KeadilanDaily | KUALA  LUMPUR: Kerajaan boleh menyelamatkan RM19 bilion setahun melalui  pemberhentian subsidi kepada Syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP),  berbanding RM116 juta pemotongan subsidi gula yang menyusahkan rakyat.Penjimatan  itu berkadaran 163 kali ganda sekiranya kerajaan menamatkan subsidi gas  kepada syarikat kroni IPP seperti Malakoff, Genting Sanyen dan YTL.
Ketua  Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, pada tahun kewangan 2009  sahaja, subsidi gas Petronas mencecah RM19 bilion, manakala pada  setengah tahun pertama 2010, subsidi untuk bahan bakar itu mencecah  RM10.2 bilion.
“Subsidi  terkumpul yang ditanggung oleh Petronas hingga November 2010 sejak  harga gas ditetapkan di bawah Sektor Tenaga 1997 dan Sektor Bukan Tenaga  2002 adalah sebanyak RM126.6 bilion.
“BN  mendakwa bahawa walaupun berlaku kenaikan harga gula, kerajaan akan  terus menyimpan RM111.6 juta bagi tujuan projek- projek pembangunan dan  masih perlu membayar RM238.4 juta subsidi gula tahunan. DAP menolak  hujah seperti itu yang tidak terbukti memberi manfaat kepada rakyat,”  ujarnya dalam satu kenyataan media.
Menurut  Lim, RM116.6 juta yang disimpan tidak akan membawa manfaat kepada  masyarakat selagi amalan rasuah dan projek runding terus dilaksana  secara berleluasa.
“Akibatnya,  gejala rasuah bermaharajalela dengan tiadanya tender terbuka untuk  cadangan pembinaan MRT (Projek Aliran Transit Mass) yang berjumlah RM53  bilion dan keengganan untuk menyiasat kehilangan RM52 bilion saham  bumiputera,” katanya.
Lim  berkata, pada masa yang sama kerajaan melalui akhbar milik Umno, Utusan  Malaysia cuba mengalih perhatian rakyat dengan sengaja mewujudkan isu  konspirasi kononnya DAP dan para paderi Kristian ingin menubuhkan sebuah  negara Kristian dan melantik Perdana Menteri yang beragama Kristian.
“Penipuan  seperti itu dicetak di muka hadapan Utusan Malaysia sedangkan tiada  rakyat Malaysia beragama Kristian yang berusaha untuk menjadi Perdana  Menteri Malaysia.
“Penipuan  Utusan ternyata adalah cubaan terdesak UMNO untuk mengalihkan perhatian  daripada kegagalan pengurusan ekonomi serta kegagalan dasar- dasar lain  sehingga menyebabkan kenaikan harga petrol dan gula,” ujarnya.