Khamis, 15 April 2010

APCO yang aturkan Najib jumpa Obama

RM76 juta dibayar kepada APCO, antaranya menemukan Najib-Obama

Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz mengakui bahawa kos perkhidmatan yang dibayar kepada APCO Worldwide berjumlah RM76.82 juta setahun, malah memuji sumbangan APCO dalam usaha memperbaiki hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat.

Sambil menuding jari kepada dua orang bekas Perdana Menteri yang "menjejaskan hubungan antara Kuala Lumpur-Washington", Nazri mendakwa bahawa hubungan dua hala yang terjejas dalam tempoh 28 tahun ini hanya boleh diperbaiki dengan membelanjakan wang.

Nazri Aziz tidak menafikan bahawa kerajaan Malaysia menggunakan perkhidmatan APCO Worldwide untuk memperbaiki hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat, "APCO Worldwide bertanggungjawab untuk membina imej negara kita di Amerika Syarikat, agar hubungan kita dengan Amerika Syarikat lebih erat. Apakah anda menganggap syarikat tempatan Malaysia boleh mengeratkan hubungan antara kita dengan Amerika Syarikat?"

Hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat dianggap "kurang erat" semasa zaman pemerintahan PM keempat dan kelima, iaitu Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi, jadi Nazri tidak melihat wujudnya masalah untuk memperbaiki hubungan dengan Amerika Syarikat atas nama diplomatik dan ekonomi.

"Sekiranya kita tidak berbaik dengan Amerika Syarikat, Amerika Syarikat langsung tidak akan mempedulikan kita. Kita perlu memperbaiki hubungan yang terjejas semasa zaman pemerintahan 22 tahun oleh Mahathir Mohamad dan enam tahun oleh Abdullah Ahmad Badawi. Anda ingat kita boleh meredakannya tanpa berbelanja?" tanya Nazri ketika ditemuramah media di parlimen, semalam.

Malah, Nazri menambah bahawa kerja melobi adalah sesuatu yang lumrah di Amerika Syarikat. "Anda perlu lobi (barulah kerja diselesaikan dengan baik), dan pelobi terbesar di Amerika Syarikat ialah pelobi Israel."

Memuji Najib

Setelah mempersalahkan Mahathir dan Abdullah, berikutan hubungan kurang erat dengan Amerika Syarikat yang memberi kesan kepada pembangunan ekonomi, Nazri seterusnya memuji PM sekarang, Najib Razak, "Najib bukan untuk dirinya, beliau melakukan ini demi negara. Apa salahnya berbaik dengan Amerika Syarikat? Ia hanya akan memanfaat ekonomi kita."

Najib mengambil contoh pertemuan antara Najib dengan Obama, sebagai bukti untuk menunjukkan APCO Worldwide menjalankan tugasnya dengan baik. "Apa yang kita belanjakan amat berbaloi, kita mendapat pulangannya."

"Prestasi APCO Worldwide cukup baik. Setakat ini Obama hanya meluangkan masa untuk berjumpa dengan Najib dan Hu Jintao (Presiden China). China tu China (pengaruh besar), tapi Obama berjanji untuk bertemu dengan Najib," jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim ketika membahaskan Titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dalam persidangan Dewan Rakyat penggal ini mencungkil kontroversi apabila mengkritik kerajaan kerana menggunakan perkhidmatan syarikat Israel, APCO Worldwide, yang juga digunakan oleh diktator negara lain. 【Baca: APCO dan 1Malaysia】

"...Diktator yang kaya akan menggunakan (syarikat) yang terbaik. Jadi, mengapa mereka menggunakan APCO Worldwide? Ini kerana APCO Worldwide terlalu baik (perkhidmatannya). Kalaulah mereka nak membina imej yang baik di Amerika Syarikat, mereka perlu menggunakan APCO Worldwide," ulas Nazri.

Mengambil contoh Karpal dan Anwar

Bahkan, Nazri mengambil contoh peguam terkemuka, Karpal Singh yang juga Pengerusi DAP, "Tahukah anda siapa yang akan mengupah Karpal Singh dalam kes mahkamah? Pembunuh, penyeludup... Kerana mereka nak bebaskan diri daripada hukuman. Mereka perlu mendapatkan peguam yang terbaik. Ada yang berkata Karpal Singh adalah yang terbaik. Jadi mereka mengambil Karpal Singh..."

"Tapi, bolehkah anda berkata Anwar Ibrahim adalah pembunuh kerana beliau menggunakan Karpal Singh sebagai peguam belanya?" tanya Nazri.

Karpal Singh kini adalah peguam bela Anwar Ibrahim dalam kes liwat.

Oleh itu, Najib menganggap pembangkang tidak harus meringkaskan isu ini, menyamakan penggunaan APCO Worldwide dengan isu lain sewenang-wenangnya. Malah, beliau mendakwa bahawa beliau pernah menyemak senarai nama Zionis, dan akhirnya beliau mendapati lebih separuh daripadanya adalah kawan Anwar.

"Jadi, beliau (Anwar) boleh berkawan dengan orang ini, dan kami tak boleh," sindirnya.

Tian mempertikaikan Nazri

Sebelum ini, ahli parlimen Batu-PKR Tian Chua mengadakan sidang media di koridor parlimen, mempertikaikan kejujuran Nazri dengan menunjukkan jawapan bertulis daripada Jabatan Perdana Menteri. JPM memberi jawapan bahawa kontrak perkhidmatan APCO Worldwide bernilai RM76,820,563 setahun, jauh berbeza dengan jawapan yang diberikan Nazri sebelumnya ketika ditemuramah media, iaitu RM28 juta.

Namun, Nazri mendakwa bahawa kedua-dua pihak sebenarnya tidak pasti dengan angka RM28 juta itu, tetapi beliau berjanji kepada Tian Chua (gambar kanan) secara peribadi, bahawa beliau akan mengemukakan jawapan yang terperinci seandainya Tian Chua menulis secara rasmi kepada JPM.

"Jadi, inilah jawapan tepatnya," Nazri menegaskan bahawa beliau tidak menolak untuk memberi jawapan, "Anda boleh menyemak minit mesyuarat. Saya (pada ketika itu) berkata saya tidak mempunyai maklumat yang terperinci. Dan saya juga kata, seandainya saya ada maklumat terperinci, maka saya boleh mendedah kepada semua orang."

