Jumaat, 23 Disember 2011

Wang Kertas Baharu Lebih Menyerlah




27 Muharram 1433H. [MOD]-
PM merasmikan pelancaran wang kertas baru hari ini. Kebanyakan atau semua not rasanya telah ditukarkan kepada rekabentuk baru. Duit RM20 pun ada kembali dengan menggunakan warna lama iaitu warna keemasan..

Ciri-ciri Am Duit Kertas Baru Malaysia

Pada bahagian hadapan semua denominasi wang kertas, telah dikekalkan potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad, bunga kebangsaan iaitu bunga raya Rosa-sinensis (dikenali sebagai Bunga Raya dalam kalangan penduduk tempatan) dan corak songket kain tenunan tradisional.
Bahagian belakang setiap denominasi wang kertas memaparkan ciri-ciri alam semula jadi, tradisi, budaya, flora, fauna dan ekonomi yang khusus bagi Malaysia.
Untuk duit kertas baru Malaysia kali ini, denominasi RM20 mula digunakan semula setelah diberhentikan beberapa tahun dahulu. Mungkin berita gembira buatr kanak-kanak kerana mereka mungkin akan dapat duit raya RM20 pada tahun hadapan. Berikut adalah sedikit penerangan tentang duit kertas yang baru dilancarkan oleh Perdana Menteri sebentar tadi.

Wang Kertas RM100 – Keajaiban Alam Semula Jadi

01 RM100 bm Fakta dan Gambar Menarik Tentang Duit Kertas Baru MalaysiaDua keajaiban alam semula jadi terkemuka negara yang diisytiharkan sebagai ‘Tapak Warisan Dunia’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dipaparkan pada wang kertas RM100. Keajaiban alam semula jadi yang dipaparkan pada duit kertas RM100 ini ialah Taman Kinabalu di Sabah, dengan Gunung Kinabalu yang hebat dan agung (iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara) dan pembentukan batu mercu batu kapur yang menakjubkan di lembah Gunung Api, yang ditemui di Taman Negara Mulu di Sarawak. Kedua-duanya adlaah alam semula jadi yang sangat mengagumkan dan membanggakan Malaysia.

Wang Kertas RM50 – Pertanian dan Teknologi

02 RM50 bm Fakta dan Gambar Menarik Tentang Duit Kertas Baru Malaysia
Pada wang kertas RM50, gambar kelapa sawit dan bioteknologi dipaparkan sebagai satu ikon ekonomi yang sedang berkembang pesat dan boleh dibanggakan. Kelapa sawit telah menjadi tanaman pertanian negara yang paling utama dari segi ekonomi kerana Malaysia merupakan salah satu pengeluar dan pengeksport terbesar kelapa sawit di dunia. Bioteknologi terus meningkatkan kedudukan komoditi ini dalam rantaian nilai, menyokong transformasi ekonomi negara ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dalam sektor pertanian, perkilangan dan perkhidmatan.

Wang Kertas RM20 – Hidupan Laut

03 RM20 bm Fakta dan Gambar Menarik Tentang Duit Kertas Baru Malaysia
Setelah sekian lama duit RM20 diperkenalkan semula dengan meletakkan gambar keindahan dan hidupan laut di Malaysia. Duit kertas baru RM20 ini memaparkan gambar dua spesies penyu terkenal dan hanya dijumpai di perairan Malaysia iaitu Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan Penyu Belimbing (Dermochelys coriacea). Penyu Karah mudah dikenali melalui muncungnya yang melengkung dan kulitnya yang bersisik manakala Penyu Belimbing pula mempunyai kulit yang keras dan tujuh jaluran pada cangkerangnya.

Wang Kertas RM10 – Flora

04 RM10 bm Fakta dan Gambar Menarik Tentang Duit Kertas Baru Malaysia
Wang kertas baru RM10 berwarna merah dan memaparkan Hutan Tropika Malaysia yang tumbuh subur. Spesies Rafflesia Azlanii yang dipaparkan pada wang kertas RM10 baharu ini merupakan spesies asli Semenanjung Malaysia dan mula-mula sekali ditemui di Hutan Simpan Royal Belum di negeri Perak pada tahun 2003. Bunga ini dinamakan sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah.

Wang Kertas RM5 – Hidupan Liar

05 RM5 bm Fakta dan Gambar Menarik Tentang Duit Kertas Baru Malaysia
Wang kertas baru RM5 bertemakan hidupan liar dan memaparkan gambar burung enggang. Burung Enggang Badak (Buceros rhinoceros), iaitu salah satu spesies burung enggang terbesar dan paling mengagumkan di dunia. Burung yang menarik, bersayap lebar dan berekor panjang yang boleh ditemui dalam kelompok kecil di hutan hujan di seluruh negara ini memainkan peranan penting dalam budaya dan upacara tradisional negeri Sarawak yang turut dikenali sebagai ‘Bumi Kenyalang’.

