Isnin, 19 April 2010
Skandal seks tak halang Maria Eva bertanding
JAKARTA: Penyanyi dangdut, Maria Eva yang terbabit dalam video seks dengan ahli politik Golkar, Yahya Zaini dicalonkan bertanding jawatan bupati (ketua daerah) di Sidoarjo, Jawa Timur pada pilihan raya akan datang.
Penyanyi dangdut itu dilaporkan bersetuju menerima pencalonan sejumlah parti politik yang memintanya menjadi calon. Sebelum itu, beliau pernah menolak tawaran terbabit kerana tidak bersedia.
Pada 9 April lalu, Maria mengaku dicalonkan anggota tertinggi sebuah parti. “Saya diminta menjadi calon wakil bupati,” kata Maria ketika ditemui di Sudirman Park, di sini 14 April lalu.
Maria mengaku dicalonkan oleh Parti Amanat Nasional (PAN). Namun, namanya tidak tercalon selepas parti melambangkan matahari terbit itu mengadakan mesyuarat dalaman.
Malah, PAN sempat menyampaikan bantahan ia sudah mencadangkan nama Maria sebagai calon.
Namun, ia bukan bermakna peluang Maria terhapus. Peluang itu dimanfaatkan parti lain yang mula menimbang namanya.
“Sekarang nama saya disebut-sebut oleh parti kecil. Sidoarjo menjadi kawasan panas kerana nama saya disebut-sebut. Kalau saya berpatah balik, ia agak mustahil. Bola panas sudah berputar, justeru saya harus meneruskannya,” katanya.
Maria mengaku belum memberikan jawapan atas pencalonan parti terbabit. Namun, ia mengaku bersedia untuk meneruskan hasratnya.
“Sampai saat ini saya belum memberi keputusan kepada pencalonan parti terbabit, namun sudah maju setapak,” katanya.
Nama Maria Eva menjadi perhatian ketika video panasnya dengan anggota Dewan Perwakilan Rakyat ketika itu, Yahya Zaini mula tersebar di internet. Akibatnya, Yahya Zaini yang juga ahli politik Parti Golkar meletak jawatan dalam parti akibat skandal terbabit.
Maria mengakui, jika namanya dicalonkan dalam pilihan raya akan datang, beliau tidak mempunyai apa-apa matlamat
Perancangan Zionis Dalam Umno, Wujud Anai-Anai Upahan
Baru ini Menteri Besar melawat mangsa kebakaran di Kuala Ketil, Baling tidak sampai 24 jam selepas penduduk dtimpa bencana itu. Lebih 400 buah rumah terbabit. Ribut yang datang tidak kenal rumah mana yang didiami oleh penyokong Pakatan Rakyat, BN atau bebas. Mangsa terdiri dari pelbagai ideologi politik. Menteri Besar tidak turun dengan tangan kosong, menghulurkan bantuan RM250 kepada mangsa sekeluarga tanpa mengira pegangan poltik.
Pemimpin BN juga turun, tetapi cuma dengan bekalan janji RM300 sekeluarga. Kira-kira seminggu janji ‘RM300 duit BN’ itu dijaja dan dijadikan sindiran politik di kalangan mangsa ribut.
Mungkin akibat tidak tahan dengan kutukan yang diterima dari rakyat, akhirnya selepas seminggu berlalu pemimpin BN turun membawa wang Kerajaan Pusat (yang diambil dari rakyat jelata melalui kutipan cukai) untuk dagihkan kepada mangsa ribut.
Jika negeri yang kecil pendapatannya pun dapat memberi RM250, malu benar mereka untuk menghulur RM300, lalu sumbangan dinaikkan menjadi RM500 satu keluarga. Inilah kelebihan adanya persaingan dari Pakatan Rakyat. Yang untung rakyat.
Namun apa yang tidak dapat dihindari oleh BN ialah perangai buruk pemimpin mereka dalam mengeluarkan kenyataan. Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mendakwa kerajaan negeri memberi bantuan hanya kepada para penyokong parti Pakatan Rakyat. Kenyataan itu satu pembohongan. Bashah pun tahu dia berbohong, tapi tidak peduli untuk berbohong kerana memburukkan musuh politik bagi mereka lebih aula dari melakukan dosa bohong. Itu konsep Machievelli yang menjadi anutan dan amalan BN sejak berzaman.
