menjadi insan yang soleh dan bermoral .


Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Kad Kredit Punca Golongan Muda Muflis



P/JAYA 19JUL10: Mereka muda dan mewah, tetapi lemah dalam pengurusan kewangan. Lebih buruk lagi apabila pada usia 30 tahun, mereka terpaksa menanggung hutang dan perlu mendapatkan bantuan profesional untuk mengeluarkan mereka daripada muflis.

Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Devinder Singh berkata, 15 peratus daripada lebih 39,600 individu yang menyertai program pengurusan kredit AKPK adalah mereka berusia di bawah 30 tahun.

Beliau berkata, ramai golongan muda diisytiharkan muflis disebabkan oleh perbelanjaan berlebihan menerusi penggunaan kad kredit dan kegagalan mereka untuk mengikut peraturan asas dalam pengurusan kewangan yang bijak. Tambahnya, individu terbabit tidak akan mengalami masalah hutang sekiranya jumlah pinjaman mereka tidak melebihi 40 peratus daripada perolehan kasar pendapatan bulanan.

“Orang ramai perlu mempelajari untuk membuat pengurusan kewangan dan berbelanja bersesuaian dengan kehidupan mereka.

“Jika mereka boleh mengurangkan perbelanjaan sebanyak 5 peratus seminggu, mereka boleh menjimatkan 20 peratus menjelang akhir bulan,” kata Devinder yang menyifatkan cara berkenaan dapat membantu untuk membina kewangan asas yang kukuh.

Beliau mengulas laporan Bank Negara bahawa sebanyak 50 peratus daripada pemegang kad kredit yang diisytiharkan bankrap adalah mereka berusia di bawah 30 tahun. Di bawah Akta Bankrap 1967, seseorang itu boleh diisytiharkan bankrap sekiranya mereka berhutang serendah RM30,000. Devinder berkata, ramai individu gagal untuk menjelaskan pembayaran kerana pengurusan kewangan yang lemah dan tiada kawalan dalam penggunaan kad kredit.

“Mereka yang mempunyai masalah untuk menyelesaikan hutang-hutang perlu mencari bantuan awal sebelum sebarang faedah dikenakan ke atas mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Penguna-Penguna Malaysia (Fomca), Datuk Pail Selvaraj turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan golongan muda yang diisytiharkan bankrap dan bersetuju bahawa kebanyakan mereka mengalami masalah berkenaan kerana tidak menguruskan penggunaan kad kredit dengan bijak.

“Apabila mereka diisytiharkan bankrap, kehidupan akan menjadi lebih sukar kerana nama mereka akan disenaraihitamkan di dalam data Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat (CCRIS),” kata beliau yang menambah bahawa keadaan itu akan menggagalkan permohonan pembiayaan mereka secara automatik.

Paul berkata, kebanyakan golongan muda terperangkap dengan hutang kerana mereka hidup melebihi cara yang sepatutnya.

“Permulaannya, mereka begitu mudah terpengaruh terutama gaya hidup rakan-rakan.

“Namun mereka tidak tahu bagaimana untuk menguruskan perbelanjaan dengan teratur sehingga menyebabkan kredit berlaku berterusan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan sikap mementingkan jenama di kalangan generasi muda menyebabkan mereka tidak mengambil peduli soal kemampuan dalam perbelanjaan.

“Mereka tidak mendapatkan kesannya ketika menggunakan kad kredit, tapi ‘sakit’nya akan dirasai pada akhir bulan,” tambahnya.

~Sumber mStar Online/AK
Related Posts with Thumbnails