Wang Kertas RM1 – Sukan Tradisional

06 RM1 bm Fakta dan Gambar Menarik Tentang Duit Kertas Baru Malaysia
Wang kertas RM1 masih mengekalkan gambar permainan tradisional, Wau di belakang wang tersebut tetapi dengan rekaan dan bentuk baru. Permainan wau merupakan sukan tradisional yang popular di Malaysia terutamanya di Kelantan dan Terengganu. Permainan wau juga secara tradisinya merupakan suatu acara untuk meraikan hasil tuaian yang baik yang merapatkan masyarakat tempatan negeri-negeri tersebut.

Sempena pengeluaran wang kertas baru Malayia ini, Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan duit kertas peringatan yang dijual bermula pada esok hari, 22 Disember 2011 di tempat-tempat yang terpilih. Untuk keterangan lanjut tentang wang syiling baru ini sila rujuk sumber kami. Semoga post ini dapat memberi sedikit pengetahuan kepada para pembaca. Untuk keterangan lanjut sila layari sumber kami

Rabu, 21 Disember 2011

Pinjaman IMF Bank Dunia, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakuinya

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Malaysia meminjam wang daripada Bank Dunia ketika pentadbiran beliau namun menegaskan bahawa beliau tidak pernah menulis kepada badan berkenaan untuk mendapatkan dana.

Tiada surat mahupun permintaan bertulis dibuat oleh beliau kepada Bank Dunia, kata Mahathir menjawab dakwaan yang ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau pernah berbuat demikian ketika krisis kewangan 1999.

"Jika Anwar boleh menunjukkan bukti sebaliknya, dia patut berbuat demikian. Jika tidak dia mesti bersumpah dengan al-Quran di masjid bahawa dia tahu apa yang dia kata itu benar.

Saya bersedia untuk bersumpah bahawa saya tidak pernah meminta pinjaman daripada Bank Dunia," katanya lagi dalam tulisan di blog beliau, chedet.co.cc, semalam.

Katanya lagi, Malaysia enggan menerima dana pinjaman International Monetary Fund (IMF) daripada Bank Dunia kerana "bantuan yang dikatakan itu akan memburukkan lagi keadaan."

Mahathir mengambil alih kedudukan sebagai menteri kewangan selepas Anwar dipecat dan dipenjarakan pada 1998.

Katanya lagi, pinjaman sebanyak USD300 juta ditandatangani dengan Bank Dunia pada Jun 1998, ketika Anwar masih menjadi menteri kewangan, untuk makanan, pendidikan tinggi dan program mikrokredit.

Sebanyak USD100 juta turut ditandatangani untuk bantuan teknikal pada Mac 1999, namun hanya USD11.94 juta dikeluarkan.

Pinjaman sektor sosial sebanyak USD60 juta dihentikan selepas pengeluaran sebanyak USD60,000 manakala satu pinjaman pendidikan dihentikan selepas sejumlah USD244 juta dikeluarkan.

Kedua-duanya diluluskan pada Mac selepas Anwar dipecat daripada jawatan menteri kewangan.

Selasa, 20 Disember 2011

Umno tidak boleh dipakai lagi - bekas Pengarah Pendidikan

24 Muharram 1433H. [MOD] -

BUTTERWORTH, 20 Dis: Bekas Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Adnan Ibrahim yang juga pelakun bersiri 'Cucu Opah nak kahwin lagi' rasa terpanggil untuk bersama turun padang memberikan penjelasan kenapa perlu rakyat tolak Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Jelas sekali ujarnya, Umno dan BN mempunyai kepimpinan yang sudah korup dan tidak releven lagi untuk memegang tampuk pemerintahan ekoran terlalu banyak skandal sehingga boleh membawa negara ke arah kehancuran.

"Saya walaupun tidak sihat, rasa bersalah sekiranya tidak bersuara mengatakan yang hak sebab itu saya datang untuk menyampaikan apa yang terpendam dalam lubuk hati selama ini.

"Umno dan BN tidak boleh pakai lagi apatah untuk kita bergantung harap membela nasib orang Melayu, " ujarnya ketika ditemui selepas program ceramah perdana di Pekan Darat, Butterworth semalam.

Apa guna dirinya yang diberikan kesihatan sihat tinggal diam di rumah padahal penyelewengan terus berlaku dengan memperdayakan rakyat miskin sebagai 'kambing hitam' bagi mengaut undi, katanya.

"Kerajaan BN memang begitu, mereka akan membahagikan harta kekayaan sesama kroni dengan membiarkan rakyat berputih mata terutamanya bagi mereka yang sememangnya mempolopori bidang tertentu.

"Kes lembu membabitkan Menteri Wanita, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil sungguh memalukan kerana ia bukan pendedahan golongan yang mencari kesempatan sebaliknya didedahkan Audit Negara yang telus dan profesional," terangnya.

Tambah beliau, akibat terlalu banyak penipuan dan penyelewengan membuatkan rakyat mempertikaikan keikhlasan BN yang sanggup memberikan wang RM500 kepada setiap keluarga sedangkan negara terus dicengkam bebanan hutang yang tinggi.

Jika kerajaan terlalu prihatin terhadap rakyat bukan sekarang mereka mulakan pemberian RM500 itu tetapi sejak dulu lagi sebab kemiskinan rakyat sudah lama, katanya.

"Jika BN benar-benar mahu bantu rakyat kenapa hari ini baru nak bagi RM500. Mereka buat secara mendadak semata-mata dengan tujuan yang tersembunyi," tambahnya.