Dalam satu wawancara bersama Malaysian Insider pada 7 April 2010, Nazri memberi reaksinya terhadap tindakan ahli parlimen Pokok Sena-PAS, Mahfuz Omar yang melaungkan "UMNO-APCO" dalam dewan. Nazri berkata, "'UMNO-APCO' adalah tuduhan yang serius. Parti komponen Barisan Nasional, UMNO menggunakan RM28 juta untuk mengupah APCO. Tetapi, mengatakan UMNO itu APCO dan APCO itu UMNO, membawa makna bahawa kami memasukkan wang kerajaan dalam saku UMNO. Kenyataan sedemikian membawa maksud bahawa kerajaan jelas menyedari bahawa APCO dimiliki UMNO, dan kemudian membayar RM28 juta kepada APCO. Tuduhan ini serius sekali."

*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang. -MR

APABILA UMNO TERTEKAN, PEMIMPIN PUN CAKAP MERAPU

SEPERTI jangkaan banyak pihak, Dato' Zaid Ibrahim telah dipilih untuk mewakili PR di dalam PRK Hulu Selangor nanti. Bukan mudah pimpinan untuk membuat keputusan ini kerana di dalam PKR khususnya terlalu ramai pemimpin yang berterampilan dan teruji semangat mereka. Sebagai contoh, Us Dr Badrul Amin yang mendapat banyak sokongan daripada blog-blog pro PR adalah seorang yang komited terhadap perjuangan dan beliau merupakan seorang Pendakwah terkenal juga seorang reformis. Ketua AMK Pusat, Sdr Shamsul Iskandar usah diceritakan lagi kehebatannya kerana kelantangan beliau sering membuat pemimpin muda di dalam Umno resah gelisah. Dan, banyak lagi pemimpin yang mempunyai kebolehan untuk menandingi mana-mana calon dari Bn yang akan diumumkan petang nanti.

Saya terbaca ulasan Noh Omar, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor di dalam sebuah akhbar di sini. Beliau cuba mengulas tentang pemilihan Dato' Zaid sebagai calon dari PR. Kelihatannya Noh Omar ketinggalan bas dan beliau mungkin merasa masih berada di era 70-80an lagi. Beliau mempertikaikan Dato' Zaid sebagai bukan anak tempatan meskipun hakikatnya lebih kurang 30 tahun Zaid tinggal di Selangor. Benar, Dato' Zahid anak Kelantan tetapi apa masalahnya jika beliau sanggup berjuang di Selangor asalkan rakyat Selangor sudi menerimanya? Di dalam PR,terdapat ramai Wakil-Wakil Rakyat mereka yang mewakili kawasan yang bukan tempat kelahirannya tetapi terbukti mampu mengubah nasib rakyat yang diwakilinya. Di dalam Umno/Bn, jika ramai Wakil Rakyat mereka adalah anak jati sekali pun, banyak di kalangan mereka `makan darah daging orang sekampung'nya sendiri. Jadi, mana lebih baik?

Heboh diperkatakan V. Mugilan dari MIC akan dicalonkan oleh Bn untuk bertanding di Hulu Selangor. Di dalam sidang akhbar siang tadi, hampir separuh cawangan MIC di Hulu Selangor menolak keras pencalonan V.Mugilan. Bahkan, mereka turut mengugut akan menutup bilik operasi MIC jika Bn tetap memilih V.Mugilan sebagai calon. Di dalam sidang akhbar itu juga, dikatakan bahawa V. Mugilan juga bukan anak tempatan. Jadi, atas dasar apa jika Bn masih ingin memilih beliau? MIC Selangor mahukan Palanivel, Umno Hulu Selangor mahukan tokoh lain dan mereka menyebut nama V. Mugilan. Jadi, suara siapa yang akan didengar oleh Najib dan Muhyiddin? Suara Umno atau suara MIC?

Berbalik kepada Dato' Zaid, kenyataan paling melucukan dan nampak tidak cerdik datangnya dari Muhyiddin selaku TPM. Munasabahkah Muhyiddin menyebut bahawa pemilihan Dato' Zaid adalah kerana Dato' Zaid kaya dan banyak duit, bukan kerana ketokohan dan kepimpinannya. Beliau menyebut bahawa maklumat itu beliau tahu dari media dan akhbar dan mungkin juga suara dari warung-warung kopi. Inikah standard seorang TPM yang mendapat maklumat semurah itu? Adakah ini bermakna beberapa tahun dahulu ketika Dato' Zaid bersama Umno, beliau dipilih menjadi Wakil Rakyat seterusnya menjadi seorang Menteri adalah kerana Dato' Zaid itu kaya? Amat malang sekali negara kita mempunyai seorang TPM yang level otaknya sedemikian. Dahulu, ketika PRK di Manek Urai PAS meletakkan calonnya dari seorang penjaja atau pemborong ikan, calon PAS tersebut diperlekehkan. Kini, PKR mencalonkan Dato' Zaid, Muhyiddin tiada hujah lagi dan membuat alasan bodoh sedemikian.

Hakikatnya Bn terutamanya Umno mulai merasa panas dan tertekan untuk memilih calon mereka. Sudah menjadi kebiasaan di dalam Bn untuk berebut-rebut jawatan. Rakyat kini melihat sandiwara Bn lebih-lebih lagi Umno yang tidak lagi menghormati pemimpin dari parti komponen mereka sendiri. Umno tetap dengan ego mereka untuk membuli parti-parti yang mereka mereka anggap lemah. Petang nanti kita akan menyaksikan kehebatan Umno untuk menentukan wakil dari parti MIC ini. Untuk pemimpin MIC, terima sahajalah kerana kamu sanggup bersekongkol dengan Umno

ZAID: Kenapa saya saman hudud - Bahagian III dan akhir

"Saya saman kerana ia bertentangan dengan perlembagaan dan patut dibuat dalam Dewan Rakyat," kata Datuk Zaid Ibrahim menjelaskan kenapa beliau menyaman kerajaan negeri Kelantan kerana meluluskan undang-undang hudud dalam DUN Kelantan.

Ikuti penjelasan lanjut Zaid dalam wawancara khas dengan beliau di bahagian akhir ini.

