Jumaat, 25 November 2011
MB Johor arah pihak berkuasa halang ceramah PKR?
SKUDAI 25 NOV : Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mendakwa terdapat cubaan untuk menggagalkan semua program ceramah penerangan isu semasa di Johor sepanjang Kongres PKR ke-8 berlangsung.
Azmin berkata sumber parti mendapat tahu yang Menteri Besar Tan Sri Abdul Ghani Othman mengarahkan semua pegawai kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan polis di Johor untuk mengambil tindakan tegas termasuk merampas peralatan ceramah dan menafikan semua permohonan permit.
Menurut Azmin, PKR merancang mengadakan 20 ceramah sepanjang tiga hari Kongres PKR yang bermula hari ini.
"Saya mendapat maklum-balas bahawa semua ceramah PKR yang diatur di 14 cabang seluruh negeri Johor telahpun diganggu oleh pihak berkuasa.
"Saya mendapat maklum-balas bahawa Menteri Besar sendiri telah memanggil semua pegawai dari pihak berkuasa tempatan untuk tidak membenarkan sebarang ruang kepada PKR untuk menganjurkan ceramah pada malam ini," kata Azmin di satu sidang akhbar seusai ucapan perasmian Kongres.
Sebelum ini, TV Selangor melaporkan satu tinjauan yang menunjukkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat berleluasa di kalangan pengundi muda dan golongan berpendapatan sederhana.
Dua kategori ini membentuk undi penentu di semua bandar-bandar utama seluruh negara, khususnya di bandaraya majmuk seperti Johor Bahru.
Azmin menegaskan kegelisahan Tan Sri Abdul Ghani Othman ini membuktikan Johor bakal menyaksikan pertembungan sengit antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang.
"Ini membuktikan bahawa mereka dalam keadaan ketakutan. Mereka tidak mahu rakyat mendapat maklumat daripada PKR melalui ceramah-ceramah ini. Bagi saya ini satu perkembangan yang baik," kata Azmin.
"Kita perlu mempelbagaikan pendekatan kita, tidak semestinya melalui ceramah, tetapi bergerak dari rumah ke rumah, kita edar risalah di tempat awam dan bertemu rakyat dengan pelbagai cara," tambahnya.
Mengulas lanjut, Azmin berkata gangguan dan halangan yang diletakkan menyerupai simtom-simton akhir rejim Barisan Nasional Selangor sebelum ia tumbang dalam Pilihanraya Umum 2008.
"Negeri Selangor pernah menjadi kubu-kuat Umno suatu ketika dahulu. Tetapi apabila kefahaman diberikan, Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan ini juga boleh berlaku di negeri Johor dalam pilihanraya akan datang," kata beliau.
Ditanya mengenai pembahagian kerusi di Johor, Azmin melahirkan keyakinan perkara itu akan dapat disepakati sebelum hujung tahun ini.
"Perbincangan ketiga (berkenaan pembahagian kerusi) akan berlangsung pada minggu depan pada hari Rabu (30 November). Setakat ini kemajuan perbincangan cukup positif. Kerusi-kerusi yang bertindih cukup kecil di kalangan Pakatan Rakyat,"