Pemberian itu pun, bagi beliau, disebabkan timbul perasaan irihati setelah rasa tergugat dengan pemberian beberapa skim oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

"Adalah tidak lojik lagi, rakyat yang sudah matang masih tidak berani buat perubahan demi kebaikan semua pihak serta negara," kata Datuk Adnan.

Menceritakan kesungguhan dirinya untuk turun berkempen di mana sahaja sekiranya dijemput beliau yang ada pertalian dengan pejuang kemerdekaan Leftenan Adnan menambah, semua itu dibuat untuk membuang perasaan bersalah dalam dirinya yang bekerja untuk kerajaan sedangkan kerajaan yang disanjung melakukan penindasan, penipuan dan penyelewengan yang ketara memalukan.

Peliknya, ujar beliau, kenapa mereka yang ada jawatan tinggi dalam kabinet tidak langsung timbul perasaan bersalah atau meletakan jawatan bila gagal sebagai menteri sebaliknya terus bangga dengan kesalahan yang dibuat.

Beliau bertanya apakah kapasiti mereka yang asyik melakukan penyelewengan mengaku sebagai Umat Islam sedangkan mereka memakan daging saudara sendiri.

"Pesanan saya kepada rakyat gunalah otak, guna akal, guna jari, guna perasan dan gunakanlah kesempatan yang ada untuk menegakan yang hak memerangi yang batil. Jangan takut buat perubahan yang menguntungkan semua pihak," tegasnya lantang.

Program anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor itu turut menyaksikan penyerahan 15 keping borang permohonan menjadi ahli PAS di sekitar kubu kuat Umno di Permatang Binjai.

Kemasukan itu diketuai bekas Ketua Pemuda Umno Cawangan Permatang Binjai, Saudara Hasni.

Borang diserahkan kepada Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang dijemput khas memberikan ucaptama bersama Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man dan Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, Ustaz Khalid Man.

Harakah Daily

Kehebatan Melayu Pada Agama Dan Akhlaknya - Anwar Ibrahim


Ketua Imam Khalifah Besar Seni Silat Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pengamal ilmu persilatan supaya berada di landasan perjuangan yang betul dalam usaha memartabatkan agama Islam dan bangsa Melayu.

Anwar dalam ucapannya berkatanya, budaya fitnah yang menular dalam kalangan masyarakat sejak sekian lama menjadi punca perpecahan sehingga terjatuhnya empayar Melayu yang satu ketika dahulu berdiri megah.

Jelas beliau, bukan semua Melayu itu wajib bersatu sebaliknya bersatu mempertahankan prinsip keadilan dan kebenaran dan bukannya bersama dalam melakukan kezaliman dan kerosakkan.

Anwar turut menganjurkan kepada anak-anak gayong supaya kembali membaca hikayat sejarah perjuangan melibatkan Hang Tuah dan Hang Jebat yang mempopularkan "Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah".

"Perlawanan mereka itu dalam sejarah tiada tolok bandingnya. Tetapi dalam perlawanan itu mereka ada dialog, bukan pencak sahaja. Jebat hairan ‘Tuah aku datang untuk mempertahankan kamu.' Tuah terima, tapi tuah kata aku tak sanggup kamu ingkar kepada arahan Raja. Jebat kata raja zalim, tidak mahu mencari kebenaran. Terpengaruh dengan orang sekelilingnya. Maka berlakulah pertempuran.

"Maka berakhir dengan tragedi, Hang Tuah menang, kalah Melayu. Itu maknanya, sejarah Melayu ertinya permulaan kepada tewasnya Melayu. Panglima sebesar Hang Tuah menjadi korban. Panglima segigih Hang jebat mati dibunuh.

"Sebab itu kita mesti hayati ini adalah mulanya jatuh empayar Melayu kerana fitnah, tidak mempertahankan prinsip keadilan, tidak mahu mengangkat martabat bangsa tetapi menjadi alat, korban akibat daripada gerombolan kecil yang membawa fitnah dan kerosakan," katanya.

Beliau turut mengingatkan anak muda masa kini supaya mewarisi semangat kental pejuang terdahulu selain penekanan sesi pentarbiahan supaya pejuang yang dilahirkan tidak mudah tewas dengan sogokan harta benda, wang ringgit dan pangkat sehingga sanggup membelakangkan perjuangan.

"Memartabatkan bangsa Melayu dari segi budaya dengan prinsip akidah agamanya. Bukan angkuh bangsanya bukan hina kaum lain. Hebat Melayu itu kerana jiwa dan rupaya. Melayu itu dibentuk melalui agama yang membentuk akhlaknya yang memperjuang dan menegakkan keadilan.

"Maka perpaduan itu wajib. Bersatu untuk membawa kebaikan dan ketaqwaan kepada Allah Taala," katanya di Majlis Khazanah Tamadun Islam dan Koleksi Seni Silat Pusaka Gayong di Dewan Sri Zaleha, NAZA Gurun, Gurun, Kedah.

Turut serta dalam majlis tersebut Mahaguru Seni Silat Pusaka Gayong, Datuk Raja Abdul Majid Mat Isa.

