Bekas  perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad digesa melihat dahulu siapa  pemegang saham dalam syarikat arak San Miguel sebelum mencabar Datuk  Seri Anwar Ibrahim agar menunjukkan surat didakwa ditulisnya kepada Bank  Dunia meminta bantuan semasa krisis kewangan 1997/98.
Semalam,  Dr Mahathir mencabar Anwar, Ketua Pembangkang dalam isu itu sambil  menegaskan beliau orang yang menolak pinjaman Bank Dunia pada masa itu.
“Beberapa hari lalu Dr Mahathir telah mencabar Anwar bersumpah dengan menjunjung al-Quran.
 
“Sewajarnya  sebelum bekas perdana menteri itu mencabar sesiapa bersumpah menjunjung  al-Quran, eloklah dia meneliti kepentingan siapa dalam syarikat arak  San Miguel,” kata PKR dalam satu kenyataan pejabat Anwar Ibrahim hari  ini.
Laporan media ini pernah mengaitkan pegangan saham dalam San  Miguel, syarikat dari Filipina, dengan anak lelaki Dr Mahathir iaitu  Mirzan.
Kenyataan itu menambah, sewajarnya dinyatakan tatkala  masih menyandang jawatan Menteri Kewangan, Anwar telah menulis kepada  Bank Dunia bahawa Malaysia tidak lagi memerlukan bantuan institusi  kewangan itu.
“Kini sudah terang lagi bersuluh, politik hipokrit  usang serta propaganda fitnah pasti tewas kerana kebenaran pasti  muncul,” kata kenyataan itu yang menyertakan pautan laman web  menunjukkan Dr. Mahathir telah berbohong dan cuba memutarbelitkan fakta  kenyataan beliau sendiri.
Katanya, jika diteliti, ia jelas menunjukkan komitmen Bank Dunia kepada Malaysia pada zaman pentadbiran Dr. Mahathir.
Dalam  satu reaksi semalam, Dr Mahathir berkata, “saya tahu kalau kita terima  pinjaman daripada Bank Dunia, kita akan menjadi hamba kepada mereka yang  tolong kita dan disebabkan itu kita tidak berbuat demikian.”
“Kalau apa yang dikatakan oleh Anwar itu benar, saya cabar dia bersumpah laknat di masjid dengan al-Quran.
“Saya sanggup berbuat demikian sekiranya diperlukan,” katanya lagi.
Dr  Mahathir memecat Anwar sebagai dari jawatan kerajaan pada awal  September 1998 dan sebagai timbalan presiden Umno serta dikenakan  tuduhan liwat dan salah guna kuasa.
Malah semalam, Dr Mahathir  berkata Anwar terkenal sebagai orang yang memperkenalkan cara-cara Bank  Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada masa itu.
“Saya  biasa cakap kepada dia (Anwar), kalau kita buat pinjaman kepada Bank  Dunia, kita tidak akan ada gaji yang cukup untuk bayar kepada  pegawai-pegawai kita.
“Tetapi dia telah ikut cara-cara bank dunia sampai rosak fikirannya,” katanya.
Kenyataan  hari ini juga berkata, sekian lama Anwar telah ditohmah dengan pelbagai  tuduhan, antaranya kononnya beliau adalah alat kepada Bank Dunia dan  IMF.
“Tuduhan ini direkayasa semenjak 1998 lagi lantaran komitmen  Anwar dalam memastikan disiplin pengurusan kewangan negara yang  berteraskan tatakelola dan pertanggungjawaban.
“Anwar bertegas  menolak preskripsi ekonomi yang mahu menyelamatkan kroni dan elit  politik ekonomi sedangkan rakyat perit berhadapan krisis ekonomi  1997/98,” katanya lagi.
Ia menambah, lantaran ketegasan Anwar, Dr. Mahathir merasakan perlu menyingkirkan beliau dari tampuk kepimpinan negara.
“Setelah lebih dari satu dekad fitnah terhadap Anwar dan keluarga beliau masih diteruskan oleh pimpinan Umno serta juak mereka.
“Pimpinan  Umno mahu beliau terus ditohmah hatta bercanggah dengan kehendak agama  dan nilai budaya yang tulus,” kata kenyataan itu dan menegaskan,  pimpinan Umno dan Dr. Mahathir tidak sedari yang rakyat tidak lagi  senang diperbodohkan.
“Fitnah yang direkayasa tidak ampuh  menggugah keyakinan rakyat untuk mendokong Pakatan Rakyat pada pilihan  raya umum akan datang,” katanya.
Malah tegas kenyataan itu,  tohmahan Dr. Mahathir bahawa Anwar adalah ejen Barat, IMF dan Bank Dunia  kini mula menghantui mantan perdana menteri tersebut.
“Rakyat  Malaysia tidak mudah lupa bagaimana Dr. Mahathir bersekongkol dengan  Jack Abramoff dalam usaha beliau melobi untuk bertemu dengan (bekas)  Presiden Amerika Syarikat George W. Bush.
“Malah menurut rekod  Bank Dunia, selepas Anwar dipecat, Malaysia masih menerima bantuan Bank  Dunia sedangkan di hadapan khalayak tanpa segan silu mantan perdana  menteri itu sembrono memfitnah Anwar sebagai perkakas Bank Dunia sekali  gus ejen Barat,” katanya lagi. -TMI
