Ahad, 27 Jun 2010

Kejahatan Seksual Naik 20% Akibat Video Lucah

Cut Tari... mengaku pakai blaus hijau dan coli hitam.

JAKARTA. JUN 27: Kajian menunjukkan kejahatan seksual di kalangan remaja Indonesia meningkat 20 peratus, dipercayai akibat penyebaran klip video lucah tiga tertuduh Nazril Ariel, Luna Maya & Cut Tari.

Menurut Suruhanjaya Perlindungan Anak Indonesia, peningkatan itu dicatat dalam tempoh seminggu. “Lebih membimbangkan, ia juga menjadi isu utama perbualan kanak-kanak,” kata aktivis badan itu, seperti yang dilaporkan oleh media Agensi.

Sementara itu, permohonan maaf Ariel kepada umum atas isu rakaman hubungan seksnya tidak membawa apa-apa makna, kata Ketua Muhammadiyah, Din Syamsuddin, semalam.

“Minta maaf kepada Dia.

“Jika minta maaf kepada orang ramai, ia tidak menyelesaikan masalah,” katanya, semalam.

Menurut Din, perbuatan Ariel merakam aksi itu meninggalkan kesan buruk meluas di kalangan masyarakat. “Jangan nafikan apa-apa lagi, kerana pornografi dalam bentuk apa pun membawa kesan buruk,” katanya.

Sedangkan polis Indonesia dilaporkan masih bingung kerana belum menemui coli hitam dan cincin milik Cut Tari untuk dijadikan bahan bukti dalam isu penyebaran video aksi lucahnya bersama vokalis Peterpan, Ariel. “Ya, kami sudah menggeledah rumah Cut Tari di Pondok Kelapa tetapi belum ada apa-apa pun yang disita,” katanya.

Menurut jurucakap itu, mereka mencari bahan berkenaan selepas menyelidik rakaman video berkenaan. Malah, katanya, Cut Tari, 32, juga mengaku memakai blaus tanpa lengan warna hijau muda serta coli hitam ketika dia mengadakan hubungan seks. “Masalahnya, Cut Tari tidak ingat di mana dia menyimpan coli berkenaan,” katanya.

Nama Cut Tari tiba-tiba melonjak naik apabila dia dikaitkan dengan rakaman aksi lucah bersama Ariel baru-baru ini. Ia didedahkan hanya beberapa hari selepas Ariel, 28, didakwa mengadakan hubungan intim dengan kekasihnya, Luna Maya. Seperti Luna Maya, 26, Cut Tari adalah pengacara televisyen selain terbabit dalam sinetron tempatan.

Dalam perkembangan bekaitan, polis menyatakan akan menggeledah pejabat Luna Maya. Kata jurucakap itu, polis perlu terus mencari bahan bukti dan antara lokasinya adalah tempat yang sering didatangi ketiga-tiga tokoh berkenaan. “Siasatan masih dijalankan dan setakat ini suspek masih Ariel seorang,” katanya. (Sumber: Agensi Dll/AK)


Mengapa Melatah Kalau Felda Tidak Bankrap?

Oleh Faizal Ezzany

SHAH ALAM 27 Jun - Pembongkaran isu Felda lidah rasmi KEADILAN, Suara Keadilan adalah satu langkah awal bagi menyelamatkan institusi tersebut daripada terus dipergunakan oleh Umno-Barisan Nasional demi kepentingan politik mahupun peribadi individu tertentu.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar Felda yang matlamat awal penubuhannya adalah untuk membela nasib Bumiputera terutamanya golongan peneroka dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka kini berubah dengan tumpuan kepada kepentingan korporat tanpa memikir pengorbanan golongan peneroka.

"Kalau benar tidak bankrap mengapa perlu melatah sedemikian rupa sehingga mahu mengambil tindakan menyaman Suara Keadilan dan juga beberapa pemimpin lain. Felda sepatutnya mengambil sikap terbuka dengan pendedahan tersebut kerana kritikan diberikan mempamerkan kerisauan dan keprihatinan kita.

"Felda seharusnya melihat pendedahan ini dari sudut yang positif yang dapat membantu Felda lebih berjaya. Bagi saya tindakan menyaman adalah satu tanda jelas bahawa wujud kepincangan dalam pengurusan yang ada sekarang dan ini tidak lain hanya untuk menutup kesilapan dan mengubah perhatian rakyat kepada usaha saman bukan kepada apa yang telah didedahkan.