Isnin, 19 Disember 2011

Mahasiswa era 80an mengucapkan TERIMA KASIH kepada mahasiswa kini

"Assalamualaikum,,..

Politik kampus hambar dan mahasiswa diikat kaki tangan atas dan bawah di era 80an. Sebagai salah seorang daripada mereka, umnopenyangak masih ingat bagaimana setiap kali melintas kawasan studen corner tempat DSAI dan rakan rakan di eranya berpidato dan membangkitkan semangat untuk menentang segala kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku ketika itu hanya boleh berkata di sinilah tempat wira wira muda memulakan gerakan dan di sini jugalah tercetusnya demostrasi pelajar 1974 yang membawa kepada pengharaman kepada segala aktiviti politik mahasiswa.



AUKU cukup berkuasa di era 80an sehingga mahasiswa dikawal sebegitu rupa dan tidak ada ruang untuk bergerak bebas kerana Kerajaan UMNO begitu berkuasa ketika itu. Mahasiswa yang melihat video lubuk merbau pun ditangkap dan digantung(kebetulan yang menjadi kepala menangkap mahasiswa ketika itu ialah Pn. Jamilah, isteri kepada Ghani Osman yang baru dilantik menjadi senator waktu itu).

Penguasaan UMNO cukup kuat,namun umnopenyangak masih ingat mahasiswa era 80an tidak mati malah Husam Musa yang menjadi seorang pejuang kental hari ini ialah produk 80an.Tak silap Mat Sabu juga lahir dari era ini.Bermakna politik tidak mati, keinginan melihat kebenaran dan keadilan tertegak tetap kuat walaupun dicengkam cuma kemampuan untuk bergerak tidak ada.Tetapi hari ini mahasiswa telah berjaya keluar dari kepompong beracun ini dan telah berjaya meluahkan apa yang terbuku selama ini.Tahniah kepada adik adik mahasiswa yang hidup menyambung perjuangan era 80an dulu.

Ketika era 80an, apa yang termampu dilakukan ialah menganjurkan debat yang menemukan antara lain arwah Ust Fadhil Nor, Ust Nakahaei, Tok Guru Hj. Hadi, mendiang P Patto,Karpal Singh dengan Aziz Shmasuddin dan beberapa tokoh UMNO yang umnopenyangak dah lupa namanya.Antara moderator yang sering mengendalikan debat itu pula ialah Husam Musa dan bertolak dari itu, politik yang terhalang dikembangkan apabila keluar dari kampus.Bukan sahaja Husam malah ramai lagi graduan 80an yang secara langsung atau tidak langsung tetap terlibat menentang kebathilan UMNO sehingga hari ini.

Peristiwa perarakan Mahasiswa tempoh hari menjadi turning point kepada kebangkitan sebenar para mahasiswa yang bakal melihat perubahan besar dalam negara.Usaha UMNO untuk menyekat mereka dengan lakonan abang ludah menyerlahkan ketakutan dan kegerunan UMNO kepada kebangkitan mahasiswa kini.Laungan  kerajaan hantar mahasiswa untuk belajar bukan untuk sokong DSAI atau pembangkang sudah lapuk dan mahasiswa kini sudah mampu membalas bahawa mereka juga bayar cukai dan ada hak untuk menyokong siapa sahaja.Inilah yang kita mahukan, kesedaran bahawa   terdapat perbezaan besar antara kerajaan dan UMNO dan seruan ini mesti disebarkan keseluruh negara, seruan yang sudah lama mahasiswa era 80an usahakan tetapi ketiadaan saluran untuk melakukannya.

Kini saluran itu sudah terbuka, maka jangan berhenti di sini wahai adik adik sekelian.Bantulah kami yang sudah semakin  tua dan tidak berdaya ini untuk meyedarkan rakyat bahawa bukan kerana menerima wang ehsan, atau dana remaja atau dana ibu tunggal, atau beras sekampit, kain batik sehelai, bantuan 1Malaysia, bantuan sekolah dan lain lain bantuan,mereka mesti memangkah UMNO ketika mengundi.

Kami merasakan beban kami kini berkurangan dan kami mengharapkan komitment adik adik semua berterusan bagi melihat harapan yang sekian lama terpendam ini tercapai. Lagipun adik adik juga pasti mendapat faedah seandainya perjuangan ini berjaya.Beban PPTN akan selesai, beban yuran pelajaran yang tinggi akan selesai dan lain lain tekanan yang tidak sepatutnya ada dalam sebuah negara merdeka akan selesai, insyaallah.Terima kasih Mahasiswa kini kerana bersedia menuntut keadilan dan bersedia merempuh halangan yang ada, terima kasih dari kami mahasiswa era 80an yang telah lama memendam perasaan. "

Warga Afrika Bergelar jutawan dalam tempoh 6 bulan

Inilah yang dilakukan seorang warga Afrika apabila dia mampu membina sebuah banglo dan hotel bertaraf lima bintang bernilai RM400 juta ($164 juta) di negaranya selepas melakukan penipuan di Malaysia.

Difahamkan, lelaki itu tiba hanya sehelai sepinggang di Malaysia pada 2008.

