
MUNGKIN  mustahil bagi saya untuk menjadi terkenal seperti W. Mark Felt, tokoh  utama yang membongkar ‘Skandal Watergate’ dengan nama samaran ‘Deep  Throat’ kerana beliau telah meninggal dunia pada 18 Disember 2008; namun  kanak-kanak Tadika pun boleh berfikir bahawa polis melakukan kesilapan  besar dengan menjalankan siasatan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM) sehingga mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja  (SSD). Seperti  dalam ‘Skandal Watergate’ tiada siapa menyedari lima orang ‘Gurkha  Presiden Richard Nixon’ yang menceroboh masuk ke Markas Parti Demokrat  di Watergate Washington DC pada 17 Jun 1972, melainkan Felt yang telah  membocorkan rahsia berkenaan kepada dua orang wartawan Washington Post  iaitu Bob Woodward dan Carl Bernstein. Saya  tidak perlu untuk menjadi ‘Deep Throat’ kerana saya menggunakan nama  saya sendiri dalam semua tulisan saya, termasuk yang mengancam nyawa  saya kerana saya yakin kepada ketentuan takdir Illahi dan maut adalah  permainan seorang wartawan. Secara  peribadi, saya berpendapat bahawa Ketua Polis Negara harus mencipta  ruang kosong di atas kanvas siasatan bagi dua kes terbesar ini dengan  melihat cermin jenayah kerana lazimnya penjenayah sebenar bersembunyi di  sebalik bayang atau menggunakan ‘Stunt-In’ dalam setiap aktiviti  mereka. Minda  bawah sedar saya berfikir, kenapa polis mensasarkan siasatan kepada  Pegawai SPRM yang tidak berdosa dan telah benar-benar berbakti untuk  membersihkan Negara daripada gejala rasuah, sekalipun ramai di antara  mereka menyembunyi tangan kotor kerana turut mengamalkan rasuah. Tetapi  dalam kes Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani Mohamed, adalah mustahil  bagi Pegawai SPRM menjadi ‘Malaikat Izrail’ untuk mencabut nyawa dua  manusia penting ini yang memegang rahsia ‘Don’ atau ‘Mafia’ yang  berkolar putih; salah seorang daripadanya menteri dan Ketua Pengarah  yang kaya daripada operasi pasir dan penyeludupan. Kedua  ‘Wira Negara’ ini mati ketika mereka ingin mendedahkan siapakah dalang  sebenar di sebalik petualangan ini, namun sebelum mereka menjadi  ‘Harimau’ untuk satu hari yang amat bersejarah dalam hidup mereka,  mereka telah dijadikan ‘Kambing Hitam’ yang dikorbankan untuk  kepentingan pihak tertentu bagi memutuskan rantaian alibi dan memalitkan  nista terhadap pegawai SPRM yang bekerja 24 jam untuk menyelesaikan  sesuatu kes, terutama kes yang berprofail tinggi. Mustahil  bagi seorang yang ingin berkahwin esok atau seorang pegawai yang sudah  insaf dan ingin menghabiskan sisa hidupnya dengan membina masjid dan  membuat kebajikan; membuat keputusan untuk mengakhiri hidupnya dengan  membunuh diri? Polis  harus membuka ‘kotak fikir’ yang terkunci di sebalik pintomin yang  dilakonkan penjenayah sebenar yang berselindung di sebalik jawatan, aras  politik dan pengaruh wang untuk memesongkan motif kematian daripada  jenayah kepada membunuh diri. SPRM  telah memacu seluruh tenaga dan kepakaran mereka untuk membongkar kes  kuari pasir dan batu haram tanpa mempedulikan keselamatan diri mereka  yang sentiasa dibayangi tonto dan ‘Menteri’ yang berpengaruh; namun  tiba-tiba dituduh menyebabkan kematian atau ‘membunuh’ saksi yang ingin  memberikan keterangan beralibi. Saya  langsung tidak berniat untuk mengajar atau mengganggu siasatan polis,  namun berdasarkan fakta yang dihujahkan polis dan SPRM secara terbuka  dan ditokok tambah oleh pembangkang; apatah lagi kematian Ahmad Sarbini  berlaku ketika Sarawak di ambang pilihanraya, maka Ketua Polis Negara  sewajarnya mengkaji semula modus operandi dan skop siasatan agar  ‘Hollow-Man’ tidak terlepas. Polis  sewajarnya memburu penjenayah sebenar iaitu ‘Lanun Pasir’ dan ‘Puaka  Penyeludup’ yang selama ini memboroikan perut Pegawai Kastam dan  Menteri; bukannya pegawai SPRM yang bekerja secara jujur tanpa mengira  masa untuk menyelesaikan sesuatu siasatan sekalipun tindakan yang bakal  mereka ambil bergantung kepada budibicara Peguam Negara. Jika  ‘Mafia Pasir dan Penyeludupan’ ini boleh ketawa berdekah-dekah kerana  berjaya memperdaya polis, sewajarnya penggubal undang-undang di Malaysia  yang terdiri daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara sewajarnya  merasa malu dan meletakkan jawatan kerana kedangkalan mereka menggubal  undang-undang sambil lewa menyebabkan penjenayah terlepas tetapi saksi  kerajaan menjadi mangsa akibat kelicikan penjenayah menyembunyikan  identiti mereka. Ketua  Polis Negara dan Peguam Negara harus berfikir di luar minda bawah sedar  mereka untuk menyelesaikan isu yang semakin buntu ini dengan  mengalihkan perhatian daripada SPRM kepada ‘PHANTOM KILLER’ yang tidak  dapat dilihat dengan mata kasar tetapi boleh dirasa melalui deria  keenam. Seseorang  penjenayah atau pembunuh upahan tidak memerlukan masa yang lama untuk  menolak saksi daripada tingkap atau atas bangunan dan boleh mengkakukan  CCTV selama beberapa saat dengan hanya menggunakan jarum peniti atau  pemetik api sehingga imej mereka tidak kelihatan atau hanya berbayang  seperti dalam kes pembunuhan Norjan Khan Bahadar dan Norita Samsuddin;  sehingga penjenayah lepas bebas tanpa sebarang hukuman. Penubuhan  SSD hanya membazirkan wang rakyat jika penjenayah sebenar semakin  menimbun harta dan melebarkan empayar mereka kerana polis terpaksa  menggunakan masa 24 jam mereka untuk menepis kutukan; SPRM memulihkan  imej mereka dengan menggantung kerja pegawai yang tidak berdosa; serta  Peguam Negara kematian akal kerana memerlukan bukti yang melampaui  keraguan munasabah sebelum menyediakan kertas pertuduhan. Tindakan  tidak bermoral sesetengah pihak mengutuk SPRM semata-mata kerana  terpengaruh dengan hasutan pembangkang dilihat sebagai melakukan  ‘Jenayah Moral’ kerana mempersenda Perlembagaan Persekutuan yang  menetapkan prinsip seseorang itu tidak bersalah sebelum dijatuhi hukuman  bersalah oleh Mahkamah Undang-Undang. Akhir  sekali, jangan dibunuh pembawa berita seperti saya yang memberitahu  rumah anda sedang terbakar; sebaliknya kawallah api sebelum merebak.  Padamlah kemarahan sebelum membakar diri kerana mereka yang gagal  mengawal kemarahan umpama ‘Phantom Killer’ yang mengintai peluang untuk  membunuh mangsa sedangkan perangkap telah tersedia!  | 
Oleh: MUTALIB M.D