JOHOR  BAHRU - “Jangan bermain dengan api kerana perkara ini bukan saja  mencabar kredibiliti kami, malah menggugat sensitiviti masyarakat Islam  khususnya.”
Demikian  amaran Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berhubung  kejadian penemuan kepala babi yang diletakkan di hadapan pintu masjid di  Taman Desa Jaya, di sini.
Mohd  Mokhtar berkata, tindakan itu disifatkan sebagai perbuatan melampau  yang memaksa satu pasukan khas ditubuhkan serta merta bagi menyiasat  kejadian itu.
“Pasukan itu yang ditubuhkan hari ini (semalam) akan memulakan operasi mencari dalang yang terlibat.
“Kami  akan menyiasat perkara ini secepat mungkin untuk mengheret individu  mahupun pihak terbabit ke muka pengadilan kerana kejadian ini nyata  mencabar dan mempersendakan agama kita.
“Ini  bukan perkara remeh, individu yang melakukannya jelas mencabar semua  umat Islam bukan saja di negeri ini malah di seluruh Malaysia dan kami  bertekad akan menjalankan siasatan menyeluruh,” katanya ketika dihubungi  Sinar Harian, di sini, semalam.
Mokhtar  berkata, pasukan itu dikerah untuk mencari petunjuk dan mendapatkan  maklumat supaya individu atau kumpulan yang terbabit dengan perbuatan  itu ditahan dan didakwa.
Sementara  itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Datuk Maulizan Bujang  berkata, insiden berkenaan tidak sepatutnya berlaku dan harus dikutuk  sekeras-kerasnya kerana bertentangan dengan amalan rasional di sebuah  negara berbilang kaum dan agama.
Menurutnya,  perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh mencetuskan kemarahan di  kalangan umat Islam kerana ia menyentuh sensitiviti keagamaan.
“Bagaimanapun,  saya tidak mahu menuduh siapa yang melakukan perbuatan itu, sama ada  dilakukan oleh orang Islam sendiri atau bukan Islam.
“Sekarang  kita perlu menyerahkan segalanya kepada polis untuk menyiasat insiden  ini dan saya harap masyarakat di kawasan ini bertenang dan menyerahkan  kepada polis untuk siasatan,” katanya.