Semasa Datuk dalam Umno dahulu, melalui firma guaman Datuk, Zaid Ibrahim & Co, Datuk telah menyaman undang-undang hudud yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Ketika itu, kenapa Datuk bertindak sedemikian. Dan ketika ini, bagaimana hubungan Datuk dengan para pemimpin PAS pula khasnya Tok Guru Nik Aziz sendiri berdasarkan sejarah itu.

Zaid: Saya sudah pun jelaskan banyak kali mengenai perkara ini dan saya pecaya Tok Guru Nik Aziz pun faham mengenainya. Walaupun saya saman PAS, saya bertanding di Kota Bharu, saya masih menang. Kalaulah PAS marah sangat pada saya, tak mungkin saya boleh menang kerusi yang kita kalah 15 tahun. Saya percaya penjelasan saya diterima.

Sebabnya begini...dalam sistem undang-undang negara kita, kita kena ikut perlembagaan. Kalau kita lari daripada perlembagaan seperti Tun Mahathir buat, maka samalah kita dengan Mahathir, buat apa yang dia suka. Soalnya undang-undang jenayah. Undang-undang yang disebut hudud ini sebenarnya undang-undang enakmen jenayah Kelantan tahun 1993.

Masalahnya undang-undang jenayah dalam perlembagaan kita hanya boleh digubal dalam parlimen, tidak boleh digubal dalam Dewan Undangan Negeri walaupun Kerajaan BN sendiri kadang-kadang menggubal undang-undang di peringkat negeri yang bercanggah dengan perlembagaan, itu saya akui.

Saya cuma hendak kemukakan kepada mahkamah bahawa hak persekutuan mesti kekal dengan persekutuan. Hak negeri kekal dengan negeri. Kalau kita tidak jelaskan perkara ini maka kita akan menghadapi masalah kerana setiap Dewan Undangan Negeri mesti menggubal undang-undang jenayah sendiri. Jadi akan bercelaru dalam sistem perundangan.

Jadi tindakan saya itu hanyalah sebagai seorang peguam untuk menjelaskan peruntukan perlembagaan. Memanglah kalau kita fikir, orang politik tidak patut buat macam itu. Boleh mati politik dia. Tapi saya berpegang kepada sesuatu prinsip. Kalau saya rasa hal ini mustahak untuk dijelaskan kepada rakyat, saya perlu jelaskan. Kalau saya tidak maju dalam politik sebab ini tidak mengapalah.

Macam saya dalam BN dulu, kalau saya nak kekal sebagai Menteri pun boleh tapi apabila Kerajaan buat sesuatu yang melampau sangat, saya rasa ini tidak betul. Itu cara sayalah. Saya bukan nak hina PAS atau nak provok PAS atau hina agama. Itu tidak timbul. Cuma soal bidang kuasa siapa yang boleh ubah undang-undang sebegini.

Kes itu telah ditarik balik atau bagaimana?

Sebelum kes itu dibicarakan, masa itu Pak Lah Perdana Menteri dan saya masih lagi dalam Umno. Saya pula kena tekanan daripada Umno. Pak Lah minta, melalui Datuk Seri Najib bagitahu saya sebab orang akan menganggap Umno yang suruh saya buat. Jadi saya tersepit. Orang PAS kata saya begini, orang Umno pula kata saya menyusahkan Umno. Jadi saya bagitahu, saya bukan berniat nak menyusahkan Umno tapi bagi saya inilah sepatutnya prinsip yang Umno patut pegang dan jelaskan kepada rakyat tapi mereka kata ini keputusan parti, minta saya tarik balik. Saya sebagai orang yang pada masa itu setia lagi dengan parti, tarik balik.

Selepas keluar dari Umno dan menyertai PKR, Datuk dilihat hilang banyak perkara.Jawatan, perniagaan, bahkan dalam PKR pula Datuk mengalami sedikit tentangan dari dalam. Apa komen Datuk.

Saya sudah jangka bila saya masuk ke parti pembangkang ini, saya terpaksa berhenti daripada bisnes saya sebagai peguam kerana kalau saya kekal lagi dalam firma itu sudah tentu firma itu mendapat tentangan dan macam-macam lagi serta menyusahkan orang lain lagi. Jadi saya buat keputusan, tidak apalah, saya berhenti. Saya tidak ada bisnes lain sebenarnya. Jadi saya tidak bimbang sangatlah. Saya tidak ada konsesi apa-apa, jadi saya tidak perlu bimbang tindakan pusat. Pada saya dalam perjuangan politik ini kta kena 'pay the prize'.

Kadang-kadang inilah yang kita lalui. Apa yang kita lalui, kita kena terimalah. Saya tidak rasa kecewa, menyesal seolah-olah adakah keputusan ini keputusan yang baik, tidak pernah terlintas dalam fikiran saya. Saya jelas saya akan memberi komitmen 200 peratus kepada kejayaan Pakatan dan saya rasa kita boleh menang. Apa pun tipu helah BN, saya rasa pilihanraya akan datang kita akan menang dengan syarat kita semua buat pengorbanan jugalah. Kalau kita perlu muafakat, kita muafakatlah. Kalau kita terpaksa tinggalkan pendirian kita sedikit sebanyak, ubah suai sedikit, kita perlulah buat. kalau kita tidak begitu cekap dulu, tidak begitu menjaga kepentingan orang ramai, sekarang ini kita kena pertingkatkanlah. Saya rasa masa telah sesuai.

Ekoran kemasukan Datuk ke dalam PKR juga, ada pemimpin Umno menuduh Datuk lupa diri, Umno telah memberikan kekayaan, kesenangan, segala-galanya kepada Datuk tiba-tiba sekarang Datuk menikam Umno balik. Jadi apa komen Datuk.

Itu propaganda Umno. Mereka kata saya kaya. Bila saya tanya kaya bagaimana, mereka tidak jawab pun. Kalau saya dapat banyak dari Umno sudah tentulah mereka senaraikan semuanya. Utusan sudah tentu mengeluarkan ini saham yang saya dapat, ini projek yang saya dapat, tapi tidak ada pun disenaraikan. Saya tidak ada apa-apa. Sebab itu saya berani. Kalau saya kaya kerana Umno saya tak akan berani tinggalkan Umno. Itu dakyah mereka. Pada mereka bila seseorang itu berjaya, mesti sebab Umno.