Dalam tempoh enam bulan sahaja, dia bergelar jutawan dan kini menjadi idola golongan muda sebuah negara di Afrika kerana kejayaannya itu.

Kes melibatkan lelaki 'Awang Hitam' itu dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Berdasarkan rekod, kegiatan penipuan warga Afrika itu semakin serius dan ia menjadi keutamaan setiap kali siasatan dijalankan pasukan itu.

Pengarahnya, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata kegiatan lelaki itu melakukan penipuan besar terbongkar selepas polis menahan beberapa penjenayah warga Afrika.

'Dalam siasatan yang dijalankan, kami mendapati maklumat bahawa kecenderungan lelaki Afrika lain datang ke negara ini adalah bagi mengecap kejayaan seperti idola mereka yang telah bergelar jutawan.

'Kejayaan lelaki itu didedahkan dalam pertemuan setahun sekali antara kesemua penipu rakyat Afrika, yang diadakan ketika mereka pulang bercuti sempena Krismas.

'Berikutan kejayaan itu, lelaki tersebut dianggap legenda dan menjadi idola rakyat Afrika lain untuk melakukan penipuan, khususnya di Malaysia dan negara-negara Arab,' katanya kepada Mingguan Malaysia.

Penipuan yang dilakukan warga Afrika di Malaysia bukan perkara baru, malah ia semakin serius apabila sebanyak RM29 juta kerugian telah dicatat dari Januari sehingga Oktober tahun ini.

Datuk Syed Ismail berkata, menurut sebuah buku yang menjadi panduan dan inspirasi penipu warga Afrika, segala penipuan yang dilakukan oleh rakyat benua itu didalangi sindiket.

Sindiket penipuan itu dikatakan mempunyai agenda dan hala tuju besar untuk negara mereka. Ia melatih penipu warga Afrika dan menyasarkan mereka mampu menguasai ekonomi Afrika pada masa depan.

'Berdasarkan kejayaan itu, mereka juga menjadi pemimpin politik, sekali gus mampu membina semula kemajuan negara-negara Afrika,' jelas beliau.

Menurut beliau, impian penipu-penipu tersebut tidak mustahil dicapai kerana rakyat Malaysia tidak peka dengan sesuatu pelawaan dan mudah menjadi mangsa penipuan.

Najib jangan retorik, hilang undi mahasiswa

KUALA LUMPUR, 19 Dis: Golongan mahasiswa hari ini memberi kata dua kepada Datuk Seri Najib Razak sama ada berhenti beretorik untuk melakukan transformasi atau berdepan hilang undi mahasiswa.

Bercakap pada satu sidang media di ibu negara hari ini, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Ab Razab berkata, mereka telah muak dengan janji populis Najib selama ini yang dilihat tidak lebih sekadar mempermainkan rakyat.

"Kita beri kata dua kepada perdana menteri, jika tidak ada transformasi drastik, kita akan bergerak sama ada melalui undi pilihan raya atau ruang-ruang demokrasi lain yang ada," katanya.


Ianya termasuk janji pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) namun tetap digunakan menangkap 10 orang rakyat Sabah pada November lalu.

Selain itu, Najib juga cuba memperlihatkan retorik beliau apabila beliau sendiri mempertahan Bil Perhimpunan Aman 2011 biarpun didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Manakala yang terbaru hasrat untuk meminda sekseyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) namun pada masa sama kerajaan juga memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi merujuk semula keputusan Mahkamah Rayuan bahawa seksyen 15 Auku bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.

"Hari ini kita hanya turunkan bendera (gambar PM), jika tidak ada perubahan drastik, tidak mustahil anak muda akan jatuhkan regim ini untuk diganti dengan kerajaan lebih baik," katanya.

Turut serta pada sidang media di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) pagi tadi termasuklah mantan Pengerusi SMM, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Kata dua yang berbaur amaran itu dilontarkan dua hari selepas ratusan mahasiswa berarak di ibu negara menuntut kebebasan akademik Sabtu lalu yang turut menyaksikan bendera gambar Najib di hadapan ibu pejabat Umno diturunkan dan diganti dengan bendera kebebasan akademik selama beberapa minit.

Dalam perarakan itu dua memorandum turut diserahkan masing-masing kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Tun Mahathir di cabar dedah siapa pemilik San Miguel

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad digesa melihat dahulu siapa pemegang saham dalam syarikat arak San Miguel sebelum mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menunjukkan surat didakwa ditulisnya kepada Bank Dunia meminta bantuan semasa krisis kewangan 1997/98.

Semalam, Dr Mahathir mencabar Anwar, Ketua Pembangkang dalam isu itu sambil menegaskan beliau orang yang menolak pinjaman Bank Dunia pada masa itu.

“Beberapa hari lalu Dr Mahathir telah mencabar Anwar bersumpah dengan menjunjung al-Quran.

“Sewajarnya sebelum bekas perdana menteri itu mencabar sesiapa bersumpah menjunjung al-Quran, eloklah dia meneliti kepentingan siapa dalam syarikat arak San Miguel,” kata PKR dalam satu kenyataan pejabat Anwar Ibrahim hari ini.

