Isnin, 12 Julai 2010

"win-win situation" Umno Gagal

Adat berunding secara ‘bilateral’, objektifnya agar kedua-dua pihak mendapat keadilan dan kesaksamaan dan tidak berat sebelah. Jika sebelah pihak sahaja yang meraut manfaat yang banyak manakala pihak yang satu lagi tidak memperolehi faedah yang sama maka hasil rundingan itu tidak dianggap sebagai "win-win situation".

Dalam banyak peristiwa dan kejadian, rundingan di antara Malaysia dengan negara-negara lain khususnya dengan Singapura, kita kecundang dalam rundingan. Namun tewas dalam rundingan boleh dikesan sejak negara mencapai kemerdekaan lagi.

Lapan tahun selepas mencapai kemerdekaan, Perdana Menteri yang pertama, Tuanku Abdul Rahman al Haj "menyerahkan Singapura" begitu sahaja tanpa ada asas rundingan yang kukuh dan tanpa ada apa-apa pertukaran, baik dalam bentuk kewangan, barangan atau faedah-faedah lain sebagai ganti atas ‘kehilangan’ pulau tersebut.

Pada zaman pemerintahan Perdana Menteri yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau pernah membuat kenyataan yang bernada kecewa bahawa "rundingan dengan Singapura ni sampai kiamat pun tak boleh selesai."

Nada kecewa dan putus harap ini membuktikan kita tidak mencapai "win-win situation" apabila berunding dengan Singapura, walaupun Dr Mahathir berpeluang mentadbir negara ini lebih 23 tahun, satu jangka masa yang paling lama berbanding perdana menteri yang lain.

Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara ini selepas Dr Mahathir, Malaysia juga tidak mencapai "win-win situation" dalam rundingan mengenai penemuan minyak dan gas di perairan Limbang/Brunei yang menjadi pertikaian.

Menjelang perletakan jawatan sebagai perdana menteri, Pak Lah dilaporkan telah menyerahkan begitu sahaja Blok L & M kepada Brunei, yang "isi perutnya" bernilai RM320 bilion tanpa mendapat apa-apa.

Nilai sebanyak itu, jika diuruskan dengan betul dan tidak ada ketirisan, salah urus, penyelewengan dan rasuah maka ia dapat melangsaikan hutang negara yang jumlahnya hampir sama banyak, iaitu RM326 bilion. Jika jumlah hutang ini terus meningkat pada kadar 12% setahun berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar maka Malaysia akan bangkrap menjelang tahun 2019.

Semasa pentadbiran Abdullah juga Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh (atau Pedra Branca) kepada Singapura dalam satu pertikaian hingga membawa kes ini kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Malaysia tewas kali ini kerana wakil-wakil negara tidak kompeten dalam undang-undang perairan antarabangsa berbanding Singapura.

Kes yang didengar di ICJ telah menimbulkan persepsi buruk dan curiga oleh para hakim memandangkan Malaysia bukan sahaja gagal menyediakan dokumen yang lengkap dan tepat malah menggunakan teknik lensa foto untuk menunjukkan gambar yang agak mengelirukan.

Tewas dalam "win-win situation"

Sebaliknya Malaysia diberi pulau kecil, saiz separuh padang bolasepak "Middle Rocks", yang kedudukannya lebih jauh dari Malaysia berbanding Pulau Batu Puteh. Walaupun tewas dalam perebutan mendapat hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, ia masih dianggap "win-win situation" oleh Dr Rais Yatim, kini Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih teraju negara pada April 2009, "tradisi" tewas dalam rundingan diwarisi beliau dengan membuat kesilapan, khususnya apabila berunding dengan Singapura. Najib dengan begitu mudah menyerahkan tanah Stesen Keretapi Tanjung Pagar kepada Singapura dan digantikan dengan sebidang tanah di kawasan perjudian Woodlands.

Meskipun tanah itu akan dibangunkan secara usahasama menerusi sebuah syarikat M & S Pte Ltd, dengan Malaysia dan Singapura masing-masing memegang ekuiti 60% dan 40% tetapi cara rundingan itu dijalankan dan kata sepakat yang dimudah dicapai menimbulkan tanda tanya. Ini kerana Najib membuat keputusan secara berseorangan, tidak pernah dibentang dalam kabinet, apatah lagi di Parlimen.

