KOTA  BHARU, 24 Nov: Biar pun lima siri laporan khas dimuat Utusan Malaysia  bagi memburukkan Kelantan berkaitan isu bekalan air bersih, namun ia  dianggap belum mampu mengocak jiwa rakyat.
Ini kerana setiap hari  mereka boleh minum, mandi, membasuh dan apa-apa sahaja kegiatan  menggunakan air bersih dibekalkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Malah,  pelabur tetap memilih Kelantan sebagai destinasi pelaburan mereka.  Seandainya bekalan air di sini kritikal mengapa mereka memilih  mengembangkan operasi perniagaan di Kelantan.
  
Apakah agenda setting Utusan peringkat tertinggi itu mampu memperbodohkan rakyat Kelantan. Jawapannya tidak.
Begitu  juga dakwaan isu air dicemari bakteria E.coli, mangan dan arsenik,  sedangkan kadarnya lebih rendah berbanding negeri-negeri lain.
Misalnya  kadar kandungan E.coli di Kelantan hanya sekitar 0.88 peratus  berbanding Pahang (1.12 peratus), Perak (0.90 peratus), Perlis (1.21  peratus) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1.01 peratus).
Pengurus  Besar AKSB, Ir Mohamad Hanafi Mahmud berkata, kadar kandungan bakteria  E.coli hanya dalam peratusan kecil, dan diatasi segera setelah dikesan  kandungannya.
Lagi pun katanya setiap minggu sampel air di semua loji rawatan air AKSB dihantar ke Pejabat Kesihatan untuk dianalisis.
”Setakat  ini tiada pun teguran dibuat jabatan terbabit berkaitan isu yang  ditimbulkan sebuah akhbar arus perdana sekarang,” katanya.
Pengerusi  Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar, Datuk  Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman (kiri) berkata, sebanyak 3531 sampel  air dianalisis Jabatan Kesihatan dan hanya 31 kes sahaja dikesan ada  kandungan E.coli.
”Persoalannya sekarang mengapa Kelantan sahaja yang digegerkan dalam media sehingga setiap hari disiarkan kenyataan negetif.
”Ini  seolah-olah menggambarkan negeri lain tidak ada E.coli. Tidak selamanya  rakyat mudah ditipu dengan maklumat berat sebelah seperti yang menjadi  mainan Utusan Malaysia sekarang,” katanya di sini.
Malah kata  beliau akhbar terbabit juga lupa tanggungjawab menyediakan perkhidmatan  bekalan air adalah di bawah kerajaan pusat, dan kerajaan negeri cuma  menyalurkan sumber air.
”Mengapa mereka tidak cuba rujuk kepada  perlembagaan yang secara jelas menerangkan perkara itu. Jangan cuba  hendak kelirukan rakyat.
”Memandangkan tugas tersebut tidak  dilaksanakan kerajaan pusat, kerajaan negeri terpaksa mengambil alihnya  bagi memastikan kesejahteraan kehidupan rakyat.
”Cuba bayangkan  pula usaha kerajaan negeri mahu meningkatkan bekalan air tidak mendapat  kerjasama kerajaan pusat dalam tempoh begitu lama.
”Selama 13  tahun Kelantan diketepikan mendapat sebarang peruntukan. Usahkan  peruntukan, pinjaman pun tidak diberi pada awalnya,” ujarnya.
Beliau  berkata, sepanjang tempoh itu prasarana bekalan air tetap juga  dipertingkat termasuk mendapat pinjaman daripada institusi kewangan.
Hanya  pada 2003 barulah pinjaman mudah diluluskan sebanyak RM600 juta, itu  pun diberi bukan sekaligus, sebaliknya sedikit demi sedikit.
Menurutnya  Md Anizam hasil kesungguhan kerajaan negeri sehingga sekarang hampir 70  peratus rakyat Kelantan mendapat bekalan air bersih disediakan AKSB.
HARAKAHDAILY/-