"Usaha saman itu hanya mempamerkan unsur autoritarian yang wujud dalam institusi tersebut," jelas beliau.

Nurul Izzah berharap seluruh warga Suara Keadilan akan bertahan dan terus berani memperjuangkan kebenaran dan membongkar segala kepincangan samada dalam Felda, agensi kerajaan yang lain dan juga dalam pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional.

"Saya yakin seluruh jentera Suara Keadilan akan bertahan dan berani untuk memperjuangkan kebenaran serta membongkarkan segala kepincangan samada Felda, agensi kerajaan yang lain mahupun kerajaan BN itu sendiri.

"Rakyat menaruh harapan dengan pembongkaran itu kerana ini dapat membantu menyelamatkan dana rakyat dan juga masa depan negara. Apa yang penting kita akan pastikan proses mahkamah berjalan dengan adil dan saksama," tegas Nurul Izzah lagi.


UMNO Kelantan dekati ulama muda

KOTA BHARU - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pihaknya kini berusaha mendekatkan diri dengan golongan ulama muda di negeri ini dan berusaha menarik mereka menyertai UMNO.

Mustapa berkata, senario yang berlaku jelas menunjukkan ulama muda kini tidak lagi melihat Pas sebagai wadah perjuangan kelangsungan politik mereka dalam membawa Islam ke tempat sewajarnya.

"Kita akan dekatkan diri dengan ulama ini dan pelajar yang baru pulang dari Timur Tengah. Kemasukan mereka ke dalam UMNO adalah sangat penting kerana ulama muda ini ada pengaruhnya yang tersendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu di sini, semalam.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, berdasarkan situasi kini, lebih ramai golongan ulama akan menyertai UMNO tidak lama lagi.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya kini mula mengatur strategi khusus memperkukuh kekuatan parti bagi mencapai matlamat kembali menguasai Kelantan dan merampasnya daripada Pas.

Katanya, apa yang paling membanggakan ialah semangat dan kejituan dalam kalangan anggota UMNO kini berada di tahap terbaik dan mereka begitu bersemangat untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Sasterawan Negara Samad Said merajuk lagi?


KUALA LUMPUR, 27 Jun — Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said merajuk lagi selepas dua tahun — kali ini dilaporkan mahu menempatkan khazanah sastera miliknya di New Zealand selepas kecewa dengan layanan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam menyediakan penempatan untuk koleksinya.

Samad berkata, menerusi rundingan bersama beberapa temannya di negara Kiwi itu, beliau mendapati New Zealand lebih menghargai segala usaha penggiat seni, termasuk sasterawan.

Dua tahun lalu beliau merajuk tidak mahu menggunakan lagi gelaran Sasterawan Negara dan memutuskan untuk tidak akan menerima sebarang jemputan ceramah atau program berkaitan Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu.

“Mungkin saya lebih selesa bergerak atas nama individu dalam kegiatan-kegiatan sastera dan jika ada jemputan, lebih baik atas nama peribadi,’’ kata Samad dua tahun lalu.

Mengulas perkembangan isu terbaru, beliau berpendapat bahawa melalui pemerhatian bersama temannya yang bermastautin di negara itu juga mendapati golongan seni di sana lebih dihargai berbanding di negara ini yang disifatkan seperti tidak mahu kewujudan khazanah yang sudah dicipta menerusi golongan sasterawan.

“Saya sebenarnya sudah memberi peluang kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk terus menerima khazanah saya, namun nampaknya tiada sebarang tindakan yang boleh dipegang setakat ini.

“Mereka (kementerian) ada menghubungi saya sejak setahun lalu dan sudah melihat hasil kerja saya, tetapi sehingga kini tiada lagi hubungan (susulan) dilakukan.

“Saya menganggap bahawa mereka tidak mahu. Oleh itu, saya berpendapat pihak berkenaan berasakan khazanah ini tidak penting dan selepas ini jangan salahkan saya pula,” kata beliau dipetik Berita Minggu hari ini.

Samad berkata, beliau juga berasakan New Zealand sememangnya mempunyai kawasan penempatan untuk dibangunkan sebagai khazanah Melayu.

“Jika rundingan bersama teman saya berjalan lancar, tidak mustahil ia akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Jadi, selepas ini mereka berminat untuk mendekati atau mahu tahu mengenai hasil cipta, sumbangan, diari, manuskrip dan lukisan saya selepas ini, mungkin terpaksa ke sana,” katanya.