Kalau Dr Mahathir, yang dianggap sebagai seorang negarawan yang unggul gagal mencapai "win-win situation" dalam rundingan dengan Singapura bagaimana Najib dengan mudah dapat mencapai keputusan itu. Kenapa tidak dipakejkan tanah itu dengan isu-isu lain yang sudah sekian lama berlarutan dan sehingga kini masih menemui jalan buntu.

Bagaimana dengan isu air yang sekian lama dinikmati oleh Singapura dengan kadar bayaran 5 sen seliter, ruang udara yang dicerobohi oleh jet-jet pejuang Singapura dan wang Simpanan Pekerja Malaysia yang masih terperap di negara itu?

Dalam keadaan sebegini, sukar hendak dipercayai, Malaysia mencapai "win-win situation" dalam rundingannya dengan Singapura. Lebih-lebih lagi memandangkan negara pulau itu mempunyai kekuatan dari segi ekonomi dan ketenteraan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan mengingatkan kita dalam kuliahnya baru-baru ini di Kota Bharu, mengenai persoalan kenapa PAS tidak boleh bekerjasama dengan Umno untuk menyatu-padukan bangsa Melayu dan umat Islam. Jawab beliau dengan ringkas, "kita tidak dapat berunding dengan parti yang lebih kuat (Umno) berbanding PAS (parti yang lemah).

Kata hikmah Nik Aziz ini mengingatkan kita kepada zaman Rasulullah saw yang tidak pernah mengadakan rundingan dengan kaum musyrikin Quraisy di Mekah kecuali setelah baginda berjaya membentuk kerajaan Islam di Madinah. Begitu juga golongan Hizbullah di Lebanon yang tidak pernah berunding dengan zionis Israel. Hamas di Palestin juga tidak pernah berunding dengan Israel yang jauh lebih kuat daripadanya.

Berdasarkan situasi ini, bagaimana mungkin kita boleh mencapai "win-win situation" dalam keadaan kita yang lemah dari segi ekonomi dan ketenteraan dan tanpa adanya "padang permainan yang sama rata" (the same level of playing field)?

~FMT.

Memo tolak Anwar daripada pentadbiran S'gor

Umno Selangor akan menghantar memorandum kepada kerajaan negeri membantah kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri itu sekiranya benar dakwaan seorang penulis blog di New York bahawa beliau adalah 'alat' kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata sekiranya dakwaan penulis blog itu benar, Anwar tidak layak campur tangan dalam urusan pentadbiran di negeri itu.

"Kita nak cabar Anwar sama ada beliau berani menafikan atau saman
blogger itu.

"Sebagai rakyat Selangor, kita akan hantar memorandum secepat mungkin kepada kerajaan negeri kerana jika benar dakwaan Anwar ialah agen CIA kita tidak rela dan tidak mahu dia diberi tempat sebagai penasihat ekonomi Selangor," katanya kepada pemberita selepas perasmian Perhimpunan Hari Belia Selangor dan pelancaran Kempen 1Belia 1Malaysia oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad
Shabery Cheek di Kuala Selangor malam tadi.

Noh berkata demikian ketika mengulas dakwaan seorang penulis blog terkenal di New York, Elaine Meinel Supkis, bahawa Anwar, yang juga penasihat PKR, merupakan alat ciptaan CIA bagi menjaga kepentingan dan perancangan sulit Amerika Syarikat di Malaysia.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut mempersoalkan keengganan kerajaan Selangor bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan berhubung pelan pengambilan tanah untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 untuk Projek Penyaluran Air Mentah Pahang dan Selangor.

"Sepatutnya projek itu bermula pada Mei lepas tetapi hingga hari ini kerajaan Selangor tidak beri jawapan kepada kerajaan persekutuan sama ada akan bersama-sama jayakan projek ini. Nampaknya kerajaan Selangor lebih pentingkan politik kerana projek ini ialah projek kerajaan persekutuan dan kerana itu dia sengaja tidak mahu beri kerjasama demi kepentingan rakyat di Lembah Klang,"
katanya.

Noh meminta rakyat Selangor membuka mata dan bersatu menegakkan kebenaran dengan menolak kerajaan Pakatan Rakyat yang dilihat lebih banyak membuat kerja politik berbanding pembangunan di Selangor.

"Kalau kerajaan negeri tidak beri kerjasama kepada kerajaan persekutuan untuk projek air, ini bermakna rakyat Selangor kena bersedia menghadapi masalah kekurangan air pada 2013," katanya.