Laporan media ini pernah mengaitkan pegangan saham dalam San Miguel, syarikat dari Filipina, dengan anak lelaki Dr Mahathir iaitu Mirzan.

Kenyataan itu menambah, sewajarnya dinyatakan tatkala masih menyandang jawatan Menteri Kewangan, Anwar telah menulis kepada Bank Dunia bahawa Malaysia tidak lagi memerlukan bantuan institusi kewangan itu.

“Kini sudah terang lagi bersuluh, politik hipokrit usang serta propaganda fitnah pasti tewas kerana kebenaran pasti muncul,” kata kenyataan itu yang menyertakan pautan laman web menunjukkan Dr. Mahathir telah berbohong dan cuba memutarbelitkan fakta kenyataan beliau sendiri.

Katanya, jika diteliti, ia jelas menunjukkan komitmen Bank Dunia kepada Malaysia pada zaman pentadbiran Dr. Mahathir.

Dalam satu reaksi semalam, Dr Mahathir berkata, “saya tahu kalau kita terima pinjaman daripada Bank Dunia, kita akan menjadi hamba kepada mereka yang tolong kita dan disebabkan itu kita tidak berbuat demikian.”

“Kalau apa yang dikatakan oleh Anwar itu benar, saya cabar dia bersumpah laknat di masjid dengan al-Quran.

“Saya sanggup berbuat demikian sekiranya diperlukan,” katanya lagi.

Dr Mahathir memecat Anwar sebagai dari jawatan kerajaan pada awal September 1998 dan sebagai timbalan presiden Umno serta dikenakan tuduhan liwat dan salah guna kuasa.

Malah semalam, Dr Mahathir berkata Anwar terkenal sebagai orang yang memperkenalkan cara-cara Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada masa itu.

“Saya biasa cakap kepada dia (Anwar), kalau kita buat pinjaman kepada Bank Dunia, kita tidak akan ada gaji yang cukup untuk bayar kepada pegawai-pegawai kita.

“Tetapi dia telah ikut cara-cara bank dunia sampai rosak fikirannya,” katanya.

Kenyataan hari ini juga berkata, sekian lama Anwar telah ditohmah dengan pelbagai tuduhan, antaranya kononnya beliau adalah alat kepada Bank Dunia dan IMF.

“Tuduhan ini direkayasa semenjak 1998 lagi lantaran komitmen Anwar dalam memastikan disiplin pengurusan kewangan negara yang berteraskan tatakelola dan pertanggungjawaban.

“Anwar bertegas menolak preskripsi ekonomi yang mahu menyelamatkan kroni dan elit politik ekonomi sedangkan rakyat perit berhadapan krisis ekonomi 1997/98,” katanya lagi.

Ia menambah, lantaran ketegasan Anwar, Dr. Mahathir merasakan perlu menyingkirkan beliau dari tampuk kepimpinan negara.

“Setelah lebih dari satu dekad fitnah terhadap Anwar dan keluarga beliau masih diteruskan oleh pimpinan Umno serta juak mereka.

“Pimpinan Umno mahu beliau terus ditohmah hatta bercanggah dengan kehendak agama dan nilai budaya yang tulus,” kata kenyataan itu dan menegaskan, pimpinan Umno dan Dr. Mahathir tidak sedari yang rakyat tidak lagi senang diperbodohkan.

“Fitnah yang direkayasa tidak ampuh menggugah keyakinan rakyat untuk mendokong Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Malah tegas kenyataan itu, tohmahan Dr. Mahathir bahawa Anwar adalah ejen Barat, IMF dan Bank Dunia kini mula menghantui mantan perdana menteri tersebut.

“Rakyat Malaysia tidak mudah lupa bagaimana Dr. Mahathir bersekongkol dengan Jack Abramoff dalam usaha beliau melobi untuk bertemu dengan (bekas) Presiden Amerika Syarikat George W. Bush.

“Malah menurut rekod Bank Dunia, selepas Anwar dipecat, Malaysia masih menerima bantuan Bank Dunia sedangkan di hadapan khalayak tanpa segan silu mantan perdana menteri itu sembrono memfitnah Anwar sebagai perkakas Bank Dunia sekali gus ejen Barat,” katanya lagi. -TMI

Najib tidak bersuara isu ini !!

