Aziz Muda  
KUALA LUMPUR, : Tindakan Umno BN yang mencipta  pelbagai fitnah bagi memburukkan Pakatan Rakyat telah menyebabkan parti  itu kini boleh disifatkan sebagai parti kurang upaya, sehingga terpaksa  menagih simpati rakyat dengan cara sedemikian hina.
Namun dalam  masa yang sama, fitnah-fitnah yang diciptakannya berpusing pula menjadi  bahan ketawa orang ramai, apabila ia ternyata tidak berasas, tetapi  hanya sengaja diada-adakan bagi mengelirukan orang ramai.
Naib  Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan terbaru Umno yang  menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menzalimi rakyatnya  memperjelaskan lagi realiti itu, sehingga menyebabkan para pemimpin Umno  kini turut disifatkan sebagai pelawak oleh pelbagai pihak.
Menurut  beliau, Umno BN boleh disifatkan sedemikian kerana yang menzalimi  rakyat bukannya Kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi parti itu sendiri ketika  mereka memerintah Selangor dulu.
Katanya, tetapi kini setelah  Selangor berada di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, setiap pihak boleh  menilai sendiri betapa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor seperti juga  Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-negeri lain telah melakukan pelbagai  tindakan bagi membantu rakyat dalam segala aspek.
"Ketika rakyat  sendiri dapat melihatnya dengan jelas, mereka pula yang mengatakan  Kerajaan Pakatan Rakyat menzalimi rakyatnya, jadi tak ke lawak tu  namanya?" katanya sambil ketawa ketika diminta mengulas perkara itu,  hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru  ini secara terang-terangan telah mengarahkan para pemimpin Umno BN  melakukan apa sahaja untuk merampas kembali Selangor dari Pakatan  Rakyat.
Sehubungan itu, para pemimpin Umno antara lain telah  menyambutnya dengan membuat tuduhan liar dengan mengatakan Kerajaan  Pakatan Rakyat Selangor telah menzalimi rakyat Selangor sepanjang  memerintah Selangor sejak tahun 2008 lalu.
Menurut Mahfuz, tujuan  Umno BN mahu merampas kembali Selangor dari Pakatan Rakyat pada  pilihanraya akan datang sebenarnya bukanlah untuk membantu rakyat,  tetapi bagi membolehkan mereka membaham khazanah negeri Selangor bagi  kepentingan mereka sendiri.
Realiti itu bagaimanapun amat berbeza  dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang telah melakukan pelbagai  perkara bagi kepentingan rakyat Selangor berbanding semasa Selangor  berada di bawah pemerintah BN dulu.
Antara yang telah dilakukan  oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor termasuklah memberikan air percuma  kepada rakyatnya, warga emas yang meninggal dunia diberikan wang  kifalah RM2,500, setiap bayi yang dilahirkan mendapat RM100 sehingga  apabila berumur 18 tahun wangnya yang terkumpul sebanyak RM1,500.
Selain  itu, turut disediakan rumah mampu milik kepada rakyatnya, di samping  pelbagai perkara lain lagi yang telah dibuat oleh Kerajaan Pakatan  Rakyat Selangor yang jelas menguntungkan setiap rakyatnya.
"Jadi,  dengan berbuat begitu, dari sudut manakah ukuran yang dibuat oleh Umno  BN itu sehingga dikatakan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menzalimi  rakyatnya?
"Tidakkah itu lawak namanya? Sememangnya para pemimpin  Umno BN kini cukup bijak berlawak dan mereka tidak ubah seperti  pelawak-pelawak yang sedang berlawak dalam rancangan lawak Astro," ujar  beliau sambil tergelak kelucuan.