Beberapa hari lalu BN mengumpulkan semua yang terbabit dengan pengambilan tanah projek keretapi berkembar kononnya untuk menghulurkan bantuan kepada mereka. Namun orang kanan Bashah yang hadir menggantikan beliau menjadikan perjumpaan itu sebagai platform memburuk-burukkan kerajaan negeri. Penduduk tidak menerima apa-apa bantuan kebendaan atau khidmat nasihat sebaliknya mendengar pelbagai fitnah yang ditaburkan dalam memburukkan kerajaan negeri. Menipu itu satu dosa. Tetapi mengumpulkan orang secara menipu untuk mendengar propaganda politik mereka adalah satu penipuan yang mendatangkan dosa yang lain. Sebelum ini Bashah telah memfitnah pihak berkuasa agama kononnya mengambil tindakan terhadap imam dan pegawai masjid berasaskan pegangan politik mereka. Juga memfitnah wakil rakyat Alor Mengkudu Dr Ismail Salleh kononnya tidak ambil peduli kebajikan rakyat dalam beberapa isu. Tidak habis habis memfitnah. Itu baru di peringkat bawahan.
Di peringkat nasional, inovasi propaganda BN lebih hebat. Semua tahu Datuk Seri Najib terpalit dengan isu Altantuya. Cara pembersihan yang dilakukan BN terhadap isu tersebut ialah dengan mengatur kenyataan dari mulut bekas peguambela Datuk Seri Anwar sendiri, iaitu Zulkifli Noordin. Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu mendakwa kononnya cuba dibayar untuk memfitnah Najib. Jika Najib yang bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak terbabit, rakyat masih sukar mempercayai. Namun apabila Zul Noordin yang bercakap dengan plot cerita dari aspek yang orang ramai belum terfikir, maka ia mampu membenamkan kadar ketidakyakinan orang ramai. Begitulah kreatif dan inovatifnya BN dari aspek propaganda.
Menjelang pilihanraya kecil Hulu Selangor, pelbagai lagi isu akan dicipta dan dimanipulasikan untuk memburukkan imej Pakatan Rakyat. Ia tidak terhad di Selangor tetapi di seluruh negara. Jangan terkejut apabila ada lagi wakil rakyat Pakatan yang melompat. Semua lompatan itu adalah berbayar, tiada yang percuma.
Tiada angin tiada ribut tiba-tiba bekas Setiausaha Politik Anwar, Mohd Ezam Md Noor meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana membela Anwar dulu. Katanya, sekarang baru dia tahu perkara sebenar kes liwat Anwar. Maksudnya, sekarang baru Ezam tahu bahawa Anwar ‘benar-benar’ peliwat. Dulu dia tidak tahu. Ini pun satu bentuk propaganda yang kreatif sebab Ezamlah yang paling kuat mempertahankan Anwar dengan sumpah keramatnya dulu. Saya membayangkan bahawa tidak pelik jika selepas ini bekas rakan-rakan Anwar yang belot (termasuk Ezam) akan membuat dakwaan “Saya pernah diliwat” atau “..cuba diliwat oleh Anwar.” Mereka sanggup melakukan apa saja demi mempertahankan kuasa BN yang sedang bergelut dalam nafas nazak.
Selepas berusaha keras mengeluarkan pemimpin-pemimpin KeADILan dari parti, fasa terkini konspirasi mereka ialah menghancurkan parti itu dari dalam di peringkat akar umbi. Dengan lain perkataan, selepas mewujudkan ‘katak’ mereka membiakkan pula ‘anai-anai’ di dalam KeADILan. Baru-baru ini berlaku kekecohan dalam mesyuarat agung tahunan KeADILan Cabang Baling. Golongan yang diupah membuat kacau sehingga mesyuarat terpaksa ditangguhkan. Dalam mana-mana organisasi pun adalah lebih mudah menghadapi musuh yang nyata dari berdepan dengan ‘anai-anai’ yang merosakkan organisasi dari dalam. ‘Anai-anai’ upahan BN inilah yang cuba dibiakkan dalam cabang KeADILan di seluruh negara.
Macam-macam perkara lagi yang akan dilakukan oleh BN dalam usaha mempertahankan kuasa mereka di Pusat dan menawan kembali negeri-negeri yang dikuasai Pakatan. Semuanya tergamak dilakukan tanpa perhitungan halal haram. Itulah padahnya mengambil APCO sebuah syarikat Yahudi sebagai perunding imej. Akhirnya terpancarlah imej dan perangai Yahudi pada wajah BN.
Jasa Zaid Ibrahim ketika dalam umno
M Faqih
SEORANG penarik beca di Kota Bharu memberitahu dia kenal sangat siapa Datuk Zaid Ibrahim. Begitu juga seorang pemuda kurang upaya, Ruslan Ismail dari Pulau Seratus, Tumpat.
Tidak sedikit duit Zaid dicurah di Yokuk. Yokuk ada pejabat di Pengkalan Chepa menawarkan khidmat latihan dan motivasi kepada OKU. Ada kenderaan khas membawa mereka berulang alik ke Yokuk.