Saya kata inilah cara Umno mengongkong Melayu. Maksudnya Melayu ni, kalau berjaya, tidak boleh sebab dia sendiri, mesti ada tongkat. Tapi dia kata nak buang tongkat. Kalau buang tongkat, Umno hilanglah. Itu cara Umno mengongkong pemikiran orang Melayu bahawa segala yang ada kerana mereka. Jadi saya tidak ambil kisah sangat tentang hal ini. Saya bukan bangga dengan kekayaan apa pun. Saya tidak mengutamakan kekayaan dalam hidup, saya dari keluarga miskin dahulu dan saya ada apa yang ada, cukuplah. Kalau saya betul-betul kaya seperti yang dikatakan, saya mesti tidak lari. Sebab itu susah orang Umno nak lari masuk ke pembangkang kerana mereka ada sesuatu yang nak dikekalkan.


Datuk Seri Najib dilihat cuba menarik balik sokongan bukan Melayu kepada Umno melalui pendekatan 1Malaysia tetapi dilihat sedikit terkongkong dengan dasar lama mereka seperti perkauman dan isu penggunaan kalimah Allah. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?


Dia nak buat satu perubahan dalam dasar di negara kita samaada 1Malaysia ke, 2Malaysia ke, hanya akan berjaya jika Umno itu diubah. Pak Lah pun membuat pelbagai janji semasa 2004 dahulu. Kenapa beliau tak buat? Bukan sebab Pak Lah malas. Tapi sebab Umno yang tidak mahu. Manifesto Pak Lah dahulu, integriti, transparensi, perubahan macam-macam. Sebab apa tidak dilaksanakan? Sebab Umno tidak benarkan. Umno adalah Utusan Malaysia. Di situlah Umno.

Najib pula keluarkan 1Malaysia. Tapi beliau tidak boleh ubah Utusan. Najib pun sama seperti Pak Lah. Cakap tak serupa bikin. Jadi jangan bimbang dengan perubahan dalam Umno kerana ia tidak akan berlaku atau mungkin dia tidak berani. Najib tidak mungkin dapat menunjukkan satu kepimpinan yang luar biasa. Saya tidak yakin dia akan berjaya. Dari segi slogan berjayalah.Tapi dari segi dasar yang benar-benar menyelesaikan masalah pokok, Najib tidak boleh.

Soal rasuah, saya tidak dengar apa-apa perubahan lagi dari Najib. Soal masalah antara agama. Masalah kahwin, nikah, cerai, masalah terbaru penggunaan kalimah Allah, Najib tidak boleh selesai sebab Umno itu Utusan. Utusan kata kita tidak boleh benarkan Kristian guna nama Allah. Itu bukan dasar yang workable. Itu dasar keras kepala. Kita tidak boleh tadbir negara dengan cara keras kepala tapi kena cara perbincangan. Saya tidak yakin Najib akan berjaya. Rakyat mesti mengubah sokongan kepada pakatan baru kita boleh berubah secara total sebab kita telah lama dianiaya. Contoh mengenai ISA, Najib bukan main lagi bebaskan tahanan, lepas itu janji akan mansuhkan ISA. Tapi apa yang berlaku hari ini? Tak ada apa-apa yang berubah.

Politik Kelantan agak panas sejak akhir-akhir ini. Ramai yang melihat kerajaan PAS 20 tahun itu akan bermasalah ekoran apa yang berlaku. Apa komen Datuk sebagai orang Kelantan.

Saya agak sedihlah. Sudahlah Kelantan tidak ada duit. Royalti minyak Kerajaan tidak mahu beri. Hasil pun tak banyak. Ditambah lagi dengan permasalahan yang melanda. Sudah tentu kita kecewa dengan perkembangan ini. Tapi walaubagaimanapun, dalam Usaha Umno BN nak ambil Kelantan, kita kena menjangka jugalah usaha-usaha perpecahan ini diperbesarkan. Cuma saya harap PAS dapat mengukuhkan balik kedudukan.

Soal perbalahan istana itu agak sukarlah. Biarlah diselesaikan dengan cara lain. Tapi soal pentadbiran, soal kepimpinan negeri, saya rasa eloklah mereka bersatu dan membuat keputusan tertentu, ke arah mana kepimpinan pentadbiran Kelantan harus pergi. Saya rasa sudah sampai masanya untuk mengkaji segala perubahan ataupun untuk mengurangkan politiking kerana kalau istana pun berpecah, pimpinan politik pun berpecah, perkara ini tidak baguslah. Sekurang-kurangya pentadbiran politik lebih baik maka harapnya perkhidmatan awam tidak berpecahlah. Kadang-kadang perkhidmatan awam sesebuah negeri bergantung juga kepada istana. Saya harap ahli politik dan perkhidmatan awam dapat memberikan tumpuan kepada pertadbiran negeri seterusnya dapat mengurangkan permasalahan ini.

Berdasarkan pengalaman Datuk bersama Umno Kelantan, adakah Datuk melihat Umno mempunyai pemimpin yang boleh mengambil alih Kerajaan Kelantan?

Umno ada duitlah.Jadi parti yang ada duit ini kita kena awasi jugalah. Macam Sabah dulu jatuh sebab duit jugak. Dengan wang ehsan ini dia mesti guna duit jugak. Dia akan guna untuk menang pilihanraya. Kita tiak boleh mengambil mudah dengan beberapa ratus juta yang sepatutnya rakyat dapat, Umno akan guna duit ini. Sebab itu saya fikir baiklah Pakatan jelaskan perkara ini contohnya isu minyak.

Bagi saya bila Kerajaan tidak beri royalti minyak kepada Kelantan, sepatutnya rakyat Kelantan tidak undi lagi BN sebab ini satu penipuan besar-besaran. Apa sebenarnya wang ehsan? Kalau tidak ada hak langsung kenapa bagi juga? Kenapa tidak bagi kepada Johor atau negeri-negeri lain? Sebabnya mereka rasa berdosa kalau tidak bagi sebab itu wang rakyat. Tindakan BN dalam isu ini pada saya, kalau saya sebagai rakyat Kelantan, saya tidak boleh maafkan dan saya tidak akan undi BN lagi. Tapi tidak semua orang macam itu.Jadi jelas bagi saya, sebagai negeri miskin, kalaulah duit itu diberikan bukankah banyak benda yang boleh dibuat. Macam Datuk Mustafa kata kita tidak ada hak. Kalau tidak ada hak, nak bagi buat apa? Macam Terengganu. 19 tahun bagi royalti tapi bila PAS perintah dia panggil wang ehsan jadi rakyat tahu muslihat mereka ini. Tak perlu rujuk undang-undang antarabangsa. Berbalik kepada soalan tadi, saya bimbang dengan duit yang banyak ini, banyak perkara yang boleh mereka lakukan seperti di Manek Urai dulu. Mereka ada duit banyak, PAS menang tipis sahaja.