~Bernama

Utusan Didakwa Tangkap Muat Tuduh Anwar Agen CIA

Tahap kewartawanan akhbar arus perdana dikhuatiri merosot ke paras baru apabila Utusan Malaysia menyiarkan laporan muka depan, kali ini menggambarkan Anwar Ibrahim sebagai agen perisik CIA Amerika Syarikat.

Akhbar kawalan Umno itu juga mendakwa Anwar telah membayar syarikat berita terkemuka CNN untuk ditemuramah oleh stesen televisyen itu baru-baru bagi mencemuh kepimpinan Malaysia.

Dua dakwaan itu dilihat sebagai kemuncak agenda fitnah Umno-Utusan Malaysia dalam usaha menjatuhkan kredibiliti anwar sebagai Ketua Pembangkang dan antara pemimpin utama Pakatan Rakyat.

Pengarah Strategik PKR, Tian Chua melahirkan rasa hairan bagaimana seorang yang dikatakan sebagai 'alat' kepada CIA terpaksa membuat bayaran kepada Cable News Network atau CNN hanya semata-mata untuk ditemubual oleh media itu.

Beliau berkata laporan Utusan Malaysia tidak masuk akal kerana ia memaparkan Anwar sebagai seorang yang dikatakan mempunyai hubungan baik dengan risikan Amerika Syarikat namun terpaksa membuat bayaran kepada stesen tevisyen berkenaan.

Pada hari ini Utusan melaporkan, penulis blog dari Amerika Syarikat, Elaine Meinel Supkis kononnya mengetahui Anwar adalah agen CIA berasaskan senarai kawan-kawannya di Amerika Syarikat.

Dakwaan blogger itu cetek dan tanpa bukti, namun laporan itu disiarkan pada muka depan utusan tanpa sebarang siasatan atas kesahihannya oleh Utusan yang kerap menggelar dirinya sebagai akhbar bertanggungjawab.

Sayurgia diingatkan penulis-penulis blog seperti Supkis begitu ramai di Amerika dan Utusan tidak memberikan sebarang maklumat mengenai kredibliti beliau.

" Saya terkejut sebab 'agen' CIA pun kena bayar kepada CNN" ujar Tian kepada Tv Selangor.
" Itu lah yang menunjukkan Utusan ini mengeluarkan cerita yang terdesak. Kalau semalam dia kata Anwar bayar kepada CNN, hari ini Anwar adalah agen CIA, dan secara logiknya kita nampak Anwar ini merupakan agen CIA pertama terpaksa bayar CNN untuk dapat liputan" tambahnya lagi.

Malah tambah Tian, selain digelar sebagai agen CIA, Anwar turut dituduh sebagai agen Yahudi sebelum ini.

Namun ironinya, tidak lama kemudian Perdana Menteri, Najib Razak dengan bantuan APCO Worlwide cuba mempengaruhi dunia kononnya Anwar seorang yang bersifat perkauman dan anti Yahudi apabila Anwar mendedahkan kerajaan telah membayar lebih RM70 juta kepada firma berkaitan Zionis itu.

Semalam, Utusan memetik dari web konservatif haluan kanan dan penulisnya, Joshua Trevino mendakwa kononnya Anwar terpaksa membiayai program tembual bersama CNN dalam usaha Anwar memulihkan kembali hubungan dengan kelompok Yahudi.

Namun apabila diperinci rencana Trevino ini, jelas beliau tidak menuduh Anwar membiayai program temu bual itu tetapi sekadar berkata temu bual itu tidak membabitkan soalan-soalan yang keras untuk Anwar.

Dalam keghairahan untuk memusnahkan reputasi Anwar, Utusan nampaknya sanggup menerbitkan semula apa sahaja yang ditulis di alam blogger Amerika Syarikat walaupun ia bercanggah antara satu sama lain.

"Sekarang ini dalam masa yang singkat, Utusan mengeluarkan pelbagai kenyataan yang bercanggah sesama sendiri".

" Nampaknya mereka makin terdesak. Mereka pakai lempar sahaja apa-apa yang boleh dengan tujuan untuk mencemarkan imej Anwar sama ada ini boleh dipercayai atau tidak, asalkan mereka serang secara peribadi dengan pelbagai tohmahan dan fitnah" ujar Tian lagi.

Tian juga tidak menolak kemungkinan Anwar dikecam hebat oleh Umno dan media kawalannya sebagai taktik menutup dakwaan akhbar New York Times dibayar hampir RM10 juta untuk memuatkan dua iklan memuji isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor ketika lawatan beliau ke Amerika Syarikat sebelum ini.