Malaysia negara ke-empat paling rasuah di dunia tetapi Najib tidak bersuara
Untuk dekad pertama dalam abad ini, Malaysia telah kehilangan RM 1.08 trillion (US$338 billion) dalam pengaliran wang haram yakni, merupakan ke-empat tertinggi di antara negara-negara membangun.
Untukjangka masa 2000-2009, Cina telah kehilangan US 2.74 trillion dalam pengaliran wang haram dan merupakan negara membangun yang menduduki tempat pertama aliran wang haram ini menurut laporan ranking negara yang diterbit. Mexico menduduki tempat ke-dua dengan US504 billion dan Russia US501 billion. Negara jiran kita yang terdekat adalah Filipina di tempat ke 13 yang kehilangan IS12 billion.
Pengaliran wang haram dapat dilihat sebagai penanda aras atau petunjuk kepada skala rasuah. Ini bermaksud Malaysia mempunyai sekumpulan pemimpin yang paling rasuah di rantau Asia Tenggara dan juga yang ke-empat paling rasuah di dunia dengan meletakkan sejumlah besar wang untuk dikerjakan di luar negara.
Laporan Global Financial Integrity (GFI) melaporkan pada Januari, sejumlah RM930 billion telah mengalir keluar Malaysia dari 2000 hingga 2008. Ini bertambah kepada RM 218 billion setahun daripada RM 71 billion pada masa itu. Malaysia kehilangan RM150 billion kepada pengaliran wang haram pada 2009. Laporan itu mengulas bahawa “pertambahan itu lihat di beberapa negara Asian.” Ia juga menambah “Dengan bertambahnya pengaliran kapital haram dari Malaysia, ia telah mengecilkan jumlah pengaliran capital yang bersih ke negara sejak beberapa tahun ini.”
Rasuah, kecurian dan pemberian faedah
Loceng amaran dibunyikan seawal Januari 2011 oleh pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim yang mempersoalkan sifat pemaaf kerajaan terhadap masalah pengaliran wang haram melalui rasuah dan pengecualian cukai.
Menurut laporan tersebut, rasuah, pencurian dan pemberian faedah adalah antara penyumbang kepada pengaliran wang haram ini dan ia dominan di negara timur tengah, utara Afrika dan negara membangun di Eropah.
Pemalsuan inbois import/eksport yang dikenali sebagai salah nilai pula menyumbang kepada separuh daripada jumlah pengaliran wang haram terutamanya di Asia dan barat.
Untuk menangani masalah ini, Gabenor Bank Negara Dr Zeti Akhtar Aziz telah membentangkan Akta Wang Perkhidmatan Perniagaan pada Mac lepas, dan berkuatkuasa Disember lepas. Akta ini menyokong pembangunan yang lebih dinamik, kompetitif dan professional bagi industri perkhidmatan perniagaan, dengan mengukuhkan kawalan terhadap pengubahan wang haram, pembiayaan kekejaman dan aktiviti haram menurut bank negara.
Tindakan separuh jalan
Penguatkuasaan akta itu nampaknya sudah terlambat kerana ia Cuma tindakbalas spontan terhadap masalah yang sudah wujud sejak sedekad lepas. Selepas sedekad, Malaysia sudahpun kehilangan RM 1.08 trillion hasil perbuatan BN. Inilah kerajaan yang telah membazirkan wang sejak sekian lama dan sudah sampai masanya untuk terjadi sebuah letupan ekonomi yang menghuru-hurakan negara.
Dengan kadar inflasi pada 3.4% pada September dan adalah yang tertinggi sejak 27 bulan, dan 3.5 % pada Jun, inflasi makanan kekal sebagai kebimbangan utama; meningkat kepada 5% dari tahun ke tahun sejak September dan dari 4.6% pada Ogos. Rakyat Malaysia akan menepuh masa-masa yang sukar dengan kos kehidupan yang semakin meningkat. Dan apakah reaksi daripada Menteri Kewangan mengenai semua ini? Tiada.
Tiada satu pun usaha cerita indah daripada Najib
Sebaliknya, kita telah disajikan dengan begitu banyak pengumuman untuk menjadikan Malaysia sebuah negara pendapatan tinggi dan semakin banyak projek mahal yang menemui kegagalan seperti NFC. Dengan secara tiba-tiba mahu meningkatkan gaji penjawat awam adalah suatu usaha untuk mendapatkan lebih banyak cukai dan pada masa yang sama mendapatkan sokongan penjawat awam untuk PRU 13. Segala usaha-usaha ini adalah semata untuk memastikan kemenangan pada pilihanraya kelak sementara keadaan negara semakin berkecamuk.
Hakikat bahawa pengaliran wang haran dari Malaysia dari tahun ke tahun telah meningkat daripada RM71 billion kepada RM218 billion setahun telah memberi indikasi bahawa langkah-langkah yang kurang berkesan telah diambil oleh Kementerian Kewangan dan juga Bank Negara untuk menangani masalah tersebut. Pendek kata, usaha mereka gagal. PM Najib Razak yang juga menteri kewangan tidak mempunyai apa-apa pencapaian yang membanggakan sepanjang perkhidmatan beliau walaupun sudah mentadbir sejak April 2009.
Kementerian Kewangan yang sunyi sepi telah mengundang persoalan –Adakah Najib orang yang patut dipersalahkan dalam kegawatan ekonomi negara? Adakah ia suatu keutamaan bagi menteri kewangan? Adakah BN bekerja keras untuk memperbaiki keadaan ekonomi negara?
Isu-isu ini telah benar-benar memberi bayangan bahawa kita mungkin akan kecundang seperti Greece dan ramalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Jala bahawa kita akan bankrap pada tahun 2019 disebabkan negara tidak mampu membayar hutangnya yang semakin bertambah.
Malaysia Chronicle

Umno joli duit KWSP




Oleh DATO’ HUSAM MUSA

SAYA tertarik dengan penjelasan mengenai pinjaman KWSP kepada Kerajaan Malaysia seperti kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr Awang Adek di Dewan Rakyat (The Star, m s 20 30 November 2011).