Jadi untuk mengatasinya, rakyat Kelantan mesti diberikan kesedaran politik yang tinggi. Yakinkan mereka bahawa masa depan negeri Kelantan, anak cucu mereka bergantung kepada politik yang telus dan jelas. Pakatan Rakyat akan memberi wang ini kepada Kelantan malah kita buat keptusan, sekiranya BN menang di Kelantan, dan kita mentadbir Kerajaan Pusat, kita akan bagi kerana rakyat pilih mereka. Kita kena hormat. Tapi BN mana tahu hormat undang-undang. Moral pun tidak ada. Kita kena sedarkan rakyat Kelantan. Dosa tidak bagi royalti ini tidak boleh dimaafkan. Bila kita bising, barulah ada wang ehsan. Kalau kita tidak bising, wang ehsan pun tidak ada. Patutnya Kelantan menolak BN sebab perkara ini.

Apa harapan Datuk kepada parti-parti dalam Pakatan dan para penyokong?

Kita kena terus berkeyakinan. Kadang-kadang saya banyak juga dengar di kalangan kita sendiri pun banyak memperkatakan tentang kelemahan kita. Kumpulan ini mesti begini, kumpulan itu mesti begitu. PAS patut begini, DAP patut begitu, Keadilan patut begini. Saya lebih suka kepada pendekatan bagaimana kita nak tolong. Kalaulah PAS lemah dalam aspek-aspek tertentu, bagaimana kita boleh tolong PAS. Kalau kelemahan Keadilan dalam hal-hal tertentu, bagaimana kita boleh membantu.

Seperti yang saya katakan, Kelantan itu kerajaan PAS tapi PAS juga mesti membantu Keadilan di Kelantan supaya kuat dan kita dapat menangani masalah BN. Saya lebih ingin melihat misalnya di Terengganu secara tradisinya kawasan PAS. Tapi saya harap kita boleh nilai kembali untuk memilih yang terbaik di kalangan Pakatan untuk bertanding di sesuatu kerusi supaya kita boleh menang. Oleh itu perlu kompromi dalam Pakatan. Kita mesti lakukan sebab matlamat kita adalah untuk menang.

~Kedahlanie

Rabu, 14 April 2010

Isa Samad Dan Bibi Sharliza, Bagai Pinang Tua Dibelah Dua





PRK Hulu Selangor: Anak Tempatan Bukan Isunya


Dengan menolak andaian beliau bukan “anak tempatan”, Datuk Zaid Ibrahim yang malam tadi diumumkan calon Pakatan Rakyat (PR) bagi kerusi Hulu Selangor memberi jaminan kepada 64,000 pengundi bahawa mereka boleh mengharapkan “wakil rakyat yang baik” jika diberi mandat.

“Itu boleh diharapkan. Wakil rakyat yang cuba selesai masalah dia, wakil yang boleh bersuara bagi pihak dia (pengundi Hulu Selangor),” kata Zaid, bekas anggota Kabinet, malah tidak asing dalam arena politik negara ini.

Serangan pertama dituju ke arah beliau sebaik sahaja diumumkan sebagai calon adalah “Zaid bukan merupakan anak tempatan.”

Sehubungan itu tegas Zaid, soal anak tempatan atau pun tidak, ia bukan isunya dalam pilihan raya khususnya di Hulu Selangor.

Jelas Zaid, anak negeri Kelantan dan pernah bertanding di Kota Baru pada 2002, apa yang penting ialah sama ada wakil rakyat boleh memberi khidmat untuk memenuhi harapan dan menyelesaikan masalah pengundi.

“Ia (Hulu Selangor) hanya setengah jam perjalanan (dari ibu negara). Apa bezanya saya dengan orang yang tinggal di Rawang.

“Jadi dari segi fizikal, dari segi geografi, apakah saya orang luar? Orang luar dari mana? Saya orang Selangor. Tapi orang di Hulu Selangor pun tak duduk di situ pun. Ramai cari pekerjaan,” katanya.

“Itu bukan soalan dia. Soalan dia, apakah awak faham masalah Hulu Selangor dan macam mana hendak selasaikan masalah itu. Siapa yang lebih mampu menyelesaikan masalah... itu isunya, bukan di mana dia lahir. Kalau dilahir di Hulu Selangor pun, kalau dia tak faham, dia tak tahu, dia malas, apa gunanya?” katanya.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider semalam, jelas Zaid, debat mengenai “budak tempatan” atau “orang muda” tidak perlu dijadikan isu pilihan raya kecil di sini.

Sehubungan itu menurut Zaid, atas kapasiti sebagai ahli politik sepenuh masa beliau meluangkan masa yang secukupnya untuk kepentingan masyarakat Hulu Selangor.

“Banyak masa akan saya luangkan sebab saya tiada apa-apa kerja lain untuk dilakukan.

“Saya tidak terlibat dalam bisnes saya, saya tiada kerja. Tiada sebab mengapa... saya tiada kerja sepenuh masa, saya bukan pengarah syarikat besar. Saya ada banyak masa.

“Saya ahli politik seratus peratus, 110 peratus. Jadi saya tidak... jadi saya fikir saya boleh sangat berfokus. Sebagaimana saya mengatakan, saya boleh... tiada masalah. Hulu Selangor sangat dekat, saya boleh pergi bila-bila masa,” kata beliau.

Berkelulusan undang-undang, Zaid, 59, diumumkan dengan rasmi sebagai calon PR-PKR bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Sambil merujuk kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang dikenali sebagai “Che Lah” dari Tumpat pada 1960-an, Zaid memberitahu, beliau mahu berperanan sebagai seorang “Ahli Parlimen yang prihatin.”

Katanya, wakil rakyat itu popular kerana khidmat yang diberikan kepada masyarakat sehingga walaupun enggan bertanding pengundi mendesaknya bertanding
.

“Bagi saya itu model contoh. Saya tidak berminat dengan glamor-glamor... tak payah.

