Isnin, 11 Julai 2011

Anwar Diserang FRU



Menurut Fayyadh Al-Bakri (gambar),pengawal peribadi DSAI yang mengalami kecederaan di pipi kerana mahu menyelamatkan Anwar dari terkena tembakan gas pemedih mata, kumpulan DSAI telah dikepung oleh pihak FRU ketika mereka sedang melalui di jalan bawah (underpass) KL Sentral.

Sekumpulan FRU telah menghalang jalan dibelakang mereka setelah kumpulan DSAI memasuki jalan bawah itu dan kemudiannya sekumpulan lagi telah menyerang mereka dengan gas pemedih mata dari arah hadapan..

FRU juga dikatakan menggunakan Gas Pemedih Mata dari jenis yang terbaru dalam inventori mereka iaitu bukan saja memedihkan mata malah boleh menyebabkab rasa sakit pada paru-paru..

Tembakan FRU itu disasarkan terus kemuka atau kepala DSAI, tetapi Berjaya ditahan oleh Fayyadh, akibatnya tulang pipi kiri Fayyadh hancur dan terpaksa menjalani pembedahan plastic Isnin ini..

Apa tujuan FRU mengepung dan menyerang DSAI dan kumpulannya ketika mereka berada dalam jalan bawah KL Sentral yang tertutup itu??

Jawapannya ada dalam dua berita dibawah.. korang bacalah..
PKR : Tubuh Suruhanjaya Diraja, Siasat Insiden Tembak Gas Di KL Sentral

PETALING JAYA 10 JULAI : Parti Keadilan Rakyat menggesa satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat tindakan yang dilakukan pegawai senior polis termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk, Datuk Seri Hishamuddin Hussein kerana mengarahkan polis melakukan kekejaman dan perbuatan jenayah dalam usaha menghalang hak mutlak rakyat untuk berhimpun secara aman.

Naib Presiden PKR N. Surendren menyatakan perbuatan jenayah tersebut merujuk kepada perbuatan melepaskan tembakan gas pemedih mata kepada orang awam di tempat tertutup dan sempit di laluan bawah berhampiran KL Sentral semalam dan ianya berlaku 'tanpa sebarang provokasi'.

Atas kesalahan itu, pelaku boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, kata Surendran dalam satu kenyataan media.

"Tindakan polis amat melanggari undang-undang dan standard polis antarabangsa. Tindakan itu sengaja dilakukan untuk membunuh, mencacat dan mencederakan mereka yang berarak dengan aman. Secara spesifiknya, tembakan gas pemedih mata di ruang tertutup di laluan bawah ialah perbuatan jenayah, yang akan menyebabbkan kecederaan serius atau kematian dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," kata beliau.

Antara mangsa yang terkena serangan tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan di jalan bawah (underpass) KL Sentral ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah pengawal peribadi Anwar, Fayad Al-Bakri mengalami kecederaan di bahagian mukanya ketika menyelamatkan pemimpin itu.

Ironinya, walaupun dirakam lensa kamera media seluruh negara termasuk Reuters akan kejadian di Stesen Sentral Kuala Lumpur itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menafikan bahawa Anwar cedera dan menyatakan tembakan gas pemedih mata hanya dilepaskan di sekitar Pudu dan tidak di tempat lain.

Jawatankuasa Penggerak Bersih dan Pakatan Rakyat menganggap Bersih 2.0 semalam sebagai “satu kejayaan besar” dengan lebih 50,000 dianggarkan hadir memberi sokongan meskipun tidak dapat menyerahkan memorandum tuntutan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Setelah kumpulan kami yang aman memasuki laluan bawah itu, kami berhadapan dengan sepasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang berbaris dan menghalang laluan di hadapan dan bersenjatakan gas pemedih mata. Naib Presiden Tian Chua kemudian pergi ke barisan polis tersebut untuk berunding tetapi polis terus bereaksi dengan menjerit, mengetuk perisai mereka dan menghalakan senapang pemedih mata ke arah kami," terang Surendren.

Selain Anwar, ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad turut mengalami kecederaaan ekoran insiden itu.


Polis FRU Sasarkan Tembakan Kearah Anwar, Kata Saifuddin

KUALA LUMPUR 9 JULAI : Datuk Seri Anwar Ibrahim ,mengalami kecederaan di kepala dan lutut akibat tindakan anggota polis menembak gas pemedih mata tepat ke arah muka Ketua Pembangkang itu, kata Parti Keadilan Rakyat.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata hanya tindakan pantas daripada pengawal peribadi Anwar, Fayad Al-Bakri menyelamatkan pemimpin itu daripada kecederaan lebih teruk.

Akibat melindungi Anwar, Fayad patah tulang pipi dan terpaksa menjalani pembedahan. Anwar turut dikejarkan ke Hospital untuk rawatan lanjut.

Saifuddin berkata, anggota Polis Simpanan Persekutan yang melepaskan tembakan di Brickfields itu jelas bertujuan mendatangkan kecederaan terhadap Anwar.

"Doktor menasihatkan Anwar memakai pelindung leher kerana khuatir kecederaan itu akan memberi kesan kepada tulang belakang beliau," kata Saifuddin.

Sehubungan itu, PKR akan membuat laporan polis supaya tindakan segera ke atas pegawai berkenaan.

"Polis menghalakan tepat senapang gas pemedih mata ke arah Anwar dalam jarak dekat," dedah Saifuddin.

Saifuddin menambah, tindakan polis itu mirip kepada kes tunjuk perasaan di Jalan Kebun, Klang pada tahun 2000.

"Dalam siasatan tahun 2000 itu, Suhakam mendapati polis menyalahi undang-undang kerana melepaskan tembakan gas pemedih mata tanpa mengikut peraturan,” kata Saifuddin.

“Sepatutnya polis melepaskan tembakan pada paras 45 darjah kerah ruang udara, bukannya menembak tepat pada sasaran," tegas beliau. Suhakam adalah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

Selain Anwar, turut mengalami kecederaan akibat tembakan gas pemedih mata adalah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Sehingga jam lima petang tadi, polis menahan 1401 peserta perhimpunan Bersih termasuk pemimpin kanan PAS, PKR dan jawatankuasa penganjur Bersih termasuk pengerusinya Ambiga Sreenevasan.
Kedua-dua berita dari TVS News