
26 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
PUCHONG  – Persatuan Penternak Ruminan Negeri Selangor (PPRNS) mendesak kerajaan  menyediakan dana sebanyak RM250 juta kepada kira-kira 500 ahli  persatuan itu seperti mana yang diberikan kepada Pusat Fidlot Nasional  (NFC).
Pengerusinya,  Samad Kassim berkata, kebanyakan ahli adalah penternak lembu tenusu,  lembu fidlot, kerbau dan kambing mendakwa sukar mendapatkan kemudahan  pinjaman daripada kerajaan atau institusi kewangan untuk memajukan  ternakan masing-masing.
Menurutnya, ia berbeza dengan apa yang diberikan kerajaan kepada NFC, sedangkan penternak tidak diberikan kemudahan sama.
“Penternak  yang juga ahli PPRNS memerlukan dana untuk memajukan lagi industri dan  kita menjamin 30 peratus peningkatan pengeluaran produktiviti industri  ternakan termasuk susu segar, daging, susu kerbau sapi, daging kambing  dan baja organik selepas tiga tahun,” katanya kepada Sinar Harian.
Samad  berkata, dengan kemudahan dana yang disediakan itu, mereka dapat  membeli induk lembu, kambing dan kerbau, malah tidak mustahil  pembangunan bidang ternakan menjadikan Malaysia antara negara  pengeksport untuk produk berkenaan.
Menurutnya,  kebanyakan penternak sudah menceburi bidang ternakan lebih daripada 10  tahun dan mengetahui selok-belok industri yang dijalankan.
“Kita  mempersoalkan mengapa kerajaan memberi dana kepada syarikat baru  seperti NFC sedangkan ia sepatutnya diberikan kepada penternak yang  sudah berpuluh tahun dalam industri ini.
“Persatuan  memohon kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi perhatian serius  terhadap permintaan ahli bagi menjamin peningkatan industri ternakan di  negeri ini,” katanya.
Sinar Harian