“Saya mahu rakyat mengingati saya sebagai ahli politik penyayang... rakyat mengingati saya, saya tidak kisah jika yang lain tidak suka saya,” kata beliau sambil menambah aspek geografi tidak menjadi satu masalah untuk mendampingi rakyat jikan diberikan mandat pada 25 April ini,

“Saya akan memiliki pejabat (kekal) saya di Hulu Selangor,” kata anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR ini.

Ikuti temu bual penuh bersama Datuk Zaid Ibrahim:

TMI: Datuk pernah bertanding sebelum ini. Justeru adakah cabaran dan tanggungjawab kali ini lebih berat berbanding ketika pilihan raya umum 2004?

ZAID: Semua pilihan raya berat, tak ada pilihan raya yang tak berat. Kecuali kita ada undi pos 10,000 orang. Kalau kawasan kita ada undi pos, itu tak beratlah. Tapi kalau tak ada undi pos atau undi pos sikit, beratlah. Semua pilihan raya berat.

TMI: Tahun 2004, Datuk bertanding di kawasan Pantai Timur Kelantan, kawasan PAS, yang majoriti pengundi, 99 peratus adalah orang Melayu. Di sini senario mungkin berbeza dari Pantai Barat.

ZAID: Ya, semua tempat berbeza tapi masalah, isunya sama saja. Isunya lebih kurang. Kalau di Kelantan, di Kota Baru, ramai... 80 peratus Melayu di Kota Baru... jadi masa itu pun ada orang kata saya ini orang Melayu tak boleh terima. Hujah yang sama. Saya ini terlalu liberal, dia kata. Tapi saya menang juga. Saya percaya di The Star hari ini kata, misalnya The Star kata PAS tak boleh terima saya di Hulu Selangor. Inilah pemberitaan yang tak ada asas. Saya mendapati, kalau saya bertanding pun, PAS akan sokong kuat saya. Tak ada masalah.

TMI: Datuk yakin?

ZAID; Bukan saya yakin, saya tahu sebab saya sudah bercakap dengan mereka. Tak ada masalah, tak ada siapa yang tak suka saya bertanding, hanyalah calon-calon lain, yang hendak bertanding itu kan? Saya merasakan isunya adalah sama. Sama ada di Kota Baru, Hulu Selangor, saya rasa pengundi akan menilai siapa yang dia boleh percaya, siapa yang dia boleh rasa lebih berkemampuan untuk tolong dia. Itu saja. Kalau dia kata calon ini lebih sesuai dengan dia, dia pilih. Kalau dia tak suka, pilih yang satu lagi. Pada saya bangsa, status ekonomi, bandar, luar bandar... semua itu lebih kurang. Terlalu banyak orang membuat analisis bukan-bukan tentang saya. Jika pengundi suka pada calon, calon itu akan menang.

TMI: Dalam menghadapi pilihan raya kecil ini, bagaimana Datuk boleh gambarkan hubungan Datuk dengan PAS?

ZAID: Saya ini ahli Umno di Kota Baru dan PAS menang di Kota Baru sejak tahun 1990. Anda mesti ingat, pada 1990 PAS dan (parti) Semangat (46) menang dan selama 15 tahun. Hakikatnya saya menang sebab PAS (saya fikir) seharusnya telah menyokong saya, jika tidak macam mana saya boleh menang. Bermaksud penyokong-penyokong PAS... mereka yang bertanding sebelum saya kalah. Jadi, saya ada hubungan baik dengan rakyat biasa, anggota PAS biasa. Tak ada masalah. Itu maksud saya, ya.

Saya tiada masalah dengan anggota PAS tetapi mereka (sengaja) mereka cerita. Mereka cuba mereka cerita bahawa saya ini bukan popular di kalangan pengundi Melayu. Jadi saya menang di Kota Baru. Kota Baru bukannya kawasan bandar macam Kuala Lumpur pun. Ia pun bandar kecil. Penduduk juga dari kawasan pedalaman. Tak ada masalah. Jadi, rasa Hulu Selangor pun lebih kurang begitu.

TMI: Apakah cabaran yang Datuk mungkin hadapi sebagai calon pilihan raya kecil di Hulu Selangor?

ZAID: Barisan Nasional (BN) akan bermati-matian untuk memastikan saya tewas. Jadi bermacam-macam perkara akan mereka lakukan. Saya tak payah ulas tapi saya rasa kita faham.Itulah cabaran yang sebenarnya. Tapi kita boleh mengharapkan pengundi faham apa yang ‘what is at stake’ di Hulu Selangor. Perkara yang besar bergantung kepada Hulu Selangor. Perkara yang besar ialah pertamanya, apakah kita mahu negara ini terus diperintah oleh Barisan Nasional, parti atau kerajaan yang bukan saja, pada saya tidak menghormati peraturan dan undang-undang dan kerajaan yang menggunakan apa saja alasan untuk mengekalkan kuasa. Kita nak ke Barisan terus ataupun kita nak pastikan kuasa itu, suara rakyat itu didengar juga. Kalau kita nak suara rakyat didengar di Parlimen. Jadi, kita pilihlah parti pembangkang di Parlimen. Dan, saya bukan orang yang malu bersuara. Saya ini dalam kerjaya politik saya, saya tidak pernah takut untuk bercakap perkara yang saya rasa patut diutarakan. Jadi, itu isunya dari segi politik nasional.

Apakah orang Hulu Selangor mahu suara rakyat didengar di Parlimen dan menyentuh dasar-dasar negara. Yang lain itu adalah isu tempatan. Yang isu tempatan pun mudah juga. Siapa yang dia pilih mampu menyelesaikan masalah. MIC dah empat penggal, 18 tahun. Jadi kalau orang Hulu Selangor hendak teruskan MIC, dia pilih MIC lah... kalau dia puas hati dengan MIC punya prestasi. Tapi kalau kita lihat masalah yang adanya sekarang ini, saya rasa MIC telah gagal di Hulu Selangor. Itu kalau kita nak pilih orang yang gagal lagi, tak tahulah saya.

TMI: Adakah MIC gagal dan BN juga gagal?