RM79.4 bilion – adalah jumlah pinjaman KWSP kepada Kerajaan Persekutuan seperti disebut oleh Dr Awang. Adakah angka ini tidak mengambil kira pembelian kertas sekuriti dan bon Kerajaan Persekutuan oleh KWSP yang lain?


Setakat pengetahuan saya, kedua-dua pinjaman dan kertas sekuriti jika dijumlahkan sekali, jumlah besar pendedahan KWSP sebagai hutang Kerajaan adalah RM240 bilion! Jumlah itu tidak mengambil kira pinjaman KWSP kepada GLC milik kerajaan.
Berdasarkan jumlah RM240 bilion, ia adalah 52.6 peratus dari jumlah hutang Kerajaan Persekutuan sebanyak RM456 bilion pada tahun 2011, seperti dibentangkan Ketua Audit Negara dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara baru-baru ini.

Dalam keadaan Hutang Kerajaan Persekutuan terus meningkat dan sepatutnya, tanpa manipulasi statistik, telah melebihi paras 55 peratus yang diizinkan oleh Undang-Undang Negara, kese- lamatan pinjaman ini memerlukan penelitian yang serius.

RM456 bilion jumlah hutang pada tahun 2011, dari segi peratus KDNK, adalah 54.3 peratus.

Hanya tinggal 0.7 peratus untuk mencapai tahap 55 peratus! Melalui Belanjawan defisit tahun ke-15 berturut-turut dengan jumlah RM45 bilion, sepatutnya tahap 55 peratus tadi telah dilanggar.

Bagi mengelakkan pelanggaran itu, manipulasi statistik telah dibuat dalam dua cara:

a. Meletakkan kadar pertumbuhan setinggi 6 peratus supaya dengan itu jumlah agregat KDNK menjadi besar dan dengan sendirinya peratus hutang berbanding KDNK menjadi rendah.

Soalnya, semua penganalisis ragu Malaysia mampu mencapai pertumbuhan 6 peratus sepanjang tahun hadapan.

Jika ini tidak dicapai, dengan sendirinya tahap yang dihadkan pertama kali akan dilanggari dan ini memberi kesan terhadap keselamatan hutang KWSP.

b. Meninggikan jumlah KDNK 2012 dengan memasukkan kadar inflasi. Oleh kerana itu, ada perbezaan ketara antara jumlah KDNK yang dicatatkan dalam Buku Belanjawan berbanding tercatat dalam Laporan Statistik.

Jumlah RM918.322 KDNK bolehlah dianggap memasukkan peratusan tertentu kadar inflasi, menjadikan angkanya lebih besar dan peratusan hutang menjadi kecil Namun begitu, sekalipun disebabkan oleh dua manipulasi statistik ini peratusan hutang negara belum mencecah tahap 55 peratus, ia akan mencecah tahap 55 peratus ini pada bila-bila masa dari sekarang.

Tidak ada tanda-tanda ekonomi negara akan tumbuh sebanyak 6 peratus pada tahun hadapan. Sebarang kekurangan dalam peratus pertumbuhan ekonomi negara dengan sendirinya menjadikan angka KDNK lebih kecil dan peratusan hutang lebih besar.

Selain itu, dengan trend berbelanja yang langsung tidak memperdulikan kedudukan kewangan semasa yang ada, dijangka jumlah hutang baru negara akan melebihi dari jumlah awal yang dinyatakan dalam Buku Belanjawan.

Jika ini berlaku, rakyat Malaysia, selepas PRU13 yang mungkin akan diadakan pada Mac 2012 akan menyaksikan jumlah hutang negara kita melebihi paras yang dibenarkan oleh undang-undang buat kali pertama di bawah teraju Dato’ Seri Najib Razak!

Itu belum mengambil kira jumlah hutang GLC yang tidak digambarkan dalam Akaun Hutang Awam Negara yang jumlahnya adalah juga besar iaitu RM184 bilion.

Sebagian pinjaman ini telah dikelaskan sebagai CC minus.

Jika jumlah ini diambil kira, kita telah lama melepasi tahap 55 peratus dan dengan itu, keadaan adalah amat membimbangkan.

Tujuan saya menulis kenyataan akhbar ini ialah supaya Kementerian Kewangan mengubah habit berbelanja Kerajaan Persekutuan sekarang.

Termasuk berbelanja besar melebihi kos sebenar, dari sekecil-kecil bil api tinggi menggila untuk kediaman PM sampailah pembelian kapal peronda dan lain-lain, seperti dalam kes-kes dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.

Kedua, terus berbelanja atas perkara-perkara yang tidak produktif seperti pembelian vesel dan kereta perisai baru dengan begitu mahal melebihi harga pasaran dan dibeli melalui pihak ketiga yang mendapat untung melangit.

Semua perbelanjaan joli ini bersandarkan pinjaman KWSP yang merupakan wang amanah rakyat negara ini.

Perbelanjaan pruden boleh membantu hutang dikurangkan dan dengan sendirinya nilai wang KWSP yang dipinjamkan kepada kerajaan menjadi lebih berharga.

Jika tidak, KWSP hanya dijadikan tabung berharga murah untuk membantu Kerajaan Pusat berjoli atas wang rakyat!