Penarik beca lain juga kenal Zaid kerana sering menerima bantuan. Setiap tahun pasti ada perjumpaan dengan penarik beca. Bukan sekadar makan, ada buah tangan diberi untuk dibawa pulang.
Maka Zaid popular di kalangan golongan marhaen. Sedangkan pemimpin Umno lain di Kelantan juga ramai yang kaya raya, namun tidak ada yang berjiwa luhur seperti Zaid.
Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) yang ditubuh Tan Sri Annuar Musa awal 1990-an bertujuan membantu orang miskin. Hari ini ia tidak lagi menjadi sebutan ramai.
Hanya pejabat sahaja yang gah di Peringat. YKK tenggelam bersama Annuar yang hilang dalam arus politik perdana.
Sebenarnya bintang Zaid dalam Umno cerah kalau tidak ’dicah keting’ Ketua Umno Kota Bharu sekarang, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.
Ketika mesyuarat pemilihan di peringkat cawangan Umno pada 2008, banyak cawangan yang mencalon nama Zaid tiba-tiba diisytihar bermasalah. Difahamkan pelbagai alasan teknikal diberi Fatmi bagi menggantung cawangan berkenaan.
Hasilnya Zaid tidak dapat melepasi kelayakan untuk mempertahankan jawatan ketua bahagian. Fatmi yang juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri ketika itu mendapat jawatan ketua dengan mudah.
Biar pun Zaid rapat dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, namun dalam banyak hal Abdullah tunduk kepada kemahuan politik Najib.
Bagi memujuk Zaid, Abdullah menawarkan jawatan menteri dengan status Senator.
Zaid menang jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu selepas pertembungan sengit dua penggal melawan Datuk Ahmad Rastom Ahmad Maher. Zaid menang tipis pada pemilihan 2001.
Keupayaan Zaid mengekalkan jawatan ketua bahagian penggal kedua akhirnya membawa padah apabila cuba disabit dengan kesalahan politik wang. Akhirnya jawatannya digantung.
Ketika itulah Mohd Fatmi tampil dan merampas dengan kerusi ketua bahagian. Fatmi bangkit dengan ihsan Najib.
Namun agak mengaibkan apabila Fatmi gagal memasuki pejabat Umno Kota Bharu di Jalan Sultanah Zainab. Bangunan itu difahamkan dibiayai sumber kewangan Zaid.
Bangunan agak besar itu kini lenggang apabila Zaid dipecat keahlian Umno.
Sebelum itu Zaid merupakan Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri pada 2003.
Lebih ajaib lagi biar pun tidak bertanding pada pilihan raya umum Mac 2008, Zaid dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Zaid diamanah menjaga hal ehwal undang-undang. Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya bagi membetulkan institusi kehakiman yang cedera parah di era Tun Dr Mahathir Mohamad.
Maka tidak hairanlah dicetusnya kerajaan perlu meminta maaf kepada hakim-hakim yang dipecat pada 1988. Ini membangkit satu dimensi baru dalam politik negara.
Biar pun dikecam ramai pemimpin Umno, Zaid tidak berganjak. Dan akhirnya beliau berjaya apabila kerajaan membayar saguhati kepada hakim-hakim terbabit.
Itulah jasa besar Zaid di hati bekas hakim yang teraniaya di era Dr Mahathir.
Hasilnya hakim-hakim termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dapat bayaran ex-gratia. Kesemuanya berjumlah RM5 juta.
Dr Mahathir marah sangat kepada Abdullah kerana mengikut kemahuan Zaid.
Ekoran itu Zaid dianggap penyokong Dr Mahathir sebagai pembangkang dalam kabinet Abdullah.
Hari ini bekas menteri yang bersusah payah membetulkan semula sistem kehakiman negara muncul kembali.
Kali ini bukan lagi di Kota Bharu, sebaliknya Hulu Selangor. Zaid yang dicap wakil pembangkang ketika berada dalam kabinet Abdullah, mahu mendapat restu penduduk di Hulu Selangor bagi meneruskan perjuangannya.
Peguam kelahiran Bachok terbabit mahu terus melangkah. Beliau sanggup meninggalkan tanah tumpah darahnya demi membawa berkat Serambi Mekah ke Hulu Selangor.
Penentu kepada pusingan kedua perjuangannya akan dimuktamadkan 25 April ini.
Di Hulu Selangor sebanyak 63 peratus penduduk dari kelompok kelas menengah lebih terdedah kepada media baru.
Ramai kelas menengah dan sebahagian anak muda tinggal di Bukit Beruntung, Batang Kali dan Kuala Kubu Baru.
Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari UM menggambarkan anak muda berusia 21 hingga 40 membentuk 48 peratus komposisi tinggal di kawasan urban.
Berdasar kepada hujah tersebut, sarjana sains politik, Wan Nik Wan Yussof menggambarkan peluang Pakatan Rakyat lebih cerah.
”Biar pun kemenangan dijangka tidak besar namun bukan berpihak kepada BN,” ujarnya.
Gambaran awal yang memperlihatkan situasi itu sudah diketahui umum. Umno Hulu Selangor mahu kerusi tersebut dikembalikan kepada parti itu. Bagaimanapun Umno pusat tidak mahu status quo diubah.
Keduanya, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu pada awalnya berkeras mahu timbalannya, Datuk G Palanivel dicalon. Manakala MIC Hulu Selangor pula berkenan Ketua Pemuda MIC bahagian berkenaan, V Mugilan.
Akhirnya Ketua Penerangan MIC Pusat, P Kamalanathan pula menjadi pilihan. Krisis yang sudah terdedah kepada umum itu terpaksa diredakan.
Caranya media diarah menyiarkan gambar Palanivel dan Kamalanathan berpelukan bagi memperlihatkan krisis sudah berakhir.
MIC juga terpaksa mengatur pertemuan dengan pemimpin akar umbinya Jumaat lalu membabitkan 75 cawangan di Hulu Selangor. Tujuannya bagi memperlihatkan Palanivel tidak berdendam.
Berdasar perkembangan tersebut, PKR seperti tidak sukar untuk mempertahankan Kuala Selangor. Itu belum lagi diambil kira masalah pemilikan tanah yang banyak tidak selesai. Begitu juga isu nasional yang berlingkar sekarang.
Ahad, 18 April 2010
Achik Spin: Detik-detik Selepas Kemalangan
Allahyarham yang berada di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabas setelah melanggar papan tanda dan beliau meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat Allahyarham dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar.
Kelihatan anggota Paramedik memeriksa keadaan mangsa yang telah dikeluarkan dari MPV di tempat kejadian.
Rakan Achik Spin yang mengalami kecederaan dalam kejadian kemalangan diberi rawatan di KM 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) dekat sini, petang ini oleh anggota paramedik.
Penyanyi kumpulan Spin, Abdillah Murad Md. Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin, 28, (gambar) meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri di KM 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) dekat sini petang ini.
Kelihatan api marak membakar kereta MPV yang dipandu Achik ekoran kejadian malang itu.
Kelihatan Ibu mangsa Badariah Awalludin (bertudung hitam) tidak dapat menahan kesedihan ketika tiba di bilik forensik Hospital Tuanku Ja'afar.

Sumber : Bernama
Bahaya kawat berduri menanti di hari penamaan calon pilihanraya
Bermula dengan pilihanraya kecil di Parlimen Bukit Gantang, kawat berduri menjadi pengganti kepada tali oleh pihak polis untuk mengawal dan menghalang orang ramai daripada memasuki kawasan yang diwartakan sebagai larangan semasa hari penamaan calon.
Saya sendiri mempunyai pengalaman 'ngeri' apabila berhadapan dengan kawat berduri yang dijadikan penghalang oleh polis, dalam keadaan orang yang terlalu ramai, asak mengasak tidak dapat dielakkan dan bahaya kawat berduri ini bagaikan ternganga menanti mangsa.
Setakat ini tiada kejadian yang tidak diingini berlaku akibat daripada penggunaan kawat berduri yang dilaporkan oleh pihak polis. Tetapi itu semuanya kini telah berubah di hari penamaan calon prk Hulu Selangor semalam.
Samy Vellu dan Ganesan (gambar kiri) dikatakan cedera apabila orang ramai (BN) yang berasak telah menyebabkan kedua mereka terjatuh di atas kawat berduri polis itu. Seorang anggota polis juga terlibat sama dan tercedera.Saya sarankan agar pihak polis mengkaji semula penggunaan kawat berduri yang amat berbahaya ini di hari penamaan calon mana-mana pilihanraya. Orang ramai yang datang untuk menyatakan sokongan kepada parti yang bertanding bukanlah penjenayah tetapi hanyalah rakyat biasa yang membayar cukai kepada perkhidmatan yang diberikan oleh pihak polis.
Diharapkan juga agar kajian penggunaan kawat berduri itu semata-mata atas dasar keselamatan terhadap orang ramai dan bukannya kerana pimpinan BN yang telah cedera disebabkan olehnya (jerat makan tuan?).
Gambar-gambar penggunaan kawat berduri semasa hari penamaan calon Parlimen Bukit Gantang