ZAID: Yalah, sama... MIC, BN itu sama. Sebab itu masalah rumah terbengkalai, masalah tanah geran tak keluar, masalah permohonan tanah tidak diproses berpuluh-puluh tahun, masalah ladang, pekerjaan yang berkurangan di Hulu Selangor, masalah orang-orang Felda yang tidak dibela. Geran Felda tidak diberi, potongan Felda terlalu tinggi, inilah masalah. Jadi kalau kita kumpulkan masalah Orang Asli, tanah juga dirampas untuk pembangunan. Jadi, kalau kita kumpulkan masalah-masalah di Hulu Selangor ini, kita bertanya siapa yang faham isu ini dan siapa yang mampu. Jadi, saya rasa saya lebih mampu dan lebih faham dan kerajaan negeri Selangor ialah kerajaan Pakatan. Jadi, kalau kita nak selesai masalah tanah dan masalah perumahan, masalah pelaburan di Hulu Selangor, masalah tempatan, kita kena selasai dengan kerajaan negeri. Jadi, eloklah pilih wakil rakyat yang mewakili Pakatan Rakyat.

TMI: Sebagai calon, apa yang Datuk hendak tawarkan kepada pengundi Hulu Selangor?

ZAID: Satu, calon mesti faham masalah. Kalau anda tidak faham masalah orang Hulu Selangor, macam mana anda hendak menawarkan penyelesaian.

TMI: Kalau begitu, Datuk sudah faham masalah penduduk Hulu Selangor dengan mendalam?

ZAID: Saya tahu. Dan, saya hendak cakap pasal orang luar dan dalam. Selalu cakap kan? Ia bukan soal luar dalam. Tetapi yang penting dia kena tahu masalahnya dan menyelesaikannya. Itu persoalannya. Saya tinggal di Selangor ini sudah 30 tahun walaupun saya lahir di Kelantan. Saya tinggal di Selangor, Petaling Jaya. Jadi, saya bukanlah orang luar.

TMI: Bermaksud hendak menekankan bahawa tidak jauh dari Hulu Selangor?

ZAID: Ia hanya setengah jam perjalanan. Apa bezanya saya dengan orang yang tinggal di Rawang. Jadi dari segi fizikal, dari segi geografi, apakah saya orang luar? Orang luar dari mana? Saya orang Selangor. Tapi orang di Hulu Selangor pun tak duduk di situ pun. Ramai cari pekerjaan. Itu bukan soalan dia. Soalan dia, apakah awak faham masalah Hulu Selangor dan macam mana hendak selasaikan masalah itu. Itu siapa yang lebih mampu menyelesaikan masalah... itu isunya, bukan di mana dia lahir. Kalau dilahir di Hulu Selangor pun, kalau dia tak faham, dia tak tahu, dia malas, apa gunanya? Jadi debat, perbincangan mengenai budak tempatan, pada saya tidak perlu. Balik kepada soal seperti saya kata tadi, saya ada hubungan baik dengan Exco Selangor, jadi banyak perkara yang saya boleh cuba tolong. Kalau saya dah kenal dia orang, parti yang sama, saya yang lebih baik daripada MIC. Tak ada sebab pun orang Hulu Selangor hendak pilih parti yang telah mewakili mereka 18 tahun, masalah tidak selesai. Jadi, untuk apa?

TMI: Adakah Datuk bermaksud bahawa mereka (BN) tidak harus diberikan peluang kedua?

ZAID: Cukuplah, berapa kali tu? Lapan belas tahun tu... macam nak bagi Mahathir lagi peluang, misalnya. Anda sudah 22 tahun, cukup lah. Umumnya macam itulah. MIC sudah 18 tahun, jadi berapa lama lagi anda hendak beri, lagi 18 tahun sebelum masalah anda diselesaikan? Tidak boleh, tidak ada sebab orang Hulu Selangor harus memberi MIC satu lagi penggal. Anda harus cuba saya.

TMI: Mereka juga mendakwa mahukan calon muda?

ZAID: Saya pun muda juga. Saya bukan 70. Saya cuma 59 tahun.

TMI: Matlamat Datuk mahu jadi Ahli Parlimen bagi kawasan Hulu Selangor?

ZAID: Ya, sebagaimana saya katakan tadi, saya hendak menyuarakan hasrat rakyat, hasrat rakyat menikmati kebebasan, hasrat rakyat mencari peluang ekonomi lebih baik, hasrat peneroka Felda untuk hidup lebih baik. Misalnya, Felda itu, anda sedia tahu, satu konglomerat yang besar dan kaya tapi peneroka Felda masih miskin. Saya nak cuba mempertahankan kedudukan, kepentingan mereka. Saya nak cuba hendak dapatkan geran-geran tanah kepada mereka dan tidak ada tanah, yang minta tanah, yang telah 20 tahun menunggu. Saya hendak perjuangkan hak Orang Asli, saya nak memperjuangkan nasib orang India yang tinggal di ladang atau mereka diberhentikan kerja. Ramai juga pemuda India mencari peluang pekerjaan. Jadi saya akan cuba meyakinkan negeri Selangor bawa pelaburan, pembangunan, industri baru supaya kita boleh adakan lebih banyak peluang pekerjaan. Inilah kerja-kerja wakil rakyat.

TMI: Tinjauan Malaysian Insider semalam (kelmarin) di DUN Hulu Bernam, Kuala Kubu dan Batang Kali. Kita buat perbandingan populariti Datuk. Di dua kawasan, di Batang Kali dan Kuala Kubu Baru, 60 peratus bersedia untuk menerima Datuk. Di Hulu Bernam 90 peratus. Datuk tidak pernah pergi sana, tapi bagaimana Datuk melihat peratusan populariti ini? Bagaimana Datuk boleh terjemahkan dalam bentuk sokongan?

ZAID: Saya tak tau lah. Saya tidak tahu mengapa tetapi saya cuba buat andaian sahaja.... saya rasa saya ni, cara politik saya mudah saja. Saya mahukan keadilan untuk rakyat. Saya hendakkan rakyat ada keadilan, itu sebabnya. Saya cuma memperjuangkan apa yang patut, bukan saja dari segi undang-undang, tapi dari segi ekonomi dan kedudukan. Saya fikir, saya ahli politik rakyat. Bercakap jujur, saya tidak berminat dalam apa-apa isu. Disebabkan latar belakang saya, saya memikirkan kepentingan masyarakat kita, negara kita ini. Jurang kaya miskin terlalu besar. Orang kaya boleh melakukan apa yang mereka suka, syarikat besar buat apa saja mereka suka. Jadi saya lebih suka membela orang orang. Saya rasa jika anda tanya saya mengapa saya popular dengan rakyat biasa kemungkinan kerana ini. Tapi Umno akan cuba, Barisan akan cuba melakukan cara bertentangan bahawa Zaid ini tak popular dengan orang Melayu dan orang-orang biasa. Itu strategi politik mereka.