" Kita nampak isu bayar CNN ini seolah-olah cuba untuk menutup cerita Rosmah bayar New York Times RM10 juta untuk untuk mendapatkan iklan memuji dia sebagai wanita pertama Malaysia" ulas Tian./TVSelangor

Ibrahim Ali: ‘Perkasa ala Cina’ adalah satu bentuk tindakan “ektremis”

Oleh Shazwan Mustafa Kamal


KUALA LUMPUR — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mendakwa idea agar ditubuhkan ‘Perkasa ala Cina’ adalah satu bentuk tindakan “ektremis” yang tidak sesuai kerana ia akan membawa kepada perjuangan yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas ini membidas kenyataan Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim baru-baru ini yang meminta agar ditubuhkan “Perkasa Cina” untuk menangani pengaruh Perkasa — pertubuhan bukan kerajaan bukan Melayu, yang semakin berakar umbi.

“Ini adalah kenyataan ekstremis... ia tidak wajar. Perkasa bukan rasis. Perjuangan kami, rangka perjuangan kami tertaklub kepada rangka Perlembagaan Persekutuan.

“Kami berjuang bagi memastikan peruntukan Perkara 153 Perkembagaan Persekutuan diamalkan dan dihormati,” kata Ibrahim selepas mesyuarat Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini hari ini.

Perkasa salah satu anggota gabungan MPM yang dilancarkan Mac lalu.

Wakil rakyat ini memberitahu The Malaysian Insider bahawa kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin seperti Lim, Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dan juga Presiden mereka Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menggambarkan parti Cina itu kelihatan buruk.

“Tetapi ada juga pemimpin MCA yang baik, hanya beberapa pemimpin yang menggambarkan parti itu buruk... bukannya parti, tetapi pemimpin mereka,” kata Ibrahim.

Ibrahim berkata kenyataan Lim membuktikan pada parti-parti politik Cina menggunakan ruang politik untuk menjadi hero masyarakat Cina.

“Bagaimana anda mahu menerajui negara pelbagai kaum macam ini?” kata Ibrahim lagi.

Lim dalam cadangannya berkata badan yang sesuai untuk memainkan peranan Perkasa Cina ialah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor.

Bagaimanapun menurut Ibrahim, MCA kini terperangkap dengan agenda politik DAP.


Jangkitan di Lubuk Yu bukan wabak - Tiong Lai

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengesahkan kes enam kematian akibat jangkitan bakteria di Hutan Lipur Lubuk Yu, Pahang bukan satu wabak baru dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kematian enam mangsa tersebut disahkan berpunca daripada jangkitan bakteria punca penyakit melioidosis dan leptospirosis yang boleh dirawat dengan mudah menggunakan antibiotik.

"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana ini bukan wabak dan jangkitan bakteria itu boleh dirawat menggunakan antibiotik berbanding jangkitan virus seperti influenza A (H1N1) yang lebih sukar dirawat.

"Namun, penduduk berhampiran kawasan itu dinasihatkan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika menghidap gejala seperti demam panas.

"Pasukan bantuan juga dihantar ke klinik-klinik desa di sekitar kawasan berkenaan untuk memantau dan membantu tetapi yang paling penting orang ramai mendapatkan rawatan segera jika terdapat gejala jangkitan," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan seminar gabungan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sini hari ini.

Enam mangsa yang meninggal dunia antara 3 hingga 8 Julai lalu merupakan sebahagian daripada 83 orang sukarelawan yang menyertai operasi menyelamat mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Yu pada penghujung Jun lalu.

Lima daripadanya disahkan meninggal dunia akibat jangkitan bakteria Burkholderia pseudomallei (Melioidosis) yang biasanya terdapat di dalam air dan tanah.

Seorang lagi mangsa yang maut telah dijangkiti bakteria jenis leptospira (leptospirosis) yang jarang menjangkiti manusia tetapi mudah disebarkan melalui air kencing haiwan seperti tikus.

Ekoran itu, pusat perkelahan yang terkenal di Maran itu telah diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan serta merta semalam.

Dalam pada itu, Tiong Lai mengingatkan orang ramai bahawa jangkitan kedua-dua jenis bakteria itu boleh membawa maut jika lewat menerima rawatan.

~Utusan

Related Posts with Thumbnails