Lesen Judi : Najib bersandiwara lagi?

SHAH ALAM, 26 Jun – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan keputusan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak meluluskan lesen judi sukan kepada Ascot Sports, syarikat milik jutawan Tan Sri Vincent Tan, sebagai “sandiwara politik” untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat.

Menurut Naib Presidennya, Mustafa Kamil Ayub, terlalu banyak maklumat yang diterima sebelum ini membayangkan bahawa lesen judi sukan itu seakan-akan sudah diluluskan.

“Beberapa maklumat yang diterima sebelum ini membayangkan bahawa lesen judi sukan ini sudah diberikan kepada Ascot Sports.

“Sebagai contoh Dr Mohd Puad Zarkashi (Timbalan Menteri Pelajaran) sebelum ini membantah kelulusan itu seolah-olah lesen itu sudah ada, malah ada yang kata supaya jangan memperbaharuinya.

“Jadi selagi Perdana Menteri belum memberikan penjelasan kita terima bahawa lesen itu sudah diluluskan,” katanya kepada The Malaysian Insider di sini malam ini.

Lewat malam tadi, kerajaan dalam tindakan drastik yang mengejutkan banyak pihak memutuskan untuk tidak mengeluarkan lesen sukan judi kepada Ascot Sports.

Keputusan itu diumumkan oleh Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu syarikat itu telah dimaklumkan mengenai keputusan itu.

“Ascot Sports telah dimaklumkan mengenai keputusan ini, mereka maklum keputusan ini,” katanya lagi.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan bila keputusan itu dibuat.

Mustafa berkata selagi Najib tidak membuktikan bahawa lesen judi sukan itu benar-benar tidak diluluskan parti itu akan terus mendesaknya.

“Selagi Najib tidak membuat penjelasan kita akan terus desak.

“Kita mahu beliau membuktikan bahawa lesen tersebut benar-benar tidak dikeluarkan,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden Azmin Ali berkata jika ia hanya “sandiwara” maka kerajaan Umno-BN akan dihukum pada pilihan raya umum akan datang.

“Jangan merendahkan desakan dan gesaan rakyat dalam perkara ini.

“Kita serius bukan hanya orang Islam tetapi orang bukan Islan juga menentang keras kelulusan lesen judi sukan ini.

“Ini bukan cara untuk Malaysia maju ke depan dalam bidang ekonomi, ini adalah cara yang agak ketinggalan,” katanya ketika ditemui pada sesi pemukiman PKR dekat sini.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Fariz Musa berkata tindakan tidak mengeluarkan lesen judi sukan itu mungkin bersifat sementara dan kemungkinan ia akan dibangkitkan semula sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.

“Ini hanya sandiwara yang dibuat kerajaan BN untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat dengan tidak meluluskan lesen judi sukan itu.

“Mungkin selepas ini ia akan dibangkitkan semula sekiranya BN masih memerintah negara selepas pilihan raya umum nanti.

“Nampaknya kerajaan sengaja mahu bermain politik dengan rakyat,” katanya.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata keputusan tidak meluluskan lesen judi sukan itu mungkin disebabkan kedatangan ulama yang hadir sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi Umno untuk menyerahkan borang keanggotaan Umno kepada Najib.

“Saya difahamkan bahawa semalam seramai 40 ulama datang berjumpa Najib untuk menyerahkan borang keanggotaan Umno, jadi mungkin sebab itu beliau membuat keputusan untuk tidak meluluskan lesen judi sukan itu.

“Keputusan itu hanya sementara sahaja kerana ingin menjaga imej beliau dan mungkin perkara ini akan dibangkitkan semula,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali berkata status sebenar lesen judi sukan tersebut masih menjadi tanda tanya memandangkan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, bukannya Kabinet.

“Statusnya masih jadi tanda tanya kerana keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen judi sukan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno bukan dalam Kabinet.

“Jadi selagi keputusan itu tidak dibuat dalam Kabinet, maka statusnya masih belum pasti lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Bernama memetik Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, PKR menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan di negara ini.

Kata beliau, berkata keputusan itu menunjukkan kerajaan sekarang mendengar pandangan rakyat.

“Baguslah langkah kerajaan dengar saranan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita.


The Malaysian Insider
Related Posts with Thumbnails