TMI: Bagaimana Datuk hendak menghadapi situasi ini?

ZAID: Rakyat ini bijak. Propaganda ini, dia punya nilai agak terbatas pada zaman sekarang ini. Saya tidak risau dengan itu. Saya fikir orang ramai akan menggunakan kebijaksanaan mereka, rakyat akan menggunakan pengalaman, mereka tahu macam mana hendak membuat keputusan. Jadi saya rasa propaganda Umno ini, ya, dia ada TV, radio, dia ada surat khabar, ada orang percayalah tapi saya rasa majoriti rakyat akan menilai.

TMI: Adakah landskap politik semasa, lebih-lebih lagi selepas tsunami politik 2008, akan memberi kelebihan kepada Datuk menghadapi cabaran kali ini?

ZAID: Saya rasa rakyat sekarang banyak benda dia tahu, tidak seperti dulu. Itu yang saya katakan, bila rakyat lebih mengetahui, lebih faham, susahlah orang hendak putar belit. Jadi, bila rakyat lebih tahu maka saya yakin dia akan buat pilihan yang betul.

TMI: Strategi untuk menghadapi saingan kali ini?

ZAID: Strategi saya, kalau ada pun, takkan hendak cakap dengan kamu. Kalau cakap dengan kamu, tak strategi lah. Jadi, apabila ada orang kata dia ada strategi bermakna sebenarnya mereka tiada strategi. Jika anda ada strategi, anda tidak akan memberitahu orang. Adakah anda pernah mendengar ada strategi yang pernah diperjelaskan? Mana boleh? Tak bolehlah.

TMI: Apa yang rakyat boleh mengharapkan daripada Datuk sebagai calon dan jika dipilih sebagai wakil rakyat kelak?

ZAID: Rakyat boleh mengharapkan wakil rakyat yang baik. Itu yang boleh diharapkan. Wakil rakyat yang cuba selesai masalah dia, wakil yang boleh bersuara untuk bagi pihak dia. Cukup lah. Itu kerja orang kira baik dah.

TMI: Yang keluar PKR tiga orang dan seorang yang dipecat, adakah mereka yang pernah sebarkan kata ‘Little Napoleon’ semua tu, adakah mereka yang keluar parti tu boleh menjejaskan peluang Datuk?

ZAID: Tak ada, tak ada. Saya harap mereka datang ramai-ramai, yang keluar parti tu. Baru kita tahu dia orang ini ada pengaruh atau tidak. Saya percaya mereka akan turun... baguslah. Kita tak ada masalah, rakyat menentukan.

TMI: Di mana-mana pilihan raya kecil, jentera BN memang suatu yang begitu kuat, dengan ‘goodies’ diberikan. Adakah ia akan memberi kesan kepada kempen?

ZAID: Memanglah. Memang jentera BN ini kuat, kita tahu semua. Sebab jentera dia jentera kerajaan, jentera pusat. Memang kuat... tapi dia kuat semua pun yang di tempat yang kalah pun dia kuat juga. Jentera ini satu aspek... ada banyak lagi aspek lain yang boleh menentukan menang kalah. Kita pun kuat juga. Kita jentera rakyat. Jadi, kita lawanlah jentera BN dengan jentera rakyat, kita tengoklah siapa kuat, 25 haribulan lah, betul tak? Kalau rakyat ? BN, kita tak kuatlah. Jentera ini ada dua macam, satu jentera upahan, satu jentera sukarela. Siapa yang banyak sukarela tu, itu yang menang.

TMI: Bermula dengan jentera BN dan sekarang ada dalam jentera Pakatan. Adakah pengalaman masa di jentera dalam BN akan membantu Datuk dalam pilihan raya kecil ini?

ZAID: Tak ada. Jentera BN pun tak adalah susah sangat. Jentera BN ini banyak jabatan kerajaan, sekolah, cikgu sekolah, jentera pejabat-pejabat kerajaan, itu saja. Tidak ada benda yang sulit, cuma dia banyak duit. Tapi kita pun ada orang ramai, kita ada penyokong kuat. Jadi walaupun kita tak ada duit, tapi harap-harapnya kita seimbang.... kita akan dapat mengatasi kuasa dia.

TMI: Kerajaan negeri Selangor adalah di bawah pimpinan Pakatan Rakyat, sejak dua tahun yang lalu. Adakah ia boleh menjadi satu kelebihan kepada Datuk?

ZAID: Oh ya, sudah pasti. Ini kerana pilihan raya ini bukan tentang diri saya. Sebagaimana anda kata, ia mengenai kerajaan negeri. Saya ini calon sahaja. Ia mengenai Exco kerajaan, bagaimana mereka memperlihatkan prestasi.

TMI: Bagaimana Datuk melihat peluang memenangi pilihan raya ini?

ZAID: Ia bergantung kepada penduduk Hulu Selangor. Jika mereka sokong saya, maka peluang saya adalah baik.

TMI: Berdasarkan bacaan Datuk?

ZAID: Tidak... saya tidak membuat bacaan.

TMI: Jika Datuk berjaya dalam pilihan raya kecil ini, berapa banyak masa yang Datuk akan luangkan di bahagian Parlimen ini?

ZAID: Oh, banyak masa akan saya luangkan sebab saya tiada apa-apa kerja lain untuk dilakukan. Saya tidak terlibat dalam bisnes saya, saya tiada kerja. Tiada sebab mengapa... saya tiada kerja sepenuh masa, saya bukan pengarah syarikat besar. Saya ada banyak masa. Jadi saya akan menghabiskan kebanyakan masa saya di sana sebab itu saya punya... itu satu-satunya perkara yang saya akan lakukan sebab saya tiada kerja lain. Saya ahli politik seratus peratus, 110 peratus. Jadi saya tidak... jadi saya fikir saya boleh sangat berfokus. Sebagaimana saya mengatakan, saya boleh... tiada masalah. Hulu Selangor sangat dekat, saya boleh pergi bila-bila masa. -TMI
Related Posts with Thumbnails